Cinta Hot Chocolate - Part 3



Setahun berlalu dan dua tiga kali melalui `neraka’. Farah menyepi, aku pula berat mahu menghubunginya. Dibiarkan saja begitu dengan harapan keadaan dan masa menentukannya. Setiap kali Maznah menyapaku, aku terpaksa merawat hatiku untuk beberapa ketika. Aneh, `hello’nya itu seperti tangan-tangan yang menghancurkan. Aku senyum menyambut sedangkan waktu itu degupan jantungku bagai rentak muzik heavy metal! Isi tubuhku terasa dikupas dan terasa derusan darah menyusuri uratku - diriku rasa kebas! Parah! Dia kelihatan biasa saja - seperti tiada apa yang berlaku antara kita. Aku lebih daripada biasa. Luar biasa kerana masih mampu berlakon di depannya itu.

Setahun telah berlalu dan diriku kerap bertanya, “Di manakah Farah?” Aku perlu tahu bagaimana jika kami bertemu. Bagaimana dia dan bagaimana aku.

“Awak masih setia di sini.”

Darah melulu menerpa wajahku. Aku terpegun sebentar setelah menyambut dengan memandang arah datangnya suara itu.

“Farah!”

“Awak ingat hantukah?”

“Memanglah. Lebih setahun kita tidak bertemu. Saya hampir tidak mengenali. Bertudung?”

“Iya. Pelik? Biasalah. Sebenarnya, saya ada dan selalu melihat awak di sini.”

“Iya, mengapa tidak menyapa?”

“Saja. I tak mahu mengganggu.”

“Kawan seperti awak tidak pernah mengganggu,” aku tahu, aku menipu.

Senyum. Aku begitu senang sekali waktu itu. Terasa ringan di kepala dan sejuk di hati - hatiku melonjak-lonjak! Farah di depanku dan aku tidak berasa seperti aku bertemu Maznah. Suaranya itu bukan tangan yang merobek - ia lebih pada mengusap lembut.

“Sebentar,” kataku sambil berlalu masuk ke dalam. Sepanjang aku di dalam, diriku tidak henti melonjak bergelora. Bibirku yang mengukir senyuman menyatakan segalanya.

“Awak masih ingat… ”

“Hot chocolate tanpa krim… awak takut gemuk!”

Kami ketawa dan disambut senyuman yang menyatakan perasaan yang mendalam. Matanya itu berlainan sekali. Pandangannya itu menyatakan sesuatu - perasaan yang mendalam terhadapku! Diri kami saling meluah tanpa perlu bersuara. Diam, tetapi masih tersenyum, aku rasa diriku menangis kegembiraan. Begitu mendalam sekali dia dalam diriku dan aku pasti dia pun begitu. Senyuman kami menyatakan segalanya.

“Setahun, lebih! Apa yang awak lakukan?”

“Hanya bekerja, bekerja dan bekerja.”

“Itu saja?”

“Ya. Itu saja.”

“Bekerja tanpa punya masa bergembira?”

“Bekerja itu kegembiraan!”

Kali ini kami ketawa. Air mataku bermain di mata dan perlu aku mengelapnya dengan jariku. Aku benar-benar ceria waktu itu. Dia juga begitu. Wajahnya begitu menyerlah seakan ada lampu yang bernyala di dalamnya.

“Bagaimana dengan awak?”

“Biasa saja. Ada sesuatu yang saya ingin beritahu.”

“Awak nak kahwin?”

“Tidak juga. Saya nak minta maaf atas segalanya. Ingat, hari itu di sini?”

Aku hanya mengangguk, masih senyum walaupun dia tidak.

“Banyak perubahan dalam hidup saya kini… ,” Farah terhenti apabila seorang lelaki yang dari tadi tidak henti memandang ke arah kami menghampiri dan berhenti di meja kami. “Ini Razlan, abang Fazlan.”

Sebulan berlalu dan aku masih mengingati waktu itu. “Ini Razlan, abang Fazlan.” Mematikan segalanya - antara kami. Tidak henti menyalahkan diriku. Tidak henti kesal di hati ini. Katanya itu berulang-ulang aku dengar - dipaksa. Dia perlu memusnahkan apa jua harapanku padanya. Tangannya seperti tangan Maznah kini. Aku disumpah lagi! Tuhan mendugaku lagi. Tidak cukup satu, diberinya dua. Kini aku terpaksa melalui `neraka’ itu setiap kali mereka hadir. Mungkin persepsiku terhadap neraka itu memakan diriku sendiri. Kata-kata dari rasa hati perlu dipelihara, perlu dijaga agar tidak sumbang. “Neraka,” kataku, tapi pernahkah aku melaluinya? Aku benar diajar.

TamaT

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool