Zaidatul Nadia



“Jangan lupa minum air susu ni tau! Aku buat khas untuk kau.”
“Thanks…. kau kerja esok?” Akma menghirup susu sejurus Waty rakan serumahnya itu menghulurkan gelas. “Kerjalah sayang! Nanti tak cukup pulak duit aku nak belikan susu untuk anak saudara aku tu…” Waty melabuhkan punggung di tepi katil. Mengusup perut kawan yang tiba-tiba merenungnya. Semakin laju tangannya merayap ke atas perut yang semakin membesar itu, semakin tajam tahap renungan Akma. Akhirnya dia melepaskan tangan.

Zaidatul Akma bingkas bangun. Menarik daun pintu dan menutupnya dengan dentuman yang agak kuat. Membiarkan rakan terpinga keseorangan. Shawati pula bingkas. Menarik pintu dan mengejar sehingga ke ruang tamu. Mencari kelibat rakan yang tak semena-mena bangun meninggalkannya.

” Kau kenapa? Setiap kali aku buka mulut pasal baby dalam perut kau ni, kau tarik muka masam. Waty menarik lengan Akma. Namun begitu berhati-hati takut memberi kesan pada kandungan.
” Kau tak reti bahasa ke Waty! Aku cakap aku tak suka, aku tak sukalah!” Akma menarik-narik lengannya daripada seksaan cengkaman Waty. ” Tak suka… tak suka! Kalau tak suka… gugur ajelah! Hah… gugurkan sekarang! Tak payahlah kau mengusung perut ni ke sana sini.” Waty hilang sabar. Tangan dilepaskan.

Waty menghenyakkan badan di sofa. Dadanya naik turun. Sakit hatinya bukan kepalang. Dasar perempuan degil. Dia menoleh ke arah sudut meja kecil rumah teres setingkat itu. Tangisan mula menerawang di sekitar ruang tamu. Sengaja dibiarkan. Dia menekan punat televisyen 29 inci itu dan membiarkan keadaan seperti tiada apa yang berlaku. Sesekali ekor matanya menjeling ke arah rakan yang masih lagi meraung.

” Kau tak pernah faham aku! Aku hanya ada kau sebagai sahabat. Untuk aku bermanja, untuk aku curah segala masalah, untuk aku jadikan peneman dikala sunyi…..”
Akma berhenti. Sedunya makin kuat. Sehinggakan patah-patah perkataan yang keluar dari mulutnya sukar untuk difahami.

Rakan yang sedang menonton membiarkan sahaja bait-bait itu keluar dari mulut mungil rakannya itu. Orang perempuan yang emosional. Biarkan sahaja. Dia naik malas untuk bersuara. Dia tidak mahu keadaan menjadi keruh. Setiap kali bersuara tentang janin yang akan keluar tidak lama lagi itu, pasti rumah itu mendengar teriakan dan laungan Zaidatul Akma.

Dia baring di atas katil. Menggosok-gosokkan mata. Lantas dia bangun melihat wajahnya di cermin. Bengkak! Tentu pasal semalam. Aku bergaduh lagi dengan Waty. Ini semua pasal benda dalam perut ni. Akma memukul perutnya. Bertalu-talu. semakin kuat dia memukul, semakin kuatlah rasa sakit yang ditanggunginya. Akhirnya dia beralah. Menangis…. menangis… dan terus menangis. Kini hidupnya penuh dengan airmata.
Sekiranya air mata bertukar menjadi darah sekalipun….. takdir takkan bisa mengubah hidupnya. Kenapa dia perlu salahkan benda dalam kandungan? Dia yang wajar dipersalahkan. Ya! Aku yang salah. Memang aku yang benar-benar salah!!

” Abang janji sayang!” Abang akan bertanggungjawab.”
” Semua orang boleh berjanji bang. Tapi, untuk menunaikannya…” Pantas Zaki menutup mulut Akma. Lantas jari-jemarinya mengusap rambut gadis kesayangannya itu.
” Sayang tak percayakan abang?”
” Percaya! Sebab percayalah, sayang sanggup lakukannya untuk abang. Hanya abang ada di hati ini. Percayalah bang.” Akma memeluk lelaki itu. Pelukan yang tidak mungkin dileraikan lagi. Pautan kemesraan kasih sayang serta nafsu. Akhirnya, mereka hanyut dilautan gelora.

Sudah hampir lima tahun Akma meninggalkan kampung halaman. Meninggalkan ibu bapanya. Meninggalkan ayam itik serta lembu kambing untuk mencari penghidupan yang lebih selesa. Meninggalkan selut lumpur serta sawah padi untuk meniti kehidupan metropolitan yang serba mewah. Meninggalkan kedamaian dan ketenangan untuk mencari keseronokkan yang diimpikan.

” Kalau itu yang kau nak… pergilah! Kalau kau tak suka dengar cakap orang tua macam aku ni, pergilah kau! Aku tak nak paksa.”
” Mah janji mak! Mah pasti akan balik. Mah pergi untuk kebahagian keluarga kita.” Manusia suka berjanji. Namun begitu lebih ramai yang mengengkarinya.
” Kekayaan bukan penentu kebahagian! Tak bahagia ke kau tinggal dalam keluarga miskin seperti kita?”

Kerinduan terhadap emak makin ketara. Aku tipu! Aku tipu mak sendiri. Aku janji nak balik setiap bulan, tapi setiap tahun pun susah nak nampak muka aku.

Akma mengesat airmata. Makin laju derusan itu apabila mak tak mahu lagi menerima aku sebagai anak kandungnya. Sampai hati mak! Tapi, aku lagi sampai hati buat mak aku begitu. Memang wajar aku digelar anak yang tak kenal diuntung. Memang wajar aku digelar anak lupa daratan. Sembilan bulan mak mengandungkan aku! Sembilan bulan juga mak terpaksa mengusung perut macam bawa bom. Sembilan bulan juga emak terpaksa tak cukup tidur akibat tendangan aku yang bertalu-talu. Kini aku semakin rindukan mak. Rindukan gelak tawanya. Rindukan wajahnya yang sayu dan tenang. Rindukan telapak kakinya yang membawa anak-anak ke syurga. Mungkin aku bukan anak itu. Tangan ini begitu kotor untuk mencium telapak kaki itu. Apatah lagi untuk menghuni di dalamnya.

” Kenapa kau tak buang saja anak tu? Kau tak malu dengan apa yang orang akan kata nanti?” Kau tak malu pada masyarakat sekeliling?”
” Please…. Tolong jangan paksa aku dalam keadaan macam ni. Aku keliru!” Akma mengerutkan dahi. Wajah rakan direnung minta simpati. Alat pengesan kehamilan masih digenggam erat. Ternyata positif.
” Lagipun, apa yang kau dapat? Takkan kau nak tengok baby ni lahir tanpa ayah? Nanti suatu hari mesti dia akan Tanya pada kau, siapa ayahnya? Kau sanggup jawab?” Mazni masih tak puas hati. Bertalu soalan ditanya.

Rumah teres itu kemas. Akma dah jadi pembantu rumah tetap di dalam rumah itu. Setiap hari dia akan masuk ke setiap bilik dan seluruh rumah untuk tugasan mengemas. Lagipun, boleh exercise sikit. Malu nak pergi kelas senaman untuk ibu mengandung di kawasan taman tempat dia tinggal. Malu nak menunjukkan muka. Takut terserempak dengan orang yang mengenalinya.

Frame gambar itu direnung. Gambar ketika bercuti di Cameron Highland itu ditatapi. Wajah-wajah di dalam bingkai gambar kaca itu diteliti. sudah seperti satu keluarga. Lima tahun meninggalkan kampung, lima tahun jugalah aku hidup bersama mereka. Sesungguhnya, jika tiada mereka bersama sudah tentu aku hilang arah. Hilang tujuan. Shawati dan Mazni. Merekalah segala-galanya. Luaran dan dalaman penghidupan aku ini penuh dalam kocek mereka. Terima kasih kawan!!

Kalau dulu hanya Waty yang sanggup menjadi pendengar setia. Sanggup memberi semangat baru setelah aku berbadan dua. Mazni yang paling menentang. Mazni yang suruh aku gugurkan kandungan ini. Namun ikatan persahabatan yang terjalin menyebabkan Mazni berubah hati. Dia setuju dengan pendapat Waty. Akma tersenyum sendiri. Perut yang mengelembung itu diusap beberapa kali. Terasa benda bergerak-gerak dalam perut. Terasa semakin dekat ianya di hati. Dia senyum sendiri. Tak sangka lagi beberapa hari sahaja dia akan bergelar ibu. Eh! Adakah aku dah boleh menerimanya? Adakah aku dah mula menyayanginya? Tidakkk!! Tak mungkin….

” Assalamualaikummm….” Kuakan pintu menyedarkan Akma dari lamunan.
” Heiii…. dah nak jadi emak orang mana boleh termenung-menung macam ni.” Mazni menarik dagu Akma.
” Korang tak kerja hari ni?”
” Taklah! Kami gi shopping tadi! Nak tengok apa kami beli?” Waty memunggah beg plastik yang dibawanya tadi.
Akma hanya memerhati.
” Treng… teng.. tenggg!! Lawa tak?” Baju dan seluar bayi berwarna pink itu ditayang-tayang oleh waty.
” Aku yang pilih, mestilah lawa!” Mazni menyambung.

Akma buat tak nampak. Nak marah pun dia takde mood. Malas… pening… rimas. Perut aje yang digosok-gosok.

” Tak sabar rasanya aku nak bergelar auntie! Apa ye nak letak nama baby tu? Agak-agaknya, kalau dia panggil aku auntie Waty, best tak?”
” Aku pulak… mama Ani! Wow… bestnya nama tu.”

Akma menggeleng-gelengkan kepala. Malas dia nak dengar. Sepatutnya dia yang paling gembira. Bakal bergelar ibu pada bayi dalam kandungan ini. Dia membawa perut ke dalam bilik. Biliklah peneman. Peneman untuk dia mencurahkan rasa. Almari kayu dibuka. Bekas barang kemas itu dikeluarkan dari laci almari. Seutas rantai emaas berlingkarkan permata ditarik keluar dari bekasnya. Ukiran huruf ‘Z’ yang tergantung bersama-sama lingkaran rantai itu direnung. Terbayang wajah lelaki yang pernah bertahta dihatinya suatu masa dulu. Malah hati ini masih lagi ingin membiarkan lelaki itu terus hidup. Hati ini tidak mungkin menerima insan lain. Hati ini hanya untuk dia. Hanya Ahmad Zaki yang subur dalam ingatan.

Akma mengusap perut. Tinggal hari sahaja yang menentukan kemunculan insane baru di dunia ini. Namun dia masih hilang punca. Dia masih lagi keliru tentang masa depan yang bakal dicorakkan. Dia lagi belum berjumpa dengan jalan keluar pemasalahan yang dihadapi kini. Wajah Zaki datang kembali. Wajah yang paling disayangi. Dia rela lakukan apa sahaja demi Zaki. Dia rela korbankan harta dan nyawa untuk insan bernama Zaki. Malah dia sanggup menjadi insan yang bakal melahirkan zuriat untuk lelaki itu. Bodohnya aku? Salahkah aku menghadiahkan sesuatu untuk insane yang paling aku sayangi? Betulkah aku apabila sanggup menjadi pengikut setianya sedangkan dia tiada apabila aku memerlukannya?

” Halloo…. Zaki ada?”
” Zaki?? Anak ni siapa?” Suara tua terdengar dihujung talian.
” Saya Akma! Kawan Zaki makcik. Boleh saya bercakap dengan dia.”

Esakkan yang dapat didengari. Suasana senyap seketika. Kehairanan mencengkam jiwa.

” Za…. Za…. Zaki… dah tiada nak!!” Esakkan semakin kuat kedengaran.

TIDAK!!! Aira matanya jatuh lagi. Aku ibarat ’sudah jatuh ditimpa tangga’. Aku yang mencipta kejatuhan itu. Kalau aku berhati-hati dan beringat sudah pasti tangga masih kukuh berdiri. Kini tangga hanya tunggu masa jatuhnya sahaja. Panggilan telefon ibu Zaki petang itu sungguh memilukan. Tuhan menarik nyawanya dalam suatu kemalangan. Tuhan seperti memberi balasan yang setimpal buatnya. Juga meninggalkan balasan untukku. Bagai dicarik-carik jantung ini. Bagai ingin terhempas hati ini. Namun segalanya sudah berakhir. Segala memori manis yang tercipta antara aku dan dia sudah hilang. Zaki meninggalkan parut yang mendalam di hati ini. Zaki meninggalkan seribu kemanisan dan kepahitan. Zaki meninggalkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi buatku. Malah kini aku masih berpeluang melihat Zaki meninggalkan hadiah buatku sebelum dia tahu akan hadiahnya itu. Hadiah yang kini bersalut kemas dibadanku. Hanya tinggal masa untuk ditanggalkan sahaja.

” Terima kasih dik! Akak dan abang sudah lama mengidamkan cahaya mata. Tuhan belum kurniakan. Nasib baiklah ada insan macam adik ni yang sanggup menolong akak. Terima kasih dik!!” Tangan Akma diusap beberapa kali. Akma hanya merenung wajah si pengharap.
” Takpelah kak… asalkan akak dapat menjaganya dengan baik, itulah balasan yang saya harapkan.”

Dia sanggup mencari rumah Maria dan Yusri. Dia sanggup keluar rumah senyap-senyap, mengusung perut semata-mata ke rumah kebajikan yang berhampiran. Dia sanggup mencari sesiapa pun yang ingin mengambil anak angkat. Dia mahu bayi yang bakal lahir melihat dunia ini hidup dalam keluarga itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri daripada terus memelihara bayi itu. Sungguhpun, bayi itu adalah bayi Zaki dan dirinya. Dia tidak sanggup!! Dia tidak mahu melihat bayi itu lahir tanpa ayah. Dia tidak mahu mengaibkan diri sendiri. Dan yang paling penting dia tidak mahu orang memanggilnya ‘jalang’ atau ‘perempuan sundal’. Paling penting juga dia tidak mahu orang menuduhnya melahirkan anak luar nikah. Kenyataan itu yang dia tidak mahu terima. Kenyataan itu yang paling ditakutinya.

” Aku dah buat keputusan! Aku akan berikan anak ni pada keluarga angkat.”
” Kau gila apa? Kau memang gilalah Akma!! Kau pentingkan diri sendiri. Kau tak pernah fikirkan untuk orang lain!” Mazni bersuara lantang. Bulat-bulat biji matanya.
” Mengendong perut ni sampai sembilan bulan… lepas tu senang-senang nak bagi kat orang lain! Kau ada akal ke takde? Tuhan bagi akal fikiran untuk kita fikir Akma oiii… bukannya buat keputusan bodoh macam ni!”
Diikuti oleh Waty.

Akma mula melangkah longlai. Sesunguhnya, dia dah bersedia untuk terima tamparan hebat dua rakannya itu.

” Perempuan gila! Dahlah banyak buat dosa. Nak tambah lagi dosa tu…”
” Anak dalam perut tak pernah berdosa. Kau yang buat, kaulah tanggung akibatnya. Besok masa akhirat nanti, kau yang dipersalahkan. Tuhan takkan tanya anak kau tu…”

Bilik juga yang ditujuinya. Suara-suara sinis itu masih kuat melanggar gegendang telinganya walaupun dikatup. Memang aku yang bakal menjawab dengan Tuhan di akhirat. Memang aku yang menanggung segala balasan akibata lalai di dunia. Sudah tentu timbangan dosa yang bakal aku lalui di alam akhirat menjanjikan bahang api neraka panas. Akma mengeluh. Air mula bermain di muara mata. Hanya tinggal masa untuk melanggari setiap pagar-pagar. Dia mengesat. Mengesat terus air-air jernih itu dariapda mengalir jatuh. Sudah terlalu banyak air itu menuruni pipi ini. Cukuplah. Kali ini aku nekad!!

Akma menanggalkan telekung. Telekung yang sudah lama tidak disentuhnya. Telekung yang digunakan lima tahun dahulu di kampung. Jejak sahaja di hutan kota yang gilang-gemilang ini, dia membuang jauh telekung dan al-quran yang menjadi senjata utama sebagai muslimah sejati. Tidak mungkin!! Tidak mungkin dia akan diikhtiraf sebagai muslimah sejati disisiNya. Dia hanyalah insan kerdil yang terlalu banyak bergelumang dengan dosa. Terlalu banyak. Hanya Dia yang dapat menghitungnya. Hanya Malaikat dikiri dan kanannya yang menyimpannya dalam diari yang bakal ditimbang di akhirat kelak. Terasa alam itu begitu dekat. Terasa Tuhan sudah mula menghukumnya. Terasa diri ini begitu hina pada pandanganNya. Namun aku tahu, Tuhan itu maha pengampun dan maha penyayang. Walau besar dosa yang aku lakukan, tentu Tuhan sudi memaafkannya. Tuhan tentu akan mengampunkan sekiranya aku insaf dan pulang ke pangkal jalan. Aku betul-betul ingin bertaubat. Sesungguhnya, hanya satu yang aku harapkan iaitu semoga Tuhan menerima aku semula disisiNya. Semoga Tuhan menerima taubat yang aku pinta dariNya. Terimalah taubat hambamu ini Ya Tuhanku!!

” Tahniah! Awak dapat anak perempuan…”

Haruman bayi mula menusuk kehidung. Keperitan dan kesakitan meneran bayi masih lagi kuat terasa. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Sakit yang paling sakit sebelum mati. Itulah yang Allah tentukan. Sudah tentu seorang ibu yang melahirkan anak sungguh besar fadhilatnya. Wajah emak terbayang. Serentak air jernih meneruni pipi gebu Akma. Terbayang jerih perit emak. Kini dia sudah pun merasa apa yang mak rasakan. Dia betul-betul rindukan emak. Emak…. maafkan saya mak!!!

” Assalamualaikumm..”
” Wa’alaikumsalam…. siapa tu?”
” Emak….. mak….” Akma tidak dapat meneruskan kata-kata.

” Mah!! Anak mak…” Suara emak sayup-sayup.
” Emak… ampunkan Mah mak!! Tangisan mula kedengaran.

” Baliklah nak!! Mak dah lama ampunkan kau… Baliklah!!!

Ciuman hinggap di wajah sikecil. Air mata yang menitik jatuh ke permukaan wajh bayi itu. Dia mengesat. Masih ada sinar harapan untukku. Masih ada kemaafan dari emak buat anak derhaka ini. Namun, aku telah banyak berdosa. Anak dalam pangkuan ini juga suatu dosa yang besar pernah aku lakukan. Aku tidak sanggup berdosa lagi. Aku perlu pulang untuk pohon maaf dari mak. Aku perlu bina hidup baru bersama emak. Anak emak ini bukan lagi penderhaka. Terima kasih kerana menerima Mah kembali. Mah berjanji tidak sia-siakan emak. Mah janji mak!!

” Betul kau dah fikir masak-masak?”

Akma mengangguk lemah. Beg pakaian diusung. Zaidatul Nadia dikucup. Hari terakhir untuk dia menatap bayi yang baru melihat dunia itu.

” Biar aku yang jaga…. please Akma!” Mazni mengharap simpati. Matanya mula bergenang dengan air. Bahu Akma disentuh. Dikucup anak itu beberapa kali.

Dia berpaling. Rumah itu diperhati. Banyak sungguh kenangan yang tercipta disitu. Banyak sungguh! Hatinya berat meninggalkan segala kenangan itu. Tapi, kali ini dia tekad. Wajah emak di kampung semakin kuat timbul dibenak. Kadang-kadang wajah kedua rakan kesayangannya itu berselang-seli dengan wajah emak di kampung. Tak sanggup rasanya berpisah setelah terlalu banyak memori tercipta bersama. Namun kali ini dia pasrah! Dia nekad! Walau terpaksa berpisah dengan anak kecil itu. Dia tidak mahu memandang sikecil itu lama-lama. Dia sudah mula menyayangi anak itu. Dia tidak mahu terus menyayangi. Dia tidak mahu akibat menyayangi dia akan kecewakan Puan Maria dan Encik Yusri. Mereka terlalu berharap. Akma membuang pandangan jauh ke luar. Hanya kedengaran bunyi enjin teksi yang membawa dia dan anak kecilnya itu ke destinasi yang ditujui.

” Kami akan jaga Nadia ibarat menjaga anak kami sendiri. Terima kasih cik!!”
” Hanya tuhan yang mampu membalas jasa cik kepada kami”

Wajah-wajah itu ditenung dalam. Wajah-wajah insan yang mengharap. Akma membetulkan tudung sutera warna biru yang dipakainya. Dia menahan airmatanya dari jatuh. Sesekali matanya tepat memandang sikecil. Serentak itu airmatanya jatuh penuh kebebasan. Kombinasi wajahnya dan wajah Zaki begitu ketara. Terasa Zaki begitu hampir dengan dirinya.

Zaidatul Akma meninggalkan gelanggang itu. Gelanggang yang menemukan dia dengan manusia yang bakal menjadi ibu dan bapa kepada anak kandungnya. Gelanggang yang menyaksikan anak yang dikandung selama sembilan bulan bertukar tangan. Gelanggang yang menyaksikan seorang ibu yang sanggup menyerahkan benih sendiri kepada orang lain. Gelanggang yang menyaksikan airmatanya banyak tumpah.

Kenapa aku perlu menangis? Aku yang bertekad. Aku yang degil menyerahkan milik aku pada orang lain. Aku sepatutnya gembira. Kegembiraan yang aku cari selama ini telah terbukti didepan mata. Ini yang aku harapkan. Tak perlu aku kesali. Aku kini bebas. Sebebas burung yang berterbangan tanpa halangan.

Sikecil Zaidatul Nadia terbayang dibirai mata. Semakin kuat dibuang wajah itu, semakin kuat jugalah ia hadir menikam jiwa. Insan yang tidak kenal apa-apa. Insan yang tidak pernah berdosa. Insan yang masih bersih jiwanya. Insan yang telah dijadikan mangsa oleh ibu bapanya sendiri.

Akma memandang langit. Burung-burung berterbangan riang. Alangkah indahnya hidup sang burung. Bebas terbang ke sana ke mari tanpa halangan. Adakah aku ingin bebas seperti mereka? Adakah ini yang aku cari? Adakah kebebasan yang aku kecapi dengan membebaskan anakku sendiri kepada insan lain? Lainnya aku dengan burung, ialah mereka terbang jauh untuk mencari makanan anak-anak yang tinggal di sarang. Sedangkan aku? Terbang tanpa haluan. Terbang terlalu tinggi dan membiarkan anak kelaparan tanpa makanan. Membiarkan burung lain menghidangkannya.
” Pakcik!!”
” Ye Cik… Boleh saya tolong?”
” Tolong pusing balik Pakcik!! Barang saya tertinggal.”

Semakin kuat wajah kecil itu terlintas diminda. Seperti mana dia nekad memberikan Zaidatul Nadia kepada orang lain, sekuat itulah dia bernekad untuk mengambilnya kembali.

//Begitulah hati seorang wanita…

~TAMAT~

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool