Utusan Kasih



Aku selamat menjejakkan kakiku ke sebuah kampung yang namanya sering menjengah ke telingaku semenjak kecil lagi. Di sinilah segalanya bermula dan di sini jugalah segalanya akan berakhir.

Excuse me, may I help you? You look lost?” Seseorang menegur. Aku menoleh ke belakang. Seorang gadis manis ayu bertudung biru menegurku. Aku tersenyum. Barangkali aku disangkanya pelancung.

“Boleh saya dapatkan rumah penginapan di sini?” tanyaku menjawab di dalam Bahasa Melayu. Ada kerutan di wajahnya.

“Awak pandai berbahasa melayu rupanya,” sambutnya terkejut.

“Saya orang melayu. Nama saya Natasya,” perkenalku.

“Saya Zulaikha. Maaflah. Kat sini tak ada rumah penginapan. Tapi, kalau sudi, jemputlah ke rumah saya. Saya tinggal berdua saja dengan mak saya,” pelawanya. Bagaikan orang ngantuk disorongkan bantal, aku hanya menurut. Tidak sedikit pun rasa cuak atau ragu-ragu dengan pelawaan orang yang baru dikenalinya itu.

Sepanjang pulang ke rumahnya, Zulaikha menceritakan serba-sedikit tentang kampung yang menjadi kebanggaannya. Di zaman anak muda sibuk mencari kerja di bandar besar, Zulaikha masih setia menabur bakti di sekolah lamanya dulu. Apatah lagi emaknya tidak mahu meninggalkan kampung itu. Sebagai anak tunggal, Zulaikha menurut kehendak emaknya.

“Assalamualaikum,” Zulaikha memberi salam setelah berdiri di hadapan sebuah rumah lama yang cantik dengan ukiran tradisional. Kedengaran sayup-sayup orang menjawab dari belakang rumah. Mataku melilau melihat sekeliling kawasan rumah. Persis seperti cerita yang pernah kudengar dulu.

“Awat hang balik lambat, Ika? Banyak kerja ke hari ni?” tegur seseorang dalam loghat utara yang agak pekat. Kelihatan Zulaikha menyalami tangan emaknya. Wajah tua itu kutenung lama. Wajah itu mengingatkan aku pada seseorang nun jauh di seberang. Tiba-tiba, rindu bertamu di hatiku.

“Mak, ni Natasya. Ika jumpa dia di simpang jalan tadi. Dia nak cari rumah tumpangan. Ika ajak dia mai tinggal dengan kita. Boleh ye mak?” ceritanya. Aku menghampiri emak Zulaikha lalu kami bersalaman.

“Hang ajaklah dia masuk. Mak tak reti nak habaq orang putih dengan dia,” pelawa emaknya membuatkan Zulaikha ketawa. Aku hanya tersenyum.

“Awak dah dengar, kan?”, tegur Zulaikha mencuit lenganku. Berkerut dahi emaknya. Akhirnya ledakan ketawa mengiringi kami ke ruang tamu rumah kayu itu. Entah untuk yang ke berapa orang, emak Zulaikha turut tertipu dengan penampilanku.

Mak Mah, itulah nama panggilan orang kampung pada emak Zulaikha. Mak Mah layan aku macam anaknya sendiri membuatkan aku tidak kekok. Baru sehari kenal aku rasakan bagai sudah bertahun mengenalinya. Membuatkan rinduku pada ibu semakin mendalam. Demi sebuah janji dan harapan aku korbankan segalanya.

~~~~~~~~~~~~~~~

“Jauhnya menung? Dok merindu ke?” usik Zulaikha yang kini kupanggil Ika saja. Pangkin tempat aku duduk menjadi persinggahan punggungnya.

“Mahunya tidak rindu. Sepanjang dua puluh dua tahun tak pernah berpisah, tiba-tiba terpaksa berjauhan. Kalau Ika di tempat Tasya macam mana?”

Berkerut-kerut wajah Ika cuba mengimaginasikan kata-kataku.

“Ish! Tak maulah. Biarlah Ika dok tercongok kat sini dari dok jauh dengan mak,” jawabnya.

“Tasya, Ika tanya sikit boleh dak?” tanyanya setelah agak lama kami membisu. Aku menoleh sekilas.

“Apa dia? Tanyalah. Selagi Tasya boleh jawab, Tasya akan jawab,” sambutku.

“Tadi Tasya kata ayah Tasya berasal dari England dan ibu Tasya orang melayu. Ibu Tasya berasal dari mana?” tanyanya ingin tahu. Aku hanya tersenyum. Untuk berterus-terang tidak sekali-kali.

“Ibu orang Malaysia. Berasal dari utara. Tasya datang sini sebab ibu selalu bercerita tentang kampung ni. Ibu pernah tinggal di kampung ni dulu. Tasya nak rasai sendiri keindahan yang ibu selalu ceritakan,” jelasku tenang. Ika mengangguk kepala beberapa kali. Seperti ada riak ketidakpuasan di wajahnya.

“Tasya nak jalan-jalan pusing kampung, dak?” cadang Ika.

“Boleh juga. Tasya nak ambil kamera sebentar. Nanti boleh tunjuk pada ibu. Biar dia tengok kampung ni masih macam dulu ke tak, kan?” sambutku. Aku berlari anak masuk ke rumah mengambil kamera lalu kembali mendapatkan Ika yangsudah menanti di jalan masuk ke rumahnya.

Aku melalui bendang sawah yang terbentang hijau. Kata ibu, di situlah dulu dia bermain dengan saudaranya menangkap ikan keli untuk dibuat lauk sementara menantikan ibu dan ayah mereka membanting tulang. Di tengah-tengah bendang, sebuah pondok beratapkan nipah masih tegap berdiri. Cerita ibu, di situlah tempat ibu dan kawan baiknya, Kamariah menghabiskan masa petang mereka.

Kenalkah Ika pada Makcik Kamariah? Menurut ibu, kawannya itu berkahwin setelah habis sekolah. Perkahwinan yang telah dirancang oleh orang tua dengan seorang guru sekolah rendah.

“Jom ke sana,” ajak Ika sambil menarik tanganku ke sebuah rumah banglo setingkat di sebelah tapak bendang.

“Ke mana? Rumah siapa ni?” soalku namun tidak dijawab oleh Ika.

“Assalamualaikum,” Ika memberi salam.

“Waalaikumsalam,” jawab seorang wanita sebaya Mak Mah yang sedang memegang beberapa helai tali di tangannya.

“Ika. Awat hang dah lama tak mai sini?” tanyanya lalu menjemput kami masuk.

“Mak Yah, Ika bawa kawan. Nama dia Tasya. Dia mai dari London,” perkenal Ika. Kami bersalaman. Ika memeluk lengan Mak Yah mesra.

“Tasya, ni mak susuan Ika. Nama dia Kamariah. Tapi kami panggil dia Mak Yah,” cerita Ika. Patutlah manjanya bukan main lagi. Tapi, nama penuh Mak Yah menarik minatku. Aku pandang muka Mak Yah lama. Mata kami bertentangan. Sinar mata Mak Yah begitu asing sekali.

“Mak Yah ada seorang kawan kat London. Dah berpuluh tahun tak jumpa dia. Tengok muka Tasya teringat Mak Yah kat dia,” ucap Mak Yah seperti menahan sendu.

“Kenapa dia tak balik?” tanyaku ingin tahu. Ika menarik Mak Yah duduk di sofa di ruang tamu. Lembut tangan Ika mengusap lengan Mak Yah seperti memujuk hati laranya.

“Dia pi belajaq kat sana. Lepas tu dia balik bawa suami. Mak bapa dia tak suka. Depa halau dia dari rumah. Sejak tu dia tak mau balik dah. Mak Yah rindu sangat kat dia,” cerita Mak Yah sedih. Ada titisan air mata yang membasahi pipinya. Ibu! Makcik Kamariah masih hidup! Tidak sabar aku ingin khabarkan berita itu pada ibu.

“Insya Allah, tentu satu hari nanti dia balik ke sini. Kan Malaysia ni negara tumpahnya darahku,” bagaikan memujuk aku bersuara. Jangan risau, Mak Yah. Ibu akan pulang setelah utusan kasih ini menjengah telinganya. Mak Yah tersenyum. Terpujukkah dia dengan kata-kataku? Ah! Luka di hati Mak Yah tak siapa yang tahu.

Kami minta pulang setelah lewat petang bakal berakhir. Tergamam aku apabila tubuhku dirangkul Mak Yah erat. Peluklah Mak Yah. Darah kawan baik Mak Yah mengalir di tubuh Tasya. Ingin saja kulaung kata-kata itu ke telinganya namun, misiku belum berakhir.

~~~~~~~~~~~~~~~

Lima hari sudah berlalu aku menumpang di rumah Ika. Layanan Mak Mah membuatkan aku tidak terasing di bumi sendiri. Setelah Ika ke sekolah awal pagi, tinggallah aku di rumah menemani Mak Mah. Adalanya aku menemani Mak Mah ke pasar atau berkebun di belakang rumah. Aku dapat lalui apa yang ibu lalui dulu. Berkebun, berjemur di bawah sinaran matahari di awal pagi.

Petang, jika tidak hujan, kami ke sungai di belakang rumah Mak Mah. Di situlah aku dan Ika bergurau senda sambil berangan. Sama seperti ibu dan Mak Yah dulu. Patutlah, biar dihiasi empat musim di rantauan, hati ibu selalu terkenangkan kampung terpencilnya ini.

“Tasya nak tahu tak?” soal Ika tiba-tiba sedang aku duduk termenung di atas batu setelah letih menyelam.

“Apa dia?” jawabku pendek.

“Tasya baru lima hari kat sini, tapi satu kampung dah kenal Tasya. Kalah artis tau,” cerita Ika.

“Begitu sekali? Apa yang istimewanya Tasya ni sampai heboh sekampung?”

Ika menolehku lama. “Hello, my friend. Tasya tak perasan ke rupa Tasya dengan Ika ni macam langit dengan bumi?” Aku tergelak kecil.

“Oh! Itu yang mereka pandang? Darah Tasya depa tak mau tengok ke?” balasku membuatkan Ika tergelak.

“Jomlah. Dah sejuk ni. Kang bising pula mak. Anak dara tak reti-reti nak balik. Dah macam ikan duyung kita ni,” ajaknya. Aku hanya menurut. Aku mencapai tuala lalu membalut tubuh yang sudah lenjun pulang ke rumah.

Suasana di rumah Ika agak riuh. Bagaikan ada tetamu. Kami segera membersihkan badan dan menukar pakaian untuk menjenguk siapa yang datang. Aku mengikut langkah Ika ke ruang tamu. Ada tiga orang semuanya. Dua perempuan dan seorang lelaki.

“Tasya, mari Mak Mah nak kenalkan dengan nenek Ika,” panggil Mak Mah. Aku hampiri wanita yang dikatakan nenek Ika. Hampir terduduk aku melihat senyuman di wajah tua itu. Walau sudah berpuluh tahun, wajah itu tidak banyak perubahannya. Kami bersalaman. Aku mencium tangan nenek lama sehingga menimbulkan kecurigaan di hati semua orang yang ada. Aku pandang wajah nenek lama sambil tersenyum. Tiada siapa yang tahu betapa gembiranya aku melihat wajah nenek buat pertama kalinya.

“Nenek rasa Tasya macam cucu nenek,” luahnya sayu. Tersentuh hatiku. Bagaimana perasaannya andai dia tahu sememangnya aku adalah cucunya? Aku duduk di sisi nenek. Nenek usap wajahku lama.

“Mak rasa macam mak pandang muka Narimah,” ujar nenek lagi.

“Siapa Narimah tu, nenek?” tanyaku ingin tahu walau sudah kutahu siapa yang dimaksudkannya.

“Anak nenek tapi nenek marah dia. Nenek halau dia dengan suami dia. Apalah habaq dia kat sana nun,” pendek cerita nenek. Barangkali menahan rasa bersalah dan rindu di hatinya. Aku pandang ke wajah Ika. Dia sepupuku rupanya dan Mak Mah yang merupakan kakak ibu. Mataku berhenti pada dua wajah di hadapanku.

“Yang itu Pak Long dan yang itu Mak Ngah,” perkenal Ika. Aku menyalami tangan mereka. Akhirnya misiku telah berakhir. Aku akan serahkan utusan kasih ini buat ibu yang hidup dalam kerinduan. Ibu, Tasya akan pulang!

~~~~~~~~~~~~~~~

Aku duduk di pangkin bawah pokok rambutan. Bunga baru berputik. Cuaca agak mendung berbanding petang semalam. Selepas kepulangan nenek, barulah aku berterus-terang dengan Mak Mah tujuan kedatangan aku ke kampung yang damai itu. Terjadilah adegan pilu di antara aku dan Mak Mah yang kini kupanggil Mak Lang.

“Assalamualaikum,” suara lelaki menegur. Aku berpaling. Seorang jejaka berdiri tegak bersama mangkuk bertingkat di sisi pangkin.

“Waalaikumsalam,” jawabku teragak-agak. Sekelilingku sunyi. Rasa takut menyelubungi diriku. Takut andai ada mata-mata yang tidak senang dengan tingkahku sebagai anak kacukan yang dibesarkan negara barat.

“Mak Lang ada di rumah?” tanyanya.

“Tak ada. Dia ke dewan. Ada perjumpaan katanya.”

“Abang ni anak Mak Yah. Ini Tasya, kan?” Aku hanya mengiakan saja kata-katanya. Tak pernah aku tengok pun dia ni? Orang menyamar tak?

“Kenapa berkerut dahi tu? Tak percaya ke?” tanyanya tanpa kuduga. Aku memegang dahiku. Berkerut sangat ke tadi? Malunya aku.

“Abang duduk di KL. Bila cuti baru balik sini,” jelasnya tanpa kuminta tapi memang aku harapkan.

“Boleh abang duduk?” pintanya. Aku hanya mengangguk. Mangkuk bertingkat yang dihulurnya kusambut lalu kuletakkan di tengah-tengah antara kami berdua. Kami membisu. Hanya sesekali terdengar keluhannya. Barangkali bosan menunggu kepulangan Mak Lang.

“Ika mana?” tanyanya tiba-tiba. Aku berpaling ke wajahnya. Aku segera berpaling ke arah lain apabila mata kami bertentang. Kalah aku melawan pandangan tajamnya.

“Dia balik lambat sikit sebab ada aktiviti kat sekolah katanya.”

“Tak apalah kalau macam tu. Mak Lang macam balik lambat lagi. Abang balik dululah. Kirim salam abang pada Ika dan Mak Lang ye,” pesannya. Aku hanya mengangguk lalu menghantar langkahnya beredar dari laman Mak Lang dengan ekor mataku.

“Amboi! Seronoknya dok kat sini ada orang temankan, ye?” sergah Ika. Aku hanya tersenyum.

“Berapa lama jadi pengintip ni?” tanyaku.

“Sejak lima minit yang lalu. Wah! Siap hantar bekalan lagi. Ada apa-apa ke?” usik Ika. Aku mencebik.

“Dia datang nak jumpa Mak Lang tapi kan Mak Lang ada meeting kat dewan tu. Ika pun balik lambat sangat. Dah lama dia tunggu tapi tak juga balik-balik. Sudahnya dia balik je,” jelasku. Ika masih tersengih di sisiku.

“Tasya suka tak kat abang Ika tu? Dia handsome, kan? Dia tak de girlfriend tau. Kalau Tasya sudi, Ika boleh tolong aturkan semuanya,” cadang Ika membuatkan aku tergelak.

“Hello, Cikgu Ika. Sejak bila pula tukar profession jadi pencari jodoh ni? Sebelum nak carikan orang jodoh, cari dulu jodoh sendiri ye,” balasku. Ika tergelak besar. Berkerut dahiku. Salahkah apa yang aku cakap?

“Tasya ni lambatlah. Tak perasan ke cincin kat jari Ika ni?” Aku belek jemari Ika yang halus meruncing. Sudah lama aku perasaan cincin belah rotan yang sudah terpatri di jari manisnya semenjak hari pertama aku tinggal bersamanya.

“Alah, cincin belah rotan. Sesiapa pun boleh pakai,” sambutku selamba.

“Sebenarnya, ini cincin tanda. Bakal tunang Ika pergi belajar kat New Zealand. Dua bulan lagi dia habis belajar kami bertunang. Lepas tu, kahwinlah. Kemudian, Ika bolehlah pinangkan Tasya untuk abang Ika tu,” jelasnya.

“Jangan nak mengada. Dah! Jom masuk dah nak maghrib. Sat gi Mak Lang balik bising pula anak dara dok kat luar lagi,” ajakku cuba mengalih perbualan kami tentang abang Ika. Eh! Siapa nama dia? Nak tanya Ika? Tak boleh. Nanti dia fikir lain pula. Lantaklah! Tak ada kena mengena dengan aku.

~~~~~~~~~~~~~~~

Aku tidak sabar menanti di muka pintu. Sudah berpuluh kali aku berulang menjenguk ke muka pintu. Bayang orang yang kutunggu tidak juga muncul tiba.

“Tasya, cuba duduk diam-diam. Risau pula Mak Lang tengok dok ulang-alik ni,” tegur Mak Lang. Aku tersenyum lalu duduk di sofa. Kali ini kepalaku pula menjengah ke tingkap berulang kali.

“Lambatnya sampai. Entah-entah tersesat kot?” tekaku. Mak Lang sudah menggeleng kepala melihatku gelisah. Kata Ika tadi, aku sudah seperti ayam berak kapur. Aku ke dapur menjenguk Ika yang sedang membuat kuih kuih karipap.

“Ya Allah! Ni apahal muka dah macam orang putus cinta ni? Abang tak datang, ye?” sapa Ika.

“Banyak kerjalah dari nak tunggu dia. Lambat betullah mereka ni sampai. Betullah kata orang, kan. Penantian itu suatu penyiksaan”. Ika tersenyum. Aku menolongnya mengisi inti ke dalam adunan yang sudah dinipiskan oleh Ika.

“Tasya!” Terdengar namaku dipanggil Mak Lang. Aku segera menuju ke ruang tamu. Hampir menjerit aku lalu berlari memeluk tubuh orang yang amat aku rindui.

“Anak ibu sihat?” tanya ibu. Aku peluk ibu kuat-kuat. Rinduku selama dua bulan ini berbalas jua akhirnya.

“Rindu kat ibu. Ayah tak ikut sama?” tanyaku setelah menyedari kelibat ayah tiada. Ibu mengusap kepalaku lalu tersenyum.

“Ayah ada di bawah dengan Pak Long dan Pak Ngah,” jawab ibu. Aku jenguk dari tingkap. Ayah sedang rancak bercerita. Sesekali tangannya menepuk bahu Pak Long dan Pak Ngah. Nenek turut di samping mereka. Alhamdulillah. Benci nenek pada ayah sudah berakhir. Sayangnya, aku tidak berkesempatan bertemu dengan datuk. Utusan kasih ibu dan ayah telah selamat aku sampaikan. Aku kembali menghampiri ibu. Lengan ibu aku peluk.

“Berkepit sajalah jawabnya anak dara saya yang seorang ni, kak,” perli ibu. Aku hanya mencebik. Yang penting rinduku terlerai.

“Alah, Mak Su. Tak lama lagi Tasya dah tak payah berkepit dengan Mak Su. Ada orang kat kampung ni berkenan dengan anak dara Mak Su tu,” Ika pula mengusik.

“Ye ke? Siapa Ika? Tunjukkanlah pada Mak Su,” ibu sambut seronok menyakatku. Aku jeling Ika tajam namun tiada reaksi yang membolehkan aku tersenyum lega.

“Tasya nak jumpa ayahlah,” ujarku seakan merajuk lalu keluar mendapatkan ayah di halaman rumah.

~~~~~~~~~~~~~~~

Ibu masih memandangku sambil tersenyum. Mukaku masih masam mencuka. Sudah puas aku ke hulu ke hilir mencari jawapan keputusan permintaan mereka. Keputusan ibu dan ayah begitu berat. Utusan kasih mereka telah aku laksanakan. Mengapa kini utusan kasih itu harus ada penyambungnya. Tidak adil buatku. Wajah ayah tetap tenang seperti selalu.

“Tasya, sampai bila Tasya nak mogok macam ni?” ayah bersuara seakan cuba memujuk.

“Tasya tak kesian kat ibu dengan ayah?” ibu pula sayu bersuara namun wajahnya dibaluti pengharapan yang terlalu tinggi. Aku cukup lemah jika ibu dan ayah bersuara sayu begitu. Terasa berdosa menguasi diriku. Selama ini mereka turuti segala kemahuanku. Tidak pernah walau sekalipun aku dikecewakan. Wajarkah aku mengecewakan satu-satunya permintaan mereka?

“Ayah dan ibu tak marah kalau Tasya tak boleh terima tapi kami nak Tasya tahu. Apa yang kami cuba lakukan hanyalah demi kebaikan Tasya sendiri,” luah ayah lalu meninggalkan aku sendirian di dalam bilik. Ibu menurut langkah ayah keluar dari bilikku. Aku duduk di tepi birai katil.

Haruskah aku menerima pinangan Mak Long untuk anak buahnya? Haruskah aku korbankan masa depanku sendiri demi menjaga hati mereka yang inginkan hubungan persaudaraan kami tidak akan terputus lagi? Aku bangun lalu berdiri di tepi tingkap. Kelihatan ibu dan adik-beradiknya sedang rancak bercerita. Wajah ibu penuh dengan keceriaan dan kegembiraan. Apa akan jadi andai aku tolak pinangan mereka? Masihkah ada ruang untuk ibu gembira seperti itu?

Sesungguhnya, berdosa besar seorang anak jika membuatkan seorang ibu menangis kerananya. Itu kata-kata Ustazah Zarina ketika dia belajar agama dulu. Kata-kata itu masih dipegang sehingga saat ini. Kerana ibu dan ayah aku rela berkorban.

~~~~~~~~~~~~~~~

Aku renung cincin yang tersarung di jari manisku. Mak Yah yang sarungkan sebentar tadi.

“Sudah-sudahlah tu. Tak larinya cincin tu kalau tak ditenung,” perli Ika di muka pintu. Tidak sangka dalam masa dua minggu selepas aku menerima lamaran Mak Long, aku kini sudah sah menjadi tunangan orang. Tiga bulan dari sekarang aku akan bergelar isteri orang pula. Yang paling seronoknya, aku akan tinggal dengan ibu di kampung ini sepanjang tempoh itu. Ayah akan pulang ke London untuk menguruskan perpindahan mereka ke Malaysia. Ayah memohon untuk berpencen lebih awal.

Semenjak bertunang aku tidak pernah menemui tunangku. Kata Mak Yah, tunangku, Ahmad Farhan terpaksa ke luar negera menghadiri kursus jangka pendek. Dia akan pulang seminggu sebelum majlis pernikahan kami. Aku sendiri tidak pernah tanya siapakah orangnya. Masing-masing tidak pernah membuka mulut bercerita pasal tunangku.

Hari yang dinantikan muncul juga. Aku sudah diandam. Aku memakai baju kurung lace berwarna putih dan selendang warna yang sama. Di ruang tamu sudah kedengaran suara Tok Kadi membaca ikrar pernikahan. Ika menemaniku di dalam bilik. Akad sudah selesai. Kini sah sudah aku menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak aku kenali.

“Pengantin lelaki nak masuk untuk acara pembatalan air sembahyang,” suara Mak Ngah kedengaran. Debaran di dada semakin terasa. Aku tunduk memandang lantai. Seorang lelaki berbaju melayu putih sudah berdiri di hadapanku.

“Assalamualaikum,” suamiku memberi salam. Aku menjawab salamnya lalu kuhulurkan tanganku. Sebentuk cincin bertahtakan berlian tersarung sudah di jari manis kananku. Lalu, aku cium tangannya sebelum dahiku diciumnya.

Perlahan-lahan, aku mendongak memandang wajah suamiku buat pertama kalinya. Wajah suamiku tenang. Senyuman di bibirnya begitu ikhlas.

Bermimpikah aku? Aku jeling wajah Ika dan ibu yang sedang berdiri di tepi pintu. Ada senyuman bermakna di bibir mereka. Dialah utusan kasih dari mereka buatku. Rupanya Ahmad Farhan dan Abang Long adalah orang yang sama. Terima kasih semua.

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool