Burung camar tunjuk lubuk ikan






HAMPIR tiga bulan kumpulan yang menggelarkan dirinya Naga Sari yang rata-rata kalangan kaki pancing dari Kota Tinggi, Sempang Renggam dan kawasan sekitarnya.

Kumpulan ini sering menempuh pelbagai peristiwa suka duka sama ada di laut, sungai, kolam dan tasik. Justeru, pengalaman mereka menjadi tebal dan sebati dalam jiwa mereka.

Badrul (bukan nama sebenar) anak jati Sempang Renggam mengetuai ekspedisi tiga hari dua malam di perairan Pulau Tokong Burung bersama lapan rakan pancing dari Kota Tinggi dan tanah rancangan Felda Nitar.

Bertitik tolak 20 tahun berlalu, tetapi cerita aneh mengheret misteri hingga sekarang ini. Namun Badrul yang ini sudah berusia 50 tahun masih mengingati detik-detik yang dikaitkan antara percaya dengan tidak. Tetapi hakikatnya peristiwa itu adalah satu kebenaran yang nyata dan berlaku di hadapan mata.

Hari itu adalah hari penentu arah tuju kumpulan mereka memancing di lokasi Tokong Burung kerana sudah hampir tiga bulan berulang alik di lokasi memancing yang sama tetapi hasilnya tidak berbaloi. Kami sudah cukup bosan dan kecewa, cerita Badrul lagi sambil memberi ingat kepada tekong bahawa ini adalah trip terakhir bagi mereka menggunakan khidmat tekong itu.

Kumpulan Naga Sari (kini sudah tidak wujud lagi) berlepas dari jeti nelayan di Penyabong, Endau dekat Mersing, awal pagi. Tekong Imran kini kena berhati-hati mencari lubuk atau tukun kerana hatinya juga terpanggil untuk memberi kepuasan kepada pemancing Kumpulan Naga Sari yang masih belum bertemu dengan rezeki tangkapan yang lumayan.

Lokasi kapal karam dan unjam tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Ada saja alasan yang menghalang.
Malam itu, mereka berehat. Semua kaki pancing menggantung joran. Tiada seorang pun yang memancing walaupun lokasi itu adalah tukun karang semula jadi yang menjadi tempat kerapu berumah kekal di situ.

Tekong Imran bersama pembantunya terpaksa membuat sesuatu. Sebelum menjelang subuh esoknya, bot Imran merapati ke Pulau Tokong Burung sekali lagi.

Kali ini tekong Imran berdiri di haluan botnya lalu memandang ke langit. Muka dan kepalanya penuh dengan tahi burung camar laut yang begitu banyak mendiami Tokong Burung.

Mereka yang sudah terjaga agak hairan melihat kelakuan tekong Imran, tambah Badrul lagi dan bangun membasuh muka.

Seekor burung camar laut yang berwarna putih kelabu bertenggek atas kepala tekong Imran dan kemudian terbang menghala satu arah ke timur lubuk kapal karam.

Burung camar laut berpatah balik dan terbang mengelilingi bot mereka dan terbang semula. Lalu bot tekong Imran mengikut burung itu. Sauh dilabuhkan di tempat burung camar menjunam ke laut beberapa kali dan terbang hilang menuju ke Pulau Tokong Burung.

Di lokasi itu, mereka bertarung dengan ikan jemuduk. Mereka tidak cukup tangan apabila seekor demi seekor ikan didaratkan hingga tidak sampai beberapa jam mereka sudah mengumpul tangkapan lebih dua tong merah.

“Woi! Berbaloi!” cerita Badrul sambil menggeleng-geleng kepala memandang penulis yang cuma dapat tersenyum.

Beliau terus menyambung cerita dengan wajah yang lebih berani. Katanya, sebaik saja ikan jemuduk mula tidak aktif lagi memburu umpan, datang semula burung camar laut yang sama mengelilingi bot beberapa kali. Ia kemudian terus menghalang di Pulau Seri Buat kemudian berpatah balik mendekati bot dan pergi semula ke pulau itu.

Tekong Imran mengarahkan semula pemancing menggulung tali pancing dan terus beredar ke Pulau Seri Buat mengikut burung berbulu putih kelabu yang masih terbang arah timur. Ia mendekati satu lubuk tepi pulau itu lalu menjunam beberapa kali dan kemudian terbang semula ke arah ke Pulau Tokong Burung.

Imran menurunkan sauh. Serentak dengan itu, ribut datang dengan tiba-tiba. Gelombang besar menguasai perairan laut tetapi tempat mereka berada selamat dan terlindung, cerita Badrul yang mengakui bahawa burung camar laut bukan burung sebarangan.

Beliau menyifatkan burung itu seekor burung penyelamat dan petunjuk arah terbaik untuk kumpulan mereka. Malah hingga sekarang ini pun jika pemancing bernasib baik akan bertemu dengan burung camar ini sambil menunjuk arah mendapat rezeki yang lumayan atau berlindung selamat dari ribut dan gelombang besar.

Namun misteri tetap misteri dan kepercayaan mesti berpijak atas kebenaran yang realiti.



Sumber
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool