Pulau Tokong Burung lesap dari pandangan



DIA tidak menafikan bahawa laut menyembunyikan banyak misteri yang tidak terdapat di darat. Namun trip memancing selama tiga hari, dua malam yang dianjurkan oleh kumpulan enam pemancing itu kali ini menepati kehendak mereka yang diketuai seorang anak tempatan Kota Tinggi, Johor.


Selepas melakukan persiapan, kumpulan itu terus ke sebuah perkampungan nelayan di Penyabung, Endau, Johor. Bot mereka tidak berlengah-lengah lagi meninggalkan jeti Penyabung kerana mengejar masa dan air yang dianggap paling sesuai.

Tekong Ali Kerapu (gelaran di kalangan tekong dan pemancing) begitu yakin dengan masa yang diburu itu boleh membakar semangat pemancing dengan ikan yang bakal didaratkan.

Pulau Tokong Burung wujudnya seperti menjadi perumahan kekal burung camar laut sambil memberi makanan sampingan kepada spesies ikan berkawan jenis cupak yang merebut najis burung camar yang jatuh ke laut.

Pulau itu terletak agak jauh dari daratan Penyabung. Ia juga berjiran dengan Pulau Seribuat yang sentiasa menjadi meletak harapan yang menggunung tinggi bagi pemancing.

Bot yang membawa kumpulan yang memberi gelaran Wira Enam itu berlabuh pada satu unjam yang ditunjuk oleh burung laut.

“Di lokasi itu, kami mengaut ikan selar dan kembung,” cerita Husayn kepada penulis untuk mengisi halaman misteri kali ini.

Sebaik saja dapat memenuhkan satu tong merah sederhana dengan ikan selar, kembung, tamban dan selayang, mereka dibawa oleh Tekong Ali ke satu labuhan kapal karam (kapal perang tentera Jepun yang karam).

“Saya sendiri membuka tirai apabila mendaratkan seekor ikan jenahak seberat 4 kilogram sebaik saja bot stabil dalam ruang labuhan.

“Ini diikuti oleh tiga lagi rakan pancing lain,” cerita Husayn lagi.

Dua jam di lokasi itu, mereka meraih pelbagai spesies ikan karang. Kemudian mereka beredar menuju ke Pulau Tokong Burung yang kelihatan berbalam terang di hadapan.

Sudah satu jam mereka meninggalkan lubuk kapal karam tetapi bot masih belum berjaya tiba di Pulau Tokong Burung. Tekong Ali terus menjejaki pulau itu yang kadang kala hilang kemudian muncul semula. Ini menyebabkan Tekong Ali berada dalam keadaan seperti terpukau.

“Kami mula rasa kurang senang bila melihat keadaan tekong yang masih terus menjejak pulau itu sedangkan masa sudah mencecah lima jam perjalanan. Ertinya sudah jauh kami meninggalkan lubuk kapal karam. Sedangkan untuk sampai ke Pulau Tokong Burung cuma satu jam saja dari lokasi labuhan kami,” tambah Husayn lagi.

Beliau masih ingat dialog di lokasi ketika itu.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Husayn setelah dirasakan ada sesuatu yang mempengaruhi Tekong Ali.

“Ke Pulau Tokong Burung, aku nampak lampu,” jawab Tekong Ali dengan penuh yakin.

Husayn terpaksa membantah kerana dia sudah biasa di kawasan perairan itu.

Lalu dia pun membaca ayat Qursi tiga kali dan bermohon kepada Allah untuk menunjukkan jalan sebenar ke Pulau Tokong Burung lalu ditiup ke muka Tekong Ali. Tekong itu serta-merta seperti terjaga dan bertanya keadaan sebenar yang berlaku lalu mengambil langkah pantas berpatah balik kerana nyata botnya sudah berada jauh ke tengah Laut China Selatan.

Lebih tiga jam mereka berpatah balik dan menemui semula Pulau Tokong Burung. Sambil itu, mereka bersyukur kepada Allah yang membuka jalan kembali dan berterima kasih kepada Husayn yang berjaya memulihkan pendirian Tekong Ali yang dipercayai dirasuk oleh makhluk halus untuk tujuan jahatnya.

“Kami tidak singgah di Pulau Tokong Burung dan terus membatalkan hasrat untuk memancing. Kami terus balik ke jeti Penyabung pada malam itu juga,” cerita Husayn sambil menamatkan misteri menjejak pulau yang hilang dan mengharap ada seorang yang boleh membantu jika berdepan dengan keadaan yang dirasuk hantu syaitan ketika memancing di tengah laut atau dalam hutan.



Sumber
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool