Allah gerakkan hati Kadri ke arah selamat



PERISTIWA berlaku sudah agak lama, tapi masih menjadi tanda tanya di kalangan pemancing yang terbabit hingga ke hari ini. Bertitik tolak dari meninggalkan Kuala Parit Haji Baki Muar, lima pemancing anak tempatan melahirkan hasrat untuk melakukan ekspedisi memancing selama tiga hari dua malam di sekitar perairan laut pantai Sungai Muar meliputi perairan Tanjung Tohor di Batu Pahat, Johor.

Bersama tekong anak kelahiran Parit Raja, Kadri di kenal juga sebagai tekong Komando Laut membawa rombongan lima pemancing muda ke togok Parit Unas yang masih bermusim dengan ikan serkut. Nyata harapan kumpulan berkenaan untuk bermain dengan ikan yang ada pertalian rupa wajah dengan ikan gerut-gerut dan tebal pipi masih dapat memenuhi harapan mereka, cerita Jamal sambil mengakui bahawa togok dari batang nibung dan batang pinang paling di gemari spesies ikan serkut, gerut-gerut dan tebal pipi selain dari kurau yang turut sesekali datang bermain di kawasan togok berkenaan.

Program lima sahabat itu berjalan lancar, dari singgahan pertama kami dibawa ke togok Parit Kassim, yang membariskan togok pasang dan surut, malah kawasan ini dia anggap sebagai kawasan togok paling panjang dan masih aktif hingga sekarang.

“Kami bermalam di kawasan togok dan sering berpindah antara togok pasang dan togok surut. Hasil tangkapan kurang memuaskan cuma beberapa ekor ikan gelama papan, anak pari dan dua ekor kurau yang dapat dinaikkan.

“Malam itu kami rasa bagaikan ada sesuatu yang melindungi kumpulan kami dari sebarang gangguan dari beberapa kawasan togok yang dianggap keras, tapi bagi kami yang sudah biasa memancing dalam kawasan berkenaan terus terang mengatakan bahawa kawasan berkenaan adalah selamat.

“Kami terus meneroka lebih jauh hingga tiba ke perairan Tanjung Tohor yang banyak menyimpan rahsia misteri tersendiri dan diakui oleh para nelayan yang mengaitkan berbagai cerita, namun bagi kami tetap berserah kepada Allah dan sentiasa mohon perlindunganNya.

“Beberapa spot kami singah, tapi tiada seekor pun ikan yang dapat kami daratkan walaupun kawasan itu adalah tempat yang kami pasti ada ikan seperti gelama papan, mayung, tetanda, pari dan jenahak,” kata Jamal ketika ditemui penulis baru-baru ini.

Tekong Kadri kata Jamal agak hairan malah tidak pernah berlaku kehampaan begitu ketara lalu beliau berpindah lagi ke satu kawasan terbaik yang menjadi pilihannya. Umpan pilihan dilabuhkan namun hasilnya sama seperti tempat sebelum ini.

“Apa yang tak kena dengan trip kali ni? tekong Kadri merungut dan berpindah lagi di lokasi tidak berapa jauh dari rumah api lalu berehat di situ sambil menikmati makan tengah hari,” katanya.

Jamal tambah keliru kerana dalam cuaca panas terik tiba-tiba berlaku hujan renyai-renyai, bagaimanapun tekong Kadri begitu tenang sambil beberapa kali melihat kaki langit yang tebal di balut awan kelabu pekat sambil itu sauh diangkat perlahan.

Serentak itu beberapa dentuman guruh kuat diiringi kilat membatang di kaki langit. Tekong Kadri yang mula merasakan sesuatu akan berlaku segera beredar sambil serentak itu ribut dan angin kencang datang bersama gelombang besar.

Keadaan laut berubah begitu pantas dan sekelip mata kawasan pantai sudah tidak kelihatan lagi, mereka dalam keadaan ketakutan, cemas tapi tekong Kadri terus melajukan botnya membelah gelombang dan angin kencang. Arah tuju masih belum tentu, cuma berpandu pada gerak rasa dan pengalaman.

Sudah berbelas jam kami meredah cuaca buruk sehingga bertemu malam yang lebih menakutkan. “Kita dah kat mana ni,” tanya seorang dari rakan kumpulan itu dan terus berpandangan antara satu sama lain sambil berdoa kepada Allah supaya dipertemukan muara tempat mula kami turun.

Bot sudah mula dibolos air, Jamal dan rakannya bertambah bimbang dan akhirnya lunas bot dirasakan tersentuh beting dan tidak lama kemudian terhenti dan tidak bergerak lagi. Kumpulan berkenaan kata Jamal tidak dapat menahan keletihan lalu tertidur dan akhirnya tekong menggerakan mereka apabila matahari sudah tinggi.

“Kami terkejut sambil memandang keliling. Bot sudah tersadai di lumpur berhampiran Kuala Parit Haji Baki. Kita selamat Alhamdulillah, tapi macam mana kita boleh ada kat sini,” Tekong Kadri sendiri tidak dapat memberi jawapan cuma menadah kedua belah tangan ke langit tanda bersyukur kepada Allah.

Tekong Kadri sendiri mengaku bahawa beliau sudah hilang pedoman ketika dilanda ribut dan gelombang sebelum itu, dia cuma memandu bot pada arah yang Allah saja mampu meletakkan semula botnya di Kuala Parit Haji Baki, sesungguhnya kuasa Allah melebihi segala lain yang ada di bumi mahu pun di langit.

Sumber
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool