Ratu Ku



Aku tatap permukaan kad itu lama, makin kejap jiwa aku merinduinya, namun aku abaikan saja sejak akhir-akhir ini. Bukan mudah hendak aku lalaikan perasaan ku tika ini, aku buat-buat sibuk dengan ‘research’ dan tugasan yang diberi oleh instruktor tempat aku belajar. Sungguh pilu tatkala aku kenang tarikh yang tertera di kad tersebut, wangiannya belum pudar lagi, masih segar seperti semalam, biarpun ia dah lama berlalu. Biarkan wangiannya kekal seperti kekalnya nama yang tertera pada kad tersebut.

“Iman!tak lama lagi engkau tu nak jadi milik orang, jangan pulak engkau lupa kami kat sini.” Terngiang lagi gurauan rakan seuniversiti waktu konvokesyen ku dulu. Dari jauh aku lihat Hariz sibuk memilih bunga dikawasan parkir kereta tempat terletaknya gerai jualan sempena konvokesyen kali ini, kononnya mahu ’surprise’ kan aku lah tu, tak apa lah walaupun dah nampak, buat-buat terkejut saja lah nanti kalau dia datang, niatku di dalam hati.
“Assalamualaikum..mengelamun lagi Iman, jom keluar makan?” Sapaan Arul memeranjatkan aku, tak sempat nak dilap air mata yang bersisa, malu juga dilihat Arul aku menangis lagi. “Tak apa la Arul, awak pegilah makan dulu, petang nanti ada ‘gab’ saya curi-curi la makan.” Helah ku sambil tersenyum kepada teman ‘discussion’ ku itu. “Iman! Jangan diingatkan sangat perkara yang dah berlaku, hidup perlu juga kita teruskan, perlu juga kita uruskan.” Kata-kata tu memang dah sebati dipendengaran ku sejak akhir-akhir ini. Arul berlalu sambil menggelengkan kepala. Apa yang Arul tahu, dia bukan aku, dia tak merasa apa yang aku rasa.

“Sampai hati Ariz buat Iman macam ni tau.” Rajuk aku tiba-tiba, maklumlah lama tak bersua, nak mengada-ngadalah sikit. “Yelah, yelah! Ariz salah, Ariz lupa yang hari ni hari lahir Iman.” Tenang kata-katanya setenang raut wajahnya saat itu. Hariz lelaki yang bertakhta dihati setelah diperkenalkan oleh seorang rakan sekuliah ku suatu masa dulu sewaktu aku aktif dalam pasukan debat. Dia ’senior’ aku, segala pertolongan dalam persatuan terpaksa aku rujuk melaluinya, awalnya malu memang tak tertahan lagi, tapi keramahan dan keikhlasan yang dipancarkan melalui sinar matanya cukup untuk aku katakan yang dia seorang pendebat yang berkaliber, biarpun kadang-kadang orang tak akan percaya dia seorang pendebat kerana terselindung di balik raut wajah yang diam dan tenang itu. Hubungan yang dijalin atas dasar sahabat bertukar arus menjadi sepasang kekasih, mungkin kerana persamaan atau sedikit perbezaan yang mengeratkan hubungan antara kami atau mungkin juga dah takdir dia adalah ‘Adam’ yang diciptakan untuk ku. ntah kemana dia nak bawa aku kali ni, sudahla hari lahir ‘girlfriend’ sendiri tak ingat, lepas tu ikut suka saja nak bawa aku keluar. Dari jauh aku lihat ’sign board’ sebuah restoran, nak memujuk la tu. Setibanya direstoran tersebut Hariz mengiringi aku masuk kebahagian lapang restoran itu, tiba-tiba terdengar jeritan mengucapkan selamat hari lahir. Saat itu juga aku tatap wajah Hariz, dia cuma mengangguk sambil mengatakan ini sahaja yang mampu dia tunaikan untuk birthday aku yang ke-22. Dia menempah meja di restoran tersebut dan menjemput beberapa orang rakan sekuliah ku. Selepas memotong kek dan minum petang terdapat satu lagi kejutan, Hariz menujukan satu lagu buat aku. Lagu yang dipopularkan oleh Awie ‘Ratu ku’. Hati ni cukup kuat menyatakan cinta padanya, biarpun hanya sedikit sahaja yang terluah melalui bibir.

“Iman! Iman sudi tak jadi ratu Ariz?” Suaranya pada suatu petang sewaktu melawat aku di kampus. “Hah! Jadi ratu Ariz buat apa, Iman nak jadi raja, tak nak jadi ratu.” Aku membalas katanya dalam nada bergurau. Mukanya tampak serius benar. “Ariz akan pegi merisik Iman dalam minggu ni. Ariz dah berbincang dengan ibu, ibu pun ikut saja. Ariz dah berusaha selama tiga tahun mengumpul sedikit duit untuk masuk meminang Iman, Ariz dah tawakal pada Allah dan petunjuknya, Iman adalah yang terbaik buat Ariz. Ariz harap ia berbaloi dengan jawapan yang Ariz akan terima nanti.” Setiap baris kata yang dikeluarkan menggugat hati wanita ku, memang tak lama lagi aku akan tamat belajar dan aku bercadang untuk sambung ‘master’ kalau dimurahkan rezeki, nampaknya rezeki lain pula yang datang kali ini. Aku mendongak memandang wajah lelaki dihadapan ku ini, aku berkira-kira mahu bergurau lagi, tapi matanya yang redup tu membantutkan niatku. Lalu dengan selamba aku mengangguk. Nampak benar dia terkejut, selepas itu terdengarkeluhan kalimah syukur kepada Yang Maha Kuasa dan bibirnya meruntum senyum sambil memandang ku dengan penuh makna.

Pertunangan kami dihadiri sanak saudara kedua-dua belah keluarga aku dan juga Hariz. Seminggu lagi akan berlangsung majlis konvokesyen dan dua hari selepas itu aku akan di ijab kabulkan dengan Hariz, dua berita gembira serentak aku terima kala itu. Kad perkahwinan telah diedarkan, persiapan hampir 90 peratus siap, cuma menunggu ‘hari jadi’ sahaja. Pakaian persalinan pengantin Hariz yang pilihkan, warna kegemaran kami sama iaitu biru jadi tiada masalah dalam memilih pakaian pengantin. Dua tiga hari kebelakangan ni kami jarang berjumpa, Hariz terpaksa mengikut arahan ketua tempat dia bekerja pergi outstation. Kami berhubung melalui telefon sahaja, meleraikan rindu yang berbuku, biarpun tak lama lagi kami akan bergelar raja sehari.

“Cuba betul kan ‘mattel’ tu sikit, ikut pakai aje Iman ni.!” Aku tersengih memandang Hariz sambil mencium haruman bunga ros merah yang diberinya sebagai tanda tahniah aku telah mendapat segulung ijazah. Suka sangat dia menegur walhal benda yang remeh saja, kadang-kadang aku tak ambil pusing teguran dia, suka juga dapat tengok ‘muka angin’ dia tu. Sibuk betul lensa kemera mengambil gambar kami, macam-macam mimik muka aku buat. Bila lagi nak berperangai budak-budak, dua hari lagi aku akan jadi ‘mak budak’ pula. Terdengar deringan telefon bimbit Hariz sewaktu aku berbual dengan bakal ibu mertua ku. “Ibu, Iman! Ariz kena balik pejabat la sebab ketua Ariz nak tengok laporan ‘post moterm’ yang program outstation hari tu. Maaf ya Iman sebab tak dapat nak berlama kat sini.” Kata Hariz dengan nada kecewa, aku lepaskan saja pemergian dia dengan rasa sebal dihati. Sebal sebab ketua dia yang tak memahami, sedangkan waktu-waktu begini yang aku perlukan untuk dia berada disisi. Tak apalah lagipun bos dia akan bag cuti dua bulan sebagai bonus perkahwinan kami. Pujuk hati ku sendiri.

Sejam selepas Hariz balik, aku dengan kawan-kawan makan tengah hari di kafeteria. Bercerita tentang kehidupan yang akan datang, kawan-kawan lebih banyak yang mengenakan aku, maklum sajalah selepas dapat ijazah terus kahwin. Itu kan rezeki aku, hanya itu yang mampu aku sangkal setelah puas mereka mengenakan aku. Waktu tengah makan itulah telefon aku berbunyi, panggilan dari Hospital Ampang Putri. Aku cuba beri tumpuan pada bicara seorang perempuan ditalian kerana fikiranku berserabut memikirkan apa yang hendak disampaikannya. Waktu berita yang disampaikan menjamah cuping telinga ku, aku rasa kafeteria tersebut macam terbalik. Sayup-sayup terdengar nama aku dipanggil.

“Ariz!!Ariz!! aku melaung bagai nak gila selepas tersedar dari pitam, kawan-kawan mengusung aku ke dispensari, semuanya dalam keadaan bingung melihat keadaan aku waktu itu, yang hanya keluar dari mulut aku, Hariz dah tak ada…..Hariz dah tak ada. Kawan-kawan cuba tenangkan aku dan beri aku minum air, aku memeluk salah seorang rakan ku sambil menangis semahu-mahunya.

Kaki aku kali ini bagai dipaku ke lantai, tak mampu aku nak jejak bilik itu. Kalau boleh aku mahu Hariz keluar dari bilik tersebut sambil tersenyum dan mengatakan “Maaf Iman sebab buat Iman risau.” Tapi semuanya angan-angan yang tak akan menjadi kenyataan. Dari apa yang aku dengar, ibu dan Hariz terlibat dalam kemalangan sewaktu Hariz membelok untuk memasuki persimpangan Dataran Ukay, lori dari arah bertentangan memandu laju dan melanggar bahagian tepi kereta sehingga kereta yang dinaiki Hariz merempuh ‘divider’ jalan. Hariz hanya sempat menunduk dan menahan tubuh ibu disebelah manakala dirinya dihimpit bumbung kereta, tidak dapat aku bayangkan keadaan Hariz waktu itu dan aku tak sanggup nak membayangkannya Genggaman tangan mama aku kejapkan, hanya pada Allah aku serahkan untuk kuatkan hati ini. Aku menolak perlahan daun pintu dan terpandang sekujur tubuh dikatil, mahu sahaja aku menggongcang sekujur tubuh itu. Ya Allah, berat dugaan Mu saat ini. Raut wajah yang tenang itu aku pandang sepuasnya semetara diberi keizinan masa yang sekejap ini. Seboleh-bolehnya aku mahu mengikut Hariz saat itu juga, tapi aku tahu bukan itu permintaan terakhirnya untuk ratu hatinya nan satu ini. Aku sentuh pelipisnya yang tercalar, aku belai rambutnya yang separuh botak akibat pembedahan, biarlah sentuhan ini untuk kali terakhir. “Ariz! Iman tetapkan sehingga akhir hayat cinta hati Iman untuk Ariz.” Air mata aku laju mengalir sambil tidak berhenti-henti aku menghadiahkan kepada arwah al-Fatihah.

Setelah jenazah arwah disempurnakan, aku di pimpin ibu Hariz, bakal mertua ku itu yang hanya cedera ringan di kaki kuat semangatnya kehilangan anak lelaki yang bakal memberinya seorang menantu, tapi hajat tersebut tidak kesampaian. “Ibu, walau apa yang berlaku sekalipun saya tetap akan jadi anak ibu.” Hanya itu yang dapat aku luahkan dan kami menangis sambil berpelukan. Sepatutnya hari ini hari yang bersejarah buat aku dan Hariz tapi dengan keizinanNya, majlis perkahwinan bertukar menjadi majlis talkin. Sebak dan pilu didada hanya Allah yang tahu, aku cuba tersenyum tatkala terpandang teman-teman arwah yang datang menziarah dan memandang aku sebagai ratu sehari yang hilang pengantinnya. Aku tertidur didalam bilik yang terhias indah. “Cadar warna krim sesuai dengan katil kita yang ala ‘Country’ tu, nanti ‘ratu’ Ariz nak beradu pun mesti lena punyalah.” Aku belai cadar pilihan Hariz, lenjun sarung bantal dek air mata ku. Tidak lama selepas itu, terdengar ketukan di pintu. Dengan lemah aku membuka pint itu, terjonggol ibu dengan bungkusan di tangan, katanya itu milik Hariz dan amanah terakhir sebelum meninggal supaya memberi bungkusan tersebut pada aku.

Aku duduk dibirai katil sambil memandang bungkusan tersebut, perlahan-lahan aku buka pembalutnya. Terdapat sebuah diari biru berkulit baldu dan berbentuk hati di tengah. Di dalamnya tercoret ungkapan daripada Hariz, aku tidak tahu bila dia membeli diari yang cantik sebegitu, mungkin sewaktu outstation dulu. Aku beri tumpuan pada isi dalamnya pula,

“Assalamualaikum ratu hati abang. Diari ni hadiah abang buat Iman, coretkan segala yang indah berlaku dalam diri Iman, luahkanlah apa yang Iman nak luahkan, diari ini ibarat diri abang yang sentiasa ingin bersama dengan Iman. Maafkan abang andai abang tidak mampu membahagiakan diri Iman, tapi abang cuba memahami hati Iman dan abang cuba jadi yang terbaik buat diri Iman. Ingin abang cipta detik-detik hidup bersama Iman, ingin abang bimbing Iman seperti yang diwajarkan dalam Islam dan ingin abang bina sebuah keluarga Islam yang berjaya bersama Iman. Abang tahu Iman boleh jadi isteri yang baik kepada seorang lelaki, isteri yang mampu memberi kedamaian dihati lelaki dan isteri yang menjadi rakan kepada lelaki. Abang mahu jadi ‘lelaki’ itu Iman. Itu impian abang. Andai jodoh kita hanya separuh jalan, ingatlah bahawa cinta abang kepada Iman hingga ke akhir hayat abangi….”

Yang menyintai mu ,
Mohd Hariz Zairi.

Iman rindukan Ariz, air mata ku gugur lagi untuk kesekian kalinya.

Hampir sebulan pemergian arwah, kehidupan ku sebagai pelajar master telah pun bermula tapi Hariz sentiasa bermain di fikiran aku tiap masa dan ketika. Cinta aku terhadapnya tetap utuh hingga ke mati, hanya itu yang mampu ku beri. Aku cuba damaikan hati yang kian lama berkocak merinduinya agar perasaan sedih aku ini tidak nampak di luar. Segala usikan, gurauan antara aku dan Hariz sentiasa tergambar di ruang mata dan bagaikan semalam ianya terjadi. Masih ku ingat kata-katanya sebelum berlaku kemalangan, “Iman, nanti masa bersanding kita ambil gambar Iman cium tangan Ariz pastu Ariz cium dahi Iman, mesti romantik gambar tu nanti.” Semangat kata-katanya sambil menunjukkan aksi sekali. “Tengoklah nanti kalau Iman nak cium tangan Ariz tu, ntah-ntah bau sambal belacan ke apa ke, hilang selera Iman masa nak makan beradat nanti.” Kataku dengan muka mencemik, Hariz tergelak sakan, bahagiaya aku waktu itu melihat senyumannya. Tapi kini semuanya hanya tinggal kenangan.

“Di pusara ini
ku sedia berdiri
bersama doa-doa tak putus kuhulurkan
itulah tanda kasih
kasih yang sebenar
wajah dan senyum mu
sentiasa ku angankan
aduhai sayang..”

Aku hayati lirik lagu yang dinyanyikan Azie ‘Kau Tetap Dalam Anganku’ air mata aku mengalir lagi. Sehingga kini aku tidak pernah lupa untuk menjejak Hariz di Tanah Perkuburan Islam Hasanah selepas pulang dari kuliah. Itu sahaja cara untuk aku hilangkan rasa rindu dihati, biarpun tidak dapat memandang alis wajah yang tenang memadai cuma dapat menemani dan berbual dengannya disini…..
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool