Gadis pengakap terjun dalam lombong





CERITA ini adalah daripada pengalaman adik ipar saya. Dia memang boleh digelar kaki pancing malah tahap hantu pancing dan sewaktu dengannya. Cakaplah di mana tempat pancing baru, semua dia nak pergi. Dalam hutan atau ke laut dalam; dia memang tidak kisah. Pergi pagi atau malam pun tidak menjadi hal. Pukul berapa pun, dia memang tak kisah. Ajak saja, dia pasti pergi.

Azman memang kaki pancing. Sampai emak dia sendiri pun naik bimbang dengan perangainya. Lebih-lebih lagi kalau dia pergi memancing dengan kawannya pada tengah malam. Pernah emak dia tegur, tak takut kalau-kalau terserempak hantu jembalang dalam hutan. Sebaliknya, Azman menjawab memang dia hendak berjumpa sangat dengan hantu. Mengucap panjang kami bila mendengarnya.

Kami kalau boleh tidak mahu berjumpa benda-benda macam itu. Tetapi Azman, dia berharap sangat hendak bersemuka. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, kata Azman dia sudah bosan melayan ikan tilapia, baung, haruan dan sepat. Kali ini, dia hendak merasa layanan ikan toman.

Hari itu Azman, Mat dan Ajai sudah bersedia untuk meneruskan misi mereka mahu merasakan tentangan ‘ikan toman’. Segala peralatan dan kelengkapan memancing sudah disediakan. Dengan menunggang motosikal H-5, bergerak mereka bertiga menuju lokasi pilihan. Sepanjang perjalanan, banyak kawasan perumahan mereka tempoh. Kawasan perkampungan Orang Asli juga terpaksa dilalui oleh mereka. Walaupun berada dalam suasana perkampungan yang sama, namun baru kali ini mereka bertiga berhadapan dengan Orang Asli. Mereka berbalas senyuman pada Azman, Mat dan Ajoi bila berselisih seketika.

Dalam pengetahuan mereka, kawasan pilihan adalah berdekatan dengan Kem Bina Negara. Dan di situ juga menjadi kawasan tapak perkhemahan untuk orang ramai. Tetapi mereka mengikuti jalan pintas ke kawasan lombong berkenaan. Itulah kawasan pilihan mereka bertiga. Satu lombong tinggal yang jauh ke dalam hutan. Cuma orang-orang tertentu yang tahu adanya lombong itu.

Setelah meninggalkan kawasan penempatan Orang Asli, mereka bertiga masih meneruskan perjalanan. Akhirnya tekaan Azman memang benar. Mereka akan menemui kem berkenaan sebelum menuju ke lombong. Tetapi pada sangkaan mereka lombong itu tidaklah jauh sangat dengan kem. Apabila menempuhi satu lagi perjalanan membuatkan mereka rasa terlalu jauh. Tempat yang dijangkakan dekat menjadi seakan-akan terlalu jauh. Ini kerana mereka terpaksa menempuh laluan tanah merah dan lumpuh.

Azman, Mat dan Ajai terpaksa berhati-hati menunggang motosikal kerana takut tergelincir dan tersangkut dalam lumpur. Hampir tiga jam mereka bertiga menempuhi segala halang itu. Akhirnya sampai juga tempat yang dicari mereka.

Azman memandang persekitaran tepi lombong. Dia mencari tempat yang sesuai untuk melabuhkan umpannya nanti. Begitu juga dengan Mat dan Ajai. Masing-masing mencari tempat pilihan. Walaupun jarak masing-masing agak jauh namun masih dapat mendengar laungan mereka sesama mereka.

Setelah mencampakkan umpan ke dalam lombong. Azman melabuhkan punggung ke tanah. Sambil itu matanya memandang ke atas. Matahari hari hampir hilang dalam gumpalan awan dan sinarannya semakin kecil. Sudah jam 7 malam, bisik hati Azman. Lalu Azman melihat jam di tangan sendiri. Memang sudah lebih jam 7 malam. Azman amat berharap ada taman perumahan di sekitarnya.

Azhar memandang batang pancingnya yang tidak bergerak sejak awal tadi. Mustahil tidak ada ikan di sini, bisik hati kecilnya. Sikit pun tali pancing tidak bergerak, keluh Azman pula.

“Mat, kau ada dapat ke?” jerit Azman.

“Dapat, dapat tengok!” balas Mat.

“Ajai, kau macam mana?” tanya Azman.

“Aku pun sama, dapat tengok juga!” balas Ajai.

“Tapi kalau aku dapat, mestilah aku dulu yang menjerit, kau tahu!” balas Ajai lagi.

Ucapan itu membuatkan Azman tersenyum sinis sendirian. Jam di tangan menunjukkan waktu lebih 8 malam. Perut mula terasa lapar. Azman membuka bekalan yang dibawa.

Azman lahap makan kerana terlalu lapar. Tetapi matanya masih tidak lepas memandang pancingnya itu. Sejak tadi hanya ikan baung yang dapat dipancingnya. Empat ekor baung tumpas tetapi sekadar tidak lebih 200 gram seekor. Dalam leka dengan pancingnya, tiba-tiba Azman terdengar bunyi kayu ranting dipijak sesuatu. Lantas Azman menoleh ke belakang walaupun agak gelap di kawasan semak di sekitar lombong itu. Namun dengan cahaya bulan Azman masih boleh melihat kelibat Mat dan Ajoi. Azman tidak nampak sesiapa pun di situ . Kemudian Azman terdengar bunyi bising seketika di kawasan lombong seolah-olah ada orang berpesta di situ.

Tetapi kemudian suasana sunyi kembali seketika.

“Siapa pula yang datang berkhemah ni, kacau betullah” bentak hati kecil Azman.

“Abang mancing ikan apa,” suatu suara menegurnya.

Azman menoleh ke belakang. Dia terkejut. Seorang gadis berpakaian uniform pengakap berjalan menuju ke arahnya.

“Ada perkhemahan di sini ke?” tanya Azman.

“Abang tahu dalam lombong ini, banyak kuali buruk,” kata gadis itu tanpa menjawab pertanyaan Azman.

Azman terkejut bila tiba-tiba gadis itu melompat terjun ke dalam lombong di depan matanya. Azman mula merasakan lututnya longgar dan dia terasa kaku seketika. Namun dia masih sempat menjerit nama Mat dan Ajoi sebelum dia pengsan.

Selepas balik memancing hari itu, hampir seminggu Azman deman. Tetapi Azman tidak serik untuk meneruskan hobinya itu. Dan, memang betullah dia ‘hantu pancing’.



Sumber
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool