Terhangat Di Pasaran - Episod 2



Pagi masih terlalu awal untuk menyambut ketibaan mentari. Sharifah mengintai sejenak menerusi pintu bilik. Tina sedang terbongkang di atas katil ditemani sebuah majalah hiburan memaparkan empat orang peserta Terhangat di Pasaran sebagai cover. Dia menggeleng-gelengkan kepala kesal. Hampir tujuh kali dia kejutkan kawannya itu supaya bangkit menunaikan solat subuh, tetapi keputusannya tetap sama. Tina terus tidur nyenyak menggomoli bantal dan teddy bear tanpa menghiraukan tanggungjawabnya menyembah kepada yang Maha Esa.

Sharifah singgah ke ruang tamu. Dia menghidupkan kaca tv. Menonton siaran Malaysia Hari Esok. Sambil menghirup air koko yang baru dibancuhnya, terkebil-kebil matanya menatap kepetahan perantara rancangan, Baby Fana sedang menemuramah dua orang tetamu, yang segera pula dikenali sebagai Azlan dan Ashraf. Ceria sekali dua jejaka reality tv tersohor itu menjawab soalan Baby Fana, ditambah dengan lagak selamba mereka menjawab soalan-soalan dari talian telefon.

Dalam hati Sharifah berdetik; jika Tina tahu bahawa jejaka pujaannya sedang muncul secara langsung di kaca tv, tentu melompat terus gadis itu dari peraduannya, tergopoh-gapah hendak menghadap television. Dan hakikat itu sangat membimbangkan Sharifah. Dia bimbang dengan kesanggupan seorang manusia mengetepikan keletihan semata-mata mahu mengikuti rancangan tv, tetapi jika ia berkaitan kewajipan dan tuntutan terhadap Illahi, manusia akan bermalas-malas dan sedaya mungkin cuba untuk melengahkannya.

Dalam konteks ini, ia berkait rapat dengan akidah. Yang mana satukah lebih besar di hati kita? Adakah Tuhan yang menciptakan sekalian manusia ataupun makhluk yang serba lemah itu? Ah, kadangkala kita cepat melenting jika ada orang mempertikaikan kesahihan iman dan islam kita, tetapi sebenarnya perbuatan kita sedang menjurus ke arah itu.
“Ok.. sekarang saya nak tanya pada Azlan..” potong Baby Fana bijak, mencantas percakapan Ashraf tadi yang kedengarannya terlalu meleret-leret, panjang tetapi kosong. Ashraf masih mahu menyambung kata-katanya tetapi apabila menyaksikan Baby Fana tidak lagi menumpukan perhatian kepadanya, dia menjadi malu sendiri.
“Ok Azlan..saya ada soalan cepu mas untuk awak..” ujar Baby kepada jejaka berbaju jarang dan berambut ala-ala hero filem hong kong, di sebelahnya.
Azlan senyum ‘control’ sambil membetulkan kedudukan seluar hitam plastiknya yang sendat.
“Saya nak tanyalah..” Baby memulakan soalan. “Ramai orang cakap peserta-peserta terhangat di pasaran terdiri daripada mereka yang perasan diri mereka tu handsome, tampan.. macho dan yang sewaktu dengannyalah.. jadi Azlan sendiri sebagai seorang peserta, apa pendapat anda terhadap pandangan seperti ini?”
“Oh.. pandangan itu ke?” Azlan menarik nafas gugup. “Sebenarnya pendapat saya.. negara kita adalah sebuah negara berdaulat. Saya sukakan penyanyi Shasha Omar.. saya juga suka makan pizza.. kadang-kadang berenang dapat menyihatkan badan..”
“Eh, saudara Azlan.. jawapan tu tak menjawab soalan saya..” potong Baby Fana cepat-cepat.
Azlan tersentak. Matanya terbeliak tetapi masih sempat mengawal gaya dan penampilannya.
“Soalan saya tadi, apa pendapat anda tentang komen-komen yang mengatakan kononnya korang ni perasan, overacting, syok sendiri… dan sebagainya?”
“Biar saya jawab cik Baby!” celah Ashraf tiba-tiba, mengangkat tangannya tinggi-tinggi.
Baby terkejut dan tergamam. Tidak diduganya Ashraf boleh bertindak sedemikian, satu tingkahlaku yang dikiranya kurang sopan, lebih-lebih lagi di hadapan kamera. Dia masih berkira-kira hendak membuat keputusan tetapi Ashraf terlebih dahulu sudah menyambungnya.
“Saya memang tak boleh tahan dengan komen-komen seperti tu..” ulas Ashraf bersungguh-sungguh. “Ada ke dia orang kata yang kami ni perasan, syok sendiri! It’s too much okey..”

Mata Baby Fana terkelip-kelip mengikuti gerak tangan Ashraf turun naik ke atas, persis seorang senator berbahas dalam parlimen. Azlan di sisi pula senyum-senyum mengangguk, sambil membetul-betulkan lagi kedudukan seluar hitam plastic sendat yang mengancam keselesaannya.
“Kami sedar yang kami ni memang handsome.. bertubuh menawan.. gorgeous.. macho.. gagah dan hebat. Tapi kami bukan orang yang perasan!” Ashraf sudah mula mengentak-hentak meja. “Biarpun kami menjadi kegilaan remaja, kerana susuk tubuh memukau.. bijak berbicara.. romantik dan ada sensuality istimewa.. tapi kami bukan perasan! Kami tak suka orang salah sangka terhadap kami.. kami jejaka berkualiti dan sempurna, bukannya kumpulan jejaka perasan!”
“Okey..okey.. sabar saudara Ashraf!” Baby Fana terpaksa menenangkan suasana. “Kita ada dapat satu panggilan ni… dari johor dengarnya.. dia nak bercakap dengan saudara Azlan kita.”
Baby Fana mengalihkan pula perhatian penonton kepada Azlan. Azlan senyum-senyum bangga. Sekali lagi dia berkalih membetulkan kedudukannya di atas sofa.
“Hallo? Kak Baby Fana ya?” bergema suara seorang gadis dari corong telefon.
“Ya..ya..anda sekarang bersiaran secara langsung.. sila tanyakan soalan cik kepada saudara Azlan kita!” balas Baby Fana, ramah sekali.
“Hallo Azlan!” sapa suara tadi, manja.
“Hallo!” jawab Azlan agak gugup.
“Saya Sofea.. dari Kulai..”
“Oh.. cik Sofea.. apa khabar?”
“Eh..saya bukan cik lah.. panggil saya encik!”
“Apa?”
“Nama betul saya Yusof.. tapi kawan-kawan kat sini panggil saya Sofea.. auww!”
Mata Azlan terbeliak. Cemas.
“I memang minat kat U! U memang taste I.. auw!”
“Err..” Azlan hilang kata-kata.
“Tiap-tiap minggu I vote for you… tiga puluh ringgit you!” ucap Sofea dalam nada manja dan tergedik-gedik. Azlan kian cemas dan kelu. Tidak tahu apa yang hendak dikatakan.
“You bagilah alamat you kat I.. boleh kita jumpa!”
Azlan kancing gigi.

Akhirnya Baby Fana terpaksa memotong talian. Sambil menunjukkan lagak bersahaja, dia tersenyum memandang kamera. “Alamak.. talian terputuslah para penonton.. Minta maaf ya kepada ‘encik’ Sofea tadi.. ada sedikit kesilapan teknikal..” ujarnya dalam senyuman menyeringai. “Okey.. sebelum kita teruskan perbincangan yang hangat ni.. kita berehat dulu! Commercial break please!”
Klik! Sharifah mematikan television. Jam telah menunjukkan pukul tujuh setengah pagi. Dia perlu bersiap untuk ke tempat kerja. Dan apabila dia bingkas dan berpaling, dilihatnya Tina sudah terdiri di hadapannya bersama gumpalan selimut dan wajah yang termangu-mangu. Dia benar-benar kaget. Dia tidak sedar sejak bila kawannya itu tiba di situ.
“Huh, kejam!” tempik Tina bengang.
“Erk.. apa yang kejamnya?” balas Sharifah pura-pura tidak mengerti.
“Saja nak sabotaj aku, tak bagi tahu pun Azlan dan Ashraf kuar kat kaca tv!”
“Hey, please!” tingkah Sharifah sinis. “Jangan nak salahkan aku pulak. Aku dah kejutkan kau dari pukul enam tadi lagi, ok?”
“Tapi kau tak cakap pun pasal dia orang!”
“Oh.. kalau pasal dia orang ni, sanggup nak bangun pagi-pagi.. kalau sembahyang subuh, malas!”
“Hissh.. menyampahlah.. tak habis-habis nak fire aku!” Tina memuncungkan mukanya, masam.
“Ini bukan fire..” tegas Sharifah serius. “Ini peringatan namanya.. nasihat!”
“Eleh.. nasihat konon.. aku tahulah yang kau sebenarnya minat gak dengan dia orang kan?” Tina cuba menaburkan serkap jarang. “Kalau tak takkanlah kau sampai hati nak tengok sorang-sorang.. aku tahu kau takut aku nampak, kan?”
Sharifah mengetap bibir geram. mendengar dugaan ‘kurang asam’ Tina. Direnungnya gadis itu tajam sedangkan Tina pula hanya memberikan senyuman puas kerana berjaya menyakitkan hatinya.
“Kau ni overlah Tina!” gerutunya. “Kau ingat aku ni macam kau ke? Minat kat jejaka-jejaka plastik tu!”
Tina menjeling menyampah.
“Macamlah aku tak tahu.. salah seorang peserta terhangat di pasaran tu adalah bekas kekasih kau!”
Sharifah tersentak. Serta-merta air mukanya berubah.
“A..apa kau cakap ni?” suaranya tiba-tiba bertukar menjadi tidak menentu.
“Jangan ingat aku tak tahu.. Zack adalah buah hati kau, kan?”
“Err..” dia terperangkap. “Macam mana kau tahu?”
“Aku nampak gambar kau dengan Zack masa kat universiti dalam album.” Tina menjelaskan bersama lagak bangganya.
“Ah.. itu kisah lama aku..” potong Sharifah cepat-cepat. Dia sudah tidak tertahan mahu menghadapi perbualan serupa itu. Sebelum rahsianya terus terdedah, baik sahaja dia menghayun langkah kaki, pergi.
“Kau berpisah dengan Zack sebab dia masuk program ni kan?”
Langkah Sharifah termati. Jantungnya seakan mahu berhenti berdegup. Tangan dan kakinya menggigil kuat menahan gelisah.
“Aku tahu pendirian kau. Dan aku tak akan hairan kalau kau sendiri yang meminta untuk berpisah dengan dia..”
Sharifah memejamkan mata. Air jernih mengalir perlahan membasahi pori-pori pipi.
“Ia tak adil Ifa..” lanjut Tina terus-menerus. “Ia tak adil bagi Zack. Kau menghukumnya hanya kerana dia masuk pertandingan tu!”
Telinga Sharifah bertukar panas dan dadanya seakan terhimpit. Kata-kata Tina terlalu tajam. Dia tidak betah membiarkan dirinya diserang sebegitu. Ia hanya membangkitkan luka lama dan perasaan serba salahnya.
“Apa salahnya kau bertolak ansur dengan Zack.. sedangkan kalian berdua saling mencintai.. Apa salahnya kalian berdua berdamai demi meraih satu perhubungan yang membahagiakan?”
“Cukup!” bentak Sharifah tiba-tiba. Begitu kuat jeritan itu sehingga kecut tubuh Tina jadinya. Belum pernah dia melihat reaksi Sharifah sedemikian. Dan ternyata ia berjaya membuatkan dia diam.
“Cukup Tina..” ulang Sharifah semula, dalam nada yang lebih lembut. Dia berpaling merenung Tina dan pandangannya mengandungi semacam perasaan sayu serta terkilan.
“Aku tak akan bertolak ansur dalam perkara agama. Mungkar tetap mungkar.Kalau dia tak boleh hendak mentaati perintah Allah, aku juga tak boleh hendak terus mengasihinya, mengerti?”

Tina mengangguk takut-takut. Sedia diketahui betapa teguh pendirian kawannya itu, dan betapa kukuh pula Sharifah mengamalkan perintah-perintah agama. Dia sangat kagum akan keberanian gadis itu mengorbankan cinta dan kasih-sayang demi mentaati perintah Allah. Itulah satu bentuk amalan yang jarang-jarang dapat dilakukan oleh manusia pada zaman ini. Diperhatikan longlai Sharifah menghayun langkah kaki pergi meninggalkan dirinya terkedu sendirian. Entah kerana simpati atau terharu, matanya serasa basah ditakungi oleh air-air hangat. Dan ia dapat pula dihapuskan secepat mungkin tatkala ingatannya melayah kepada rancangan Malaysia Hari Esok yang masih bersiaran di kaca tv. Cepat-cepat dia mencapai remote control berhampiran, melompat duduk di atas sofa dan terus menghidupkan kaca television. Harap-harapnya biarlah segmen bermesra bersama Ashraf dan Azlan masih ke udara dan dia dapat mengenali dua ‘beautiful man’ itu dengan lebih dekat lagi.

Wajah Baby Fana muncul pada skrin television. Anggun, sopan dan menawan seperti selalu.
“Okey.. sekarang kita berpindah kepada segmen tazkirah.. kita menjemput tetamu kita Ustaz Roomai Nor Husin dari Fakulti pengajian Islam UIA masuk ke studio..” umum Baby Fana sepatah demi sepatah. “Tajuk kita hari ini ialah pengaruh reality tv kepada masyarakat Islam!”
Tina mengeluh kecewa mendengar. Pantas jari-jemarinya menekan butang off pada remote control. TV terpadam dan dia kembali terbongkang menyambung tidurnya. Krooh..kroohh..suara dengkurnya bergema memecah suasana..

Bersambung….

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool