Hati Yang Terluka



Setelah lima tahun di perantauan, Azlan kembali ke tanahair. Terlalu banyak perubahan telah berlaku sepanjang ketiadaannya selama ini. Bumi Malaysia semakin bertahta di hatinya. Langkahnya lemah menuju ke balai berlepas. Pesawat yang dinaikinya tiba setengah jam lebih awal dari waktu yang telah dijadualkan.

“Azlan”, Azlan menoleh ke arah suara yang melaungkan namanya. Bibirnya terukir senyuman. Wajah kakak serta keluarganya kini sudah di depan mata. Mereka saling bersalaman dan berpelukan.

“Abah dan Mak mana?” tanya Azlan setelah menyedari ketiadaan dua insan yang teramat dirinduinya itu.

“Abah tak sihat sangat. Akak suruh mak dan abah tunggu kat rumah je. Jomlah,” jawab Azlia, kakaknya.

Perjalanan pulang ke rumah begitu lambat Azlan rasakan. Namun, melayani keletah anak saudaranya yang seramai dua orang itu sedikit sebanyak mengurangkan debarannya.

“Kali ni dah tak balik sana lagi, kan?” tanya Azlia. Azlan hanya tersenyum.

“Insyaallah. Azman dan Azli buat apa sekarang, kak?”

“Azman dah tahun akhir di UITM. Dia sambung degree lepas habis diploma dulu. Azli sudah setahun di USM. Semua ada tunggu kat rumah. Dah macam orang nak buat kenduri kat rumah tu,” cerita Azlia. Azlan semakin tidak sabar untuk tiba ke rumah.

Sejam kemudian, mereka tiba di rumah. Suasana agak meriah seperti yang dikatakan oleh kakaknya. Azman memeluk tubuh kedua orang tuanya. Lima tahun di negara orang jauh dari keluarga cukup menginsafkan Azlan. Selama ini dia kurang perihatin terhadap seisi keluarganya. Kini, setelah apa yang ditempuhi seorang diri selama lima tahun itu tidak akan diulanginya untuk peluang yang kini di depan mata.

**************

Midvalley Megamall agak sesak di hujung minggu ini. Azlan sendirian menyusuri ruang legar pusat membeli-belah besar itu. Langkahnya dihalakan menuju ke butik pakaian kanak-kanak Strawberry.

“Abang Azlan,” panggil seseorang. Azlan menoleh ke belakang. Seorang gadis manis bertudung bersama seorang teman perempuannya berdiri di hadapannya. Azlan tersenyum. Wajah manis itu tidak banyak berubah sepanjang lima tahun ini. Ayu dan bertambah cantik dengan penampilan bertudungnya ala gaya Wardina, artis kesukaannya.

“Ain. Apa khabar?” balas Azlan tenang. Tiada getaran dan debaran yang dilalui seperti lima tahun dulu. Sudah hilangkah segala rasa kasih sayang dan cinta di hatinya untuk gadis itu? Ke manakah hilangnya rindu dendam buat gadis itu selama ini?

“Alhamdulillah sihat. Bila abang balik sini?” tanya Ain sedikit teragak-agak.

“Dah lima hari abang balik. Hari ni baru keluar jalan-jalan. Ain buat apa sekarang ni?” jelas Azlan.

“Ain kerja di IGB. Kebetulan hari ni Ain cuti temankan kawan. Abang cuti lama ke?” sambut Ain.

“Tak. I’m back for good,” jawab Azlan pendek. Ain menoleh wajah temannya sebentar lalu mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.

“Ni kad Ain. Kalau abang sudi, telefonlah Ain.” Azlan menyambut sekeping kad nama yang dihulurkan oleh Ain.

“Insya Allah.”

“Ain pergi dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Azlan hanya memerhatikan Ain berlalu pergi sehingga hilang dari pandangannya. Azlan tersenyum sendiri. Untuk apa dia sendiri tidak pasti. Gembira? Ya, dia gembira bertemu semula gadis yang disayanginya dulu walaupun terpaksa menerima tentangan hebat dari Abah dan keluarga Ain. Rintangan itulah yang telah membawanya jauh dari keluarga dan pulang dengan kebanggaan keluarga. Dia berjaya di atas hati yang telah dilukai.

***************

Azlan duduk di kerusi meja makan. Ayah Ain, Pakcik Taza masih berdiri bercekak pinggang. Azlan jeling Abah yang sedang asyik menonton televisyen. Azlan tahu Abah bukan tidak mahu mempertahankannya cuma Abah malas nak melayan karenah lelaki itu.

“Kau jangan kurang ajar dengan aku. Bapa kau tak ajar ke macamana nak hormat dengan orang tua. Kenapa kau tak jawap apa aku tanya?” sergah orang tua itu. Bulat matanya merenung Azlan.

“Tadi pakcik juga yang cakap jangan cakap masa pakcik tengah cakap. Bila saya diam, pakcik marah pula. Saya memang tak hormatkan pakcik sebab pakcik sendiri memang tak pandai nak hormatkan orang. Datang menyerang rumah orang pukul dua belas malam, elok sangat ke?” balas Azlan lembut. Dia tahu api jika di simbah dengan minyak akan semakin bersemarak amarahnya.

Pakcik Taza kembali duduk. Tahu pula letih berdiri lama sangat, bisik Azlan di dalam hati. Dibiarkan saja orang tua itu membebel sendiri. Setelah puas meluahkan ketidakpuasan di hatinya, dia balik tanpa disuruh seperti mana dia datang tanpa diminta.

“Abah masuk tidur dulu,” akhirnya Abah bersuara. Azlan hanya merenungi wajah tenang Abah masuk ke biliknya. Azlan bersandar di kerusi. Hampir dua tahun perkenalannya dengan gadis bernama Ain Syuhada itu. Entah apa yang silapnya, ayah Ain seorang saja yang membantah perhubungan mereka. Ada saja yang tidak kena. Ini bukan kali pertama dia diserang oleh ayah Ain. Tidak kira siang dan malam.

Ugutan demi ugutan telah diterimanya. Namun, kerana kejujuran dan keikhlasan mereka masih meneruskan perhubungan dengan restu ibu Ain yang memahami keadaan mereka.

“Kau ada harta ke nak kahwin dengan anak aku? Kau ada rumah? Ada kereta? Boleh ke anak aku hidup senang kahwin dengan kau nanti?” kata-kata itu berbekas di hatinya sepanjang perhubungan mereka. Tapi, Azlan tahu Ain bukan begitu. Ain tidak pernah meminta-minta sepanjang mereka berkawan.

Barangkali kerana tidak tahan dengan keadaan itu, Abah berhasrat untuk berpindah ke rumah kakak. Abah malu apabila orang tua itu menyerang mereka sekeluarga. Jiran-jiran ramai yang memasang telinga. Tapi, sebenarnya mereka mengambil sikap bersiap sedia. Mereka almaklum dengan sikap panas baran ayah Ain.

**************

Setahun berlalu lagi menjadikan perhubungan itu bertambah usia. Ain sudah melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej di Bandar Bersejarah, Melaka. Ain mula menegur kerjayanya sebagai penyelia restoran ekslusif di sebuah hotel. Azlan turutkan juga tapi memerlukan masa untuk bertukar ke bidang lain.

Panas tidak selamanya ke petang. Turun hujan di tengahari menghancurkan segalanya. Permintaan Ain supaya datang ke Melaka ditunaikan demi orang yang disayangi. Diredah juga kerana Ain walaupun di bulan puasa.

“Ain minta maaf. Ain tahu Ain akan melukakan hati abang tapi Ain tak boleh tipu diri Ain sendiri,” luah Ain tenang ditemani seorang kawan perempuannya dan seorang lelaki. Azlan hanya memandang muka Ain.

“Apa maksud Ain?” soalnya pendek. Hilang rasa rindu di hati. Sedikit curiga mengambil tempat. Ain menoleh ke wajah lelaki di sisinya. Azlan turut mengalihkan pandangan ke wajah lelaki di hadapannya.

“Ain nak putuskan perhubungan kita. Ain dah jumpa orang lain,” terangnya.

Azlan hanya tersenyum sinis menyindir dirinya sendiri. Perkara yang paling ditakutinya sudah pun berlaku. Patutlah beria-ria Ain menyuruhnya datang ke Melaka ini sekadar ingin memberitahu berita duka ini.

“Ain pasti?” tanya Azlan cuba menduga. Ain mengangguk perlahan lalu menundukkan kepalanya. Diserahkan sebuah kotak kepada Azlan.

“Ain minta maaf,” ujar Ain seperti menahan sendu lalu meninggalkan Azlan sendirian tanpa sebarang pamitan. Azlan terkedu sendiri. Bermimpikah dia di siang hari ini? Di bulan Ramadhan yang mulia ini. Azlan tenung kotak berwarna kuning itu lama. Dibukanya perlahan. Semuanya barang yang pernah diberikan kepada Ain dahulu telah kembalikan semula kepadanya. Azlan kembali menutup kotak tersebut lalu beredar menuju ke perhentian bas.

Hilang seleranya untuk menikmati juadah berbuka puasa. Hilang kegembiraan di hatinya untuk berbuka puasa bersama Ain. Setelah membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur, Azlan singgah di restoran makanan segera yang berdekatan sementara menantikan waktu bas akan bertolak. Episod cintanya dengan Ain telah berakhir. Hatinya telah dilukai.

***************

Azlan tiba di rumah tepat jam dua pagi. Abah dan Azman sedang menonton televisyen siaran bola. Azlan terus kebilik lalu mencapai tuala dan asuk ke bilik air. Abah hanya melihat. Balik selewat itu adalah perkara biasa pada Abah. Tiada peliknya.

“Azlan! Azlan!” Terdengar namanya di laung lantang dari luar. Azlan keluar dari bilik air setelah mandi. Kelihatan ayah Ain berdiri bercekak pinggang di muka pintu.

“Mana telefon Ain? Kenapa ambik telefon tu dari dia? Kau ni tak habis-habis nak kacau anak aku,” marahnya.

“Pakcik, telefon tu Ain pulangkan balik pada saya sebab saya yang belikan. Lepas ni saya tak kacau anak pakcik dah. Kami dah putus. Itu yang pakcik nak, kan? Sekarang, pakcik jangan kacau kami sekeluarga lagi,” jelas Azlan tenang. Pakcik Taza semakin bengis.

“Anak kurang ajar!” tengkingnya kuat. Azlan hanya tersenyum sinis.

“Pakcik pergilah balik. Bersahur dengan keluarga pakcik. Kami pun nak bersahur ni,” lembut Azlan cuba memohon pengertian ayah Ain. Kepalanya makin berat dengan pemasalahan yang entah bila akan berakhir. Kerananya seorang, seluruh ahli keluarganya yang lain terpaksa turut terlibat sama.

Dengan dengusan kasar, akhirnya Pakcik Taza berlalu pergi. Azlan tahu di hati orang tua itu masih belum terpadam rasa dendam dan amarah.

“Azlan dari mana tadi ni?” Azlan menoleh apabila mendengar suara Emak bertanya. Barangkali gangguan dari ayah Ain tadi telah mengejutkan emaknya dari tidur.

“Dari Melaka. Jumpa Ain. Kami dah putus. Dia dah pulangkan semua barang pada Lan tadi. Dia dah ada orang lain,” padat dan ringkas keterangan yang Azlan berikan.

“Dari awal Abah dah cakap. Tak ke mana hubungan tu kalau ayah dia terus macam ni. Tak habis-habis nak menyerang. Malu pada jiran-jiran sini. Abah baru datang sekejap dah kena serang macam ni. Masa Abah tak ada, agaknya selalu pula dia datang menyerang,” tanpa diduga Azlan, Abah bersuara.

“Sudahlah tu. Tak yah nak mengungkit. Yang lepas tu biar jadi pengajaran. Mulai hari ini, buka azam baru. Bina hidup baru. Ramai lagi kat luar sana yang lebih baik dari yang kita pernah ada. Mak pun tak berkenan nak berbesan dengan orang yang macam tak ada agama macam tu. Belum kahwin lagi dah suka menyerang, esok kalau dah kahwin lagi senang nak menyerang,” nasihat Emak. Suasana tiba-tiba menjadi kelam dan sepi. Hanya kedengaran suara dari kaca televisyen.

“Lan ingat nak berhenti kerjalah, Mak, Abah,” tiba-tiba Azlan bersuara. Kakaknya yang baru bangun dari tidur termangu di kerusi meja makan.

“Kenapa nak berhenti kerja pula? Sekarangkan susah nak cari kerja,” sampuk kakaknya yang baru saja dikhabarkan berita apa yang telah berlaku sebentar tadi.

“Lan nak kerja dengan kawan Lan. Dia ada offer kerja dengan dia dekat Itali. Kalau Abah dan Mak izinkan, Lan nak pergi hujung tahun ni,” jelasnya.

“Buatlah apa yang terbaik. Asalkan Lan gembira,” sambut Abah tanpa Azlan duga. Selama ini Abah jarang memberi pendapat ataupun kata-kata yang memberansangkan dengan setiap apa yang dilakukannya.

“Terima kasih, Abah.” Keizinan dari Abah dan Emak lebih memberi makna padanya setelah apa yang berlaku. Azlan bertekad untuk membuktikan kata-kata ayah Ain salah. Perginya untuk mencari apa yang tidak dimilikinya.

***************

Sehari sebelum pemergiannya, Ain datang berjumpa dengannya. Wajah ayu itu sembab dihiasi air mata yang mengalir membasahi pipi.

“Abang betul-betul nak tinggalkan Ain? Abang tak kesiankan Ain,” tanyanya sayu dan sebak. Azlan hanya tersenyum. Teringat sejenak bagaimana Ain sengaja singgah di tempat kerjanya untuk menayangkan kekasih barunya setelah dibawa lelaki itu berjumpa dengan keluarganya.

“Abang nak cari pengalaman di tempat orang. Ain kan dah ada dia. Tak elok kalau dia tahu Ain jumpa abang macam ni. Nanti dia pikir abang nak larikan kekasih dia pula. Cukuplah ayah Ain kata abang macam-macam,” Azlan cuba bergurau menahan gelora di jiwanya.

“Tapi, Ain sayangkan abang,” rayunya lagi.

“Ain, abang selalu pesan pada Ain. Walau apa pun yang berlaku, hidup harus diteruskan. Abang tak mau Ain bersedih macam ni,” pujuk Azlan.

“Ain minta maaf. Ain tak bermaksud nak bertindak macam tu. Ain tahu Ain tipu diri Ain dan abang tapi Ain keliru,” luahnya. Berkerut dahi Azlan mendengar kata-kata Ain.

“Apa maksud Ain? Abang tak faham.”

“Ain minta maaf. Ain tak berniat nak lukakan hati abang. Ain keliru. Sebenarnya Ain cuma nak mainkan perasaan abang. Ain nak tengok sejauh mana kesungguhan abang pada Ain. Tapi, Ain tak sangka abang betul-betul turutkan kehendak Ain. Sudahnya Ain yang merana,” jelasnya. Azlan mengeluh perlahan. Kesal.

“Abang faham keadaan Ain cuma abang tak sangka Ain bertindak sampai begitu sekali. Abang maafkan Ain tapi abang tak mampu nak buat apa lagi. Esok abang akan berangkat. Apa yang abang nak, Ain ingat pesan abang. Belajar bersungguh-sungguh. Walau apa pun yang ayah Ain lakukan, jangan sekali-kali lukakan hati dia. Macamana teruk pun dia, dia tetap ayah kandung Ain. Wali yang sah. Abang akan doakan semoga Ain panjang umur dan bahagia di samping dia,” pesan Azlan tenang walaupun hatinya bagaikan dipagut dengan parang.

“Ain akan tunggu abang balik,” janjinya.

“Jangan, Ain. Jangan rosakkan masa depan Ain sebab nak tunggu abang. Abang sendiri tak pasti selama mana abang akan duduk di sana. Kita masing-masing ada tanggungjawab pada keluarga. Tunaikan kewajipan Ain sebagai anak. Insya Allah kalau ada jodoh kita jumpa lagi tapi abang nak Ain jangan terlalu mengharap. Kelak, ada di antara kita yang akan merana.”

Ain menundukkan kepalanya. Azlan tahu Ain menangis tapi lebih baik melukai hati Ain sekarang dari beberapa tahun yang belum pasti.

“Ain doakan abang selamat pergi dan selamat kembali,” ucapnya lalu meninggalkan Azlan sedirian di taman perumahan mereka. Itulah kali terakhir dia menemui Ain. Selepas itu, dia berangkat ke Itali dengan diiringi doa dan restu keluarga tercinta.

***************

“Assalamualaikum”, Azlan menoleh perlahan. Ceria wajahnya melihat wajah manis ayu bertudung berdiri di hadapannya.

“Waalaikumsalam”, Azlan menjemputnya duduk.

“Maaf, terlambat sikit. Bos buat short briefing tadi. Dah lama tunggu ke?” tanya si gadis penuh sopan. Azlan hanya tersenyum panjang memandang wajah yang tidak pernah menjemukannya itu. Debaran di dadanya tidak pernah hilang rupanya selama lima tahun ini. Alhamdulillah. Inilah berkat kejujuran dan keikhlasan sebenarnya.

“Abang tak pernah bosan kalau tunggu Ain. Lima tahun abang boleh tunggu takanlah setengah jam abang tak boleh tunggu. So, Ain nak makan apa? Spagetti lagi ke?” usik Azlan bahagia. Ain tersenyum.

“Abang tahu kan Ain suka makan apa. Ain tak payah cakap pun abang patutnya dah tahu,” balas Ain. Azlan melambai tangannya memanggil pelayan untuk mengambil pesanan.

“Dua spagetti ayam dan dua air strawberi mirinda”, Azlan memberi pesanan. Pelayan berlalu meninggalkan mereka.

“Ayah dan Mak sihat?” tanya Azlan cuba mengembalikan kemesraan setelah lama tidak bertentang mata.

“Alhamdulillah, sihat. Lepas operation bulan lepas, Ayah dah boleh jalan sikit-sikit. Mak pun dah mula berpencen bulan lepas. Mereka tanya bila abang nak datang rumah? Ayah dah lama tak jumpa abang.”

“Insya Allah. Kali ini abang datang bawa keluarga abang, boleh?”

“Apa pula tak bolehnya? Ajak satu kampung pun tak apa,” balas Ain cuba menyakatku pula.

“Insya Allah, kalau tak ada apa-apa hujung minggu ni abang sampai rumah Ain bersama angkatan rombongan dari kampung abang,” Azlan membalas usikan.

“Abang Azlan”, mereka berdua menoleh apabila nama Azlan dipanggil. Wajah Azlan tenang.

“Ain! Seorang saja ke?” tegur Azlan tanpa sebarang riak terkejut. Ain hanya mengangguk.

“Kenalkan, bakal tunang abang, Sharifah Ain Syazwana. Ini kawan lama abang, Ain Syuhada. Kebetulan pula, dua-dua nama Ain”, perkenal Azlan.

Mereka bersalaman. Ternyata wajah Ain Syuhada sedikit terkejut berbanding Sharifah Ain Syazwana yang tersenyum manis.

“Jemputlah duduk,” Sharifah Ain Syazwana menjemput. Ain Syuhada hanya menggeleng kepala.

“Tak apalah. Ain nak cepat. Ternampak abang kat sini tadi, saja tegur. Ain balik dulu. Assalamualaikum,” pintanya lalu bersalaman dengan Ain di hadapannya sebelum beredar begitu saja.

“Patutlah abang bawa diri sampai ke Itali,” luah Sharifah Ain Syazwana tenang dalam senyuman.

“Kenapa pula?” sambut Azlan kurang senang. Tiada riak cemburu pada wajah gadis kesayangan di hadapannya.

“Yelah, lawa orangnya. Abang tak menyesal ke tinggalkan dia dulu?” usik Ain ingin menduga.

Correction! Dia yang tinggalkan abang dulu. Tak dapat Ain dulu Ain sekarang pun apa kurangnya,” balas Azlan selamba. Sharifah Ain Syazwana hanya tersenyum. Dia tahu di hati Azlan telah hilang kasih untuk Ain Syuhada semenjak lima tahun dahulu. Semenjak bumi Itali menemukan mereka setelah hati mereka dilukai.

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool