Jika…



Akhirnya, kembali jua aku ke desa permai ini. Keindahannya masih sama dan asli, seperti mana aku tinggalkan tiga tahun yang lalu demi setitik ilmu Allah.

Pokok kelapa nan sebatang melambai-lambai seakan-akan menyambut kepulanganku. Bayu bertiup lembut membelai pipi yang sekian lama dielus oleh angin sejuk kota London, tempatku belajar. Kicauan berburung dan unggas seakan-akan satu temasya girang meraikan diriku.Ah… betapa aku rindukan desa ini. Yang lebih penting, senyuman dan belaian bonda sentiasa menggamit kepulanganku. Kehangatan pelukan bonda tidak dapat menandingi apa jua. Kini segalanya ada di depan mata. Anak desa ini pulang jua untuk menabur benih bakti di tanah air tercinta.

Hati ini seakan-akan terpanggil untuk menikmati angin bendang. Kehijauan padi yang baru tumbuh, pepatung yang terbang dan hembusan angin yang girang menenangkan hati. Di bendang inilah segala pahit dan manis kehidupanku tercipta. Dari jauh, kelihatan seseorang menghala ke dangau. Penglihatan cuba ku tajamkan. Mata ini seolah-olah tidak percaya bila berdiri di hadapanku seorang insan yang amat ku rindui. Engkaukah itu Ameer? Demi Tuhan, kalau tidak kerana sepasang mata helangmu dan senyuman itu, pasti dirimu tidak aku kenali.

Engkau jauh berubah, badanmu yang sasa semakin kurus, kulitmu yang cerah berubah dimamah cahaya mentari dan aku lihat matamu menyimpan sesuatu yang tidak dapat aku tafsirkan. Sekilas renunganmu dan pujian yang kau berikan membuatkan aku tersenyum malu. Betulkah aku semakin cantik atau engkau cuba mengambil hatiku sebagaimana yang biasa engkau lakukan dahulu. Pelawaanku mempersilakan kau duduk kau tolak dengan hormat. Maaf katamu, badanmu bersalut lumpur dan berkeringat. Seketika kemudian, engkau memohon diri. Aku mengangguk cuma.

Langkahmu kusoroti dengan imbasan nostalgia yang sentiasa kusimpul rapi dalam peti ingatan. Segala-galanya bermula lewat 10 tahun yang lalu bila ayah ditukarkan ke Bandaraya Bersejarah ini. Selepas mendaftar, aku termangu-mangu keseorangan di hadapan bilik pengetua. Sapaan mesramu kusambut dengan baik. Engkaulah yang membawaku ke kelas dan kebetulan, meja di sebelahmu kosong. Akulah peneman setia di sebelahmu dari saat itu hinggalah berakhir zaman persekolahan.

Seperti seorang pemandu pelancong, engkaulah yang membawaku ke seluruh kawasan sekolah, ke kutub khanah, rumah Allah dan ke kantin. Setelah masa berlalu menghampiri waktu tamat persekolahan, barulah engkau bertanyakan namaku. Tergelak kita bersama-sama kerana terlupa untuk mengenali diri masing-masing. Bila ku katakan namaku Ameera Diana, engkau seakan terperanjat kerana namamu Ameerul Hakim.

Mulai hari itu, engkaulah yang melindungi diriku sehinggakan orang menyangka ada ikatan lain antara kita. Namun, hanya kita yang mengerti betapa tulus dan ikhlasnya talian kita ini.Perkenalan dengan bonda dan ayahanda mengeratkan lagi perhubungan kita. Tiada rahsia yang tersembunyi, kita mencari ilmu, bergurau, bersedih dan bergembira bersama-sama. Kala itu, telah ada puteri yang bertapak di hatimu, Sa’adah. Kepadaku kau curahkan segala rasa hatimu tentang gadis kesayanganmu itu, tentang impianmu, anganmu dan harapanmu terhadap si manis itu. Tiada secalit rasa cemburu langsung yang terbit dalam diriku mendengar ceritamu itu, malah pengharapan ku panjatkan pada Yang Esa supaya terkabul impianmu untuk mempersunting dirinya.Namun, tiada siapa yang tahu apa yang terkandung dalam helaian suratan. Sa’adah kembali menemuiNya dalam satu kemalangan. Saat itu, engkau hampir gila, Meer.

Tapi mujurlah semangatmu masih kental dan disertai dengan dorongan dan kasih sayang Yang Esa, engkau dapat juga melalui PMR dengan baik dan membuahkan keputusan yang cemerlang. Ketika kita berdua mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM, ada cahaya yang terpancar di wajahmu berserta dengan titisan kesyukuran. Kejauhan dengan keluarga menyebabkan aku lebih intim denganmu. Engkaulah segala-galanya bagiku, tempat aku menumpang teduh dan kasih, kerana tiada sesiapa lagi yang boleh kuharapkan di MRSM ini. Kasihku padamu, seperti lautan tidak bertepi dan kau kuanggap seperti saudara kandung sendiri.

Engkau amat mengambil berat tentang diriku. Penempatan di kelas yang sama sekali lagi mencetuskan pertanyaan pelajar lain tentang keakraban kita. Setelah tamat alam persekolahan, kita bekerja di bandar sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Saat itu, ayahandaku yang tercinta pula meninggalkan diri ini, berdua dengan bonda. Bermula dari detik itu, engkaulah yang sentiasa berulangalik ke rumahku, memastikan aku dan bonda selesa, membelikan barang-barang dapur dan sentiasa cuba menceriakan hati kami. Hati bonda tersentuh dengan kasih sayang yang kau hulurkan sehingga bonda mengambilmu sebagai anak angkat. Nendamu juga nampaknya merestui ikatan kasih sayang ini, apatah lagi engkau tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari keluarga sendiri yang lebih dahulu dimamah bumi.

Sedikit demi sedikit, aku sedari ada perasaan baru yang menjalar dalam nadiku terhadap dirimu. Tetapi aku sering mencantas putik itu dari fikiranku. Aku malu mengakuinya sedangkan aku tahu ianya benar. Mungkin kau juga menyedari perubahan diriku. Aku rasa segan bila berhadapan denganmu. Degupan jantungku kencang dan nafas seakan-akan tersekat. Saat kau ada di sisi, aku merasa amat bahagia. Gilakah aku, Ameer? Awal Februari, aku merengek minta engkau mencarikan benih bunga mawar untuk diriku sebagai hadiah hari jadi. Engkau tersenyum dengan permintaanku. Bila kau katakan engkau akan berikan sirih junjung sebagai hadiahnya berserta dengan bunga rampai, aku terdiam seketika. Aku tahu ada makna tersirat di sebalik kata-katamu. Tapi aku tak berani untuk bertanya lebih lanjut, lantas perbualan aku ubahkan kepada perkara yang lain. Bila suria melimpahkan cahayanya pagi itu, aku dapati telah ada dua pasu bunga ros yang sedang berkembang di halaman. Keriangan membaluti diri ini.

Di dangau itulah kali pertama kau lafazkan kata sayang kepadaku. Katamu, perasaan itu tak dapat kau sorokkan lagi. Ia seolah-olah lalang, makin dipotong, ia lebat meninggi. Wajahku merona merah bila kata itu kau lafazkan. Aku juga tak dapat menghalang lagi rasa cinta yang menjalar dan melilit tangkai hatiku terhadap dirimu. Sejak itu, kita lalui hari-hari ini dengan cahaya kebahagiaan. Keputusan peperiksaan membawa berita tentang masa depan yang lebih bercahaya. Berkat usaha kita, menara gading menjemput kita menimba ilmu. Kali ini, kita terpaksa berpisah, Meer. Engkau akan pergi ke UTM di selatan sana dan aku pula ke ITM di bandar metropolitan. Kejauhan membuahkan kerinduan, kejauhan mengajar kita erti kesetiaan. Helaian demi helaian bertukar tangan, disertai dengan madah-madah cinta kita yang sering mendambakan pertemuan.

Kedatangan musim cuti tidak kita lepaskan untuk bertemu. Desa kita kemudiannya dikunjungi seorang guru muda yang telah banyak membawa perubahan. Salah satu pembaharuan yang dibawanya ialah mengadakan kelas tuisyen untuk putera-puteri kampung kita secara percuma. Balai raya disediakan untuk tujuan itu. Tenagaku untuk mengajar bahasa Inggeris amat diperlukan. Dengan rasa bangga bercampur terharu, aku menerima pelawaan tersebut. Tugas membuatkan aku rapat dengan guru muda itu yang membahasakan dirinya sebagai Abang Sham. Bibit-bibit cemburu mula bersarang dalam hatimu. Ah… engkau terlalu berprasangka, Meer.

Masakan aku ada hubungan dengannya.Hari itu seperti biasa, aku ke balai raya mencurahkan bakti. Setelah ilmu dikongsi bersama, putera-puteri harapan bangsa melangkah pulang. Kala itu, hanya aku dan Abang Sham saja yang tinggal. Hembusan angin yang agak garang menerobos tiba-tiba melalui dedaun tingkap. Berkejar kami berdua untuk mengutip kertas-kertas yang bertaburan. Ketika itulah engkau masuk, Meer. Demi melihat kami berdua, engkau terus berlalu sambil menendang pintu tanpa bercakap sepatah pun.

Kenapa dengan dirimu, Meer?Peristiwa tempoh hari mengusutkan fikiranku. Puas aku memujukmu, tapi kau enggan bertemu denganku. Abang Sham, dengan rasa bertanggungjawab dan penuh kelakian menjejakimu di rumah dan menerangkan perkara yang sebenar. Walaupun kebenaran telah engkau ketahui, kau tidak langsung meminta kemaafan dariku. Tapi tidak langsung aku berkecil hati. Bagiku, kedatanganmu ke rumah petang itu membuktikan yang engkau tidak marah lagi padaku.Bila aku melangkah ke tahun kedua, diriku semakin dicemburui masa. Aku terlalu sibuk diuliti tugasan, ilmu dan persatuan. Masa yang ada harus aku peruntukan sebaik-baiknya. Mungkin juga silapku, agak lambat membalas warkah-warkahmu dan balasan helaian surat dariku juga semakin jarang diutus. Engkau mula menyangka yang bukan-bukan.

Katamu, aku sudah beralih pandang pada jejaka-jejaka kota yang lebih hebat darimu. Kelemahanku mula kau cari dan kelemahanmu juga kau jadikan alasan. Tanpa pengetahuanku, engkau telah menjejakkan kaki ke Bandar Anggerik ini bersama temanmu. Sumpah Meer, aku benar-benar tidak nampak dirimu ketika berada di Kafe Budi Siswa itu. Ketika itu, aku sedang makan dengan rakan setugas untuk subjek Mooting, Abdul Mutalib. Kemudian, kau juga nampak kami berdua naik kereta bersama-sama. Meer, kalaulah engkau ikut bersama-sama, pasti engkau tahu arah tujuan kami. Kami ke Perpustakaan Negara, Meer. Mengeluh aku bila temanmu yang sekampung dengan kita menceritakan betapa marahnya engkau padaku hinggakan sutera merah yang kau belikan untukku kau campakkan jauh di bawah katil.

Puas aku mendail telefon bimbit rakanmu dan merayu untuk berbicara denganmu, tetapi engkau enggan bersuara. Surat-surat yang kuberi tidak lagi mendapat balasan. Cuti semester memberikan peluang untuk aku bersemuka dengan mu dan memberitahu cerita yang sebenar. Dangau di sawah itu juga yang menjadi saksinya. Malangnya, engkau tidak mahu menerima alasanku. Patutlah aku jarang menulis surat padamu, rupa-rupanya aku berubah kasih, itulah katamu padaku. Kemudian, kau mula menimbulkan berbagai-bagai alasan. Kononnya, lumpur yang berpalit di badan dan keringat yang mengalir di tubuh menyebabkan aku jijik melihatmu. Harta dunia yang tidak kau miliki juga menyebabkan kau mengatakan aku perempuan materialistik yang memilih lelaki kerana harta. Engkau silap, Meer. Kerana kehalusan budi bahasamu itulah aku jatuh cinta padamu.

Disebabkan oleh perhatianmu dan sikap ambil beratmu itulah aku sayang padamu. Sorotan mata dan manis senyuman itulah yang menyebabkan kerinduan menjerat diri bila kau tidak kutemui. Sedih sungguh aku mendengar tuduhanmu itu, Meer. Tidak aku sangka seorang bakal jurutera mempunyai fikiran sesempit dirimu. Sangka ku, percampuran di menara gading akan mematangkan dirimu, tapi aku silap. Bagaimana engkau akan berhadapan dengan dunia andainya perkara seremeh ini pun tak dapat kau tangani. Cemburu mu meledak bila aku dipinang oleh Abang Shariman, peguam muda dan anak Ketua Kampung. Meer, pinangannya kutolak dengan baik. Masakan aku sanggup menerima pinangan dari orang lain sedangkan dalam hatiku ini hanya terpahat namamu saja. Entah syaitan mana yang merasukmu hinggakan kau mahu talian kasih yang kita bina sekian lama diputuskan. Sudah lupakah engkau pada janji-janji yang kita sulamkan bersama? Tidak ingatkah kau pada mimpi-mimpi yang kita lakarkan berdua? Mana ikrarmu untuk bersama dengan diriku hingga akhir nanti?

Aku cuba memujukmu dan mengatakan aku amat menyayangimu, dan jika kau mahu aku menjadi milikmu, aku bersedia mendirikan mahligai indah bersamamu ketika itu. Tapi, kau yang menolak. Katamu, kau masih lagi belum bersedia. Waktu menyaksikan penderitaan yang aku alami setelah perpisahan itu, teman-teman menasihatkan aku supaya melupakanmu. Tapi semakin kuat aku cuba untuk melupakanmu, semakin kuat akar ingatan itu mencengkam segenap sarafku ini. Aku rindukan kau dan aku tahu kau juga masih rindukan aku, sayangkan aku dan yang penting, kau masih lagi mencintaiku.

Menurut bonda, engkau semakin kurus dan cengkung. Kau juga tak pernah lupa bertanyakan keadaan diriku setiap kali menjenguk bonda. Engkau juga sering merenung gambarku bila album diselak. Mengapa engkau terlalu ego untuk meminta maaf dariku? Sungguh Meer, jika kau menemuiku dan memohon kemaafan, pasti dirimu kusambut bagaikan putera. Dalam diam, kuakui yang aku masih lagi menaruh harapan yang engkau akan bersama-samaku semula. Alhamdulillah, berkat kesungguhanku, akhirnya berjaya juga aku menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang ini. Semenjak engkau bekerja, jarang sekali kau menjenguk bonda. Dia rindukan engkau, sering si ibu tua itu bertanya tentang dirimu. Apa yang harus aku katakan? Aku sudah puas berendam air mata mengingati dirimu. Adakah kau telah lupakan kami, Meer? Harapanku untuk melihat kita bergembira bersama semula bagai sehelai kapas yang melayang bila nendamu datang membawa perkhabaran yang kau akan membina mahligai dengan gadis sepejabatmu.

Geram? Sedih? Kecewa? Marah?

Entahlah, tak dapat aku gambarkan perasaanku ketika itu. Kolam air mata telah kemarau bila kau lafazkan kata putus itu kepadaku.Aku tahu kau mengambil keputusan begitu untuk menyakitkan hatiku. Aku mahu dengar dari mulutmu sendiri mengatakan yang kau tak perlukan aku di sisimu. Ketika kita bertemu di dangau itu, kau menunjukkan muka yang selamba. Bila aku menyuruh engkau merenung mataku dan menyatakan yang cintamu tiada lagi buatku, kau tidak dapat melakukannya. Matamu berkaca saat aku lafazkan yang aku masih menyayangi dirimu.

Tapi, kau tetap tidak mahu mengakui kebenaran yang engkau sendiri tahu. Katamu, gadis pilihanmu itu lebih baik dari aku yang telah bergelumang dengan nista dan dusta. Kau meninggalkan aku yang tenggelam dalam sendu bila kau katakan tidak mahu melihat diriku di hari persandinganmu. Kau tak mahu majlis mu rosak dengan kehadiranku. Sampainya hatimu…Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut tidak aku lepaskan. Aku sudah bosan dengan masalah dan kenangan denganmu yang melilit diriku. Tentang bonda, usahlah kau risau, anak angkat bonda akan datang untuk menjaganya.

Selamat tinggal, Meer. Aku doakan kau bahagia hingga ke akhir hayat.Surat dan telefon menjadi penyambung kasih antara aku dan bonda nun di desa. Kata bonda, mahligai yang kau bina hancur di usia setahun. Kata bonda lagi, kau sering membandingkan isterimu dengan diriku. Bila dia memasak, kau katakan masakannya tidak sesedap hasil tanganku. Bila dia berpakaian, kau katakan warna itu tidak sesuai dan hanya cantik dipakai olehku dan macam-macam lagi. Perempuan manalah yang sanggup dibandingkan dengan perempuan lain, lebih-lebih lagi oleh suaminya sendiri. Kau terlalu kejam. Kau menghukum insan yang tidak berdosa itu kerana dendammu pada diriku. Natijahnya mungkin tidak kau terima sekarang, tapi ingatlah hari pembalasan itu milik Yang Esa. Saat bonda nyatakan yang aku akan pulang, engkaulah orang yang paling gembira.

Penuh halaman rumah kau tanamkan dengan mawar kegemaranku. Kau mengecat rumah dan membelikan kain untuk bonda. Saban detik, kau menghitung hari kepulanganku.Cahaya merah yang mula memenuhi alam menyedarkan aku dari lamunan. Terlalu jauh kubawa diri ini menerjah semula memori usang kita berdua. Engkau kini rajin ke rumahku. Seakan-akan ada makna yang tersembunyi di sebalik kedatanganmu itu. Tiap kali kau hadir, kau cuba mengajak aku kembali bersamamu ke zaman silam, kala kau dan aku sedang hanyut dalam alam percintaan. Engkau seolah-olah berkias dengan menyatakan kau sunyi tanpaku dan kau mahu aku mengisi kesunyian hidupmu. Sedangkan Nabi ampunkan umat, apakan pula aku yang memang kau ketahui tidak mudah berdendam dengan sesiapa.

Apa sebenarnya yang kau mahu? Pelawaanmu untuk ke dangau tidak aku tolak. Hembusan angin dan kicauan berburung menyambut kehadiran kita. Padi yang menguning emas melambai-lambai ditiup angin. Satu demi satu lembaran peristiwa bersama dulu kau buka. Aku hanya menjadi pendengar. Sesungguhnya, memori itu masih tersimpan kukuh dalam ingatanku. Tiba-tiba, kau berhenti dan meminta aku memandang wajahmu. Kau keluarkan sebuah kotak baldu berwarna merah dari kocekmu. Kau buka dan suakan padaku. Cincin? Aku pandang wajahmu meminta penjelasan. Katamu, kau mahu aku membina mahligai bersama-sama denganmu dan kau mohon kemaafan dengan sikapmu dulu. Ada getar dalam suaramu ketika kau lafazkan ucapan sayang pada diriku dan sekilas cahaya keemasan kulihat di matamu.

Terkesima aku seketika. Sejuk tangan dan kaki. Aku pandang wajahmu. Aku tersenyum, dan kulihat kau juga tersenyum. Maaf, Meer. Senyuman ini bukan untukmu, tetapi milik tunangku, Zamree Iskandar yang sedang meniti batas di belakangmu itu. Saat kuperkenalkan permata hatiku itu, kau merenungku tak percaya. Bila bersalam dengannya, badanmu bergetar. Ucapan tahniah kau hulurkan pada kami. Kemudian kau meminta diri dengan alasan ada kerja yang perlu kau selesaikan.Ketika di London, aku berkenalan dengan Abang Zamree yang banyak mengajar aku erti kesabaran dan sering membimbing dan menasihatiku. Aku terlalu sedih dengan keputusanmu untuk berkahwin. Tempoh tiga tahun merapatkan aku dengan dirinya, dan kematangannya menyebabkan aku tidak teragak-agak menerima lamarannya. Memang susah untuk aku matikan bunga-bunga kasih dan sayangku pada dirimu yang telah subur dan mekar dalam segenap saraf dan sendi, tapi kau juga yang memberikan racun untuk aku layukan dan matikan bebunga kasih itu. Maaf sekali lagi, Meer. Jika kau sedar kesilapanmu lebih awal dan melamarku, pasti aku milikmu. Jika dulu kau titiskan air matamu di hadapanku lantas menyuntingku sebagai ratu, namamu pasti terpahat utuh. Jika tidak kau turutkan hatimu, cintaku masih lagi milikmu. Jika… ah, terlalu banyak kemungkinannya. Aku tak mahu lagi memikirkan nostalgia kita bersama. Cukup sampai sini dulu, rombongan pengantin lelaki telah tiba. Jika masa dapat diputar, fikirkanlah apa yang berlaku seandainya semua jika itu kau lakukan…
hanya JIKA!!

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool