Terhangat di Pasaran - Episod 6



Ombak selat sunda berdebur-debur menghempas pantai. Dari tengah lautan ia kelihatan garang seolah mulut raksaksa ingin membaham mangsanya, tetapi apabila tiba ke tepi pantai, gulungan air itu menjadi kian kecil lalu pecah berderai. Buih-buih putih menyongsang arus, bertebaran tidak tentu hala, meninggalkan sisa-sisa buangan laut ke persisiran. Kulit-kulit siput, ranting-ranting mati dan entah apa jenis objek lagi bergelimpangan begitu saja. Sudah berapa jauh objek-objek itu belayar sebelum sampai ke mari. Dan adakah nasib dirinya juga seperti bahan buangan itu? Di mana letak harga dirinya sehingga dia dipinggirkan sedemikian jauh oleh kekasih hatinya sendiri?
Mengapa keadaan selalunya tidak berlaku seperti yang diharapkan?

Mentari pagi mengangkat hari makin tinggi. Sinarnya yang jingga dan dan lembut menjelajah permaidani langit, membiaskan jalur-jalur indah di sebalik kepul-kepul awan. Ada terdengar suara burung berkicauan. Adakah itu suara camar ataupun burung laut terbang mencari makan?

“Hoi..!” tiba-tiba dia terasa bahunya dicuit dari belakang. Bila dia berpaling, dilihatnya Natsuda sudah pun terdiri di belakangnya bersama sehelai seluar Bermuda warna kuning. Rambut lelaki itu yang disikat dengan gaya “spike” teguh berdiri melawan hembusan angin pantai. Tubuhnya yang kekar dan berketul ketul, sengaja dibiarkan terdedah, supaya dapat dipertontonkan kepada beberapa orang pelancong wanita asing yang sedang berjemur berhampiran.

“Kenapa menung ni?” tegur Natsuda bersahaja.
Zack senyum pahit. Dia mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak.
“Kau masih ingat kat awek lama kau tu?”
Angguk lemah.

“Sudahlah tu.. buat apa diingat orang yang tak mahukan kau..” Natsuda memaut bahu Zack mesra. Mereka berdua tegak berdiri menghadap pantai. “Orang macam kita tak perlu menangis kerana wanita. Lihatlah kita, apa yang tidak kita miliki? Kita punya segala-galanya. Kita ada rupa, gaya.. susuk tubuh menawan. Dan diri kau sendiri.. tengoklah.. gagah, tampan.. digilai wanita. Kau boleh cari wanita lain yang lebih menarik dan memahami. Pada waktu ini, beribu-ribu wanita sedang tergila-gilakan kau. Cari aja pengganti yang baru. Lupakan saja perempuan ego macam awek lama kau tu!”

“Tidak Natsu.. ia tak semudah yg kau fikirkan..” tingkah Zack tegas. Dia menjatuhkan tangan Natsuda dari bahunya, lalu menjauhkan diri dalam beberapa jarak. Dia duduk mencangkung. Diperhatikannya pasir-pasir putih bergelumang dengan buih-buih ombak, bermain-main di celah-celah jari kakinya. Dan fikirannya menjadi bersimpang siur.
“Memang ramai perempuan boleh menggantikan Sharifah.. tetapi untuk mencari seseorang seperti Sharifah, ia terlalu sukar. Sharifah adalah segelintir wanita beragama yang masih tinggal dalam dunia ini..”
Natsuda tersenyum sinis mendengar.

“Apalah kau ni Zack…” gerutunya. “Wanita kolot macam tu jugak yang kau inginkan.. Kau tak segan ke bila kahwin dengan dia nanti, kau terpaksa tayangkan rupanya yang berselimut dengan kain cadar tu depan kawan-kawan kita?”
Zack diam kaku. Dua tiga ekor umang-umang keluar dari lubang-lubang pasir menambat perhatiannya.

“Tak layak perempuan seperti Sharifah bersuamikan teruna tampan macam kita.. Gadis yang cocok dengan kita adalah wanita-wanita seksi dan bertubuh menggoda.. tengok ni..” Natsuda berpaling kepada seorang gadis berpakaian mandi warna merah jambu yang sedang melenggang lenggok menghampirinya. Dengan bangga dia merangkul pinggang gadis itu lalu mengucup rambutnya.

“Ha, gadis macam ni lah baru sepadan.. body cantik lentik.. badan harum.. hemm..”
Zack bingkas berdiri. Dia senyum nipis, menghormati pendirian Natsuda. Dia sedar, ramai manusia zaman ini terlalu cetek pengetahuan mereka tentang agama. Dia tidak boleh menyalahkan Natsuda berkata begitu kerana lelaki itu memang dibesarkan di negara asing, tetapi bagi dirinya pula bagaimana? Dia telah dibesarkan dalam suasana agama dan mendapat didikan nilai-nilai Islam sejak dari kecil lagi. Dia telah difahamkan tentang maksud islam dan tujuan hidup di dunia ini, tetapi mengapa dia masih menginginkan kehidupan yang lain?

Adakah kehidupan yang lebih baik lagi selain dari kehidupan Islam? Tidak.. tidak ada..
“Sudahlah Natsu.. aku tak mahu bertelagah dengan kau pasal perkara ni..” putus Zack akhirnya.

Natsuda senyum mengerti.
“Aku faham…” ujarnya. “Dan sebenarnya aku ke mari nak panggil kau masuk ke dalam bilik persalinan..”
“Oh.. ada apa?”
“Pereka fesyen kita tu.. nak kita cuba pakaian untuk pertandingan malam ni..”
“Hmm..baiklah.. kejap lagi aku datang..” Zack memberi jaminannya.
“Kau jangan lambat pulak.. Aku malas nak dengar mak nyah tu berleter nanti!”
“Janji!”

Zack kembali ditinggalkan bersendiri. Natsuda dan wanita yang dikenalinya sebagai Jessica itu sudah pun jauh berlalu. Dari sini, dia dapat melihat susunan khemah-khemah berwarna-warni diaturkan di sepanjang-panjang pantai. Kira-kira lima belas ela dari tempat dia berdiri, tersergam megah sebuah pentas terbuka warna kuning, ada beberapa orang juruteknik sedang tekun memeriksa itu ini di atasnya. Gerai-gerai penjaja pula mulai dikerumuni orang. Ratusan bendera warna-warni dan belon-belon TDP termasuk banner-banner para penaja, asyik bergayutan dipukul angin. Namun semua itu tidak mampu memikat hati Zack. Dia lebih senang memandang pantai. Ombak yang datangnya dari laut, dinantikannya dengan sabar, berpintal-pintal menyembah ke pantai. Ombak ini, ombak yang lembut dan mesra ini, apakah boleh menjadi garang secara tiba-tiba? Adakah manusia yang berbangga-bangga dengan tubuh masing-masing itu dapat menangkis asakan ombak ini sekiranya ia mengamuk secara tiba-tiba? Apakah cukup kekuatan mereka untuk mengatasi kedahsyatan kuasa alam yang sukar dijangkakan itu?
Entahlah…

Zack menjungkit bahu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa tiba-tiba sahaja dia terfikirkan perkara sedemikian. Namun, di kala itu terbit keinsafannya tentang hakikat diri manusia yang sebenar. Dia hanyalah seorang manusia kerdil, lemah lagi tidak berdaya. Tubuh yang kekar dan tegap ini tiadalah apa-apa kiranya hendak dibandingkan dengan kebesaran kuasa Illahi.

Oh Tuhan, maafkan diri hambaMu yang telah jauh lalai dan terseleweng.. Jika tidak kerana memikirkan kontrak perjanjian sudah ditandatanganinya dengan pihak penganjur sebelum ini, tentu sekali dia tidak akan teragak-agak mahu mengundur diri dari pentas pertandingan. Dia mahu kembali menjadi dirinya yang asal. Seorang lelaki sederhana yang tidak dikenali manusia tetapi cukup dekat dan manja dengan Penciptanya. Dia mahu mengejar kejayaan yang abadi, iaitu kesenangan hidup di akhirat.

* * * *

Sejak jam tujuh setengah lagi Susy dan Tina sudah tercegat di hadapan tv. Sementara menunggu pertandingan TDP bermula, ada pelbagai acara peragaan karpet merah ditayangkan. Ramai selebriti terkemuka hadir menggayakan pelbagai fesyen terkini dari jenama terkenal. Mereka juga tidak dapat lari dari meminati rancangan TDP kerana pengaruh dan tarikannya yang tersendiri.

Di atas permaidani merah kini, penyanyi terkenal Diana Din sedang berjalan anggun, menggayakan busana labuh warna kundang berkilat ciptaan Pak Wan Pak Wil. Berlian berbentuk hati menghiasi dadanya itu ditaja oleh House of diamond, London. Ratusan penonton berhimpit-himpit di kiri kanan jalan, melambai-lambai tangan kepada selebriti kesayangan mereka. Tidak kurang juga dengan cahaya kamera, berkelip-kelipan memandikan Diana Din. Artis wanita itu melambai-lambai manja kepada peminat-peminatnya. Kemudian Karimah pula muncul di situ mengenakan gaun putih bertatah manik berwarna-warni. Dia bergerak menghampiri Diana Din dan mula menjalankan tugasnya untuk menemuramah.

“Amboi.. kak Diana.. cun melecunnya…” puji Karimah galak.
Diana Din senyum malu-malu.
“Sekali tengok macam selebriti hollywood….”
“Alah..janganlah puji lebih-lebih.. Akak malu tau kalau orang puji-puji akak ni..”
“Amboi rantai berlian, kak.. tak sanggup saya melihatnya.. bersinar-sinar macam bintang-bintang..”
“Iya?” Diana Din melirik bangga. Sengaja dipertontonkan dadanya yang dibaluti berlian itu buat tatapan lensa kamera. “Berlian sponsor ni.. tujuh puluh ribu! Jangan terkejut tau.. Berlian ni ditempah khas untuk akak.. jangan jeles!”
“Oklah… kak..” tingkah Karimah sejurus. “Saya nak tanya akak, agak-agaklah.. malam ni siapa agaknya peserta yang akan digelar jejaka terhangat di pasaran?”
“Akak sokong Natsuda coz he’s gorgeous!”
“Really..?”
“Rupa dia macam Won Bin..but I like when he’s smiling!”
Karimah dan Diana Din tertawa sesama sendiri. Tiba-tiba angin bertiup agak kencang lantas mengerbangkan rambut mereka.
“Oh.. no! My hair!” dengus Karimah perlahan.Dia cuba mengelus lembut rambutnya tetapi tiba-tiba dia ditahan oleh Diana Din.
“Jangan bimbang..” pujuk gadis itu , tenang.
“Kenapa?” Karimah berkerut kehairanan.
“Tengok ni..”

Diana Din tersengih memandang kamera. Dia mengangkat kedua-dua belah telapak tangannya. Dan kemudian mula menggunakan pasangan jemarinya untuk membetulkan rambut yang kusut dan berserakan tadi. Sebentar, bagaikan satu pertunjukan silap mata, rambut itu kembali menjadi kemas dan terjalin.

“Wow!” Karimah terlopong menyaksikan. “Memang bergaya!”
“Ha lihatlah.. dengan syampu Rijois, guna jari pun boleh!”
Susy dan Tina terbahak-bahak ketawa di depan kaca tv sambil menekan perut masing-masing.
“Aduss.. sejak bila la kak Diana Din jadi pak lawak ni?” ujar Tina menggeleng-geleng kelapanya kelucuan.
“Memang betullah! Tak sesuweii aku tengok!!” sokong Susy sungguh-sungguh.

Begitu galak mereka ketawa sehingga tidak disedari Sharifah telah muncul di situ bersama sepasang telekung warna putih. Terus hilang ketawa mereka apabila terpandangkan seraut air muka yang muram dan serius. Mereka diserang perasaan serba salah serta gugup. Serba salah kerana asyik bergembira di waktu sahabat mereka sedang berduka.

Dan gugup pula kerana bimbang kalau-kalau Sharifah akan memarahi mereka.
“Err.. Ifa.. hai?” sapa Tina gementar suara.
Sharifah tidak membalas. Sebaliknya dia merenungi wajah Susy, kemudiannya Tina dan kemudian lagi ke kaca TV. Hati menjadi amat sedih dan pedih seolah sedang ditusuk oleh sembilu yang tajam.
“Kamu berdua dah solat maghrib?” soalnya dalam nada paling lembut.
“Err..” Susy dan Tina saling berpandangan. Mereka berdua tersengih membayangkan kedangkalan masing-masing. “Belum..” jawab mereka jujur.

Terdengar dengusan kecil Sharifah membelah suasana. Ada garis-garis kecewa terbit disebalik sepasang keningnya. Namun kali itu dia tidak meradang atau langsung memberi teguran seperti selalu. Tetapi dia terus sahaja mengorak senyuman lembut dalam pada sepasang mata jernihnya tampak bergenangan.
“Tak apalah.. nanti kalau rancangan TDP dah habis.. jangan lupa qadha’ solat kalian..” beritahunya perlahan.

Susy dan Tina mengangguk-angguk malu. Mereka sedar niat Sharifah berkenaan jujur maksudnya. Bahkan mereka amat mengagumi kesungguhan gadis itu memberi nasihat tanpa jemu- jemu. Dan apabila gadis itu sudah pergi meminta diri, perasaan malu tadi masih juga tebal dirasakan. Mereka berpandangan sesama sendiri. Mencebik dan menyalahkan diri masing-masing. Kemudian spontan langsung tertawa apabila menyedari betapa nakal dan pemalasnya mereka tatkala disuruh menunaikan perintah agama.
Lewat selepas isya’, Sharifah mendamparkan dirinya di ranjang. Dia berbaring mengiring, menghadap jendela di tepi dinding yang terbuka. Langsir warna merah jambu itu berkibar-kibar perlahan, membiarkan angin malam dari luar melepasinya, tembus masuk ke dalam bilik. Lampu tidur di sebelah katil pula sengaja tidak dinyalakan. Sharifah selesa didakapi kegelapan malam. Kadangkala bermurung dan berkurung seperti itu, bisa membuat hati lebih tenang. Fikiran berputar-putar bagai roda yang sedang berputar. Kenangan dan cintanya kepada Zack muncul bersilih ganti, dan biar berkali dia cuba memadamkannya tetapi ingatan itu menjadi semakin kuat.

“Zack.. bisakah cinta kita ini bertahan?” soal Sharifah pada suatu ketika, di dalam salah satu siri sms mereka di waktu cinta masih hangat dan mekar.
“InsyaAllah Ifa.. cinta kita pasti bertahan..” balas Zack kurang satu minit selepasnya. “Cinta adalah satu amanah. Perjanjian dua insan yang tidak tercatat dalam mana-mana memorandum, tapi ia telah terpahat secara sendirinya dalam hati kita berdua. Selagi amanah ini kita pegang dengan sungguh-sungguh, selagi itulah cinta kita bakal bertahan. Melainkan..”
“Melainkan apa Zack?”
“Melainkan salah seorang antara kita memungkirinya.. mengkhianati dan meminta hubungan kita diputuskan..”
“Mungkinkah ada sesiapa antara kita tergamak melakukannya?”
“Entahlah.. kita tak dapat mengagak ketentuan takdir.. Hanya Tuhan saja tahu apa yang bakal berlaku..”
“Perpisahan sangat sedih, Zack.. sangat sedih!”

Sharifah menangis teresak-esak. Dia menyeka matanya yang basah dengan hujung jari. Dia tahu, percintaan antara Zack dan dirinya terputus kerana dia sendiri yang menginginkannya. Selama ini, dia menyangka, kalaulah hubungan mereka tidak kesampaian, tentulah bukan dia yang menjadi puncanya. Tentulah ada orang lain cuba memusnahkan atau mungkin sahaja Zack tiba-tiba berubah laku mencintai gadis yang lain.

Tetapi sekarang, mengapa begini pula jadinya? Hubungan mereka tidak dapat dipertahankan kerana pendirian agamanya yang terlalu kuat dan kukuh. Salahkah keputusannya mahu menjauhi Zack semata-mata kerana protesnya terhadap keterlanjuran lelaki itu menyertai TDP? Haruskah dia mengalah lalu memaafkan sahaja semua yang berlaku?

Tidak.. itu tidak mungkin. Zack telah membohongi dirinya! Zack telah menggunakan dirinya untuk meraih undian sms dari penonton! Perbuatan itu tak mungkin dapat dia maafkan! Perbuatan Zack keterlaluan!
Truut…truut..!
“Hah?”
Truut..truuut…!

Sharifah tersentak. Jeritan telefon bimbit di sebalik bantal menggamit perhatiannya. Segera dicapainya telefon itu lantas membaca nama yang tertera; “Zack”. Dia mendengus bengang. Berbelah bahagi perasaannya antara mahu menjawab atau membiarkan sahaja ia terus menjerit. Namun, akhirnya dia menjawab juga panggilan itu bersama hati yang berat.
“Assalamualaikum..” sapanya lemah.
“Ifa..Ifa…!” teriak Zack dari hujung talian. Suara lelaki itu menggemakan perasaan lega kerana berjaya menghubungi gadis kesayangannya.

Sharifah pejam mata kepiluan. Dia membisu tanpa suara. Dibiarkan Zack sahaja berkata-kata kerana dia sudah berjanji tidak akan termakan dengan pujuk rayu lelaki itu.
“Ifa.. Zack nak minta maaf pasal peristiwa hari tu!” rayu Zack sepenuh pengharapan. “Ifa kena percayakan Zack.. Zack tak rancangkan semua tu.. percayalah..!”
Pedih batin Sharifah mendengar. Apabila diri sudah seringkali dikecewa dan diperdaya, sukar untuk dia terima apa jua bentuk penjelasan. Dia takut dipermainkan sekali lagi. Dia bimbang kalau panggilan kali ini juga satu lagi helah Zack mahu meraih undian sms penonton. Malam ini adalah pertandingan akhir. Tentu Zack amat terdesak mahu meraih kemenangan!
“Ifa.. kenapa Ifa diam? Cakaplah sesuatu Ifa! Cakaplah..!”
Diam kaku.

“Ifa.. jangan buat Zack macam ni! Tenteramkanlah hati Zack nak bertanding malam ni.. Zack tak minta apa-apa dari Ifa.. Zack cuma nak dengar Ifa maafkan Zack. Kalau benar antara kita dah tak ada jodoh, tak apa. Tapi tolonglah percayakan Zack.. tolonglah..”
Diam lagi.

“Ifa.. tolong percayakan Zack.. jangan curigai orang yang menyayangimu dengan bersungguh-sungguh.. Ia adalah satu pengkhianatan.. dan rasa dikhianati itu sangat sakit..!”

Bibir Sharifah terketar-ketar. Dia ingin bersuara memaafkan tetapi kerongkongnya tertahan.
“Ifa..! Ifa… Jangan buat Zack begini, Ifa..!”
Air mata berhamburan.
“Ifa.. maafkanlah Zack…! Zack sangat sedih!”
“Ifa……..!”
“Ifa….!”
“Ifa.”
Tuuu….tt…
Klik! Talian telefon terputus.

Zack terkedu pedih merenung telefon bimbitnya. Air matanya gugur bagai sungai mengalir lesu. Belum pernah hatinya diterajang seteruk ini. Dia benar-benar terkilan! Kecewa dan sedih! Mengapa Sharifah enggan mempercayainya? Apakah perkara paling menghiris melainkan dicurigai oleh kekasih sendiri? Bagaimana Sharifah boleh menyangka dia tergamak menggunakan cinta mereka demi meraih simpati penonton?
Ifa! Perbuatanmu sangat kejam Ifa..

Memang Zack bukan orang yang baik.. atau alim.. atau warak sepertimana yang kamu harapkan.. Tapi Zack tak mungkin tergamak mahu mempermainkan dirimu..
Zack sangat sayangkan dirimu..
Sangat sayang!

Untuk seketika Zack bagai orang gila menjerit di tepi pantai. Lututnya jatuh terjelepuk ke tanah. Dia menangis semahu-mahunya.. dan menumbuk tanah itu berkali-kali, menghamburkan segala perasaan kecewa.

Ombak pantai terus berdebur-debur dan angin selat sunda asyik berpuput menjengah daratan. Iramanya bersatu dalam satu simfoni, adakah itu lagu cinta yang sedih? Atau suara tangisan alam kerana menangisi nasib malangnya?
“Zack..!”
Natsuda berlari-lari anak mendapatkan Zack di tepi pantai.
“Hoi Zack!”
Dia menepuk bahu lelaki itu dari belakang. Dan apabila Zack berpaling perlahan-lahan, terkejut dia menyaksikan seraut wajah yang begitu sedih dan kecewa.
“La.. ngapa kau ni?”
“Aku tak mahu teruskan pertandingan ni..” ucap Zack terketar-ketar.
“Ishh.. mana boleh.. Pertandingan dah nak mula ni..”
“Aku dah patah semangat..”
“Isyy..”
“Aku sangat sedih Natsu!”
“Aku faham.. tapi marilah!” Natsuda mendakap lembut bahu Zack.
“Aku ni langsung dah tak berguna..!”
“Sudahlah.. kau bawa bertenang dulu.. lepas pertandingan ni kita sama-sama selesaikan masalah kau tu, ya?”
Angguk lemah.
“Ha, senyumlah sikit.. pegi touch up. Muka kau tu teruk sangat.. takkan nak naik pentas dengan muka macam tu..”
Angguk lagi.

Semasa Natsuda dan Zack bergerak perlahan meninggalkan persisiran pantai, ombak berdebur kian kuat dan menghempas-pulas. Hembusan angin telah bertambah deras, menggoncang kebanyakan daun-daun kelapa. Beratus-ratus ekor ikan secara mendadak menghempas diri tepian daratan. Burung-burung camar entah dari mana berterbangan ke sana ke mari, riuh rendah bunyinya seperti takut menghadapi sesuatu.

* * * *

Sharifah tidak sedar pukul berapa dia terlena malam itu. Apa yang nyata, banyak sungguh air mata dibazirkan. Sepanjang-panjang malam dia bertarung dengan kesedihan dan perasaan serba salahnya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia berasa seperti telah melakukan satu dosa yang amat besar! Tiba-tiba sahaja dia berasa seperti telah melukakan hati Zack dengan teruk! Siapa tahu Zack sungguh berkata benar? Siapa tahu Zack sebenarnya telah insaf dan betul-betul mahu kembali ke pangkuannya? Dan mungkin juga benar lelaki itu telah menjadi mangsa tipudaya program realiti yang gila mengaut keuntungan itu?

Mengapa baru sekarang dia terfikir akan perkara ini? Mengapa tidak dari awal lagi, sewaktu Zack menelefon memohon kemaafan dari dirinya tadi sepatutnya dia sudah pun menyedari? Sekarang Zack sedang sibuk di pentas pertandingan, mana mungkin dapat dia menghubungi lelaki itu.. Dia terpaksa menunggu lewat malam nanti selepas semuanya berakhir, barulah dapat dia meneruskan hajatnya untuk memohon kemaafan dan merungkaikan segala salah sangka antara mereka selama ini. Dan kerana menunggu itulah, Sharifah akhirnya terlena. Dia cuma terjaga tatkala Tina masuk ke dalam bilik, keesokkan paginya mengejutkan dirinya untuk bangun pagi menunaikan solat subuh.
Terkejut dan termangu-mangu, Sharifah bangkit sambil menggesek-gesek matanya. Hairan juga dia melihat keadaan Tina pagi itu. Selalunya, setiap pagi dialah yang lebih dahulu bangun dan terpaksa bersusah payah mengejutkan kawannya itu, tetapi pagi ini, suasananya agak berlainan. Tina tampak tenang sekali bertelekung putih. Gadis itu memandangnya bersama perasaan sayu lantas bergerak menghilang ke luar.
Selepas membersihkan diri dan menunaikan solat, Sharifah mencapai telefon bimbit. Dia cuba menghubugi Zack tetapi panggilannya itu tidak berjawab. Bersama semacam sangkaan bahawa lelaki itu mungkin sedang tidur keletihan, dia keluar dari bilik mendapatkan Tina di meja makan.

Tina senyum pahit kepadanya. Susy yang kebetulan juga berada di situ turut memandang bersama perasaan simpati.

Sharifah dikelilingi kehairanan. Perasaan itu menjadi bertambah kuat apabila Tina menarik tangannya lalu mengajak duduk bersama, menentang wajah antara satu sama lain. Dia memerhatikan raut muka Tina. Wajah itu bungkam. Dia memerhatikan pula raut wajah Susy. Wajah itu juga bungkam.

Aneh! Mengapa semua orang kelihatan sedang berduka dan bermuram? Apa yang telah berlaku?
“Ifa..” panggil Tina dalam nada paling lembut.

Sharifah mendongak bersertakan renungan sangsi. Tangannya digamit lemah, diusap mesra oleh jari-jemari runcing Tina. Susy di sebelahnya, hanya tertunduk membisu memandang meja.
“K..kenapa korang ni?” terluah juga pertanyaan itu dari mulut Sharifah akhirnya.
Tina menghela nafas berat. Ada sesuatu hendak diajukan tetapi ia kelihatan begitu payah dan sukar.
“Sebenarnya kami ada perkara nak beri tahu kau..” ucap Tina tertahan-tahan.
Sharifah memasang telinga mendengar.
“Sebenarnya malam tadi.. ada sesuatu telah berlaku..”
Sharifah menarik nafas gugup.
“Sebenarnya malam tadi..”
Tina berpaling memandang muka Susy. Susy tidak berani hendak mengangkat muka.
“Sebenarnya malam tadi, ombak tsunami tiba-tiba melanda pantai tempat pertandingan Terhangat di Pasaran..”
Sharifah menjadi semakin terpinga-pinga.
“Ombak itu telah memusnahkan pentas serta khemah-khemah program..”
Diam kaku.
“Dan ia juga telah mengorbankan beribu-ribu nyawa mereka yang berada dalam program tu. Termasuk kebanyakan para peserta…”

Semerta suasana bertukar menjadi sunyi. Terlalu sunyi. Satu kesunyian yang total. Apa yang kedengaran hanyalah suara juruhebah dari kaca television kecoh mengumumkan laporan terkini tragedi ombak tsunami melanda pantai peranginan Thailand.
“Penonton-penonton sekalian.. inilah tragedy paling dahsyat melanda rantau ini. Beribu-ribu pengunjung yang menghadiri pertandingan akhir Terhangat di Pasaran telah terkorban. Usaha mencari dan menyelamatkan mereka yang masih hidup dan terperangkap sedang giat dijalankan. Antara mangsa-mangsa yang dipercayai telah terkorban adalah peserta-peserta akhir TDP sendiri. Mereka ialah…

Khairul Sani.. atau nama samarannya Ken..
Jason Liew Chong atau nama samarannya Chong..
Ahmad Zakuan atau nama samarannya Zack…
Hairi Rafei atau nama…………………………………………………….”

O, Tuhan..
Sekarang barulah Sharifah menyedari apa sebenarnya telah berlaku. Baru ketika itu jugalah dia mahu menangis kuat-kuat.
Dia telah kehilangan sesuatu yang amat berharga, sesuatu yang tak akan ada gantinya lagi! Dia telah kehilangan lelaki kecintaannya sebelum sempat dia memohon kemaafan dan mengubati luka yang telah ditinggalkannya.

“Kami minta maaf Ifa..” pujuk Tina kesal. “Kami tumpang simpati dengan apa yang berlaku.. Semalam kami dapat saksikan peristiwa itu dengan kaca mata kami sendiri. Ombak tsunami tu datang melanda tatkala para peserta sedang bergaya menayangkan tubuh badan masing-masing dalam pakaian renang, diiringi pula gadis-gadis jelita yang berpakaian mandi.. dan semua itu barangkali telah mengundang kemurkaan Illahi..”
Sharifah menekup mulut menahan sebak yang tiada terhingga.
“Sekarang.. tubuh mereka semua dah jadi bangkai, Ifa..” sambung Tina tersekat-sekat. “Tubuh yang kekar dan seksi sudah kembung, buncit, bengkak kerana dimasuki air..”
Hati menjadi kian pedih dan tertindih.

“Semalam kami juga nampak Zack.. Dia seorang sahaja yang pakai seluar Bermuda dan singlet malam tu..berbeza dengan peserta-peserta lain yang hampir tak berpakaian.. Masa ombak tu datang, Zack dapat selamatkan diri.. dia dapat panjat sebatang pokok ru besar.. tapi apabila dia lihat kawannya Natsuda sedang terkial-kial berenang meredah ombak.. dia terus turun hendak membantu.. tapi sayang, dia akhirnya turut terkorban sama..”
Berjurai-jurai air mata membasahi pipi Sharifah. Tahulah dia kali itu betapa gilanya perasaan. Dia telah melakukan satu dosa paling besar iaitu mencurigai dan menuduh lelaki yang paling mencintainya. Sekarang bagaimana dapat dia memohon kemaafan? Lelaki itu sudah pergi. Pergi untuk selama-lamanya…
“Ifa.. tolong percayakan Zack.. jangan curigai orang yang menyayangimu dengan bersungguh-sungguh.. Ia adalah satu pengkhianatan.. dan rasa dikhianati itu sangat sakit..!”
“Ifa..! Ifa… Jangan buat Zack begini, Ifa..!”
“Ifa.. maafkanlah Zack…! Zack sangat sedih!”
“Ifa……..!”
“Ifa….!”
“Ifa.”

Sejak dari hari itu, suasana rumah teres dua tingkat itu tiba-tiba bertukar sebegitu pantas. Tina dan Susy tidak lagi asyik digoda pujukan kaca tv. Sofa di ruang tamu jarang-jarang diisi melainkan jika ada rancangan berita atau program agama. Mereka semakin kuat mendekatkan diri ke surau, apalagi menghadiri kuliah-kuliah penyucian hati. Sementara Sharifah pula, setiap hari asyik berulang-alik dari mengunjungi pusara Zack. Setiap kali dia akan bercakap-cakap di hadapan kuburan lelaki itu. dia akan mendoakan potongan ayat-ayat suci Al-Quran, dan kemudian pulang membawa perasaan tenang dan hasrat mahu menjadi hamba yang paling taat dan bertakwa.
Demikianlah lumrah hidup manusia. Tatkala peringatan Allah datang melanda, mereka akan kembali ke pangkal jalan. Maka beruntunglah mereka-mereka yang mahu mengambil pengajaran tetapi sangatlah rugi bagi mereka yang kekal sesat dan terus bergelumang dengan dosa…

SEKIAN

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool