Tidur di lubuk, terjaga di pangkalan





LIMA kali tarikh ditunda untuk turun memancing udang di hulu Sungai Semantan yang terdapat banyak lubuk udang galah bersepit biru tetapi sentiasa berdepan dengan bahaya sang bedal.

“Sebuah sampan besar dengan kuasa 25 kuda yang mengisi lima pemancing dan seorang tekong bot membawa kami ke hulu Sungai Semantan dengan harapan supaya dapat membawa pulang rezeki udang galah bersepit biru dengan banyak. Umpan cacing khas yang kami bawa dan anak udang kecil hidup mampu mengisi hajat kami yang besar,” demikian cerita Zubir sambil mengingati tragedi seorang rakan pancing disambar buaya tetapi pulang dengan selamat seminggu selepas itu.

Bertolak dari sebuah pangkalan di Kampung Bagan Jeram (bukan nama sebenar) pada awal pagi itu yang disifatkan langkah baik menurut ramalan tekong Dolmat, anak tempatan Temerloh, Pahang. Tekong berusia 25 tahun itu menganggap sepanjang Sungai Semantan adalah laluan permainannya walaupun ada kalanya berdepan dengan bahaya tetapi itu boleh dielak. Cuma pantang larang mesti dijaga dan mulut tidak terlepas cakap.

Lubuk pertama ditemui. Pancang sebatang kayu mati tidak jauh dari tebing sungai yang penuh dengan pokok rimbun dijadikan lokasi mencuba nasib kerana lokasi sebenar masih jauh ke hulu. Salim dan Mazlan menggunakan tiga batang joran serentak. Mereka menurunkan umpan cacing. Mazlan paling pantas mendaratkan seekor udang sederhana besar dan diikuti oleh Salim.

“Ada ummph lubuk ni Dol,” Salim bersuara gembira memandang tekong Dolmat yang berehat di tepi rumah enjin sangkut.

“Saya sendiri berjaya mendaratkan lima ekor udang galah,” cerita Zubir dan mengakui tekong Dolmat ada petua tersendiri kerana beberapa minit selepas itu beliau berpindah lokasi.

Air di lubuk itu bergelombang sebaik saja kami tinggalkan tetapi tekong Dolmat tidak menunjukkan reaksi perubahan air mukanya. Kami pun tidak bertanya sebab musababnya.

Lubuk kedua airnya lebih tenang berbanding lubuk pertama. Kawasannya juga lebih luas. Sebatang pokok besar mati menjadi labuhan. Kami terpaksa berhati-hati memancing kerana di bawahnya penuh dengan ranting dan dahan pokok besar yang masih belum rapuh. Saiz udang di sini agak besar dan sepitnya biru berlumput. Ini dibuktikan oleh tekong Dolmat sendiri yang turut sama memancing dan berjaya mendaratkan udang galah besar. Ini mendorong kami bagaikan tidak sabar untuk melakukan kejutan hampa sebab udang di sini bijak menarik tali pancing ke celah dahan kayu lalu.

Lokasi kedua ini tidak banyak rezeki yang didaratkan tetapi berbaloi kerana saiznya besar. Dua buah sampan kecil kepunyaan rakan tekong Dolmat memintas kami. Sambil melambai tangan, mereka terus memecut laju ke hulu. Dua jam kami berada di labuhan itu kerana berminat dengan udang bersaiz besar.

“Saya sendiri cuma dapat empat ekor tetapi berbaloi berjemur dua jam,” tambah Zubir.

Malam itu kami bermalam di kawasan lubuk tidak jauh dari tebing sungai. Kelihatan ada lampu pada beberapa tempat seperti ada orang memancing tetapi kami tidak bertanya dan tekong Dolmat juga tidak menyatakan apa-apa.

Kami diam dan terus memancing hingga jauh malam. Ketika jam 1 pagi suasana mula dirasakan berlainan. Bau wangi dapat dihidu dengan jelas dan angin bertiup lembut bagaikan berlagu. Kami berpandangan tetapi tekong Dolmat terus berehat sambil menghisap rokok.

Jauh sayup-sayup terdengar ketawa yang menyeramkan bulu roma dan pada permukaan air di lubuk itu ada beberapa bola mata merah mengintai kami.

“Kita tidur dulu, lepas itu kita memancing semula,” kata tekong Dolmat mengarahkan kami untuk tidur dan beliau memasangkan lampu lebih besar di hadapan dan belakang bot.

Kami tidur bagaikan dipukau. Kami pun tidak lagi mendengar suara ketawa kerana lelap dengan pantas.

Esoknya kami terjaga kerana dikejutkan dengan suara orang ramai. Kami hairan kerana sudah berada di Jeti Bagan Jeram tempat mula kami turun. Orang ramai sudah berada di kawasan itu.

“Macam mana kita boleh ada di sini? Malam tadi kita berlabuh di lubuk!” Salim bingung memandang tekong Dolmat yang hanya tersenyum.

“Kita dah selamat, bersyukur sahajalah,” dia menutup cerita ekspedisi memancing udang di hulu Sungai Semantan.

Tetapi yang menjadi misterinya ialah bagaimana mereka boleh berada di Jeti Bagan Jeram tempat turun memancing sedangkan mereka tidur di lubuk yang ada tanda-tanda keras tempatnya?

Itulah misteri yang sukar di jawab tetapi ia berlaku.



Sumber

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool