Cinta Hot Chocolate - Part 2



Kerap aku mengingatkan diri agar bersedia, namun dia sering muncul setiap kali aku lalai. Aku tidak mampu mengatasi rasa hatiku terhadapnya selagi kau tidak menyambutku dalam dakapanmu, menerimaku seperti kau menerima kehadiran Fazlan. Aku di sini, sedia dan mahu setia padamu dan kau di sana tidak mengetahui dan terlalu setia pada yang telah pergi. Mahu saja aku meluah, tapi kau terlalu setia - aku terlalu takut memberitahu kerana tidak mahu kau keliru; menceroboh dan menakluki ketika kau lemah dan memberatkan lagi apa yang kau tanggungi - dan aku terlalu menghormati egoku ini. Aku tidak mahu menjadi dahan berpaut yang bersifat menghilangkan lesu dan mengamankan serta mengubati hati. Aku tidak mahu apabila lesu itu hilang dan hati itu aman, kau sedar aku bukan segalanya. Aku tidak mahu begitu - mengambil kesempatan atas dirimu. Tidak, aku tidak mahu begitu. Aku terlalu bangga akan diriku sendiri. Dan, aku tahu erti kasih sayang itu; aku pernah kehilangannya - kasih dan sayan itu - tetapi orangnya masih ada. Tidak sepertimu sekarang. Kau faham mengapa aku lebih menderita daripadamu? Dia sudah tiada bagimu dan aku terpaksa berulang melalui neraka!
“Farah.”

Dia masih setia pada jalan besar itu. Tidak berpaling padaku bila aku menyebut namanya. Rambut itu masih begitu, cuma air mata kerap menitik setelah menyusuri lekuk antara hidung dan pipinya, terkumpul seakan cuba berpaut pada bibir dan dagu, namun dirinya itu terlalu hancur dan titikan yang hampir tidak putus itu menyatakan segalanya.

“Farah, awak tidak boleh begini. Antara sedar atau tidak, ia destruktif. Awak menghukum diri sendiri. Dan, saya benar risau.”

Destruktif pada dia dan aku. Risau pada dia dan aku. Menghukum dirinya dan diriku ini. Mengapa aku diletakkan pada keadaan begini? Apa salahku? Maznah pergi mengejar sesuatu yang mungkin tidak akan aku fahami dan Farah yang membawa harapan bagiku berpaut dan mengubati hatiku yang lali ini, tetapi dia terlalu setia. Benar terasa aku ini lemah. Perlu berpaut, perlu ada tempat bagiku berselindung!

“Risau? Awak risau?” Dia memaling. Sesuatu muncul daripada wajah itu. Sesuatu dari dalam kemarahan!

“Iya, saya risau melihat awak,” lembut kataku cuba mempertahankan kedudukan.

“Ini bukan masalah awak,” ringkas dan memaling semula memandang jalan itu.

“Bukan masalah saya? Dan, awak begini di depan saya, meluah apa yang mengganggu dan ia bukan masalah saya?”

“Tidak begitu. Saya cuma mahu seseorang pendengar. Itu saja.”

“Sepatutnya awak cari orang yang tidak dikenali,” aku mematikan saja niatku setelah dia memperlihatkan pandangan yang membara - kemarahan itu muncul kembali.

Jadinya begini. Dia mahukan aku mendengar dan aku mahukan dia menanam dan memulakan kehidupan yang baru - bersamaku. Keadaan amat selari, secocok - kami sama menderita orang yang kami sayangi. Aku mengenalinya sejak di bangku sekolah rendah. Kami begitu erat - saling mengetahui rahsia. Aku mempunyai rasa ini - rasa yang melonjak riang setiap kali berjumpa atau mengingatinya. Tidakkah rasanya sama juga? Mengapa pula aku hanya harus mendengar? Tidakkah aku berhak bersuara? Kemarahan yang ketara daripada pandangannya itu berjangkit. Aku juga marah padanya yang mahukan aku sebagai patung dan pada diriku sendiri. Aku benar terhina. Dia tidak perlu menghinaku sedemikian. Aku tidak perlu menghina diriku sedemikian. Benar lahaku yang lebih merasai neraka itu!”

“Terima kasih meluangkan masa,” bangun dan berlalu.

Ia sesuatu yang aku jangkakan. Dia perlu pergi - seperti kebiasaan, lari daripada apa yang menyulitkan - sifat semula jadi manusia. Aku pun mungkin begitu. Melayani perasaan hati yang lemah dan apabila sedar terancam, semestinya bertindak begitu. Aku tidak mahu dia pergi walaupun aku tahu dia sememangnya begitu - keras kepala!

Kini benar segalanya semakin sulit. Maznah pergi dan kini, Farah. Bagaimana jika bertemu nanti? Maznah masih mampu meruntuhkan. Farah? Aku benar menggali lubangku sendiri.

Bersambung………………..

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool