Badi Ayam Hutan




Keinginan untuk merasai keenakan daging ayam hutan, entah kenapa terlalu membuak-buak sejak kebelakangan ini. Masol seperti orang mengidam.

“Siang susah nak jebak. Kita tembak aje. Kat hutan belakang kubur sana tu aku dengar masih banyak bertenggek!” Dollah pula memberi cadangan.

Akhirnya kata sepakat dicapai. Khamis malam Jumaat kebetulan mereka tidak bekerja giliran malam. Rakan berjiran itu mula mengatur rancangan. Sejak petang segala keperluan disediakan.

“Kita cari paling kurang empat ekor. Kalau tak, macam mana nak buat rendang?” Masol beriya-iya sambil memerhatikan Dollah membersihkan laras senapang patahnya.

“Aku bawa peluru nombor lapan aje,” kata Dollah, dan Masol mengangguk sambil tersenyum membayangkan bagaimana nanti malamnya, ayam hutan akan menjadi mangsa peluru penabur yang diledakkan kawannya.

Ayam hutan memang haiwan liar yang sensitif dan mudah peka dengan kehadiran pemangsanya. Dollah berkali-kali mengingatkan hal itu kepada Masol.

“Kena pakai kasut getah… senang serap bunyi!” pesan Dollah lagi. Masol akur, lagipun itu bukan kali pertama mereka berburu.

Malam jam 10, mereka mula melangkah. Berjalan kaki menuju ke hutan bersebelah kubur kampung yang hanya kira-kira satu kilometer, mereka berbual dan sesekali bergelak ketawa.

“Entahlah, Lah! Aku ni mengidam sangat!” Masol berkali-kali memberitahu niatnya untuk menyuruh isterinya membuat rendang ayam hutan.

“Boleh dapat ke?” soalnya seperti curiga.

“Engkau tak kan tak tahu. Mana pernah kita kecundang!”

“Empat ekor boleh?”

Dollah cepat-cepat mengangguk.

Hampir melintasi jalan masuk kubur kampung yang terletak di atas bukit, entah kenapa bulu roma Masol tiba-tiba meremang. Mahu diberitahunya pada Dollah, tidak boleh. Itu memang pantang yang sudah lama sebati dalam dirinya setiap kali berburu. Cuba dilawannya perasaan yang bukan-bukan, pun tidak berdaya. Sebaliknya, bulu romanya pula semakin kuat meremang.

Tiba-tiba Dollah memberi isyarat. “Duduk kat banir pokok leban tu,” bisik Dollah dan Masol patuh.

“Tu!” bisik Dollah lagi, sambil bibirnya menjuih dalam samar malam ke arah dahan leban. Mata Masol terpandang sesuatu. Hilang terus remang bulu romanya terpandangkan sepasang ayam hutan tidur bertenggek.

Bammmmmm!

Dan tak sempat Masol bertanya lagi, peluru dari senapang patah Dollah memecah hening malam.

Kepurrrrr! Kepurrrr! Seekor ayam hutan menggelupur ke tanah dan Dollah berlari mendapatkannya. Namun pasangannya terlepas dan terbang jauh.

“Kita ke depan!” bisik Dollah selepas menyerahkan tangkapan pertama untuk dijinjit Masol.

Kubur

Peliknya, bulu roma Masol kembali meremang. Berjalan tiga empat langkah, tiba-tiba dia dan Dollah terpaku tidak bergerak.

Surrrrrr! Bunyi melaju ke udara diiringi satu cahaya naik dari pangkal pokok besar tidak jauh dari mereka, menyebabkan masing-masing saling berpandangan.

“Cahaya apa ni?” hanya itu yang sempat ditanya Masol.

Peliknya, Dollah tidak dapat menjawab. Mulutnya seperti kelu dipahat.

Tidak sampai 15 saat, tebaran cahaya yang biru jernih berkeluasan sebesar gelanggang badminton itu hilang. Masol dan Dollah masih kebingungan.

“Kita balik ajelah, Lah!” ajak Masol kerana berasa tidak sedap hati. Namun Dollah enggan kerana katanya, mereka baru mendapat seekor ayam hutan.

“Tak ada apa-apalah. Kita cari lagi seekor,” Dollah memujuk, walaupun hatinya sedikit goyah berdepan kejadian pelik itu.

Terfikir ada betulnya cakap Dollah, Masol kembali setuju. Mereka meredah denai di tepi kawasan kubur mencari pasangan ayam hutan yang tidur.

Rezeki mereka ternyata murah. “Tu! Sepasang lagi!” bisik Dollah. Memang mata Dollah cekap berburu waktu malam. “Dapat ni, kita balik!” bisiknya lagi. Masol hanya angguk.

Dibidiknya laras senapang. Ditariknya picu mahu melepaskan bedil, tapi Dollah terasa ganjil. Senapangnya tidak berbunyi.

Dicubanya lagi dua tiga kali, tapi masih gagal. Dalam sibuk mencari mana silap senapangnya, sekali lagi suara melaju ke udara terdengar.

Surrrrrrr! Cahaya dari pangkal pokok di depan mereka pula meluncur ke udara dan menerangi sekitar mereka dalam keadaan di luar jangka.

Masol sudah tidak tertahan risau. Dua kali berdepan keadaan itu, bulu romanya hampir tercabut kerana terlalu kuat meremang.

“Jom balik!” ditariknya tangan Dollah secara paksa. Senapang Dollah turut digalasnya. “Cukuplah!” Masol berkeras, menyebabkan Dollah tidak mampu membantah.

Peliknya, sehari selepas mereka pulang daripada berburu, Dollah diserang demam panas. Dan seminggu selepas demam panas, Dollah kembali ke rahmatullah. Sebulan selepas sahabatnya meninggal dunia, Masol pula berubah laku. Dia sering meracau malam.

Kata orang kampung, Masol dan Dollah terkena badi ayam hutan. Namun kata ahli agama, segala-galanya ketentuan Allah.


0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool