Bicara Maut



Siapa yang tidak kenal dengan Hadi. Sebut sahaja nama Hadi,semua orang akan mula membayangkan susuk tubuh seorang peragawan terkemuka dan juga pelakon yang cukup diminati.

Azwa tidak dapat menafikan rupa paras Hadi memang menawan. Hadi memang seorang yang rupawan. Wajah kacak Hadi itu diwarisinya daripada darah campuran bapanya, seorang Melayu tulen dan ibunya pula seorang wanita Itali Maka hasil daripada kombinasi genetik pasangan itu lalu lahirlah seorang zuriat yang begitu mengkagumkan, Hadi.
Rambut Hadi perang dan ikal, berketak-ketak di hujung. Kening Hadi tebal, tampak memukau dengan sepasang mata berwarna hijau. Hidung Hadi mancung. Bibir Hadi menawan. Kulit muka Hadi licin dan bersih. Pendek kata, segala karekteristik yang dianugerahkan Illahi kepada Hadi begitu sempurna. Begitu hebat. Sehingga bisa meluruhkan hati setiap mata yang memandang.
Hadi menjadi pujaan setiap muda-mudi. Remaja-remaja yang masih di bangku persekolahan, mereka galak dan bersungguh-sungguh menjadikan poster-poster Hadi sebagai hiasan dinding di kamar bilik. Bagi yang sudah bekerja pula, mereka terkejar-kejar mengumpul koleksi majalah-majalah yang memaparkan kisah Hadi. Kisah yang tidak membawa apa-apa pengertian namun tetap menjadi pujaan. Bagi yang sudah berkahwin pula, mereka di dalam diam menyimpan perasaan terhadap Hadi.
Surat-surat peminat memang tidak terbaca jika hendak dibaca. Apatah lagi hendak membalasnya. Tandatangan peminat, lenguh sudah tangan Hadi mencoretkan. Jerit sorak peminat, tidak kuasa Hadi hendak melayan. Semua itu satu rutin yang telah betah bagi Hadi.
Hadi tidak kisah dengan diri sendiri menjadi tumpuan. Hadi tidak kisah hidup peribadinya terganggu. Hadi tidak kisah apa-apa pun. Malah, Hadi begitu berbangga dengan apa yang dimiliki. Hadi telah memiliki apa sahaja yang diidamkan oleh seorang lelaki normal seperti dirinya. Hadi punya segala-galanya. Kekayaan, kemasyhuran, rupa paras yang hebat, kegagahan, tubuh yang tegap, semuanya ada pada Hadi. Hadi memang seorang yang bertuah.
Azwa sendiri tidak dapat menipu dirinya bahawa dia juga turut meminati Hadi.Dia juga mempunyai perasaan yang sama sepertimana peminat-peminat Hadi yang lain. Sebagai seorang wanita biasa yang tidak punya apa-apa, dia telah lama menyimpan semacam perasaan yang sukar dimengertikan terhadap Hadi, sejak pertama kali bertemu dengan Hadi.
Akan tetapi, dia bukanlah seperti gadis-gadis di luar sana. Gadis-gadis yang bebas untuk ke sana ke mari. Mengikut gerak naluri. Bebas untuk menonton setiap filem-filem Hadi. Atau pertunjukan fesyen yang Hadi peragakan. Atau mengikuti apa sahaja perkembangan terkini daripada Hadi.
Dia adalah seorang gadis yang dibesarkan di dalam didikan agama. Dia telah dibesarkan dalam pagar keimanan dan ketakwaan. Setiap hasil tunjuk ajar daripada arwah ibu bapanya masih lagi terbendung kukuh di dalam sanubari ini. Tudung labuh tidak pernah berpisah daripadanya setiap kali dia bertentang dengan seseorang yang bukan mahramnya. Zikirnya, tasbihnya, adalah hiasan hatinya. Dalam mengingati Allah, di situ dia temui kebahagiaan.
Di atas pendirian yang sedemikian, Azwa tidak pernah bersetuju apabila Hadi membuat keputusan untuk menjadi model.. Dia tidak sama sekali merelakan Hadi memilih dunia penuh kepura-puraan itu. Dunia itu tidak sesuai dengan Hadi. . Hadi tidak sepatutnya mencemar diri dengan menjadi model. Dia berkata begitu bukanlah kerana dunia Hadi itu tidak bersih. Atau jijik. Tetapi, orang-orang yang berada di sekeliling dunia itu, kebanyakannya tidak bersih. Ketidak bersihan mereka itu yang dikhuatirinya kalau-kalau ianya nanti bakal mempengaruhi Hadi.
Hari itu, ketika pagi masih lagi diselimuti kabus, ketika burung baru sahaja melayah dari sarang, ketika mentari masih malu-malu menguak cahaya, dan ketika abang Naim baru sebentar bertolak ke sekolah, Azwa diserang oleh sebuah kejutan yang sangat besar.Kejutan yang dikuasai oleh rasa antara percaya dan tidak.
Dia rasa seperti sedang bermimpi apabila sebuah kereta Honda sport warna merah berhenti betul-betul di depan halaman rumah yang berpasir. Halaman yang penuh dengan daun-daun kering pohon mangga, daun-daun yang baru ingin disapunya.
Lebih mengejutkan lagi apabila seorang pemuda keluar daripada kereta sport itu. Seorang lelaki yang cukup dia kenali dan dia sedari. Pemuda itu tampak segak dengan jeans hitam dan kemeja tidak berbutang, dipadankan dengan t-shirt putih di dalam.
“H..Hadi?”ucap Azwa gugup.
Hadi tersenyum tawar lalu menanggalkan kaca mata hitam.
“Assalamualaikum…”suara Hadi kedengaran bergetar,. Entah kenapa ia bergetar begitu, tidak dapat Azwa pastikan.
“Waalaikumussalam…”Dia masih lagi tidak dapat menyembunyikan rasa kejutannya.
“Hadi datang ni nak minta tolong Azwa…”kata Hadi, perlahan dan berat.
“Hah,”Azwa kaget. Apa pula pertolongan yang Hadi harapkan daripadanya sehingga sanggup datang begitu jauh?
“Ta..tapi abang Naim tak ada…kan tak manis kalau orang lihat kita berdua aja macam nie?”ucap Azwa lagi, agak kesal kerana terpaksa berkata sedemikian.
Hadi menjadi kecewa.
“Bukankah menolong orang yang di dalam kesusahan itu lebih utama?”balas Hadi sejurus kemudian. Hadi nampak benar-benar mengharap.
Dia terperangkap. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Antara fitnah yang bakal timbul antara kedua mereka dan membantu Hadi, yang mana satu perlu didahulukan. Membantu Hadi, bermakna terpaksa mempersilakan lelaki itu masuk ke dalam rumah. Bila Hadi masuk ke dalam rumah, yang ada di situ nanti cuma dirinya dan Hadi. Apabila seorang lelaki dan wanita berdua-duaan pada sesuatu tempat, maka yang ketiga adalah….
Akan tetapi dia tidak sampai hati untuk mengecewakan Hadi. Wajah Hadi yang sugul benar-benar mencerminkan bahawa ada sesuatu yang berat sedang melanda. Namun, apakah ia?
Dia akhirnya mendapati bahawa dia tidak punyai apa-apa pilihan melainkan memepersilakan Hadi masuk. Selepas menyediakan sebuah bilik untuk Hadi, dia cepat-cepat beredar ke dapur. Menyelesaikan beberapa kerja yang sengaja dibuat-buatnya. Katanya kepada Hadi, segala perkara akan dibincangkan sebaik sahaja abang Naim pulang. Hadi, walaupun ingin membantah, akur jua dengan keputusannya.
“Aik Hadi? Apa ke hal tiba-tiba kau datang ni?”kata abang Naim sebaik sahaja mereka duduk menghadapi makan malam di dapur. Abang Naim baru kembali dari solat isyak di surau, Hadi pula baru keluar dari bilik. Dia sendiri, sedang sibuk mengaturkan makanan di atas meja.
“Hadi sebenarnya ada masalah sikit..nak minta tolong…”balas Hadi, berat.
“Heh,” abang Naim mengherdik. Azwa tersentak.
“Baru sekarang kau nak datang..masa susah baru ingat kampong ni..masa mak bapak aku meninggal dulu, mana kau pegi? Haram kau tak ingat!”abang Naim menghentak meja.
“Hadi minta maaf..”
“Sudahlah…masa susah aja nak ingat sini..masa senang pegi buat dosa!!”sembur abang Naim. Sebelum sempat Hadi ingin membela diri, abang Naim telah pun berlalu, mengabaikan makan malam yang sedang dihidangkan.
Azwa mengerut kening. Kata-kata abang Naim baginya keterlaluan. Terlalu pedih bagi seseorang yang sedang dirundung masalah seperti Hadi. Abang Naim bukan sahaja tidak mahu membantu mengurangkan bebanan Hadi, malah abangnya itu awal-awal lagi telah menuduh dan mencemuh Hadi. Itu semua tentu sahaja akan menambah lagi bebanan di sisi Hadi.
“Azwa minta maaf pasal…”ucapnya kesal tetapi dipintas oleh Hadi.
“Tak apa..apa yang abang Naim cakap tu memang betul…”ada nada putus asa pada bicara Hadi. Hati Azwa dipaut simpati.
“Abang Naim tak bermaksud nak buat macam tu..”tambahnya lagi.
Hadi tunduk merenung meja. Mengebam-ngebam bibir.
“Tapi kalau abang Naim taknak tolong..Azwa kan ada?”
Hadi tersentak mendengar tawarannya itu. Pandangan lelaki itu lantas tersorot kepada matanya. Dia berpaling, menyembunyikan wajah. Malu.
Beberapa ketika kemudian, selepas Hadi menjamah sedikit makanan yang dia sediakan dan dirinya pula mengemaskan pinggan mangkuk , abang Naim mendapatkan Hadi di ruang tamu. Abang Naim memohon maaf di atas sikap yang emosional tadi.
Hati Azwa menjadi lega dengan tindakan abang Naim. Dia tahu abang Naim tidak bermaksud mahu melukai Hadi. Abang Naim cuma kecewa dengan Hadi. Sebagaimana Azwa sendiri yang pernah kecewa dengan sikap Hadi. Sikap Hadi pada suatu ketika dahulu yang dirasakannya kurang wajar. Sungguhpun demikian, dia tidaklah seekstrim abangnya. Untuk menghukum Hadi seperti tadi.
Suatu ketika dahulu, ketika di zaman persekolahan, abang Naim tinggal di sekolah berasrama penuh, sama dengan Hadi. Mereka boleh dikatakan cukup rapat dan mesra. Ibu bapa Hadi pula, ahli perniagaan yang sibuk. Sering punya urusan di luar negara. Lantaran itu, hidup Hadi akan menjadi cukup sunyi setiap kali cuti semester. Hadi tidak seghairah pelajar-pelajar lain yang berlumba-lumba ingin pulang ke kampong halaman. Bagi Hadi, kepulangan ke rumah tidak membawa apa-apa makna kerana ibu bapanya tidak kedapatan di situ. Mereka sibuk dengan perniagaan dan kemasyhuran.
Oleh yang demikian, abang Naim sering membawa Hadi bercuti bersama-sama di kampong, di rumah ini. Kehadiran Hadi disambut oleh keluarganya seperti kedatangan seorang putera raja. Lama-kelamaan, wujudlah semacam rasa kekeluargaan antara mereka. Hadi, saling tidak tumpah seperti saudara sendiri.
Namun, semua itu hanya berlaku sebelum Hadi menjadi model. Entah apa sebabnya Hadi menjadi model, dia sendiri pun tidak tahu. Apa yang nyata, kerana model itulah Hadi berubah. Hadi terus melupai mereka dan tidak lagi datang ke sini.Model itu seperti sebilah gunting yang tajam yang telah memutuskan tali persaudaraan antara mereka.
Ketika arwah ayah dan ibu meninggal pun Hadi tidak datang. Abang Naim tergesa-gesa menghantar telegram kepada Hadi. Namun, Hadi tidak melayaninya. Hadi terus sibuk dengan kemodelannya. Dan akan terus sibuk dengan dunia itu. Itulah punca utama abang Naim kecewa sangat dengan sikap Hadi. Hadi dianggap lupa daratan. Hadi dianggap tidak mengenang jasa.
Ah, tetapi dia telah lama memaafkan Hadi. Jika Hadi tidak meminta maaf pun, dia tetap akan memaafkan Hadi. Memang telah menjadi sikapnya, suka memberi kemaafan dan menerima kemaafan.Semua orang bisa melakukan kesilapan dan setiap kesilapan itu sudah tentunya menuntut kemaafan.
Azwa sedang menatang sedulang cawan ke ruang tamu semasa Hadi mula bercerita-cerita tentang masalahnya kepada abang Naim. Dia tumpang mendengar apabila mengaturkan cawan-cawan teh kepada abang Naim dan Hadi. Cadangan abang Naim supaya dia menyertai mereka telah membolehkan dia mengikuti permasalahan itu dengan lebih lanjut.
Azwa merasakan seperti dirinya sebahagian daripada diri Hadi pula apabila melihatkan kesungguhan Hadi bercerita. Wajah Hadi berkerut resah. Peluh-peluh dingin bertapak keras pada dahi Hadi. Setiap tutur bicara Hadi berat bunyinya. Ada naluri seram dan ganjil menguasai persekitaran.
Unggas-unggas malam yang semakin rancak berdendang, dengan rebana sang burung tukang membuat sarang, menjadikan suasana lebih cepat sunyi daripada waktunya. Bayu malam dari luar, mencuri-curi masuk melalui celahan papan kayu menerpa tubuh. Ada rentak daun-daun pokok bergeser dipukul angin.
Segala apa yang Hadi ceritakan terbayang jelas pada ruang matanya. Resah Hadi, cemas Hadi, bingung Hadi, adalah perasaannya juga.
Tiba-tiba rumah kayu itu bertukar menjadi banglo mewah Hadi. Dinding papan melarut ke dalam dinding konkrit bermarmar putih. Tikar mengkuang anyaman tangan menyerap hilang melalui permaidani tebal buatan Iran. Kerusi-kerusi rotan separuh abad bertukar dengan sofa mewah ukiran kayu.
Azwa hanyut di dalam imaginasinya. Terasa seperti dirinya adalah Hadi.
Hadi sedang bersandar megah pada sofa panjang di tengah-tengah ruang tamu. Tidak berbaju. Hanya berseluar panjang khakis dengan tali pinggang jenama eropah yang belum ditukar sejak pulang. Tubuh sasanya sengaja dibiarkan terdedah, dijamah arus penghawa dingin serendah lapan belas darjah selsius..
Iklan di televisyen, entah kali keberapa menayangkan lagi iklan Hadi. Iklan Hadi sedang berlari-lari dengan beberapa model wanita di tepi pantai. Menggayakan jenama sebuah seluar jeans. Melalui maklumat yang dia perolehi, seluar jeans itu mendapat sambutan di luar dugaan. Kononnya gara-gara dia yang memperagakannya.
Dia tersenyum bangga. Bangga dengan apa yang dimiliki. Bukan semua orang dapat mencapai tahap yang telah dia perolehi.
Hadi tiba-tiba terkejut apabila ada sepasang tangan yang putih dan lembut merangkul lehernya dari belakang.
Baru dia sedar, Rina sedang menantinya sebegitu sejak seberapa lama.
“Sayang…cepatla siap…”kata Rina dengan lemah lembut.
Dia capai tangan Rina lalu mengucupnya. Wangi.
“I penat la sayang…” balas Hadi dengan lemah lembut juga.
“Ala..you kan dah janji..nak temankan I pegi party…”Rina merengek.
“Lain kali ya sayang…I penat betul ni…”
“Hadi…jangan la macam tu..masa ni la I nak tunjuk depan member-member I, bahawa Hadi, jejaka idaman setiap wanita telah jatuh ke tangan I…”
Hadi mendengus. Dia meloloskan pautan Rina daripada lehernya.
“Helo, I tak pernah jatuh ke tangan sesiapa pun, okey?”suara Hadi meninggi.
“What?”Rina tersentak. “Habis, yang you kata you cinta kat I tu apa dia?”
“Itu cinta saja…tak lebih dari tu…”
“Hadi!”Rina meradang.
Hadi terasa pipinya panas. Ditampar dengan tas tangan Rina. Walaupun pipi Hadi sakit, tetapi Hadi tidak marah. Itu bukan kali pertama dia ditampar sedemikian rupa. Bahkan, tamparan begitu telah biasa bagi dirnya. Bukan sahaja dia terima daripada Rina, tetapi daripada gadis-gadis lain juga. Daripada Sarah, Shima, Mira, Carol dan entah siapa lagi. Tidak kuasa dia mengingatinya. Selepas setiap tamparan mereka, mereka pasti akan meninggalkan dirinya. Hadi biarkan sahaja dirinya ditinggalkan. Dia tidak sedikit pun menyesal atau berniat untuk memohon kemaafan. Maklum sahaja, andai seorang pergi, berpuluh lagi yang sedang menunggu giliran. Lagipun, kedatangan mereka bukanlah atas keinginannya sendiri. Mereka sendiri yang tergila-gilakan diri ini.
Kepergian Rina pada ketika itu pun dia biarkan juga. Sepertimana mereka-mereka yang mendahuluinya.Rina pergi dari banglo dengan membawa hati yang panas dan luka.
Hadi meraba pipi. Masih terasa sakit. Rosak pipiku ini.
Dia tidak sedar bila pula matanya terlelap di atas sofa sedangkan televisyen yang sudah pun habis siarannya masih lagi terpasang.
Tiba-tiba dia terjaga. Ada suara orang membunyikan loceng dari luar. Dalam mamainya, dia mengintai di sebalik pintu leluncur.
Ada sebuah kereta polis dan dan dua orang pegawai di pintu pagar. Cahaya dari lampu kereta menyilaukan mata.
Ada apa pula mereka bertandang pada malam-malam begini? Hendak apa?
“Iya encik?”sapanya sebaik sahaja dia mendapatkan mereka.
“Encik Hadi?”soal salah seorang pegawai yang lebih muda.
Dia mengangguk.
“Awak diminta ke balai polis sekarang..”
Hadi tersentak.
“Tapi kenapa?”
“Kenalan awak, Sa’Rina’ Harun terbunuh di dalam kemalangan di jalan Gurney sebentar tadi..awak diminta menghadirkan diri untuk disoal siasat…”
Dia melopong mendengar berita itu. Terkelu tidak terkata. Antara percaya dan tidak.
Lebih kurang tiga jam kemudian, semua urusan Hadi selesai. Selepas mengesahkan jenazah Rina di hospital, dia terpaksa berkejar pula ke balai polis. Menjawab soalan yang pelik-pelik daripada pegawai bertugas.
Jam di tangan sudah pun lewat pukul empat pagi. Matanya mulai memberat, keletihan.
Dia membelokkan kereta sport Hondanya ke perkarangan banglo yang tampak suram dengan cahaya lampu chandelier dari dalam rumah.
Sebaik sahaja enjin kereta dimatikan, semacam perasaan seram menyelubungi diri Hadi. Struktur jenazah Rina yang dilihat tadi terimbas kembali di ruang mata. Cukup ngeri dan menakutkan.. Mata Rina terbeliak, pipi kanan Rina terbelah, menampakkan tengkorak putih. Beberapa batang gigi Rina hancur. Semuanya gara-gara kereta Rina, terbabas masuk ke bawah sebuah lori semasa memandu.
Dia mengeluh lega. Lega dengan pelbagai perkara. Lega kerana tidak menjadi seperti Rina. Lebih lega lagi kerana dia tidak menyertai Rina sebentar tadi untuk ke parti. Manalah tahu kalau-kalau dia menyertai Rina, dia juga akan menerima nasib yang sama seperti Rina. Bukankah padah akibatnya.
Rina tidak lagi seperti Rina yang pernah dikenalinya. Rina yang cantik dan seksi telah bertukar menjadi bangkai yang hodoh dan busuk.
Sedikit sebanyak, walaupun antara dia dan Rina, mereka tidak punyai apa-apa hubungan istimewa, namun dia bersimpati juga dengan nasib Rina. Apa yang berlaku pada Rina itu terlalu mendadak dan tragis. Rina tidak patut mati sedemikian rupa. Mungkin dia patut bertanggungjawab di atas kematian Rina. Mungkin Rina berasa tersangat sedih kerana tingkahlakunya maka gadis itu telah memandu di dalam keadaan tidak keruan.. Perasaan tidak keruan itu tentu sahaja mendorong kepada sebuah kemalangan.
Akan tetapi semuanya sudah terlambat. Tidak guna dia kesal-kesalkan lagi apa yang berlaku. Segala yang telah berlaku masakan dapat diulangi apatah lagi diperbaiki. Yang tinggal kini hanyalah sebuah kenyataan yang terpaksa dihadapi walaupun ianya begitu pahit.
Hadi meraba pipi. Masih terasa sakit dek tamparan Rina. Hatinya digamit pilu.
Mata Hadi semakin memberat. Rasa kantuk semakin mendesak dan menuntut kerehatan daripada diri ini.
Dia terhuyung-hayang masuk ke dalam rumah. Mengunci pintu, kemudian masuk ke dalam kamar peraduan.
Kamar itu sunyi dan kelam. Cuma diterangi oleh cahaya jingga daripada sebuah lampu tidur di atas meja kecil di sisi katil.
Hadi terus merebahkan diri, terlentang di atas katil tanpa sempat menukar pakaian. Dia mendepangkan kedua-dua belah tangan kepada tilam. Meraba-raba di sebelah kiri. Letih benar rasanya diri ini.
Tiba-tiba dia berasa aneh. Ada sesuatu yang tidak kena sedang menemani.
Sesuatu yang berbonggol dan dingin. Seperti ada orang di sebelah.
Dia berpaling. Melihat apakah bendanya itu. Dia terkejut.
Ya Tuhan, tubuh Rina yang hancur terdampar ngeri di sisi.
Dia mahu menjerit tetapi kelibat itu terus hilang daripada pandangan.
Dia mengeluh lega. Hanya imaginasi rupanya.
Bulu romanya meremang sembilan puluh darjah. Peluh dingin berjurai-jurai pada permukaan dahi.
Hadi baru ingin menyambung tidur. Mata hijaunya semakin mendesak. Dia perlu tidur segera. Tiba-tiba dia terlihat ada sehelai kertas berlipat dua pada tempat dia diganggu oleh ilusi Rina tadi.
Kertas apa pula tu? Dari mana ia datang? Malas dia ingin meninjaunya.
Dia pun menutup mata. Cuba melenyapkan segala kekusutan. Tubuh yang lesu perlu menerima kerehatan secukupnya kerana esok ada banyak tugas yang perlu dia selesaikan.
Kertas disebelah mengganggu lagi. Membuatkan hati menjadi tidak tenang. Dia berpaling ke sisi. Kertas putih masih pada tempatnya.
Kertas apakah itu?
Dengan penuh rasa ingin tahu, dia pun mencapai lalu membukanya. Lalu membacanya.

Hadi….
Kau tidak akan terlepas..kau juga akan mati macam aku..Kau yang menyebabkan aku mati! Ingat, kematian kau…15 oktober!!! Kau akan jadi seperti aku!!!
Rina

Hadi terkejut bukan kepalang. Segera dia lontar kertas itu jauh-jauh.
Angin yang entah daripada mana tiba-tiba menerpa masuk. Menjamu mukanya. Dingin dan menyeramkan.
Sekali lagi bulu roma Hadi meremang.
Kertas apakah itu? Siapakah yang menghantarnya?
Rina? Itu tidak mungkin. Rina sudah mati. Dia sendiri pergi menyaksikan betapa rosaknya tubuh Rina di hospital. Masakan tubuh yang serosak itu boleh bangkit semula. Rina sudah mati. Orang mati mana boleh menghantar nota.
Akan tetapi, siapa pula yang menghantar nota itu kalau bukan Rina?
Pembantu rumahnya semua sedang bercuti. Rumah pula berkunci rapi.
Hati Hadi menjadi walang. Seram sejuk.
Dia bingkas meluru ke bilik air. Membuka air pili selaju mungkin. Kemudian mencuci wajahnya beberapa kali. Mungkin dia terlalu letih. Dan terlalu terpengaruh dengan kemalangan Rina sehingga terbayangkan yang bukan-bukan.
Tiba-tiba ada satu lembaga melintas dari dalam cermin. Laju dan pantas.
Sekali lagi dia menggigil.
Hadi berpaling. Tiada sesiapa. Hanya jakuzi tersergam sepi dan bunyi air pili dari singki.
Peluh dingin semakin berjuraian. Hadi capai tuala putih pada sisi dinding. Dia mengelap muka dengan tuala itu. Harapannya agar surut sedikit rasa takut yang melanda diri.
Beberapa ketika kemudian, keadaan menjadi tenang semula. Dia tidak berani untuk tidur di dalam bilik. Dia baring di atas sofa, di ruang tamu. Cuba melelapkan mata semula. Suatu kemujuran, akhirnya dia terlena.
Hadi ingat tidur akan membawa bahagia. Hadi ingat tidur akan melenyapkan segala rasa takut. Hadi ingat dengan tidur jugalah dia akan selamat. Namun, tekaannya ternyata silap. Tidur kiranya lebih memburukkan keadaan. Tidur kiranya lebih mengundang rasa tidak keruan.
Di dalam tidur, dia bermimpi Rina datang kepadanya. Wajah Rina hodoh dan busuk. Penuh dengan ulat. Rina mahu membunuhnya. Dia lari, lari dengan kereta sport. Rina terus mengejar dari belakang. Semakin laju dia menekan minyak, semakin laju pula Rina mengejar.
Tiba-tiba, keretanya tidak boleh dibrek. Dia cuba tekan brek, berkali-kali tetapi gagal. Akhirnya Honda sport hilang kawalan. Dia menggelabah.
Sebelum sempat kereta itu terbabas ke bawah sebuah lori, Hadi telah terjaga daripada mimpi. Dia rasa seperti ada batu yang akan menghempap. Menghempap lalu membinasakan diri ini.
Dia tidak tahu kenapa dia diganggu oleh bayangan buruk seperti ini. Apakah semua ini hukuman yang harus dia terima kerana melukai Rina? Segera pula dia teringat akan nota misteri yang diterimanya sebelum ini. Tentang amaran Rina. Tentang amaran maut, 15 Oktober.
Apakah benar amaran itu?
Ah, itu tidak mungkin. Mustahil orang mati boleh menghantar nota. Mungkin ada orang yang ingin mengambil kesempatan di atas kematian Rina untuk menakut-nakutkannya.
Akan tetapi bagaimana pula jika nota itu benar? Ini bermakna dia akan mati pada 15 Oktober. Berapa hari lagi sebelum lima belas Oktober? Ada dua minggu lagi.
Tubuh Hadi menggigil. Wajahnya pucat.
Tidak mungkin dia akan mati dalam usia yang terlalu muda. Dia tidak mahu mati dalam usia semuda ini. Ketika dia masih belum puas lagi menghirup udara kegemilangan. Ketika dia masih lagi berada di puncak kemasyhuran. Ketika dia masih digilai oleh muda-mudi.
Semua ini adalah gila. Sebuah kegilaan yang optima.
Hadi berdiri di hadapan cermin solek. Dia tanggalkan semua pakaian. Cuma membaluti tubuhnya dengan tuala putih di pinggang.
Hadi tatap wajahnya yang tampan. Wajah inilah yang menjadi pujaan semua wanita. Tidak kira yang masih bergetah atau yang sudah layak dipanggil nenek. Wajah inilah yang membuatkan diri ini terkenal. Kerana wajah ini jugalah dia berjaya mendahului, jauh ke hadapan daripada model-model seusianya.
Hadi tatap pula tubuhnya yang sasa. Dada yang bidang dan tegap. Perut yang rata. Dihiasi pula oleh ketulan-ketulan kemas, hasil latihan harian di gymnasium. Inilah tubuh yang diinginkan oleh mana-mana sahaja lelaki. Semua lelaki berkemahuan memiliki tubuh seperti ini..
Hadi bangga. Bangga dengan apa yang dia miliki.
Akan tetapi semua ini akan menjadi tidak bermakna apabila detik 15 Oktober itu tiba nanti.Apabila detik 15 Oktober itu tiba nanti dia akan mati. Jika dia mati, segala apa yang dia bangga-banggakan ini hanya tinggal kebanggan yang tidak ke mana.
Wajahnya yang kacak akan menjadi pucat dan dingin. Mata yang hijau akan terpejam rapat. Tidak akan terbuka sampai bila-bila. Hidung yang mancung tidak lagi bernafas sseperti selalu-selalu. Bibir yang memukau akan tergamit rapat, dpenuhi buih-buih putih yang hanyir.
Tubuh yang sasa ini pula, akan terbaring kejang dan keras. Tubuh yang sering dia manjakan dengan aneka haruman, daripada pelbagai jenama terkemuka, akan bertukar dengan bau busuk dan meloyakan. Bau yang hanya dapat dilindungi oleh kapur barus dan atar Mekah.
Pakaian-pakaian sealmari daripada pelbagai jenama, GUCCI, Armani, Calvin Klein, Dunhill dan macam-macam lagi semuanya sudah tidak berguna lagi. Dia akan dipakaikan dengan kain putih dari jenis kain yang kasar dan keras.
Bila tiba detik itu kelak, semua orang yang memujanya, semua orang yang tergila-gilakannya, semuanya akan berlari-lari meninggalkannya. Semua sahabat handai dan saudara mara akan menjadi musuh. Semua mereka akan tidak sabar-sabar untuk menghantar diri ini ke kuburan. Tiada siapa pun yang sanggup menyimpan diri ini lagi.
Itulah hakikat yang paling pedih untuk Hadi hadapi. Terlalu memedihkan dan menikam jauh ke dalam kalbu.
Hadi tidak mahu hilang segala nikmat ini dalam masa yang begitu singkat. Dia belum puas menikmatinya. Dia perlu punya keluarga, anak-anak dan isteri. Dia ingin menjadi seperti orang lain. Orang yang mati pada usia sekitar enam puluh sehingga tujuh puluh tahun. Dia mahu menjadi seperti mereka.
Hadi tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia bingung. Apabila dia rasa seperti ingin menangis , dia kancing gigi kuat-kuat.
Hadi tidak tahu pada siapakah harus dia minta simpati. Minta pertolongan. Siapakah yang sudi membantunya? Jika ada pun, adakah mereka orang yang wajar untuk membantu?
Siapa yang boleh dia harapkan?
Sarah? Shima? Ah mereka tentu sahaja akan mentertawakannya bila dia menceritakan segala-galanya kepada mereka nanti.
Rudy?
Kawan-kawan wanitanya?
Mereka itu orang yang terlalu mencintai dunia.
Mr. Ong?
Gila!
Azwa?
Azwa!
“Azwa!”
Azwa tidak sedar sejak kapan dia mengelamun begitu. Panggilan abang Naim mematikan segala imaginasi. Namun, dia masih lagi ditindih oleh rasa simpati yang bukan sedikit kepada Hadi. Dia dapat merasakan apa yang Hadi rasakan. Dia dapat membayangkan betapa kusutnya fikiran ini jika dia berada di tempat Hadi.
Malam sudah menjadi begitu lewat. Pekat dan gelap. Abang Naim sudah lama beradu di bilik. Azwa sendiri, sudah menjadi kebiasaan, sebelum tidur akan mengerjakan solat sunat taubat. Selesai sahaja urusan, tekaknya tiba-tiba menjadi kering. Lantas dia keluar dari bilik untuk ke dapur. Minum barang seteguk dua air putih.
Alangkah terkejutnya Azwa apabila didapati Hadi masih belum lagi tidur. Lelaki itu sedang termenung di beranda rumah, dengan resah dan walang. Cepat-cepat dia mencapai tudung lalu mengenakannya.
“Tak tidur lagi Hadi?”sapa Azwa kepada Hadi, di muka pintu.
“Tak boleh tidur…”balas Hadi, lemah.
“Apa yang Hadi fikirkan?”
“Hadi takut…”
Dia terdiam mendengarnya. Hadi betul-betul tidak keruan dengan apa yang sedang berlaku. Iyalah, orang yang akan mati. Bagaimana dapat bertenang diri.
“Setiap kali Hadi tidur, Hadi pasti akan mimpi Hadi mati…”tambah Hadi.
Dia semakin berasa simpati dengan Hadi. Tidak tahu apa yang sepatutnya dia lakukan.
“Semua orang akan mati Hadi…”ucapnya sejurus kemudian, lebih kepada dirinya sendiri.
Hadi diam. Termenung memandang pohon-pohon nyiur yang melambai-lambai dipukul angin malam.
“Yang paling utama bukanlah bila waktunya kita akan mati..tetapi apakah persediaan kita ke arah itu…”
Diam lagi.
“Jika Allah belum lagi mahu mengambil nyawa kita…datanglah apa ancaman sekalipun, kita pasti tidak akan ketemu dengan maut…”
Kata-kata Azwa mati di situ. Dia tidak pasti sama ada kata-katanya itu dapat membantu Hadi atau pun tidak. Namun, dia pasti Hadi sedang memikirkannya.
Sejurus kemudian, dia tinggalkan Hadi bersendirian melayan perasaan. Dia tidak mahu mengganggu Hadi. Terus sahaja dia menyambung niatnya tadi yang telah terganggu, iaitu ingin minum di dapur.
Malam itu berlalu jua mengikut hukumnya. Dengan sebuah cerita lagi yang tersendiri.
Matahari sudah pun meninggi kepada beberapa darjah ketika Azwa sibuk menyidai jemuran di ampaian. Begitulah yang dilakukannya pada setiap pagi. Pada waktu yang sama, pada waktu ini, abang Naim sedang sibuk mengajar di sekolah. Mengajar subjek agama Islam. Mengajar budak-budak menengah rendah.
Pohon nyiur bergoyang-goyang dipukul oleh sang angin. Daun-daun mangga meluruhkan daunan setiap kali dipukul bayu. Anak-anak ayam, ayam serati mematuk-matuk permukaan tanah. Mencari rezeki.
Satu-persatu baju disidainya di ampaian. Selepas satu, satu lagi. Selalunya, dia hanya menyidai baju abang Naim dan bajunya sendiri, tetapi pada kali ini, bertambah satu lagi koleksi pakaian sidaiannya, pakaian Hadi. Pakaian Hadi semuanya dari jenis yang elok-elok. Mahal-mahal sehingga sukar bagi dia mengagak harganya.
Baju yang kali itu, yang ingin disidainya hampir sahaja luruh daripada tangan apabila terdengar suara orang menjerit dari dalam rumah. Terkejut dia bukan kepalang. Selepas mencampakkan baju di dalam genggaman ke dalam baldi, dia segera meluru ke atas. Mendapatkan bilik Hadi, tempat daripada mana suara jeritan berkumandang.
Hadi sedang tidur di dalam bilik sambil meracau-racau tidak menentu.
“Hadi, kenapa ni? Hadi, bangun!”
Dia menggoncang-goncangkan tubuh Hadi.
Hadi terus meracau-racau. Semakin kasar sehingga tidak terdaya dia hendak mengawalnya. Dia kuatkan lagi goncangan pada tubuh Hadi.
Goncangan yang kali itu akhirnya berjaya membangkitkan Hadi. Hadi terjaga dari tidur dengan termengah-mengah dan berpeluh-peluh. Seperti seorang yang baru lepas bergelut dengan sesuatu.
“Hadi tak apa-apa ke?”tanyanya bimbang.
“Hadi mimpi buruk lagi…”balas Hadi, mengawal nafas.
Dia mengeluh. Simpati lagi, entah kali keberapa kepada Hadi.
“Sudahla tu…tidur siang memang macam tu….”
Azwa berlalu meninggalkan Hadi. Hadi menyeka peluh dengan tangan. Peluh pada dahi dan tubuh yang berlenging..
Azwa mengebam bibir kuat-kuat. Dia tidak dapat menumpukan perhatian kepada apa yang sedang dia masak. Serba-serbi dirasakan tidak kena. Dia sedar. Fikirannya tidak di situ. Tidak pada apa yang sedang dia masak.
Bunyi senduk berlaga dengan belanga turun naik menghangatkan suasana. Ditambah pula dengan bunyi santan mereneh di atas dapur. Semacam bau yang enak dan lemak memenuhi ruang dapur yang sarat dengan gerobok-gerobok lama.
Hadi sekali-sekala menjeling daripada meja makan. Memandang dengan pandangan penuh makna. Buku-buku yang dia beri kepada Hadi, sudah berkali-kali Hadi belek sejak tadi lagi. Buku itu semuanya menceritakan tentang alam maut. Persediaan seorang mukmin sebelum bertemu ajal.
Sambil Azwa memasak, sambil Azwa berfikir-fikir tentang Hadi. Dia menjadi risau apabila melihat Hadi risau. Dia rasa seperti tidak tertanggung pula melihat keadaan Hadi yang tidak keruan.
Hadi tidak lagi seperti Hadi yang pernah dia kenali. Atau Hadi yang dilihatnya pada kaca tv. Tiada lagi Hadi yang ceria atau Hadi yang penuh bergaya dengan ekspresi wajah. Tiada lagi Hadi yang megah dengan penampilan diri atau Hadi yang tersenyum memukau, menampakkan lurah lesung pipit di pipi.
Hadi yang dia lihat kini adalah Hadi yang lain. Hadi yang sudah tiada motivasi untuk meneruskan kehidupan. Hadi yang tersungkur dek kenyataan.
“Hadi nak makan?” soal Azwa kepada Hadi sebaik sahaja dia sudah memasak.
Hadi geleng. Pandangan Hadi kembali kepada halaman buku.
“Kalau Hadi nak makan, panggil sahaja Azwa nanti ya…”ucapnya, ingin beredar ke atas.
“Azwa..”panggil Hadi tiba-tiba.
Langkahnya mati. Dia berpaling.
Wajah Hadi sugul dan kelat. Mata Hadi merah. Macam orang banyak menangis.
“Kenapa Azwa begitu mengambil berat akan Hadi?”tanya Hadi, lemah.
Dia gugup. Apa pula soalan yang Hadi tanyakan ini?
“Hadi dalam susah, patutlah Azwa tolong…”balas Azwa. Dia sendiri tidak pasti sama ada jawapannya itu adalah jawapan yang wajar atau pun tidak.
“Tapi Hadi kan orang jahat…”
Sekali lagi dia gugup. Kenapa dengan Hadi ni? Kenapa pula dia jadi begini? Apa yang harus dia jawab.
“Tak, Hadi bukan orang jahat…setiap orang ada melakukan kesilapan…dan kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan…” Dia tersenyum tawar. Sangat berkeinginan menyurutkan keresahan Hadi. Ingin rasanya dia melihat Hadi ketawa semula. Ketawa seperti dahulu-dahulu.
“Azwa…”panggil Hadi lagi.
Dia mendengar.
“Hadi nak berubah, Azwa…Hadi nak bertaubat….Hadi dah jauh terseleweng dari jalan yang benar…”
Air mata Azwa menitik. Semacam rasa keharuan melanda dirinya apabila mendengar kata-kata Hadi pada kali itu. Suara Hadi kedengaran begitu lembut dan menusuk. Begitu menyentuh perasaan.
“Syukurlah Hadi…”balasnya, antara senyum dan tangis. Senyum kerana bahagia melihat Hadi telah dikurniakan Illahi dengan sinar hidayahNya. Tangis pula kerana meyaksikan kesedihan Hadi. Kesedihan seorang jejaka kerana tersungkur berhadapan dengan takdir.
“Tapi Azwa kena tolong Hadi..Hadi tidak kuat untuk berubah seorang diri…”Hadi juga mula menangis.
“Iya..iya…Azwa janji..insyaAllah…”dia mengebam bibir. Menutup mulutnya dengan telapak tangan bagi menahan rasa terharu yang semakin menikam.
Itulah detik yang cukup bermakna bagi diri Azwa. Detik yang akan dia ingati selalu. Tidak akan dia lupakan detik itu. Melihat diri Hadi disinari oleh sinar keinsafan dari Illahi.
Azan zohor dari surau mematikan perbualan mereka. Pandangan mereka bertaut seketika tetapi Azwa cepat-cepat mengalihkannya.
“Azwa..dah lama Hadi tak sembahyang..boleh Azwa ajar Hadi sembahyang?”
Azwa terpempan. Dia rasa gembira dan sudah pun mengangguk-angguk. Perubahan Hadi tampak semakin pasti.
Semenjak itu, Hadi pun mula berubah. Menjadi semakin baik.Menjadi semakin unggul. Seorang jejaka kacak yang mencampakkan ego demi mentaati perintah Allah. Hadi telah mula menyentuh tikar sembahyang. Membaca kitab suci Al-Quran. Kitab-kitab Hadith. Akhirnya, wajah Hadi menjadi semakin indah dengan nur keimanan dan ketakwaan.
Tidak sukar bagi Azwa dan abang Naim untuk mengajar Hadi tentang fikah dan panduan beramal. Segala apa yang mereka ajarkan itu bukannya asing bagi diri Hadi. Hadi pernah melaluinya sebelum ini. Cuma apa yang Hadi perlu lakukan ialah mengimbas semula apa yang pernah dia pelajari dan dia amali. Otak Hadi yang cerdas mempercepatkan lagi proses pemahaman Hadi.
Dalam beberapa hari sahaja, Hadi sudah boleh mengerjakan amalan-amalan fardhu ain dengan tepat dan meyakinkan. Sekali-sekala, ketika Azwa melintasi bilik Hadi, dia dapat dengar suara lelaki itu melagukan kalimah-kalimah Allah melalui kitab suci Al-Quran. Sayu dan hiba bunyinya.
“Hadi, aku rasa kau tak payahlah risau sangat pasal nota yang kau baca tu..tak ada apanya…”kata abang Naim kepada Hadi semasa mereka menghadapi makan malam, malam yang lebih kurang seminggu selepas hari Hadi datang.
Hadi diam sahaja. Tetapi Hadi tampak lebih tenang selepas melalui hari-hari taqarubnya kepada Allah.
Azwa tidak memandang pun mereka. Buat-buat tidak mendengar. Menyuap nasi perlahan-lahan. Namun hatinya senang dengan perubahan Hadi. Senang, malah sangat senang. Igauan Hadi pun makin berkurangan. Tidak lagi meracau-racau macam orang terkena sampuk setiap kali tidur.
“Aku rasa ada orang nak takut-takutkan kau…”tambah abang Naim.
Hadi diam lagi.
“Kalau tak pun, setan saja nak mengacau kau…itu memang kerja mereka…”
Keadaan sudah menjadi semakin baik. Abang Naim seperti dirnya sendiri, begitu mengambil berat akan diri Hadi. Sedikit sebanyak kemesraan kekeluargaan yang pernah tersemai semasa abang Naim bersekolah asrama penuh dulu, dapat juga dianyam kembali. Nampaknya, di sebalik peristiwa Hadi, tersembunyi seribu hikmah. Hikmah yang diatur oleh yang Maha Bijaksana. Peristiwa itu, walaupun cukup malang bagi Hadi, akan tetapi membawa makna yang cukup besar. Bukan sahaja kepada Hadi tetapi kepada dirinya sendiri.
Peristiwa itu telah membawa sinar hidayah kepada Hadi. Peristiwa itu telah menjalin semula kemesraan yang terlerai antara Hadi dan keluarganya. Kemesraan itu juga telah membawa semacam rasa senang dalam dirinya. Rasa senang yang sangat istimewa. Azwa tidak pasti rasa senang yang macam mana. Namun, yang pastinya, dia rasa senang amat sangat. Apatah lagi apabila dia melihat wajah Hadi yang kembali tenang itu.
Perasaan apakah ini?
Apakah dia sudah mula menaruh perasaan luarbiasa terhadap Hadi?
Ah, gila. Ini tidak mungkin berlaku. Dia tidak layak untuk Hadi.
Adakah Hadi juga berperasaan sepertinya?
Aneh sungguh perasaan.
Tarikh 15 Oktober semakin hampir. Tarikh yang penuh debaran dan igauan. Azwa sendiri turut merasakan debarannya. Apatah lagi empunya diri, Hadi. Tentu lebih berdebar lagi.
Azwa sering berdoa dan berharap agar tarikh 15 Oktober itu tidak membawa apa-apa petaka. Janganlah sesuatu yang tidak diingini berlaku pada tarikh itu kelak. Dia tidak mahu sesuatu berlaku kepada Hadi. Kalau berlaku pun, biarlah dia sahaja yang menjadi galang ganti.
Azwa diulit oleh rasa hairan seketika itu semasa dia menghidangkan makan tengah hari buat Hadi. Hadi tidak kelihatan seperti biasa. Hari itu, Hadi memerhatikan sahaja segala gerak gerinya, dengan senyum simpul.
Dia jadi tidak tenteram pula bila Hadi bersikap sedemikian. Apa kena dengan Hadi hari ini? Sakitkah dia?
“Sangat baik…”kata Hadi tiba-tiba.
Dia terkejut. Tidak memahami makna kata-kata lelaki itu.
“Apa yang baiknya?”soalnya hairan.
“Azwa, seorang gadis yang sangat baik..Sebuah kebaikan yang tidak pernah Hadi temui pada mana-mana gadis yang pernah Hadi gauli di kota…”
Azwa tersipu-sipu malu. Mukanya bertukar kemerahan.
“Apa yang Hadi merepek ni…” tingkahnya agak gugup.
“Hadi tak merepek..Hadi cakap benar..”
Dia menjadi bertambah malu. Menggigil-gigil dia menyerahkan pinggan nasi kepada Hadi. Hadi tersenyum mengerti.
“Azwa…”
Azwa mendengar.
“Andai kata Hadi tak mati lagi pada 15 Oktober ni..sudikah Azwa kiranya Hadi melamar Azwa sebagai isteri?”
Dia melopong dengan tawaran Hadi. Antara percaya dengan tidak dengan apa yang didengar. Cuma apa yang dia sedar, dia telah pun berlari meninggalkan Hadi. Masuk ke dalam kamar peraduan,Dia tidak sedikit pun rasa bersalah kerana terus sahaja membiarkan Hadi menanti sendirian di dapur akan keputusan kepada persoalan tadi.
Dia tidak dapat menilai perasaannya pada ketika itu. Sukakah dia dengan tawaran Hadi? Gembirakah dia?
Azwa menoyoh muka pada permukaan bantal. Tudung labuh di kepala berkedut seribu dihenyak tubuhnya. Wajah Hadi tumbuh di mana-mana. Tersenyum tenang memandangnya.
Tiba-tiba Azwa menyedari akan keadaan diri yang telah terlalai dilanda oleh godaan syaitan. Dia tidak sewajarnya berperasaan sedemikian. Satu perasaan yang boleh merosakkan hubungannya dengan Allah. Membayangkan seorang lelaki yang bukan mahram pada kotak fikiran bukanlah sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang gadis sepertinya. Segera pula dia beristighfar berkali-kali. Mengesali kealpaannya.
Begitulah yang berlaku dalam dirinya. Setiap kali dia teringat akan perilaku Hadi yang cukup mengusik, akan cepat pula dia beristighfar. Dia takut kalau-kalau apa yang dilakukannya itu bakal mengundang kemurkaan Allah.
Akan tetapi, setelah hari semakin bertambah bilangannya dan tarikh makin meninggi nilainya, dia mula menyedari bahawa untuk melupakan kelibat Hadi daripada ingatan bukanlah sesuatu yang mudah. Semakin cuba dia melupakan, semakin pula kelibat itu menjadi nyata.
Dia tidak tahu apakah yang sedang melanda dirinya ini? Berdosakah dia kerana menyenangi seseorang?
Azwa, engkau sudah berubah!
Azwa, engkau bukan lagi Azwa yang dahulu!
Azwa!
“Azwa!”
“Hah,”
Dia tersentak bila mendengar namanya dipanggil.
Hadi tersenyum girang di belakangnya.
Dia memerhati tidak mengerti. Tangannya yang basah dikeringkannya dengan tuala putih atas meja makan.
Pinggan mangkuk bekas sarapan abang Naim tadi masih lagi belum dikemaskannya. Abang Naim sendiri telah lama ke sekolah. Meneruskan perjuangannya di dalam mendidik anak bangsa.
Ada suara ayam meloncat atas atap zink. Juga bunyi daun-daun gugur menimpa bumbung, dipukul angin pagi. Panas sang mentari yang baru meninggi, sempat mencuri masuk melalui celahan dinding papan yang sedang menunggu reput.
“Ngapa suka sangat ni?”tanyanya malas apabila Hadi masih belum lagi mahu berganjak. Hadi tersengih menampakkan susunan gigi yang cantik.
“Azwa…Azwa tahu tak hari ni hari apa?”Tanya Hadi pula.
Dia terdiam. Hari? Hari apa? Hari ini hari Rabu. Tapi apa yang istimewanya? Puas dia berfikir,. Berfikir buat seberapa lama tetapi dia tidak dapat mengagak apa-apa yang istimewa sehingga Hadi boleh bersuka sebegini.
“Azwa, hari ini 16 Oktoberlah!”teriak Hadi.
Dia terpempan. Iya, hari itu 16 Oktober! Iya..hari itu memang 16 Oktober..Ini bermakna tarikh maut bagi Hadi iaitu 15 Oktober sudah pun berlalu. Dan…
“Hadi masih hidup lagi, Azwa..Hadi masih hidup!”Hadi melonjak-lonjak gembira.
Dia tersenyum. Lantas dia panjatkan syukur ke hadrat Allah Taala yang masih lagi memberi tempoh kepada Hadi untuk merasai ni’mat kehidupan ini. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.
Azwa lihat Hadi ceria betul. Tidak pernah dia lihat Hadi seceria itu. Lebih-lebih lagi semenjak kedatangan Hadi sejak seminggu lebih di kampong. Tiada lagi wajah suram dan kelam seperti selalu-selalu. Dia tahu, Hadi seperti seorang yang baru dibebaskan daripada hukuman penjara. Seperti seekor burung, dibiar bebas dari sangkar emas.
Tidak berapa lama kemudian, Hadi nampak sibuk berkemas-kemas. Kemudian dengan susah payah, Hadi membawa keluar dua buah beg pakaian dari dalam bilik.
Dia menjadi hairan melihat Hadi begitu. Hendak ke mana?
“Hadi nak balik, ada shooting hari ni..”ucap Hadi tanpa ditanya.
Dia tidak dapat lari daripada berasa tersangat hampa apabila menyaksikan sikap Hadi yang berubah secara tiba-tiba. Bukankah Hadi telah berjanji hendak meninggalkan bidang komersilnya? Apakah dengan mendapat kehidupan baru telah mengembalikan Hadi kepada tabiat asal?
“Hadi..”panggilnya dengan hampa.
Niat Hadi untuk menuruni tangga terhenti.
“Bukankah Hadi dah berjanji..”dia tidak dapat meneruskan kata-kata. Terasa payah pula untuk berbicara . Segala-galanya menjadi amat berat dan menghambat.
“Azwa…”Hadi tersenyum. “Hadi tahu apa yang Azwa fikirkan..”
Dia diam. Ditahan air matanya daripada tumpah keluar.
“Azwa tentu ingat yang Hadi sudah kembali kepada sikap asal Hadi…”
Dia diam lagi.
“Tapi Hadi masih lagi dengan janji Hadi untuk menjadi seorang lelaki soleh…. Hadi takkan berubah, insyaAllah…Cuma..”
“Cuma apa?” tingkahnya agak keras.
“Cuma Hadi masih ada kontrak yang belum disempurnakan…selesai kontrak ni..Hadi akan ucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan…”
Hatinya menjadi lega semula apabila mendengar penjelasan Hadi yang penuh kelembutan itu. Sangkanya Hadi sudah berubah. Akan tetapi, dia sendiri yang harus dipersalahkan kerana terlalu prejudis terhadap Hadi.
“Maafkan Azwa…”pintanya kesal.
“Tak mengapa…”Hadi tersenyum.
Azwa menghantar Hadi sehingga ke muka pintu. Di tangga, Hadi mengenakan stoking dan kemudian menyarung sepatu hitam berkilat.
Dia memerhati dengan ditindih oleh sebuah perasaan yang sukar dimengertikan. Sedih ada. Pilu pun ada. Sepanjang Hadi berada di kampong, kehadiran Hadi telah membawa sejuta warna di dalam kehidupannya. Membawa warna-warna indah.
Sebelum Hadi melangkah ke kereta sport merahnya, Hadi berpaling sebentar melihatnya.
“Oh ya..”kata Hadi seperti baru teringat akan sesuatu.
Dia menanti dengan keharuan.
“Kirim salam pada abang Naim..kata kat dia..Hadi ucap terima kasih banyak-banyak..dan…”
Azwa mengebam bibir. Mendengar satu persatu patah bicara Hadi. Apa lagi yang ingin Hadi perkatakan.
“Pasal janji Hadi untuk melamar Azwa…”
Dia menjadi gugup. Hadi tersenyum lagi.
“Azwa jangan bimbang..Hadi tak akan lupa..insyaAllah..minggu depan Hadi hantar rombongan meminang…”
Hati Azwa berbunga. Berbunga dengan bunga-bunga berkembang. Dia berasa cukup bahagia dengan kepastian yang diberikan. Ternyatalah hajat lamaran Hadi sebelum ini bukanlah sekadar pemanis di bibir. Ternyatalah bahawa Hadi benar-benar ikhlas di dalam niat yang disuarakan.
Hadi tersenyum lagi, senyuman yang terakhir sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.
Azwa melambai-lambai dari muka pintu. Sebuah lambaian yang penuh makna dan penuh kasih-sayang. Sambil melambai itu, sambil dia membayangkan minggu yang akan mendatang, minggu di mana rombongan Hadi akan datang meminangnya.
Ketika dia ingin melangkah masuk ke dalam rumah dan ketika Hadi baru sahaja ingin menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba ada bunyi yang aneh berkumandang.
Azwa menjadi bingung dan terpinga-pinga dengan bunyi itu. Bunyi apakah itu. Bunyi seperti sesuatu yang patah menanti rebah. Hatinya lantas sesak. Gemuruh dan bimbang. Resah bukan kepalang. Entah kenapa hatinya menjadi begitu, dia sendiri pun tidak pasti.
Bunyi itu makin lama semakin kuat, turun naik dengan bunyi enjin kereta yang baru dihidupkan.
Dia tidak jadi ke dalam. Dia kembali semula ke muka pintu. Mengintai ke luar.
Namun alangkah terkejutnya dia dengan apa yang dilihatnya.
Sebatang pokok kelapa di depan rumah sedang terpongkes akarnya lalu merebah jatuh ke kereta Hadi.
Dia ingin menjerit memanggil Hadi tetapi suaranya tidak keluar.
Hadi dari dalam kereta, menoleh memandangnya. Tersenyum lagi tetapi tiba-tiba menjadi cemas apabila mula sedar dengan keadaan. Hadi dongak ke atas. Menunggu pemeluk kelapa jatuh menimpa bumbung kereta. Hadi tidak sempat hendak mengelak.Wajah Hadi pucat dan kelat.
Debum!!!
Azwa memejam mata. Tidak sanggup dia melihat apa yang sedang disaksikan. Namun dia tahu, pemeluk kelapa sudah pun menghambat mangsanya.
Dia mengancing gigi kuat-kuat. Rasa ngilu dan ngeri datang menjengah..
Perlahan-lahan dia buka mata. Menggigil-gigil dan berdebar-debar.
Tubuhnya tiba-tiba menjadi longlai. Dia jatuh terduduk ke atas tangga. Kepalanya terasa berpinar-pinar. Dan pandangannya bertukar menjadi kabur.
Kereta Honda sport dikerumuni oleh orang-orang kampong. Bumbung kereta remuk dan cerminnya pecah. Bahagian depannya rosak dan punah.
Perlahan-lahan orang membawa keluar jenazah Hadi dari dalam kereta. Wajah Hadi yang bersih tidak dilukai tetapi pada bibir Hadi, ada darah merah mengalir pekat. Dada Hadi yang bidang ditusuk beberapa keping kaca. Tubuh Hadi terkulai sepi dipapah orang kampong.
Azwa menangis teresak-esak. Menahan sedih dan terkilan yang amat sangat. Itulah kenyataan yang sangat pahit bagi dirinya. Perginya seseorang yang sangat dia sayangi. Perginya seorang jejaka yang menjadi igauan setiap insan.
Apa yang Hadi takut-takutkan itu, rupanya hadir juga.
Setiap yang bernyawa pasti akan melalui maut.
Sampai masanya insaflah diri,
Selimut putih pembalut badan,
Tinggallah semua yang dikasihi,
Berjuanglah hidup sepanjang zaman.

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool