Serumah Dengan Haiwan




Bagi kebanyakan orang, untuk berkongsi rumah dengan seseorang yang pendiam atau panas baran adalah perkara biasa. Bagaimanapun, sepasang suami isteri mempunyai lebih 100 rakan serumah seumpama itu apabila mereka berkongsi tempat kediaman dengan haiwan ganjil, termasuk buaya hinggalah kura-kura Afrika.

Mark Amey dan Siouxsie Gillet menghabiskan masa sepanjang sembilan tahun lalu menyelamat dan menyediakan tempat tinggal untuk haiwan ganjil yang kini termasuk seekor buaya, enam meerkat dan 30 ular berbisa pelbagai spesies yang dijadikan teman serumah.

Pasangan yang begitu taksub dengan haiwan mengubah suai seluruh rumah mereka menjadi sebuah zoo kecil. Meerkat ditempatkan di dalam kurungan sendiri sementara buaya yang dinamakan Kid Croc ditempatkan di kawasan khas yang dibina di belakang rumah.

Amey, 47, pakar zoo berkelayakan dan isterinya, Gillet, 34, pakar amfibia, menjaga ‘teman serumah’ mereka 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Babi, burung, kelawar buah, monyet, burung hantu, kura-kura, dua iguana, enam labah-labah berbisa, 30 kala jengking dan lebih 100 ikan serta lapan ketam diasingkan dalam bilik khas dengan satu dikhususkan untuk ular berbisa dan kala jengking yang dikunci kerana mematuhi syarat-syarat perundangan.

Bagaimanapun, menjaga pelbagai jenis haiwan itu, lebih-lebih lagi yang berbisa ternyata bukan mudah. Pelbagai masalah dan rintangan perlu mereka hadapi.

“Kami kerap dipatuk atau digigit. Ia meninggalkan parut pada beberapa bahagian tubuh kami,” kata Siouxsie.

“Paling teruk saya terima ialah daripada ular sawa sepanjang 3.6 meter yang membaham saya hingga menyebabkan luka besar pada tangan dan dari seekor ular spesies sama berukuran 2.43 meter yang mencederakan bahu saya.

“Mark pula dipatuk tiga kali oleh ular berbisa. Yang pertama ular senduk Eropah, kali kedua oleh ular orok-orok berlian dan ketiga, ular orok-orok kayu. Dia terpaksa dimasukkan ke hospital dalam dua kejadian itu.

“Lebih buruk lagi, Mike terpaksa menjalani pembedahan pada kulit tangannya selepas satu patukan itu menyebabkan sel kulit tangannya mati.

“Kami tidak menyimpan ubat penawar bisa di rumah kerana ia terlalu mahal. Tambahan pula, tempoh luputnya terlalu singkat,” kata Siouxsie.

Pasangan itu berbelanja agak besar untuk membiayai haiwan berkenaan di rumah zoo mereka di Bovingdon, Herfordshire.

“Sebelum ini kami membelanjakan kira-kira RM500 untuk tiga hari bagi membeli buah dan sayur. Tetapi kami bernasib baik sejak setahun lalu apabila sebuah pasar raya menyumbang bahan makanan yang sudah luput tarikh. Ia mengurangkan sedikit beban kami. Selain itu, kira-kira RM100 hingga RM200 digunakan untuk membeli belalang juta, cengkerik dan cacing untuk makanan marmoset dan meerkat.

“Kami juga menghabiskan kira-kira RM200 untuk membeli tikus bagi memberi ular makan. Bagi buaya, kami sediakan seekor ayam dua atau tiga kali seminggu. Saya ingin menegaskan, kami hanya memberi binatang yang sudah mati kepada ‘rakan serumah’ kami,” katanya.

Pasangan itu bekerja hampir setiap jam untuk menjaga haiwan itu dan bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA) untuk menyelamat dan menyediakan kediaman bagi beberapa spesies haiwan berbahaya.

“Penduduk dari seluruh UK yang tidak lagi berminat menyimpan haiwan peliharaan menghubungi kami untuk mendapat nasihat bagi menempatkan semula haiwan berkenaan atau menyerahkan kepada kami untuk berbuat demikian. Kami juga adalah sebahagian daripada pihak yang sentiasa dihubungi SPCA untuk menerima haiwan eksotik.

“Kami pernah menerima haiwan sejauh Scotland, Manchester dan Swindon dan beberapa kala jengking dari Amerika Syarikat serta labah-labah berbisa dari Thailand,” kata Mark.

Menurutnya, dia dan Siouxsie komited dengan tugas walaupun terpaksa bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Kami bangun awal pagi dan mula memberi makan serta melakukan kerja pembersihan. Kami melakukannya tujuh hari seminggu, tidak pernah bercuti. Malah, Krismas bagi kami tiada beza dengan hari lain kerana kami perlu membersih dan memberi makan haiwan itu. Kami tidak boleh merancang untuk ke mana-mana, termasuk majlis sosial kerana haiwan itu perlu dijaga,” kata Mark.

Tambahan pula, walaupun jika tidak terlalu sibuk, pasangan itu masih mempunyai kedai binatang peliharaan eksotik untuk diselia.

“Kami mempunyai kedai haiwan peliharaan yang dinamakan Ameyzoo dengan kepakaran kepada reptilia. Bagaimanapun, ia hanya menjual kepada mereka yang benar-benar tahu apa yang mereka lakukan dengan haiwan terbabit. Haiwan itu hanya boleh dijual sekiranya pembeli berkenaan lulus ujian lisan untuk membuktikan mereka layak dan mempunyai pengetahuan mengenai penjagaan haiwan itu.

“Kami juga tidak akan menjual haiwan menjelang Krismas kerana kami berpendapat, binatang tidak patut dijadikan hadiah untuk perayaan itu,” kata Siouxsie.

Menurut Mark, dasar yang diamalkan itu menyebabkan dia hampir ditumbuk sehari sebelum Krismas beberapa tahun lalu apabila enggan menjual cicak kepada yang seorang lelaki yang hendak menghadiahkan haiwan itu kepada anaknya.

“Dia ajak saya bertumbuk di luar kedai,” katanya.

Siouxsie berkata: “Kami bina rumah ini untuk haiwan bagi memastikan mereka tinggal seberapa selesa yang mungkin. Ketika membeli rumah ini, kami tidak memberi tumpuan kepada citarasa manusia seperti bilik air yang cantik, perhiasan dan sebagainya. Sebaliknya, yang kami pastikan, ia memiliki laman yang luas dan sesuai untuk memelihara haiwan.”
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool