Cinta Hot Chocolate - Part 1



“DIA segalanya bagi saya.” Memaling, melarikan pandangan daripadaku - melihat pada kenderaan yang berlalu agaknya - dengan jari telunjuknya menguis-guis lembut bibirnya dan sambil mengetuk-ngetuk dada dengan jari-jari halus tangan kanannya, dia berkata, “Saya benar kehilangan. Kosong dia tiada dan dalam ini pun kosong.” “Aneh bukan?” Selama ini pandanganku terpaku padanya. Lantas apabila dia berpaling memandangku dan berkata, “Aneh bukan?”, aku tersentak. Mengapa? Entahlah, aku sebenarnya jauh berkhayal mengamati wajahnya itu. Entah bila dan di mana, tetapi tanyanya itu menyentak dan aku kembali pada diriku sendiri. Mencari kata-kata menyahut pertanyaannya itu, aku kembali hanyut entah ke mana. “Hello dengar tidak apa yang saya cakap?”

Senyum, “Saya dengar, cuma…

“Tak faham?”

“Iya.”

“Tak faham?”

Aku hanya mengangguk sambil jari-jemariku menarik-narik lembut janggut yang aku sedar agak panjang meliar dan perlu dirapikan semula.

Dia memaling semula, melihat jalan besar itu. Sebahagian rambutnya jatuh menutupi sebahagian mukanya. Dibiarkan begitu, tidak ditolak dan diselitkan pada telinganya, seperti kebiasaan. Rambutnya yang lurus paras bahu itu berwarna jingga tua; sinaran lampu di kafe menyerlahkannya. Aku benar tertarik. Ia kena pada rupa parasnya. Bujur sirih dan kulitnya yang bersih putih itu. Hidungnya. Bibirnya. Matanya. Aku benar hilang dalam mengagumi dia yang didepanku. Dia yang benar menguasai hatiku.

“Saya tak tahu apa nak buat. Semuanya tak kena. Rasa lemah dan benar tertekan kerana semuanya ini. Rasa kehilangannya begitu menghimpit dan entah mengapa, diri saya juga hilang entah ke mana. Tiada arah, setiap kali membuka mata dari tidur yang penuh resah, saya memandang dinding, berfikir, mencari, mengapa saya masih di sini, keseorangan. Aneh bukan?” Melihatku dan mata itu.

“Hello.”

“Iya, awak hilang arah. Saya faham.”

“Tak faham mengapa saya boleh jadi sebegini lemah.”

“Sabarlah. Masa mengubati dengan membiasakan diri pada keadaan.”

“Membiasakan pada keadaan?”

“Iya.”

“Bila?”

“Manalah saya tahu, tetapi banyak bergantung pada awak juga. Saya harus terima hakikat keadaan kini. Dia sudah pergi, tidak mungkin kembali. Itu hakikat. Soalnya, bila pula awak dapat menerimanya dan membiasakan diri dengan keadaan, tanpanya.”

“Saya harap ia semudah itu. Tetapi ternyata tidak.”

“Awak langsung tidak mahu mencuba. Cubalah, lihat dan seberangilah sempadan itu. Sinar itu ada. Jangan tutupi diri itu daripada kehidupan ini. Ini bukan kemahuannya. Dia tentu mahu awak teruskan kehidupan seperti biasa.”

“Mana awak tahu?”

“Andai saya mencintai seseorang, dia segalanya. Sudah tentu saya mahu dia bahagia, tidak duka menderita seperti awak. Jika you di tempatnya, bukankah itu yang you mahukan?”
Diam. Hatiku luruh melihat dia menitiskan air mata. Terlalu dalam perasaanku terhadapnya. Ya, aku rasa aku menyintainya dan apabila dia kehilangan kekasihnya dalam satu kemalangan jalan raya, terasa amat berdosa kerana hatiku terlonjak-lonjak melihat ruang untuk hadir dalam hidupnya. Bukan ini yang aku mahu. Bukan begini. Melihatnya begini, menderita menanggung perasaan kehilangan sesuatu yang amat dia sayangi, aku diheretnya bersama merasai. Andai aku katakan bahawa aku lebih menderita, sudah tentu dia tidak percaya. Tetapi, begitulah rasaku.

Bersambung………

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool