Anakku, Yang Berhormat



“ANAKKU Yang Berhormat!” Haji Mat Saud mengangguk sambil tersenyum lebar penuh keceriaan.

Hatinya berbangga apabila anak tunggalnya itu dipanggil Yang Berhormat! Satu panggilan yang cukup dihormati dan disegani! Panggilan yang menjadi cita-cita dan impian setiap ahli parti politik, tidak kira apa fahaman politik mereka!

YB Dr Radhi adalah anaknya yang telah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum tiga tahun lalu. Haji Mat Saud adalah orang yang paling kuat bekerja dan berkempen untuk memastikan kemenangan anaknya itu. Ternyata dengan berkat kegigihannya, serta kerjasama penyokong-penyokong partinya, YB Dr Radhi telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri dengan majoriti yang besar.

“YB Dr Radhi” Haji Mat Saud masih tersenyum, tetapi tidak seceria tadi.

Saat itu, dia terkenangkan sesuatu yang tersimpan jauh di sudut hatinya. Wajahnya segera berubah; keruh dan muram. Dia merenung jauh ke kampung seberang merentasi sawah yang luas di sebelah rumahnya itu. Sampai bilakah perkara ini akan menjadi rahsia hidupnya?

Usianya sekarang sudah mencecah 75 tahun. Dan sudah dua tahun dia menderita diserang penyakit strok. Kini dia mulai bimbang, andainya Tuhan menjemputnya secara tiba-tiba tanpa sempat mendedahkan rahsia itu? Ajal maut tidak ada siapa dapat tentukan masa dan ketikanya.

Debaran bermula

Dia kerling pada jam dinding yang tergantung tidak jauh dengannya itu. Masa yang dijanjikan sudah hampir, anaknya berjanji akan sampai jam 5.00 petang.

Nasibnya sungguh beruntung pada tahun ini, yakni tahun ke-50 Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan. Haji Mat Saud telah terpilih penerima anugerah sebagai pejuang kemerdekaan tanah air dan sebagai penentang gerakan komunis pada zaman darurat.

Mereka berjanji bertemu petang ini untuk membincangkan tentang majlis penganugerahan yang akan berlangsung tiga hari lagi. Majlis itu akan disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong.

Mereka akan bersama menghadiri majlis itu di Kuala Lumpur. Sebelum dia dijemput menerima anugerah yang besar ertinya dalam sejarah perjuangannya selama ini. YB Dr Radhi terlebih dahulu ditugaskan membaca profil tentang sejarah perjuangan ayahnya itu.

Saat itu, dia rasa dadanya tiba-tiba berdebar; mengapa dia harus berperasaan begitu pada saat ini? Pada saat menjelangnya hari yang paling bersejarah dalam hidupnya nanti? Dia akan diraikan sebagai seorang pahlawan yang berjasa besar kepada agama, bangsa dan tanah airnya yang tercinta! Walaupun ini bukan cita-citanya tetapi dia tetap menghargai anugerah yang cukup bermakna ini!

Sebelum mencebur diri dalam parti politik, YB Dr Radhi adalah bekas Profesor di Jabatan Sains Politik di sebuah universiti tempatan. Selain ketokohan dia sebagai ahli politik, pengaruh peribadi Haji Mat Saud cukup besar dalam meraih sokongan daripada orang ramai.

YB Dr Radhi berkelulusan PhD dalam bidang Sains Politik daripada sebuah universiti di London. Dia memiliki ketokohan yang cukup terserlah sebagai seorang ahli politik dan pemimpin parti politik yang disegani oleh kawan dan lawan.

Penampilan dan keterampilannya cukup hebat sama ada di pentas pidato atau di majlis rapat umum. Dia adalah seorang yang bijak berpidato dan cukup pintar dalam mengupas setiap isu. Ulasannya akan memberi kefahaman dan kesan yang mendalam ke dalam jiwa setiap pendengar. Kelebihan ini lahir daripada hasil asuhan dan didikan ayahnya yang berteraskan semangat patriotisme yang diterapkan sewaktu dia zaman kanak-kanak lagi.

Selama lima tahun YB Dr Radhi menuntut di London; daripada tingkat MA sehingga PhD, Haji Mat Saud dapat mengesan, anaknya itu telah terpengaruh dengan aliran politik kiri. Keadaan ini cukup merisaukan hatinya. Kerana itu setelah YB Dr Radhi lulus PhD dan pulang bertugas di sini, dia telah memberi kaunseling kepada anaknya itu berasaskan ajaran Islam yang suci. Dan dalam masa yang sekejap fahaman anaknya itu dapat dipulihkan kembali.

Dia selalu dipuji oleh rakan-rakannya kerana bijak mendidik anak sehingga mencapai kelulusan tertinggi dalam pendidikan, berjawatan tinggi dan kini sebagai seorang Yang Berhormat. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia tidak pernah berbesar hati dengan pujian itu, tetapi sebagai seorang bapa perasaan itu tetap wujud segar di dalam jiwanya.

Dengan keadaan sekarang, dia sudah cukup bersyukur kepada Allah SWT yang telah banyak memberi kesenangan kepadanya. Kejayaan anaknya itu adalah anugerah yang paling besar dan merupakan kemuncak kejayaan hidupnya. Dia tidak menganggap anugerah yang bakal dia terima itu sebagai kemuncak kepada segala kejayaan hidupnya selama ini.

Sebagai bekas pejuang kemerdekaan tanah air, semangat patriotisme masih menebal di dalam jiwanya sehingga kini. Semangat itu telah dijadikan asas dalam memberi asuhan dan didikan kepada anaknya sehingga menjadi seorang yang berguna kepada bangsanya. Dan semangat itu terus ditiupkan ke dalam jiwa anaknya untuk menjadikan dia seorang yang berani dan berjiwa besar. Dan dengan semangat itulah, mendorong YB Dr Radhi ingin menjadi seorang pemimpin politik untuk membela nasib rakyat di bawahnya.

Kini, impian dan cita-citanya telah menjadi kenyataan! Semangat patriotisme yang dibina dan diterapkan ke dalam jiwa anak tunggalnya itu telah berhasil membentuk keperibadian yang luhur dan kental! YB Dr Radhi adalah seorang yang cukup dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan! Haji Mat Saud selalu menyatakan, asuhan yang baik dan didikan yang sempurna bakal melahirkan insan yang berjaya!

Haji Mat Saud masih sedang menunggu ketibaan anak kesayangannya, YB Dr Radhi. Esok mereka akan bersama ke Kuala Lumpur menghadiri majlis penganugerahan yang penuh bersejarah itu. Di beranda itulah tempat dia selalu duduk dengan bertemankan kerusi roda sejak dua tahun lalu. Di rumah itu, Haji Mat Saud tidak keseorangan, dia dijaga oleh seorang pembantu rumah yang menguruskan makan minumnya setiap hari.

Walaupun sudah dua tahun diserang strok, tetapi dia masih bernasib baik kerana penyakit itu tidak serius. Dia masih boleh bercakap dengan jelas walaupun tidak lancar. Anaknya pernah mengajak dia tinggal bersamanya di rumah baharunya dekat pinggir bandar yang siap dibina tiga tahun lalu. Rumah itu dibina atas tanahnya yang sudah ditukar milik kepada anaknya. Dia menolak pelawaan anaknya itu dengan alasan dia lebih aman dan selesa tinggal di rumahnya sendiri.

Sebagai wakil rakyat, rumah YB Dr Radhi sentiasa sibuk dengan orang ramai yang datang tidak kira waktu. Selain tempat tinggalnya, rumah itu dijadikan tempat untuk mengadakan aktiviti politik dan kebajikan yang terletak dalam kawasan DUNnya.

Haji Mat Saud sedar, anaknya selalu sibuk sebagai wakil rakyat dan orang politik. Dia faham benar dengan kerjaya orang politik. Lagi pun di rumah ini, dia sudah ada pembantu rumah yang sentiasa menjaga dan menguruskan keperluan hariannya dengan sempurna. Kalau ada apa-apa hal, pembantu rumahnya akan segera melaporkan kepada anaknya. Anak dialah yang menyediakan pembantu rumah dan membayar gaji bulanan sebanyak seribu ringgit itu.

Dia menjangkakan sebentar lagi anaknya akan sampai dan mereka akan membincangkan tentang majlis penganugerahan yang akan berlangsung tiga hari lagi. Tetapi sebelum itu, ada perkara penting yang dia hendak maklumkan kepada anaknya sebelum mereka membincangkan tentang rancangan mereka itu.

Entah mengapa, tiba-tiba dadanya berdebar! Sungguh terasa berat hatinya hendak menceritakan tentang rahsia yang sudah lama terpendam di dalam jiwanya itu!

“Anakku Yang Berhormat!” Tiba-tiba tercetus perkataan itu dari bibirnya. Haji Mat Saud cuba senyum, tetapi terasa hambar.

Lamunannya terhenti apabila dia terlihat sebuah kereta Mercedes Benz warna hitam masuk di perkarangan rumahnya. Kereta anaknya, YB Dr Radhi.

YB Dr Radhi bergegas naik ke atas rumah mendapatkan ayahnya. Sewaktu berjabat tangan, Haji Mat Saud merenung dalam ke wajah anaknya itu. Renungan itu disedari oleh YB Dr Radhi sebagai renungan yang luar biasa.

“Mengapa ayah tenung saya begitu?” YB Dr Radhi mula mengesyaki sesuatu.

Dia tidak segera menjawab pertanyaan anaknya itu. Dia membetulkan duduk, mengadap anaknya.

“Sebelum kita membincangkan soal itu, ayah ada perkara penting hendak maklumkan kepada kau hari ini Radhi.” Haji Mat Saud merenung dalam ke wajah anaknya itu.

YB Dr Radhi membalas renungan ayahnya dengan penuh tanda tanya. Tidak pernah ayahnya bersikap begini seperti hari ini.

“Tentang apa ayah?” YB Dr Radhi tidak sabar lagi ingin tahu.

Wajah Haji Mat Saud nampak keberatan sewaktu hendak menceritakan apa yang terpendam di dalam dadanya itu. Namun ditabahkan jua hatinya pada saat getir itu.

“Radhi anakku, perkara ini sudah sekian lama ayah rahsiakan daripada kau. Mulanya ayah bercadang mahu merahsiakannya sampai ke akhir hayat ayah. Tetapi ayah berpendapat, tindakan seperti itu tidak patut sekali ayah lakukan terhadap kau anakku.” Haji Mat Saud meneliti perubahan pada wajah anaknya itu.

YB Dr Radhi tambah gelisah, tidak sabar untuk mengetahui penjelasan selanjutnya.

“Kau sebenarnya bukan anak ayah Radhi. Kau adalah anak angkat ayah, ayah ambil dan besarkan kau setelah ayah dan ibu kau meninggal. Waktu itu kau masih bayi lagi Radhi,” Haji Mat Saud terus meneliti perubahan pada wajah anaknya yang kian berubah itu.

“Ayah dan ibu kau terbunuh dalam pertempuran dengan anggota tentera sewaktu operasi membanteras kegiatan komunis dekat sempadan sewaktu zaman darurat. Ayahlah yang telah menambak ayah kau Radhi. Kerana itu, kau ayah ambil sebagai anak angkat, walaupun pada peringkat awalnya, hasrat ayah itu dibantah keras oleh arwah ibu kau.” Haji Mat Saud terus mengumpul kekuatan di dalam jiwanya.

YB Dr Radhi terpinga-pinga seperti orang kebingungan. Dia seperti ingin menyatakan sesuatu, tetapi lidahnya terasa kelu saat itu.

“Ayah dan ibu kau adalah komunis Radhi!” Mata Haji Mat Saud kemerahan.

Jasamu dikenang

Tepat jam 8.30 malam, tetamu jemputan sudah memenuhi dewan perasmian. Majlis akan dimulakan tepat pukul 9.00 malam.

Sewaktu di dalam majlis, Haji Mat Saud sering memerhati anaknya, YB Dr Radhi. Perasaannya tidak tenteram saat itu. Perubahan yang berlaku kepada anaknya sejak hari itu menggelisahkan hatinya.

Sejak kelmarin, semalam dan hari ini, keadaan anaknya lain sekali. YB Dr Radhi lebih banyak berdiam diri dan termenung. Dia sedar dan faham dengan keadaan anaknya itu. Dia masih mengalami kejutan yang sungguh luar biasa! Yang tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata!

Tetapi sewaktu YB Dr Radhi sedang membaca profil sejarah perjuangannya, dia dapati keadaan anaknya tidak seperti sebelumnya. Berbeza sekali! Gaya YB Dr Radhi seperti sedang berpidato, lantang dan bersemangat suaranya! Dia turut terangsang dan bersemangat saat itu! Tegang bulu romanya dan terasa mendidih darahnya saat itu!

Semangat patriotisme yang diterapkan ke dalam jiwa anaknya sejak kanak-kanak dahulu telah berhasil membentuk keperibadiannya! Anaknya telah menjadi seorang yang benar-benar bersemangat, sedia berjuang demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah airnya yang tercinta! Dia sedar tentang itu semua; Anakku Yang Berhormat!

Sewaktu Haji Mat Saud dipanggil untuk menerima anugerah itu; sesuatu yang di luar jangkaan dan tidak terduga sama sekali telah berlaku! YB Dr Radhi segera bangun mendapatkan ayahnya yang sedang ditolak di atas kerusi roda. Dia telah mengangkat ayahnya dan menjulangnya ketika mengangkat sembah ke bawah Duli Yang Dipertuan Agong yang sedang bersedia menyempurnakan penyampaian anugerah yang penuh bersejarah itu.

Semua hadirin tercengang dengan tindakan YB Dr Radhi yang luar biasa itu! Tetapi semuanya terdiam, menunggu kesudahannya!

Tatkala pingat kebesaran dikalungkan ke leher ayahnya, YB Dr Radhi dengan penuh bersemangat melaungkan slogan keramat memecah suasana senyap di dalam dewan besar itu! Laungannya itu disambut oleh sekalian hadirin di dalam dewan itu dengan penuh bersemangat!

“Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!”

YB Dr Radhi memeluk erat tubuh ayahnya yang dijulang itu sambil mengucup kedua pipinya dengan penuh hormat dan kasih sayang!

BIODATA:

NIK Azman NM adalah nama sebenar Nik Azman Nik Mustafa. Beliau sudah lama terbabit dalam bidang penulisan sajak, cerpen, skrip drama radio/tv, rencana, kritikan sastera, budaya, politik, agama, falsafah dan kajian umum. Karya beliau kebanyakannya bertema agama, falsafah dan politik, mendapat tempat di media massa tempatan serta Brunei Darussalam, Indonesia serta Singapura. Novel beliau, Dalam Kalimah Terakhir Cinta-Ku, bertema percintaan tragis akan disiarkan bersiri dalam Majalah Perempuan bermula September ini. Nik Azman NM adalah AJK Persatuan Penulis Kelantan (PPK), ahli Persatuan Wartawan Melayu Kelantan (PWMK) dan ahli Ikatan Terjemahan Darul Naim (ITDN

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool