Janji Maisarah



Tak ada apa yang diperlukan dalam hidup ini. Cukuplah sekadar dapat makan dan pakai. Itu sudah memadai. Namun jika tiada kasih sayang bagaimana pula ceritanya. Lengkapkah sebuah kehidupan tanpa kasih sayang? Apa yang pasti setiap kehidupan di muka bumi ini memerlukan kasih dan sayang.

Sedar tak sedar hampir lima tahun Maisarah merantau. Membawa diri yang kecewa akibat ditinggalkan yang tersayang. Perginya tak akan kembali lagi. Dan Maisarah harus akur dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan untuknya. Lima tahun itu bukanlah satu jangka masa yang panjang. Buktinya, Maisarah masih tidak mampu untuk melupakan insan yang tersayang.

Pemergiannya membuatkan jiwa Maisarah tertekan dan kecewa. Bukannya tidak ada yang sudi untuk mengisi kekosongan di hati, namun cintanya hanya satu. Hanya untuk Ashraf, lelaki yang pernah menjadi tunangannya di suatu waktu dulu. Kalau ada pun, mungkin hanya Bakhtiar yang dapat merubah segalanya.

Namun sudah lama Bakhtiar membuang diri Maisarah jauh setelah mengetahui Maisarah adalah tunangan orang. Dan, semenjak itulah Maisarah sering makan hati dengan sikap Bakhtiar. Berita tentang kematian Ashraf pun Baktiar tidak mengetahuinya. Malahan teman karibnya sendiri pun tidak mengetahui berita itu. Bukannya apa, Maisarah terlalu makan hati dengan sikap mereka. Dan yang pasti, perkara itu telah terbongkar sebaik saja dia melangkah kaki masuk ke balai berlepas.

“Mai, aku tahu aku yang bersalah. Aku tak sepatutnya menghukum kau hanya kerana kau tunangan orang. Tolonglah Mai, maafkan lah aku!” Lima tahun dulu Bakhtiar pernah mengungkapkan kata-kata itu. Terlalu mudah Bakhtiar mengungkapkan kata-kata maaf. Maisarah hanya diam. Dia tidak terlalu menyalahkan Bakhtiar, dia sendiri juga ada salahnya. Merahsiakan yang dia telah pun menjadi milik orang.
Maisarah mengeluh mengimbau kembali kenangan silam memang memeritkan. Dan esok bakal menentukan sama ada kepulangannya akan diterima oleh semua orang.

“Mai, dah lama tak nampak kau. Lain benar rasanya…” Atikah memeluk Maisarah. Segala kerinduannya terhadap gadis itu terlerai sudah.
“Mai.. Mai.. Kau bawa diri lama sangat. Rindu tau!” Atikah masih lagi mengomel. Suka benar apabila sahabat karibnya itu sudah kembali. “Kau dah lupakan tanah air ke, Mai?” Atikah masih lagi bersuara. “Hebat sangat ke Paris tu?” “Engkau ni Ka, bagila aku salam ngan famili aku dulu. Kau ingat kau je yang rindu kat aku? Abih famili aku ni nak campak kat mana?” Maisarah meradang manja. Hari yang begitu menggembirakan Maisarah. Semua orang dirinduinya ada. Bakhtiar pun ada. Tapi Bakhtiar hanya memandangnya dari jauh. Tidak pula lelaki itu mendekatinya. Malu agaknya. Kalau tak pun takut isterinya cemburu. Si Atikah ni kalau cemburu, susah dibuatnya. Duga Maisarah di dalam hati. Namun hanya seorang yang tidak menjemputnya hari itu… Ashraf. Bukankah Ashraf telah meninggal dunia enam tahun yang lepas? Maisarah cuba melindungi mendung yang menyelubungi dirinya. Khuatir akan merosakkan suasana yang gembira itu. Yang pastinya… pulang ke tanah air mengembalikan memori silam yang tak mungkin dapat dilupakan olehnya…..

“Macam mana kau sekarang? Lama betul aku tak dengar berita dari kau.” “Engkau yang menghilangkan diri. Cerita pasal Ashraf pun aku dapat tahu masa kat airport. Teruk la kau ni. Ada masalah pun tak nak bagi tau member,” Atikah melepaskan geram. “Dah la tu Ka. Benda dah lepas. Dah enam tahun Ashraf meninggalkan aku. Selama itulah aku terasakan pemergiannya.” “Sudahla tu Mai, kau juga yang mengingatkan aku tadi. Benda yang lepas tu, biarla lepas. Tak payah nak ingat-ingat lagi. Bukan kau sorang saja yang rasa kehilangan dia. Semua orang rasa dengan pemergian dia. Lebih-lebih lagi famili dia. Lagi pun dia kan anak sulung. Tentu semua harapan famili, disandarkan pada dia.”

“Dah, jangan nak berceramah pula kat sini,” Maisarah mematikan kata-kata Atikah. Tak boleh dibiarkan nanti lagi panjang leterannya.
“Mana laki kau? Aku tak nampak pun. Takkan malu ngan aku kut? Tak pun kau tak bagi dia keluar. Takut terpikat kat aku.” “Jangan nak perasanla. Laki aku kerja, seminggu out station.” “Habis yang datang kat airport hari tu sapa. Bukan laki kau ke?” “Sapa? Bakhtiar? Please. Laki aku lebih handsome dari si Bakhtiar tu…” Maisarah terlopong. “Habis kalau bukan Bakhtiar..?”

Jodoh

Sudah, mati-mati dia ingatkan Atikah berkahwin dengan Bakhtiar. Sebab itulah dia berani pulang ke Malaysia. Kalaulah dia tahu cerita yang sebenarnya……

“Saya akan berkahwin bila umur dah mencapai dua puluh lapan tahun. Lagi pun apa yang diinginkan oleh saya belum tercapai lagi. Banyak benda yang perlu saya buat sebelum berkahwin. Tapi kalau dah jodoh saya kawin awal apa boleh saya buat. Mana la tau, jodoh saya dengan awak ke?” jelas lagi kata-kata Bakhtiar suatu masa dulu. Dan nyata sekali Bakhtiar membuktikan kata-katanya adalah benar. Sehingga sekarang pun Bakhtiar masih belum mendirikan rumahtangga. Apa lagi yang dia tunggu. Semuanya dah cukup. Rumah besar dah ada, kereta besar pun ada. Tak pun Bakhtiar mencari isteri yang besar juga? Barulah padan dengan keadaannya yang serba-serbi besar. Maisarah hanya menduga….

“Mai… saya tahu, saya bersalah dulu. Tapi Mai, tu kan cerita lama. Takkan awak masih belum memaafkan saya lagi? Saya tahu…. saya sering menyakitkan hati awak. Walaupun pada masa tu awak sudah kehilangan Ashraf, saya masih lagi menyakitkan hati awak. Tapi, awak pun bersalah juga Mai. Kenapa tak bagi tahu tentang kematian Ashraf kepada kami. Kalau tak, tak mungkin saya akan terus menyakitkan hati awak sehingga awak membawa diri.” “Dah la Bad. Kematiannya bukannya pesta untuk diheboh-hebohkan. Masa tu awak
pun tengah bencikan saya. Tak guna juga kalau saya bagitau pada awak. Bukannya awak boleh kembalikan Ashraf pada saya. Mungkin juga awak akan bersorak riang masa tu, ye la… dapat melihat kesedihan saya.”

“Mai, awak salah tu. Dari mula saya kenal awak, hinggala sekarang, perangai awak masih tak berubah. Suka sangat merendahkan diri. Sebenar saya tak marahkan awak pada masa tu. Cuma saya marahkan diri saya sendiri. Menyukai seseorang yang tak mungkin akan menjadi milik saya. “Marahkan keadaan yang tak menemukan saya sebelum Ashraf bertemu dengan awak. Kalau tak, pada masa tu tentu saya dah bahagia dengan awak. Tapi masih belum terlambatkan? Mai… saya betul-betul ikhlas terhadap awak. Saya tak hiraukan siapa awak pada masa dulu. Yang saya tahu, perasaan saya pada awak masih sama macam dulu. Saya sayangkan awak Mai.”

Panjang betul berbualannya dengan Bakhtiar lewat petang itu. Tersentuh hati Maisarah mendengar penjelasan daripada Bakhtiar. Perasaannya terhadap Bakhtiar tetap sama. Sama seperti dia mula-mula bertemu dengan pemuda itu. Dan semakin subur.

Bakhtiarlah lelaki kedua yang telah berjaya membuka pintu hatinya selepas Ashraf. Walaupun pada masa itu dia sudah pun bertunang dengan Ashraf. Pertemuannya dengan Bakhtiar telah membuka matanya. Bukanlah Ashraf seorang yang saja yang sempurna di dunia ini. Dan semakin banyak perkara yang boleh diperbandingkan antara Ashraf dan Bakhtiar.

Derita

Sejak itulah dia menjadi seorang kekasih dan tunang orang dalam satu masa. Namun setelah kematian Ashraf, barulah dia menyedari Ashraflah yang benar-benar berada di dalam hatinya. Dan apa yang dia dapat dari sebuah kecurangan ialah penderitaan yang mungkin tiada penghujungnya.

“Mai.. Mak bukannya apa, kamu tu semakin hari semakin tua. Bukannya semakin muda. Entahkan esok, entahkan lusa mak tutup mata. Teringin mak nak tengok kau naik pelamin. Si Bakhtiar tu, sejak kamu pergi ke Paris, tiap-tiap hari dia datang bertanyakan khabar kamu. Mak tahu, selain Ashraf dialah yang paling layak untuk dibuat menantu. Baik, berbudi bahasa, pandai ambil hati orang tua, berkedudukan.

“Apa lagi yang kamu mahu? Dah la tu Mai.. Yang pergi tu tak kan kembali. Biarlah arwah Ashraf bersemadi dengan tenang.”

“Entahla mak, Mai keliru dengan perasaan Mai sendiri. Rasanya baru semalam Mai bersembang dengan Ashraf. Terdengar lagi suaranya yang beria-ia benar nak kan baju pengantin warna putih. Padahal dia cukup tak suka dengan warna tu. Tup-tup dia dah tak de… Mai betul-betul rasa kehilangan. Kalau la Mai tak berdegil suruh dia tukarkan baju tu, tak kan semua ni terjadi kan mak?”

“Bukan salah kamu Mai, dah takdir yang menentukan macam tu, kalau tak disebabkan kemalangan pun, kalau dah ajal, apa yang boleh kita buat. Tu semua hanya penyebab saja. Kan ke jodoh, pertemuaan dan perpisahan Dia yang tentukan. Kita tak ada hak untuk menghalangNya. Dah bukan jodoh kamu dengan Ashraf.”

Maisarah menghela nafas panjang. Berat benar permintaan emaknya itu. Bukan dia tak mahu menerima Bakhtiar, tapi dia takut untuk kecewa lagi. Takut kalau-kalau impian tidak kesampaian. Takut untuk menerima kenyataan, kalau-kalau orang yang tersayang hilang buat kali kedua. Khuatir kalau-kalau dia akan melukakan lagi hati Bakhtiar. Apa lagi yang boleh dia buat….?

Pilihan

“Mai, ikhlaskah awak menerima saya? Saya tak mahu atas desakan keluarga, awak mengorbankan masa depan awak. Saya tak kisah kalau bukan saya yang awak pilih kali ini, umur dah semakin meningkat Mai. Dan saya dah boleh mengawal perasaan supaya jangan terlalu emosional kalau bukan saya yang awak pilih.” “Sebab masa dah terlalu banyak terbuanglah, saya menerima awak. Ikhlas Bad,
saya tak mahu lagi jadi budak-budak. Merajuk dan bawa diri jauh. Sedangkan, tak ada apa yang saya dapat melainkan kesorangan.

“Dulu saya pernah bagitau awak, saya akan menerima orang yang sanggup menerima saya dengan seadanya. Dan awaklah orang itu, Bad. Orang yang sanggup menerima saya, walaupun dah tahu tentang kisah silam saya. Sepatutnya saya berterima kasih dengan awak, kerana sudi menerima saya. Setelah apa yang telah saya lakukan pada awak.”

Dan itulah kesudahannya. Mungkin dengan menerima Bakhtiar untuk menjadi temannya sehidup semati adalah satu jalan yang paling baik. Maisarah tersenyum puas. Segala impian Ashraf yang belum terlaksana akan dilakukannya pada majlis perkahwinannya dengan Bakhtiar nanti. Mujurlah Bakhtiar tidak banyak soal. Dan dia pasti, tentu lelaki itu faham dengan hasratnya itu.

Bahagia

“Betulke awak tak kisah ni, honey? Tak nak la nanti awak buat muka masa majlis tu. Nanti dalam gambar muka cam cipan.”
“Saya tak kisah la darling, asalkan awak sanggup jadi isteri saya. Saya dah rasa bahagia yang teramat sangat.”

Bahagianya saat itu. Terasa bagaikan Ashraf telah kembali. Membawa cahaya yang begitu terang dalam hidupnya. Perwatakan Bakhtiar yang mirip Ashraf, kelakar dan mengambil berat. Namun kegigihan Bakhtiar untuk mencapai kesenangan tidak ada pada Ashraf.
Ashraf mudah berpuas hati dengan apa yang telah dikecapinya. Tidak pernah berusaha untuk mencapai yang terbaik. Mengingati Ashraf bagaikan menjerut diri sendiri. Dan dia mengakui, terlalu sukar untuk melupakan Ashraf walaupun Bakhtiar di sisi.

Berdebar-bedar menanti hari bersejarah. Di mana dia akan diijabkabulkan untuk menjadi isteri Bakhtiar yang sah. Bukan dengan Ashraf seperti mana yang pernah dia angan-angankan dulu. Yang paling gembira tentulah emaknya. Sibuk benar orang tua itu. Maklumlah untuk menyambut menantu yang pertama. Semuanya diatur rapi agar tidak ada yang terkecuali.

Mengenangkan Ashraf umpama menyekat dirinya daripada bermenantu. Melihatkan Bakhtiar, seolah-olah lelaki itulah yang akan membawa kebahagiaan di dalam hidup anak perempuannya. Apa yang penting, kebahagiannya anakya itulah yang paling diharapkan.

“Mai, kamu dah pergi ambil tempahan baju tu ke? Nanti esok kelam kabut. Orang pulak dah ramai.”

“Belum mak. Tengah tunggu Bad call, dia cakap nak pergi ambil sama. Sampai sekarang tak call lagi pun. Kalau tak pun, Mai pergi ambil sendiri.” “Kalau ya pun telepon Bad tu. Tanya dia betul-betul. Kamu tu dah nak jadi bini dia. Kena berlatih, minta izin ke..”

Geram betul hati Maisarah, dia paling tidak suka kalau janji yang dibuat tidak ditepati. Bukannya dia tidak tahu, Bakhtiar mempunyai banyak kerja untuk dibuat. Tambahan pula untuk menguruskan segalanya. Bukannya Bakhtiar tidak mahu pergi bersama. Cuma minta ditangguhkan ke malam hari. Itu pun sudah cukup untuk membuatkan Maisarah marah. Dia sendiri pun tidak faham dengan emosinya hari itu. Cepat saja naik angin. Mungkin gemuruh agaknya. Dan dalam kemarahan Miasarah bertekad untuk pergi tanpa ditemankan oleh Bakhtiar.

“Mak cik, Mai dah balik? Dari tadi saya call handphone dia. Tutup pulak. Risau saya dibuatnya.”

“Belum Bad, mak cik pun tengah tunggu dia. Dari tadi keluar, sampai sekarang tak balik-balik. Dia merajuk dengan kamu agaknya tu. Jap lagi sejuk, balik la tu.”

“Tak pela mak cik, kalau dia balik suruh dia call saya.” Talian di sana telah terputus. Puan Mardiah meletakkan ganggang telepon sambil mengintai ke luar kalau-kalau anaknya itu telah pulang.

Milik

“Mai, sanggup tak Mai sehidup semati dengan B?”

“Kenapa B tanya Mai macamtu? B tak percayakan Mai ke?”

“Bukan macam tu Mai, B percayakan Mai, cuma… B tak sanggup Mai menjadi milik orang. Tak sanggup rasanya melihat Mai berada dalam pelukan orang lain.”

“Ala, kalau B dah mati, B bukannya boleh nampak lagi.”

“Sapa cakap, roh B boleh nampak tau, nanti B jadi antu yang baik. B akan jaga Mai sambil B jadi antu.”

“Mulut B ni cabul la…” Bahagianya saat itu, bersama-sama dengan Ashraf memang membuatkan dia berada di awang-awangan. Lelaki itu terlalu memanjakan dirinya. Panggilan ‘B’ adalah singkatan dari Hubby yang bermaksud kekasihku. Dan dia pasti Ashraf selesa dengan panggilan itu.

“Mai… Kalau B mati dulu, macam mana?”

“B, yang cabul sangat ni apasal? Dah nak mati sangat ke?”

“Orang tanya je.. Itu pun nak marah. Emosional sangat isteri orang ni.”

“Oops.. salah tu. Orang belum jadi isteri dia lagi. Perasan betul. B, kalau B dah tak de, Mai pun tak nak tinggal kat dunia ni. Kalau Mai tak boleh pergi sama B, Mai pegi la kemudian. Janji kita boleh sehidup-semati. Mai tak tau macam mana kehidupan Mai bila B tak de. Mai janji B, Bje yang ada dalam hati Mai…”

Semuanya gelap. Kenangan-kenangan silam bersama dengan Ashraf semakin pudar. Maisarah tidak inginkan semua itu berlaku. Tidak mahu kenangan bersama Ashraf padam begitu saja. Biarlah kenangan itu terus subur di dalam ingatannya. Biarlah. Namun, semuanya semakin kabur dan terus menghilang. Dan, Maisarah terkulai dalam kerinduannya terhadap Ashraf.

“Mai, kenapa awak buat macam ni pada saya? Awak dah berjanji tak akan mengecewakan saya lagi, mana janji-janji awak tu? Mai, kalau pun awak marahkan sangat saya, tolonglah jangan hukum saya macam ni. Takkan sebab tak temankan awak pergi ambil baju tu awak buat macam ni? Mai, tolonglah. Jangan buat saya macam ni. Tolonglah Mai. Please, Mai…” Bakhtiar sudah tidak dapat menahan kesedihannya. Harapannya hancur berkecai..

“Sudahlah Bad. Bukan jodoh kamu dengan dia. Relakanlah pemergiaannya.”

Suasana begitu muram sekali. Sana sini kelihatan raut wajah yang kesedihan. Sepatutnya hari yang bahagia itu disambut dengan suasana yang riang, tapi kini telah menjadi satu mimpi ngeri bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Kelihatan Bakhtiar masih lagi meratapi pemergian Maisarah. Mengharapkan agar gadis itu kembali ke sisinya. Meneruskan apa yang diimpikan bersama. Namun hampa. Yang tinggal hanyalah kenangan, tak mungkin Maisarah akan kembali.

would you know my name
if i saw you in heaven
would you feel the same
if i saw you in heaven
i must be strong and carry on
cause i know i don’t belong here
in heaven
would you hold my hand
if i saw you in heaven
would you help me stand
if i saw you in heaven
i’ll find my way through night and day
cause i know i just can’t stay here
in heaven

Maisarah terlibat dalam kemalangan. Dan kemalangan itu jugalah yang telah menyebabkan kematian Maisarah. Tarikh dan tempatnya adalah sama dengan tarikh dan tempat di mana telah meragut nyawa Ashraf dulu. Bakhtiar masih belum puas menyalahkan dirinya lagi. Membuat andaian kiranya dia yang menemankan Maisarah, tentu semua itu tidak akan terjadi. Seperti mana Maisarah menyalahkan dirinya dulu, menyebabkan kematihan Ashraf. Nyata cinta mereka unggul. Sehidup dan semati. Cuma, Ashraf yang pergi dulu dan kemudian diikuti oleh Maisarah. Dulu Maisarah kehilangan Ashraf di majlis perkahwinan mereka dan kini Bakhtiar pula kehilangan
Maisarah di hari yang sama. Cuma tahunnya saja yang berlainan. Mungkin juga pemergian Maisarah untuk menunaikan janjinya yang telah dibuat bersama dengan Ashraf dulu.

“Mai, sanggupkah Mai berjanji yang kita akan sehidup semati?”

“Mai berjanji B, Mai akan tetap bersama walau dalam apa keadaan sekali pun. Kalau B yang pergi dulu, Mai pun tak ingin hidup lagi. Mai mahu teru bersama dengan B. Tak ada apa yang dapat memisahkan kita. Hanya maut yang menentukan segalanya…….”

al-Fatihah

—-TAMAT—-”

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool