Terhangat Di Pasaran - Episod 3



Teguran Tina pagi tadi masih mengganggu fikiran Sharifah. Terngiang-ngiang setiap susunan kata-kata, dan satu-persatu terbit menjadi cambuk yang memukul-mukul. Bibirnya terketar dan jantungnya bergelodak. Sesungguhnya dia tidak dapat membohongi diri bahawa dia masih menyintai Zack. Cinta yang mereka bina sejak sekolah berasrama masih kukuh dan harum sehingga kini. Zack, seorang pemuda yang dahulu dicintai kerana kesederhanaan dan keteguhan pendirian agamanya, tiba-tiba berubah menjadi seorang jejaka liar dan bebas Kerjayanya sebagai pegawai pengiklanan di sebuah agensi pengiklanan, telah merubah satu demi satu pendirian Zack, dari seorang pemuda yang pemalu dan taat kepada perintah agama, tiba-tiba bertukar menjadi seorang jejaka tampan bergaya, sosial dan gemar berlibur. Setiap hari Sharifah memendam rasa menyaksikan perubahan kekasihnya, semakin lama semakin jauh dari perintah Allah. Sangkanya dulu, inilah bakal suami soleh yang akan menjadi lorong memandunya pulang bertemu Illahi, tetapi sekarang dia sudah tidak begitu yakin lagi.

Memang Zack masih mencintainya. Memang Zack masih penyayang dan ambil berat kepadanya. Tetapi tingkahlaku lelaki itu, yang kini gemar menggauli wanita, gemar mengenakan pakaian mendedah aurat, gemar berpeleseran di kelab-kelab malam, semua itu mencabar prinsip dan pegangan yang dipertahankankannya selama ini.
Sharifah memajamkan mata. Air hangat mengalir membasahi pori pipi. Seakan berputar imej pertengkaran mereka beberapa bulan yang lalu. Pertengkaran yang memusnahkan semua perkara indah dan menghapuskan segala kemanisan. Seakan terbit wajah-wajah sugul Zack menerusi tabir jendela yang melambai-lambai. Dan tiupan angin itu, adakah suara rintihan Zack menagih belas simpati atau deru nafasnya yang hangat ?

“Cukup Zack.. cukup..!” bentak Sharifah dalam jaringan perasaan paling pilu. Dia merenung surat kelayakan Zack di atas meja makan. Bibirnya terketar-ketar menahan kecewa. Tidak diduga lelaki itu akan meneruskan juga hasrat menyertai program terhangat di pasaran biar dia telah berkali-kali menentangnya.

“Kenapa Ifa? Kenapa?” tingkah Zack berserta kerutan dahi yang juga menggambarkan perasaan kecewa. Jika Ifa kecewa kerana keinginannya tidak ditunaikan, Zack pula kecewa kerana Ifa tidak sedikit pun mahu mengucapkan tahniah atau kata-kata dorongan atas kejayaannya terpilih menjadi sepuluh peserta akhir TDP.
“Kenapa Ifa benci sangat dengan program ni?” lanjut Zack bersemuka. “Hina sangatkah Zack di mata Ifa? Mengapa tergamak Ifa putuskan perhubungan kita semata-mata kerana perkara ni?”

Sharifah tunduk berjurai tangisan. Dadanya turun naik mengawal sebak. Batinnya berperang antara perasaan simpati dan pegangan diri. Dia sedar keputusannya terhadap Zack terlalu kejam. Tapi apalah dayanya. Dia tidak sanggup melihat lelaki yang dicintainya menjatuhkan maruah sendiri di hadapan jutaan masyarakat Malaysia. Berpakaian renang dalam keadaan separuh bogel dan memperagakan pakaian-pakaian jarang, saling tak tumpah seperti masyarakat arab zaman jahiliah.

“Ifa rasa dah tak ada apa nak kita bincangkan. Semuanya dah jelas. Zack bukan kurang ilmu agama. Apalagi singkat akal fikiran. Zack sendiri tahu apa hukum agama kalau Zack menyertai program seperti ni..”

Zack tertindih mendengar.
“Zack tahu.. apa yang Zack buat ni salah. Tapi takkan sampai sebesar ini hukuman harus Zack terima? Zack tak sanggup kehilangan Ifa..”
“Zack..” Sharifah menelan liur pahit. “Hukuman Tuhan lebih dahsyat dari ini. Takutilah Allah.. Apabila Dia melarang sesuatu perkara itu, maka ada hikmah dan pengajarannya. Mengapa kita nak ikut cara hidup masyarakat barat yang jahil dan sempit pemikiran? Jika benar tubuh dan rupa kita cantik, ia bukan untuk diperagakan kepada sesiapa.. ia adalah untuk kita mensyukuriNya, mengasihiNya dan menggunakan ke arah jalan kebajikan..”

Zack sedar, Sharifah memang tidak boleh hendak ditolak ansur lagi. Sekiranya dia merayu seperti pengemis sekalipun, gadis itu tetap tidak akan menghiraukan dirinya. Dia sudah putus harapan memujuk. Memang dia sangat mencintai Ifa, tetapi kalau kekasihnya itu tidak mahu bertolak ansur, dia enggan memaksa. Biarlah Ifa membuangnya dan biarlah dia disisihkan. Namun, cintaya tidak sekali-kali akan berkurang. Dia percaya sesudah tamatnya program TDP nanti, Ifa akan kembali ke pangkuannya. Dia akan kembali dimaafkan dan perhubungan mereka juga akan kembali pulih seperti sediakala.

“Maafkan Ifa, Zack..” ucap Sharifah kemudiannya sambil bangun dari meja kafetaria. Dia menentang muka lelaki itu kali terakhir. Dan hatinya menjadi cukup terkilan. Mengapakah ketampanan atau kecantikan seseorang seringkali disalahgunakan? Mengapakah nikmat serupa itu selalunya membuat manusia semakin jauh dari rahmat Allah? Mengapa?
“Ifa..” Zack menegur lemah.
“Ifa minta maaf Zack..” Sharifah memalingkan mukanya ke arah lain. “Ifa dah nekad. Perhubungan kita berakhir di sini.. Janganlah cari Ifa lagi..”
“Ifa.. Zack tak akan mengalah..”
“Itu hak Zack.. tapi keadaan tak akan serupa lagi selepas ini..”
“Biarlah.. biarlah.. Zack tak kisah. Zack akan terus menyayangi Ifa..”

Sharifah menghela nafas berat. Dia mencapai tas tangannya di atas meja lalu bergerak mahu meninggalkan restoran. Tetapi sebentar, Zack memintasnya langsung bertekuk lutut di situ. Dia tergamam menyaksikan.
“A..apa Zack buat ni?” tegurnya cemas sambil memandang-mandang ke sekeliling. Ada beberapa orang pelanggan sedang berbisik-bisik memperkatakan mengenai diri mereka.
“Z.. Zack nak merayu pada Ifa.. tolonglah jangan buat Zack begini..”
“Zack! Stop it!”
“No! Zack tak akan bangun selagi Ifa tak maafkan Zack..”

Sharifah mendengus bengang. Dia menarik kakinya dari pautan tangan kasar lelaki itu. Cepat-cepat juga dia mengasingkan diri dalam beberapa jarak, sebelum meluahkan kata-katanya yang penghabisan.
“It’s over Zack!” tegasnya. “Jika awak tak boleh undur diri dari program tu.. Ifa juga tak boleh nak terima Zack dalam hidup Ifa..”
“Tapi.. Zack masih sayangkan Ifa..”
“Just stop it! It means nothing okey..”

Sharifah terus menghentak kaki pergi. Tinggallah Zack terdampar kesedihan seorang diri di atas permaidani. Sesungguhnya bukan mudah Sharifah mahu bertindak sedemikian. Dia terpaksa mengatasi perasaan simpati dan cintanya, dan dalam masa yang sama dia juga harus mendahulukan perintah Allah dan RasulNya. Biarlah jiwa dan keinginannya terkorban. Biarlah impian dan cita-citanya hancur berkecai. Biarlah semua kesusahan ini ditanggunginya sendiri asalkan di akhirat kelak, kebahagiaan yang hakiki bakal menjadi miliknya.

Sebentar Sharifah dikejutkan oleh kedatangan seseorang ke dalam bilik, yang kemudiannya segera disedari sebagai Tina. Pantas diseka sisa air matanya, dia bingkas membuka pintu.
“Ha Ifa..!” sapa Tina termengah-mengah.
Sharifah mengerut dahi, kehairanan.
“Kenapa ni, Tina?”
“Mari sini kejap..” Tina terus menarik tangan Sharifah.
“Eh, ada apa?”
“Mari la sini kejap..!”

Sharifah kelihatan serba salah dan terpinga-pinga tetapi kakinya sudah pun didepangkan mengikuti Tina turun ke ruang tamu. Mereka berhenti betul-betul di hadapan kaca tv. Siaran diari harian TDP sedang ke udara. Dan Sharifah menjadi semakin terpinga-pinga. Dia masih belum dapat menduga apa tujuannya dia dibawa ke situ. Tina langsung mempelawanya duduk.

“Ha.. tengok tu, sapa yang ke udara..” beritahu Tina sambil memuncung bibir ke kaca tv. Tina mengalihkan matanya sepertimana diarahkan. Diperhatikannya skrin empat segi yang bercahaya terang di depannya itu. Dan secara tiba-tiba dia menjadi gugup. Terbit peluh-peluh dingin membasahi dahinya; dan jantungnya, berdegup tidak tentu arah. Gelisah.

Zack, lelaki yang pernah dikasihinya itu muncul di kaca tv. Bergaya sekali Zack mengenakan pakaian serba putih sambil ditemuramah oleh Karimah. Rupa-rupanya diari harian hari itu dikhususkan istimewa untuk Zack. Mereka sedang duduk berduaan di tepi kolam renang. Karimah, bersama senyuman menggodanya, lincah sekali bertanya pelbagai perkara kepada Zack. Dari isu hobi, minat, tabiat, termasuklah isu peribadi, semuanya dapat dijawab dengan tenang. Namun, ketenangan Zack tidak lama. Air mukanya tiba-tiba berubah apabila Karimah secara mendadak mangajukan soalan tentang cinta dan gadis pujaan.

“Ramai gadis di luar sana nak tahu ni..” ujar Karimah manja sambil bersandar selesa pada sofa putih di tepi kolam renang itu. “Dengar cerita Zack ni dah ada gadis pujaan hati.. betul ke?”

Zack senyum pahit. Dia memandang tepat ke dalam lensa kamera. Renungannya itu terlalu tersirat sehingga Sharifah dapat merasakan Zack seolah dapat memandangnya dari sana. Dia menekup mulutnya resah. Dicubanya melupakan sesuatu yang sedang mengganggunya. Namun ternyata, sesuatu itu menjadi semakin kuat.
“Okey.. Zack.. berbalik kepada soalan saya tadi..” suara Karimah kembali menggamit. “Bukan peminat-peminat you aja yang nak tahu, but actually I pun nak tahu jugak. You ni dah berpunya ke belum..?”

Kali ini Zack tampak lebih berkeyakinan. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian berpaling memandang Karimah. Karimah tersipu-sipu malu dipandang demikian.
“Sebenarnya..” Zack memulakan.
Karimah menunggu dengan ghairah.
“Sebenarnya saya pernah mempunyai seorang kekasih. Dialah wanita paling menarik pernah saya temui. Dialah cinta hati saya dan dialah gadis idaman saya. Sehingga kini pun saya masih lagi menyintainya.”
“Wow..” Karimah bertepuk tangan kagum. “This is like a titanic movie.. tentu bertuah gadis tu ya. Dah lah ada pakwe yang handsome, berbakat dan, oh my God, he also hot and sexy!”
“Nope! She’s not that type!”
“What?”
“Gadis tu tak seperti gadis kota yang lain..”
“Apa maksud awak?” terkejut Karimah bertanya. Dia memandang muka Zack.
“Dia bukan seperti gadis-gadis kota lain yang bebas dan liar. Dia adalah seorang gadis yang cukup teguh berpegang kepada ajaran agama. Dia cukup bersopan dan sangat menjaga aurat serta pakaiannya. Kecantikannya pula hanya untuk Allah. Bukan untuk didedah atau ditayangkan kepada sesiapa. Sangat kurang bilangan gadis seperti itu sekarang. Dialah gadis idaman saya. Saya akan terus mencintainya walau kami sudah pun berpisah..” bersungguh-sungguh Zack memberi penjelasan sehingga merah padam muka Karimah mendengar. Kata-kata bersahaja Zack seolah satu sindiran membakar telinga. Karimah tidak tahan ditempelak sebegitu. Cepat-cepat dia menukar topik perbualan dan cepat-cepat juga dia tersengih menyembunyikan perasaan malunya.
“See..” Tina menepuk peha Sharifah bangga.
Sharifah tersentak.
“Kan aku dah cakap.. dia masih sayangkan kau..” pujuk Tina lembut. “Kau tu angkuh sangat. Kau harus beri peluang kepada dia..”

Sharifah kaku tanpa jawapan. Dadanya kembang kuncup memikirkan kebenaran kata-kata Tina tadi. Mungkin betul juga dia patut memberi peluang kepada Zack. Setiap manusia ada melakukan kesilapan dan kesalahan. Dan Zack sendiri tidak terlepas dari kelaziman itu. Mengapa harus dia menghukum lelaki itu sedangkan kemaafan kiranya lebih menenangkan dan membahagiakan?
“Ifa!” jerit Tina spontan.
Sharifah terkejut. Dia terpaling memandang tv.
“Tengok tu.. wah..” Tina ketawa menyeringai. Adegan temuramah tampaknya sudah beralih kepada aksi imbas kembali Zack bergaya menerusi lensa kamera. Ada beberapa gaya Zack beraksi di atas pentas, memperagakan baju jarang dan seluar denim yang sendat. Ada juga gambar Zack sedang berenang di dalam kolam. Termasuk gambar Zack di kamar mandi, sedang bergaya dengan sehelai tuala warna putih. Semua aksi itu mungkin sangat menarik bagi gadis yang memandang dengan pandangan nafsu. Tetapi bagi Sharifah, dia tidak sedikit pun berasa terpikat apalagi tumpang berbangga. Sebaliknya dia berasa amat kesal dan tersinggung.

Tingkahlaku Zack seolah sengaja mencabar pendiriannya. Apakah erti semua ini? Manusia sesama sendiri berbangga-bangga dengan dosa masing-masing, sedangkan masyarakat pula ghairah sekali memberi sokongan serta galakan. Apakah ini petanda dunia akhir zaman. Perintah Allah tiada lagi diendah. Manusia saling berlumba-lumba melakukan kemungkaran. Sedangkan kebaikan langsung dianggap sebagai amalan ketinggalan zaman.
“Heh,” tingkah Sharifah keras lalu bingkas.
Tina tersentak.
“Kenapa?”
“Aku tak sanggup tengok Zack dalam keadaan macam tu..” luah Sharifah terus terang.
“Alah.. kau ni.. mana ada manusia yang sempurna.”
“Memang tak ada manusia yang sempurna. Tapi aku terlalu sayangkan dia. Aku tak sampai hati tengok dia memusnahkan diri sendiri..” ucap Sharifah sambil mengalirkan air mata pilu.
Tina tergamam.
“Sebagaimana aku tak mahu tengok kau terlalai, seperti tu juga aku tak mahu tengok Zack melanggar perintah Allah..”
“Ifa..”
“Akhirat itu terlalu dahsyat. Hukuman Allah tersangat berat. Itulah harinya di mana setiap manusia akan kesal dengan amalan masing-masing..”

Tina tunduk keharuan. Perbualan mereka berakhir di situ. Tidak termampu dia mahu menghalang Sharifah berlalu. Dia sedar betapa besar maksud kata-kata kawannya itu. Dia juga tahu betapa dia telah jauh terseleweng dari landasan kebenaran. Namun, entah kenapa, keinsafannya selalu hadir bagai setitik embun. Belum sempat hendak dirasainya kemanisan iman, esok dia kembali dipengaruhi keasyikkan dunia.
Petang itu, Tina tidak menonton habis rancangan TDP. Entah kerana teguran Sharifah tadi atau kerana insafnya, dia menunaikan solat maghrib lebih awal dari kebiasaannya.


Bersambung….

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool