Sahabat Sahabat Setia



Dongeng si kecil

Pada zaman dahulu, di negeri Mexico, tinggal tiga beradik lelaki. Di antara tiga beradik ini, adik yang bungsulah yang paling tampan. Nania Freko. Dia mempunyai sepasang mata biru, berambut hitam, berbadan tinggi dan tegap. Oleh kerana itu, kedua abangnya berasa irihati terhadap Freko.
Pada suatu hari, abang-abang Freko berpakat hendak mencederakan Freko. Dengan berbuat demikian, Freko tidak akan kelihatan tampan lagi. Lalu mereka mengajak Freko pergi berburu. Sebelum mereka pergi, ibu mereka membekalkan mereka sebuku roti dan sebotol air tiap seorang.
Ketiga beradik itu pun berjalanlah menuju ke hutan. Setelah lama berjalan dan malam pun menjelang, mereka berhenti untuk melepaskan penat di bawah sepohon pokok yang rendang.
Oleh kerana terlalu penat, si Freko terus tertidur dengan nyenyaknya. Ketika Freko tidur, abang-abangnya mencuri dan memakan bekalannya. Pagi esoknya ketika dia terjaga dari tidur Freko merasa begitu lapar. Dia mencari makanannya tetapi dia tidak berjumpa. Hal ini amat mengejutkannya sehingga dia terpaksa mengadu kepada abang-abangnya tentang makanannya yang hilang.
"Pandai kamu hendak menipu kami," marah si abang sulung.
"Sekarang ini tentu kamu mahu sebahagian daripada roti kami," kata si abangnya yang tengah pula.
Freko hanya mendiamkan dirinya. Dia tahu abang-abangnyalah yang menghabiskan bekalannya. Freko duduk bersendirian mengenangkan nasibnya.
Matahari semakin memancar dengan teriknya. Dia betul-betul merasa lapar dan dahaga. Kemudian Freko menghampiri abangnya, dengan perlahan dia berkata "abang kasihanilah saya. Berikanlah saya sedikit makanan dan air," pintanya bersungguh-sungguh.
"Baiklah, tapi kamu mestilah membayarnya dengan mata dan kaki kamu," kata kedua-dua abangnya dengan keras.
Oleh kerana terlalu lapar, Freko terpaksa bersetuju dengan syarat itu. Maka butalah matanya dan kedua belah kakinya patah. Freko menangis menahan kesakitan yang amat sangat. Abangnya hanya memberikan sedikit sahaja roti kepadanya dan terus berlalu pergi dari situ.
Tinggalah Freko seorang diri. Hendak berjalan kakinya sudah patah manakala matanya pula buta. Dia cuma boleh menangis sahaja. Sedang dia menangis, tiba-tiba dia terdengar dua ekor burung bercakap-cakap.
"Burung tua, mengapa engkau membawa aku ke tempat yang tidak menarik ini?" tanya kawannya.
"Wahai anak burung, di sinilah terletaknya beberapa benda yang berhikmat," jawab burung tua pula. "Embun malam di sini boleh menyembuhkan mata yang buta manakala air telaga di bawah sana boleh menyembuhkan tulang-tulang yang patah. Mari, mari, ikut aku ke telaga itu supaya kaki kau yang patah dipulihkan."
Kedua-dua ekor burung itupun terbang dari situ. Freko sungguh gembira mendengar kata-kata burung tersebut. Dia pun menunggu malam tiba supaya dia dapat membasuh matanya dengan embun malam.
Pada malam itu, Freko membasahkan tapak tangannya dengan embun yang bertakung pada daun-daun rumput. Kemudian dia menggosok-gosokkan tapak tangannya yang basah dengan air embun ke kedua belah matanya. Setelah membasahkan kedua belah matanya itu, Freko pun dapatlah melihat semula.
Selepas itu, dengan perasaan gembira Freko merangkak ke tepi telaga. Dia membasahkan kedua belah kakinya dengan air telaga itu dan kakinya pun sembuh seperti biasa. Freko merasa sungguh gembira.
Dia mengambil sedikit daripada air telaga itu dan memasukkan ke dalam botol untuk bekalnya. Keesokan paginya, Freko bertemu Raja Serigala yang sedang berjalan berdengkut.
"Marilah ke sini. Biar hamba sapukan sedikit air itu pada kaki kamu," kata Freko. Setelah dia menyapu air pada kaki Raja Serigala, ia pun boleh berjalan seperti biasa.
"Jika kamu perlukan pertolongan aku kelak, sebutkan saja namaku," kata Raja Serigala, sebagai tanda berterima-kasih. Kemudian dia pergi dari situ. Tidak berapa lama kemudian, Freko bertemu pula dengan Raja Tikus. Kakinya berbalut dan dia berjalan dengan tongkat.
"Marilah ke sini. Biar hamba sapukan sedikit air pada kaki kamu," Freko berkata. Setelah air itu disapukan, Raja Tikus pun bolehlah berlari seperti biasa. "Terima kasih orang muda. Kita akan bertemu kembali," Raja Tikus berkata sambil berlari masuk ke dalam hutan.
Setelah lama berjalan, Freko berjumpa pula dengan Puteri Lebah yang sedang menangis. Sayap kirinya telah patah. "Janganlah menangis, Puteri Lebah. Biarlah hamba sapukan sedikit air ini," Freko memujuk Puteri Lebah. Setelah disapu dengan air sayap Puteri Lebah pulih seperti biasa.
Dengan gembira Puteri Lebah berkata, "kita akan bertemu sekali lagi." la terus terbang dari situ. Freko terus berjalan dengan senang hati. Akhirnya dia tiba di suatu negeri. Dia pergi mengadap Raja negeri itu untuk memohon pekerjaan. Freko tidak tahu bahawa kedua-dua abangnya telah menjadi penasihat Raja.
Apabila dilihat oleh abang-abangnya, mereka berbohong kepada Raja. Mereka memberitahu Raja yang Freko adalah seorang tukang sihir yang jahat dan bertujuan untuk melarikan tuan puteri.
Mendengar kata-kata abang Freko Raja menjadi sangat marah. Walaupun demikian Raja takut untuk menghalau Freko kerana takut ilmu sihir Freko akan menyumpah rakyatnya. Akhirnya Raja meminta nasihat daripada abang-abang Freko.

"Apa yang patut beta buat?" tanya Raja risau.
"Cubalah tuanku uji kehandalannya. Jika dia tidak boleh menunjukkan kehandalannya bolehlah dia digantung," jawab abang-abang Freko. Mereka tahu Freko tidak ada apa-apa kehandalan sebab itulah mereka berani menyuruh raja berbuat demikian.

"Wahai Ahli Sihir," Raja bertitah. "Cubalah kamu tunjukkan kehandalan kamu. Beta mahukan sebuah istana yang indah daripada istana ini disiapkan pada pagi esok. Kalau tidak, kamu akan dibunuh."
Freko sangat susah hati. Dia duduk termenung kerana dia memang tidak dapat menyiapkan istana dan dia akan mati pada esok hari. Sedang dia termenung Puteri Lebah muncul tiba-tiba. "Janganlah kamu bersedih hati Freko. Pergilah kamu berehat. Pagi esok kamu jemputlah Raja ke tempat ini," kata Puteri Lebah lembut.
Malam itu, Puteri Lebah mengumpulkan semua lebah yang ada. Mereka bekerja sama-sama, mencari kelopak-kelopak bunga untuk membina sebuah istana yang cantik. Pagi esoknya, Freko pergi ke istana Raja. Raja dan rakyatnya pergi bersama Freko ke suatu tempat. Alangkah terperanjatnya mereka, sebuah istana indah dan dibuat dari kelopak-kelopak bunga yang cantik.
Kedua-dua abang Freko menjadi marah. Mereka mendesak Raja menguji Freko sekali lagi. "Kamu akan beta lepaskan jika kamu tunjukkan kehandalanmu sekali lagi," kata Raja. "Pagi esok, beta mahu lihat semua padi yang sudah masak dihimpun di hadapan istana beta. Kalau kamu gagal, kamu akan beta bunuh.

Sekali lagi Freko bersedih. Dia berfikir tentu dia dibunuh pagi esoknya. Tiba-tiba Raja Tikus muncul di hadapannya.
Pergilah kamu berehat. "Jangan susah hati, Freko. Pagi esok bangunkan Raja awal-awal dan suruh dia lihat di hadapan istananya," kata Raja Tikus. Kemudian Raja Tikus berlalu dari situ.
Pada malam itu, Raja Tikus memanggil semua tikus yang ada. Mereka mengumpulkan padi yang masak beramai-ramai. Setelah selesai, jadilah tiga himpun padi yang berwarna keemasan.
Pagi esoknya, Raja dan rakyatnya terperanjat melihat himpunan padi itu. Namun begitu abang-abang Freko masih belum puas hati. Mereka terus menghasut raja untuk menguji kehandalan Freko.

"Wahai Ahli Sihir, kamu mestilah menunjukkan kehandalanmu sekali lagi di depan rakyat jelata semua. Jika kali ini kamu gagal, kamu akan dibunuh," kata Raja tegas." Cubalah kamu panggil semua serigala yang ada di negeri ini."
Semua orang ketawa. Mereka tahu Freko tidak boleh memanggil semua serigala dalam negeri ini. Tetapi Freko dengan serta merta teringatkan pesan Raja Serigala yang ditolong dulu. Dia pun berteriaklah dengan sekuat hatinya. "Tiba-tiba sahaja muncullah Raja Serigala. Raja dan rakyatnya tercengang melihat Raja Serigala berjalan perlahan-lahan ke arah Freko.
"Panggilah semua rakyatmu," Freko berkata kepada Raja Serigala. Raja Serigala pun menyalak. Ketika itu juga keluarlah beratus-ratus ekor serigala dari seluruh pelusuk negeri itu. Raja dan abang-abang Freko ketakutan. Mereka segera lari dari situ. Tetapi nasib mereka malang. Serigala-serigala itu menangkap mereka dan memakan mereka.
Akhirnya, Freko berkahwin dengan Tuan Puteri dan menjadi Raja di negeri itu.

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool