Kisah Seorang Tua Dengan Benjol Di Dagunya



Pada kali ini, saya akan bercerita tentang kisah seorang tua yang mulia hatinya. Tetapi orang tua ini hidup sendirian kerana terdapat satu benjol yang besar di dagunya. Kehodohan wajah orang tua ini sering ditertawakan oleh penduduk kampung di tempat orang tua itu tinggal.
Begini kisahnya - Ada seorang tua tinggal di sebuah kampung dekat dengan kawasan pergunungan. Untuk menghilangkan rasa sepi kerana tinggal seorang diri di pondoknya, orang tua ini sering menyanyi sendirian dan kebetulan pula suara orang tua ini sungguh merdu.

Ada antara jiran orang tua ini yang bersimpati dan mereka sering mengunjungi orang tua ini walaupun muka orang tua ini begitu hodoh kerana ditumbuhi oleh seketul benjol yang sungguh besar di dagunya. Mereka juga sering memberikan makanan kepada orang tua ini.
"Terima kasih kerana sudi memberikan makanan kepada aku," kata orang tua ini setiap kali ada antara jiran yang bersimpati memberikan makanan kepadanya.
Suatu hari orang tua ini bercadang untuk keluar mencari kayu api di hutan pergunungan kerana bekalan kayu api di rumahnya telahpun habis, tambahan lagi musim sejuk yang hampir tiba.
Berkatalah orang tua ini, "baik aku pergi ke hutan mencari bekalan kayu api hari esok. Nanti, apabila tiba musim sejuk. tidaklah aku membebankan jiran-jiran aku yang baik hati."
Maka pergilah orang tua itu seorang diri ke dalam hutan mencari kayu api. Tanpa disedari oleh orang tua itu, hari semakin gelap kerana begitu lekanya dia mencari kayu api.
"Eh! Hari semakin gelap dan aku semakin jauh daripada kampung, aku rasa tak sempat bagiku untuk sampai ke rumah pada hari ini. Baik aku menyusuri bukit ini perlahan-lahan, manalah tau dalam perjalanan aku nanti, dapat aku bertemu dengan tempat berteduh,"kata orang tua ini di dalam hatinya.
Sedang orang tua itu perlahan-lahan menyusuri bukit, terjumpalah olehnya sebuah pondok buruk. "Ah! Akhirnya terjumpa juga olehku tempat untuk berteduh," kata orang tua ini lagi dengan perasaan lega.
Tetapi apabila sahaja orang tua itu masuk ke dalam pondok tersebut, dia merasa takut ditambah lagi dengan suasana yang begitu sunyi, hanya kedengaran bunyi binatang malam sahaja.
"Takut aku tinggal di dalam pondok ini," cetus hati orang tua itu. "Tetapi aku tidak ada pilihan lain. Daripada aku berada di luar dan mungkin dibaham oleh binalang ganas, baik aku berlindung di dalam pondok ini," kata lagi orang tua itu seorang diri; Untuk menghilangkan rasa takut dan sunyinya, orang tua itu pun mulalah menyanyi. Tanpa disedari oleh orang tua itu, kemerduan suaranya telah didengari oleh orang asli yang tinggal di gunung tersebut. Orang asli ini terkenal dengan keganasan mereka.
Sedang orang tua itu leka menyanyi "Ha! Dari sini datangnya suara yang merdu itu!" serbu beberapa orang asli gunung dengan suara yang garang.
Terkejut orang tua itu apabila diserbu oleh beberapa orang asli gunung. Kini, orang tua itu bukan sahaja takut kepada binatang ganas yang tinggal di dalam hutan tersebut, tetapi dia juga takut kepada orang asli gunung yang memang sudah terkenal dengan sikap ganas mereka.
"Kenapa berhenti menyanyi, hai orang tua? Teruskanlah!" kata salah seorang daripada orang asli gunung itu.
Bercampur dengan perasaan takut dan juga pada fikiran orang tua itu hanya inilah sahaja caranya untuk melepaskan diri daripada menjadi mangsa kepada orang asli gunung tersebut, orang tua itu pun teruslah menyanyi.
Hinggalah menjelang fajar dan habislah sudah lagu yang dinyanyikan oleh orang tua itu, tibalah masanya untuk orang asli gunung itu kembali menyembunyikan diri mereka akhirnya berhentilah orang tua itu menyanyi.
Berkata lagi salah seorang dari orang asli gunung itu," dari manakah datangnya suara merdu yang terdapat pada diri kamu, hai orang tua?"
"Dari tekak inilah," jawab orang tua itu ikhlas.
"Aku rasa tidak! Mungkin datangnya daripada benjol yang terdapat di bawah dagu engkau itu," berkata lagi orang asli gunung itu dengan suara yang garang kerana merasakan orang tua itu cuba untuk menipu dirinya.
Orang tua itu tidak tahu lagi apa yang harus dikatanya, lalu dia hanya mendiamkan diri. Berkata lagi orang asli gunung," mahukah engkau menukar benjol yang terdapat di bawah dagu engkau itu dengan harta yang banyak?"
Belum pun sempat orang tua itu menjawab, di hadapannya telah dilonggokkan dengan harta karun yang begitu banyak sekali. Mereka turut mengerumuni orang tua itu beramai-ramai untuk menghiris benjol yang terdapat pada orang tua itu.

Anehnya, orang tua itu tidak merasa sedikit pun sakit apabila orang asli gunung itu menghiris benjol yang terdapat di bawah dagunya itu.
"Nah! Ambiliah harta karun ini sebagai tukaran kepada benjol yang kami ambil ini," kata lagi orang asli gunung itu.
Tergamam orang tua itu sebentar. Tetapi lekas-lekas orang tua itu mengambil berkas kayu api yang telah dipungutnya dan juga harta karun yang ditinggalkan oleh orang asli gunung itu.
Dengan langkah yang pantas, orang tua itu menuruni gunung tersebut dan akhirnya sampailah dia ke pondoknya. Cepat-cepat dibukanya bungkusan yang penuh dengan harta karun tersebut dan disembunyikannya, takut nanti dicuri pula oleh orang lain.
Tidak lama kemudian, dengan harta karun yang diperolehinya, orang tua itu pun menjalankan perniagaan dan akhir nya hidupnya bertukar menjadi seorang yang kaya.
Tetapi, hati orang tua ini tetap mulia. Dia tetap ingat kepada jiran-jirannya yang baik hati yang pernah memberinya makanan apabila dia hidup miskin, kesunyian dan dengan wajah yang hodoh dahulu.
Kini, walaupun dia telah menjadi kaya, dia pula yang menghulurkan bantuan kepada jiran-jirannya yang baik hati dahulu.
"Tibalah giliran aku pula untuk membalas jasa baik mereka," berkata hati orang tua itu.
Orang tua itu semakin disayangi oleh jiran-jiran yang telah menolongnya dahulu. Tetapi jiran-jiran yang telah menghinanya kerana kehodohan muka
orang tua itu dahulu, telah menyesal dengan perbuatan mereka. Mereka hanya mendiamkan diri apabila melihat orang tua itu kini menjadi seorang yang kaya.
Tetapi orang tua itu tidak lagi memanjat gunung tersebut untuk mencari kayu api. "Takut nanti jika aku terjumpa lagi dengan orang asli gunung itu, pasti aku akan dibunuh mereka jika mereka tahu sebenarnya kemerduan suaraku bukan berpunca dari benjol aku itu," kata orang tua itu tersenyum teringatkan kebodohan orang asli gunung itu.
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool