Terserempak bunian rai kenduri kahwin





BUKAN mudah untuk menuntut ilmu daripada Tok Ngah Awang. Setakat minat belum tentu diterima menjadi anak muridnya. Perkara paling penting baginya ialah pengisian pendidikan agama Islam dan peribadi mereka yang ingin mempelajari ilmunya.

Ilmu agamanya cukup tinggi. Dengar cerita, dia pernah memondok (belajar agama) di Sumatera dan bertapa di sebuah gunung di Johor. Ketika darurat, dia menjadi tempat penduduk berlindung daripada menjadi mangsa keganasan komunis, demikian pembuka Abang Sahak (bukan nama sebenar) kepada penulis ketika mengunjungi di rumahnya di Yan, Kedah, baru-baru ini.

Abang Sahak pernah merantau di Pahang. Dia kenal benar dengan Tok Ngah dan pernah tinggal di kampung orang tua itu iaitu Kampung Kemahang. Sepanjang mengenali Tok Ngah, banyak pengalaman menarik pernah dialaminya.

Cerita Abang Sahak lagi, pada suatu hari, Tok Ngah yang ketika itu berusia 70 tahun tetapi masih sihat dan kuat mengajaknya pergi memancing di tasik bekas lombong emas di Kampung Kuala Kemahang. Dua anak muridnya, Iman Golek dan Mus Montel turut serta.

Seminggu sebelum itu, Tok Ngah pergi ke kaki Bukit Raya. Apabila pulang, dia memberi tahu Abang Sahak yang ekspedisi memancing kali ini amat menarik. Pengalaman berharga akan Abang Sahak alami, kata Tok Ngah.

Terbayang di kepala Abang Sahak, Iman Golek dan Mus Montel keadaan destinasi yang akan dikunjungi. Hutan tebal tempat jin bertendang dan bekas lombong yang kebiasaannya menyedut mangsa menambahkan kerisauan di hati.

“Diam saja, biar mereka berkicau. Ada mata tengok, ada telinga dengar,” kata Tok Ngah ketika mereka memasuki kawasan bekas lombong yang diiringi beberapa ekor burung murai batu terbang rendah. Riuh rendah bunyi kicauan burung itu seakan-akan meraikan kehadiran mereka.

Belum pun kicauan burung itu reda, tidak jauh dari arah matahari terbit, terdengar bunyi ayam hutan berkokok. Sejurus kemudian, pendengaran rombongan kaki pancing diketuai Tok Ngah itu dihujani bunyi bercampur-baur yang asing bagi mereka.

Kira-kira jam 6.30 petang, mereka sampai di kawasan bekas lombong berkenaan. Pondok pisang sesikat segera didirikan kira-kira 15 meter dari tasik. Malam itu, selepas menunaikan solat Maghrib, habuan pun dijejak.

“Kamu dah dapat berapa ekor? Dah lewat tengah malam, seekor ikan pun tak mengena. Jangan-jangan dah habis dikebas memerang," kata Imam Golek.

“Habuk pun takde! Lupa bawa jala. Kalau tidak, esok boleh menjala. Taklah bosan tunggu berjam-jam pun ikan tak dapat,” balas Mus Montel menoleh ke arah Iman Golek yang kecewa kerana hampir jam 2 pagi, kail batang buluh yang mereka gunakan belum diuji.

Ketika mereka asyik mengomel, tiba-tiba Tok Ngah muncul dari arah belakang. Seekor baung sebesar betis dijinjing dengan tangan kanannya. “Ini saja yang mereka beri, jom kita balik ke pondok. Aku dah mengantuk sangat, sambung esok,” arah orang tua itu.

Keesokannya, sehingga jam 12 tengah hari, kekecewaan dialami pada malam tadi berulang.

Pelik! Tetapi Tok Ngah Awang dapat merasakan apa yang berlaku. Sambil menghadap ke arah kiblat, dia membaling seketul batu dibalut sehelai daun ke tengah tasik. Kemudian, dia berpatah balik ke pondok. Mus Montel diarah untuk mengambil sehelai daun pokok balik angin. Iman Golek dan Abang Sahak dipanggil berkumpul di pondok.

“Jangan terkejut, ambil daun ini seorang satu dan halakan ke arah tasik itu. Aku beri masa 10 minit saja untuk kamu tengok apa yang boleh dilihat,” katanya.

Sebaik tempoh masa diberi tamat, Abang Sahak, Iman Golek dan Mus Montel terpaku seketika. Muka Tok Ngah Awang direnung. Tok Ngah tersenyum.

“Tiada apa yang mustahil. Dengan keizinan Allah, kita boleh melihat mereka. Apa yang kamu nampak, Iman?”

“Cahaya lampu gasolin gemerlapan, macam berlangsung majlis kenduri. Ramai orang memasak di kawasan masjid tetapi kenapa malam?” kata Iman Golek.

“Tuhan jadikan siang waktu manusia tapi malam bagi orang bunian. Begitulah sebaliknya,” jawab Tok Ngah.

Tok Ngah mengarahkan Abang Sahak, Iman Golek dan Mus mengemaskan peralatan untuk pulang. Hari itu berlangsung majlis kenduri bagi penduduk orang bunian di situ. Mereka tidak mahu diganggu oleh orang asing.

“Kita dah sesat Tok Ngah. Tengok di depan tu ada sungai. Jalan sebenar mana ada sungai,” kata Mus Montel yang mula gelabah apabila jalan pulang tidak ditemui.

“Kita memancing di sini. Aku rasa di sungai ini ada rezeki untuk kita,” arah Tok Ngah.

Masin cakap orang tua itu. Kepulangan mereka hari itu disambut gembira anak dan isteri masing-masing. Masing-masing membawa pulang ikan baung, kalui, kelah, tengas dan lampam cukup untuk makan sekeluarga seminggu.

Abang Sahak masih ingat lagi nasihat Tok Ngah. Antaranya, jangan sesekali berbohong atau bersikap tidak jujur jika mendapat pertolongan orang bunian. Makhluk halus terbabit lebih senang menolong orang yang baik, lurus dan tidak berbohong.

Pengalamannya dapat melihat perkampungan orang bunian dengan menggunakan daun balik angin itu membuatkan dirinya berasa insaf betapa tingginya darjat Allah yang mencipta alam semesta ini.

“Dua minggu kemudian, saya diajak Tok Ngah ke bekas lombong berkenaan. Apa yang kami dapat lihat pada hari itu ialah banyak ayam hutan berkeliaran mencari makan di tepi tasik itu,” kata Abang Sahak menutup cerita.



Sumber
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool