Antara Dua Kasih



“Di pelabuhan kasih, aku bertemu sebutir permata… ku kepingin untuk menjadikan ia milik ku, akan tetapi sewaktu kaki ini melangkah menuju ke muara terlihat sebutir nilam yang menyuluh cahayanya ke arah ku aku kabur… sedangkan permata itu masih di gengaman, kerana ia cintaku akan tetapi… nilam itu telah meyentuh jiwa ini untuk menggapainya dan meletakkannya di gengaman jua… tolonglah aku Ya Tuhan…”

Lama Alif meyentuh dahinya, bersujud di tikar sembahyang. Bila hati mengadap Tuhan, baru dia sedar banyak kelemahan, terasa kerdil dirinya tika itu. Tiada yang lebih mendamaikan hati melainkan dapat bertemu dengan yang Maha Pencipta. Selesai solatnya, di lihat jam yang tergantung di dinding, hampir menunjukkan pukul dua pagi, namun matanya seakan enggan untuk di lelapkan. “Mungkin dah lena Basyirah waktu-waktu macam ni…” Alif berkira-kira sendiri, hatinya berniat mahu menghantar pesanan ringkas, tapi apalah guna kalau tidak berbalas, dia cuma mahu seorang teman, teman untuk berbual sebelum dia betul-betul dapat melelapkan mata, ada rindu di situ sebenarnya…

Basyirah berulang kali membaca pesanan ringkas di skrin telefon bimbit miliknya, perasaannya sedikit celaru. Dia tahu, selama setahun ni dia amat rapat berhubung dengan Alif Najmi, itu pun gara-gara kerja berkumpulan untuk kelas Multimedia yang terpaksa dijalankan bersama beberapa semester yang lalu, kalau tidak, dia hanya melihat Alif dari kejauhan dan langsung tidak terlintas di benaknya perhubungan sahabat akan terjalin antara keduanya sekalipun dia tidak lagi satu kelas dengan Alif, Maha Agung kuasa Allah yang merancang setiap kejadian di atas muka bumi ini. Tetapi, perhubungan ini membuatkan Basyirah sedikit khuatir..sedikit takut..Alif bukan seperti sahabat yang di jangkakannya…

“Irah…tengah hari nanti saya dengan Akma nak lunch kat foodcourt, awak nak ikut?” Suraya mengajaknya selepas kelas Database petang itu, perutnya juga dah berbunyi minta di isikan, tetapi dia perlu segera membuat research untuk assignment Puan Saadah, tapi apalah salahnya mengambil masa 15 minit untuk makan… Basyirah tersenyum dan mengangguk tanda setuju untuk mengikut keduanya. Mereka mengambil tempat yang sedikit lapang untuk menjamu selera tengah hari itu, maklumlah waktu lunch beginilah ada yang berasak untuk beratur, perut tengah lapar katakan, tempat pula kadangkala terhad, kalau terlambat, hendak tak hendak kena juga bersesak untuk makan. “Eh Irah..itu macam Alif aje, kita ajak dia makan sama lah…nak? Erm tapikan..” Mata Basyirah mengarah ke arah yang dilihat Akma dan Suraya, tetapi Nurul Hanna yang berada di samping Alif terlebih dahulu menyapa pandangannya. Ramah dan mesra. Serentak dengan itu juga Akma dan Suraya memandangnya, Basyirah hanya tersenyum dan menunduk, dia memahami pandangan kedua sahabiahnya itu. “Irah kena buat research kat library pulak kejap lagi ni, kalau korang lambat-lambat makan, tergendala la kerja Irah.” Basyirah mengubah topik supaya tiada lagi perkara tentang Alif yang perlu dia bualkan tengah hari itu…sebenarnya, itulah yang dikhuatirinya selama ini, Nurul Hanna…

“Assalamualaikum Irah…” Sapaan lembut suara Alif terdengar di telinganya, Basyirah mendongak sedikit wajahnya dan mata mereka bertentang. Alif tersenyum, ramah, tidak susah untuk menjejaki Basyirah, sudah lama dia tidak melihat alis mata yang menyejukkan pandangannya itu. Alif menggumam sendirian. “Maaf kalau saya mengganggu, tadi saya terserempak dengan Akma, dia yang bagi tahu awak ada kat sini.” Alif menarik kerusi berhadapan Basyirah tanpa di pelawa terlebih dahulu, dia membuka buku dan meneruskan kerjanya. Basyirah leka memerhati segala perlakuan Alif, bersahaja… “Mengapa lelaki ini kerap mengikut aku sejak akhir-akhir ni…” terdetik persoalan dihatinya. “Kiranya ada sesiapa yang tahu, kiranya…Nurul Hanna yang tahu…” lebih banyak persoalan di benaknya tika Alif ada bersama, bukan dia tidak menyukai kehadiran Alif, bahkan lelaki itulah yang kini hampir mendapat tempat dihatinya. “Alif..maaf, saya nak pulangkan buku ni di kaunter Sirkulasi kejap…” Basyirah mengunjukkan buku Programming ditangannya. Mengelak..hanya itu yang terlintas difikirannya.

Alif mengetuk hujung pen ke meja, apa yang dipelajari langsung tidak melekat di otaknya, hampir dua jam dia menunggu Basyirah di library tengah hari tadi, “Katanya hendak pulangkan buku, waktu aku lalu di kaunter tadi takde nampak pulak batang hidung dia, tak sudikah Basyirah? Atau aku yang keterlaluan?”. “Astaghfirullah…” terdengar keluhan dibibir. “Mengeluh nampak kawan kita ni, masalah negara ke Lif?” Badrul Husain, teman sebiliknya menyedari tingkah Alif, dia tahu apa yang bermain difikiran sahabat yang seorang itu, mesti mengenai seseorang. “Basyirah?” Alif mengangguk. “Nurul Hanna?” Alif memandang Badrul Husain serentak dengan pertanyaan yang terlontar kepadanya. “Aku tak kisah kiranya kau mahu luahkan perasaan kau pada Basyirah, yang penting kat sini, kau tak takut ke kalau-kalau Nurul Hanna tahu apa yang kau buat? Silap hari bulan, kau boleh hilang dua-dua…” Alif menutup buku di meja, keinginannya untuk study sudah hilang. “Aku tak tahu la Arul, aku sayang kat Nurul Hanna, tapi hati aku makin dekat dengan Basyirah, aku cuba buat bodoh kalau ternampak Basyirah, tapi demi Allah, aku rasa seperti tidak mahu jauhkan pandangan dari melihatnya, moga Allah ampunkan dosa aku. Aku ikhlas sukakan Basyirah, Rul..” Alif menunduk, dia kalah dengan perasaan sendiri.

Laju kaki Basyirah menapak menyusuri Dewan Iniyah, apa yang didengarinya sebentar tadi dari mulut Badrul Husain hampir membuatkan langkahnya tersungkur. “Alif suka kan aku? Alif menyimpan perasaan pada aku?..” Tapi baru sebentar tadi aku terserempak dengan Nurul Hanna dan Alif berjalan beriringan…aku sedia tahu tentang Nurul Hanna. Wajah lembut itu…

“Terasa berpinar mata Basyirah dek terik panas matahari tengah hari itu, perutnya pula belum terisi, gara-gara berkeras untuk menyiapkan kerja terlebih dahulu. Langkahnya semakin lemah, tubuhnya terdorong ke depan menyebabkan buku yang dikendongnya berteraburan di jalan. Basyirah terduduk. “Awak tak apa-apa..?” Lengan Basyirah diampu seseorang dan dilihat ada jari-jemari kecil mengutip buku-bukunya, dia dipapah ke tempat duduk pondok menunggu bas yang berhampiran. Basyirah melihat wajah lembut itu, seraya wajah itu tersenyum. “Saya Nurul Hanna, agaknya awak belum makan apa-apa lagi, muka awak pun pucat semacam aje..nak saya belikan makanan kat gerai depan sana..?” Nurul Hanna memuncungkan bibirnya ke arah gerai yang bertentangan dengan mereka. Tanpa disuruh, dia melintas ke gerai tersebut. Basyirah hanya memerhati, kudratnya betul-betul seperti kehabisan, perutnya kadangkala diselangi bunyi, lapar… “Nah, makanla, ade karipap dengan kuih lapis, orang kata kuih kat gerai tu sedap…” Nurul Hanna mengunjukkan seplastik kuih dan air kepada Basyirah. “Terima kasih, boleh saya panggil awak, Hanna?” Wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu mengangguk. “Saya Basyirah, boleh bahasakan Irah aje. Terima kasih sekali lagi sebab tolong saya tadi, saya ingatkan boleh bertahan perut ni.” “Tak ape-ape, mana tahu lain kali saya pula yang terkena..” Nurul Hanna tersengih, terlihat susunan giginya yang cantik tersusun. “Oh ya, saya minta diri dulu lah, kawan saya pun dah sampai.” Nurul Hanna menghalakan pandangannya ke arah kelibat seorang lelaki yang sedang memakirkan motornya dihadapan bangunan pengurusan, pandangan Basyirah sedikit terlindung kerana lelaki itu membelakangi mereka. “InsyaAllah, ade rezeki kita jumpa lagi.” Basyirah menghulur tangan bersalaman seraya memberi salam. Moga Allah merahmati mu. Basyirah menguntum doa buat Nurul Hanna.

“Irah…!Jauh melamun?” Akma menepuk perlahan bahunya. Basyirah meraup mukanya, tidak mahu dilihat sahabiah apa yang berperang di dalam sanubarinya, “Irah sihat?” Basyirah hanya mengangguk. Leka dengan ingatannya terhadap pertemuan antara Nurul Hanna dan dirinya secara tidak sengaja suatu waktu dulu, rupanya lelaki yang membelakanginya adalah Alif Najmi. Singkatnya waktu, segalanya berlaku tanpa disedari dan wajah lembut membantunya tika itu adalah Nurul Hanna yang menjadi kehidupan Alif sekarang….air matanya menitis. Dia berasa bersalah, menyimpan perasaan pada yang tidak sepatutnya dan kini perasaan itu pula berbalas. “Irah kenapa? Nak berkongsi dengan Akma?” Akma tidak senang melihat Basyirah begitu, sejak pulang dari kelas Dr. Hadat siang tadi Basyirah hanya diam tanpa bicara. “Irah perlu nyatakan perkara sebenar kat dia, Irah tak mahu rasa bersalah terbukam dalam hati, kalaulah Irah tahu lebih awal, Irah takkan benarkan perasaan ni bermukim seperti skarang…” Akma memahami kebuntuan sahabiahnya itu, perasaan adalah milik Allah dan sebaik-baik perancang juga adalah Dia.

“Bagaikan terdengar bisikan rindu,
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiran mu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan…”

Lama keduanya mendiamkan diri, sebentar tadi, Basyirah lancar mengingati apa yang hendak dituturkannya…tetapi kini seperti batu besar yang menghalang segalanya terbit dari mulutnya. Alif hanya memerhati lagak Basyirah yang sesekali melirik ke arah Akma di meja yang membelakangi mereka. Kepalanya ligat memikirkan apa yang hendak diperkatakan Basyirah, mungkin mengenai perasaan yang disampaikan melalui Badrul Husain kepada wanita dihadapannya ini atau mungkin juga penolakan. Dia khuatir sendiri. “Maaf Alif, sebenarnya saya…, saya dah terima pesanan awak melalui Arul, bukannya saya tidak menyukai awak, cuma….saya…” Ya Allah, kenapalah susah sangat berkata ‘tidak’!! Alif menunduk, dia dapat meneka apa yang mahu diperkatakan oleh Basyirah. “Tak apalah, saya cuma minta ‘kebenaran’ awak, tak lebih dari itu…tapi kalau keputusan awak tu datangnya dari hati, saya terima dengan baik.” Hati Basyirah berdetak kencang, bukan itu yang sebenarnya lahir dari hatinya, dia menyukai Alif….

“Macam mana Lif? Kau dah jumpa dia?” Badrul Husain cuba mencungkil tentang Basyirah, dia tahu sahabatnya itu ada berjumpa dengan Basyirah siang tadi. “Dia cakap, dia tak dapat nak terima aku…sebenarnya, dia tak cakap, tapi aku dapat agak..takpela Arul, aku tak harap sangat, lagipun mungkin ada baiknya., cuma aku yang tak sedar…” Badrul Husain memandang sisi Alif yang sedang menyandarkan tubuhnya ke besi katil, “Alif…Basyirah dah tahu tentang kau dengan Nurul Hanna, aku tak rasa ade yang sanggup kalau dia tahu kau dah ada hubungan dengan orang lain, lagipun mesti bertambah teruk kalau Nurul Hanna juga tahu pasal kau ade hati dengan Basyirah. Dua hati mungkin terluka Lif…” Alif memandang tepat ke wajah Badrul Husain, Basyirah tahu tentang Nurul Hanna? Habis selama dia berkawan dengan Basyirah, memang Basyirah sedia maklum tentang dia dengan Nurul Hanna. Alif meraup mukanya, perasaan bersalah kian menghimpit diri….

“Cinta itu cahaya sanubari
kurniaan Tuhan fitrah insani
dan dimana terciptanya cinta
disitu rindu bermula

cinta itu tidak pernah meminta
tetapi memberi sepenuh rela
rasa bahgia biarpun sengsara
berkorban segala-gala

di antara dua kasih,
dimakamnya yang berbeza
mudah dijumpa namun sukar untuk dipelihara
lahir dari ketulusan jiwa
bersuluhkan iman
namun nafsu menodainya….”

Basyirah menyapa arus malam yang sepi, dia membiarkan segala ingatan dan perasaannya berlalu pergi seperti mana angin malam yang meniup lembut. Alif Najmi, bertuahnya kerana memiliki Nurul Hanna, dia tidak sesal melepaskan perasaannya pada seseorang yang mampu memberi lebih dari yang mampu diberikannya kepada lelaki itu. “Dia akan bahagia..” Basyirah berbisik perlahan. “Perasaan yang suci lahir dari hati ini tidak akan ku padamkan, dengannya aku berasa bahagia sekalipun ianya telah berakhir.” Basyirah menutup tingkap biliknya seperti mana hati itu telah tertutup buat lelaki bernama Alif Najmi.

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool