Sesuatu Yang Pergi - Part2



“Mak dengar tak tu? Dia beritahu mak nak pergi kenduri
rumah kawan dia.. rupa-rupanya menjual maruah kat bandar tu, “
“Pak Ngah! Sampai hati pak ngah kata Piah macam tu..”
“Dasar anak pungut!”
“Hasan.. baik kau keluar dari rumah aku ni..” atuk yang dari tadi membisu mula bersuara.
“Aku tahu cucu yang aku jaga dari kecil lagi. Aku yang mengasuhnya. Aku tahu dia tak bersalah..” atuk merenung Pak Ngah tajam.

“Ayah dan mak sama saja.. Mas! Kemas kain baju kau, kita balik malam ni juga!” Pak Ngah meluru turun dari rumah. Mak Ngah serta anak-anaknya yang lain ikut turun. Mas menyelinap masuk ke bilik dan keluar tergesa-gesa bila hon kereta ayahnya berbunyi berkali-kali. Nenek mengusap kepalaku perlahan. “Sudah tu.. pergi masuk tidur..”

ANGIN tengah hari bertiup agak kuat sehingga putik-putik mangga telur yang lebat di ranting berguguran ke halaman. Aku menongkat dagu melihat segenap penjuru rumah tua itu. Bunga-bunga kertas berwarna warni memeriahkan rumah yang kian usang itu.

Tiba-tiba saja hatiku sayu. Bagaimana kalau atuk dan nenek sudah tiada di dunia ini nanti? Pada siapa aku hendak mengadu? Tragedi malam tadi masih terbayang-bayang di ruang mata. Sampai hati Mastura memperalatkan aku. Sanggup dia berbohong semata-mata untuk melepaskan diri sendiri. Sepatutnya yang kena penampar semalam dia, bukan aku! Kalau dia yang tak merayu-rayu macam orang gila talak semalam mati hidup balik aku tak akan keluar.

Semuanya kerana Zul.. ya.. kerana dia! Kalau kereta dia tak rosak sampai pukul 4.00 pagi semalam kami balik ke rumah tentu semua ini tak terjadi. Semua ini salah Zul! Sampai hati Pak Ngah tuduh aku macam tu.. dia tak tahu ke hukumnya menganiaya anak yatim? Harap kopiah jer siang malam atas kepala.

Tergamak dia kata aku anak pungut? Tapi.. betul ke aku nie bukan darah daging mereka? Kalau diperhatikan ada logiknya. Kenapa semua sepupu-sepupu aku tak sama macam aku. Kadang-kadang aku terfikir juga, betul ke aku ni anak mak dan ayah? Kalau ikutkan dulu seingat aku mak dan ayah berkulit hitam manis.

Macammana pulak aku boleh jadi putih kemerahan? Gen sebelah siapa? Phin! Phin! Aku tersedar dari lamunan. Eh.. siapa pulak yang datang. Dari jauhaku melihat seorang pemuda mengikat key di kepala sedang menunggang sebuah motor buruk. Ehh.. biar betul.. “Hi Piah..” Zul senyum sebaik saja berhenti di hadapanku.

Hmm.. aku ingat dia dah arwahkan motor buruk atuk aku ni.. tapi.. bunyi dia dah tak macam kambing batuk lagi.. dah macho sikit bunyinya. Hari tu masa atuk tanya ke mana motornya aku katakan saja motor itu aku sedekahkan pada penunggu simpang. “Saya dah betulkan motor atuk awak ni.. lepas ni awak nak bawak 160 pun tak per.. ” Zul senyum lagi, mungkin bengang dengan sikap acuh tak acuh aku.

“Piah.. kenapa ni?” soalnya dan duduk di sisiku.
“Pergilah awak!” tengkingku kuat. Tak semena-mena air mata tiba-tiba saja turun laju.
“Eh Piah.. kenapa ni? Piah.. ” Zul terkejut.
“Piah.. janganlah menangis.. kenapa ni?” pujuknya lembut.
“Kalau awak tak menyusahkan saya tak boleh ke? Awak dah banyak susahkan saya tau.. sebab awaklah saya ni selalu jadi mangsa..” Aku mengesat air mata yang semakin galak turun. Biarlah dia nak cakap apa pun cakaplah.
“Piah, saya dah tahu apa yang terjadi malam tadi. Atuk awak ada datang ke rumah saya malam tadi. Tak sangka pulak dah heboh satu kampung pasal hal malam tadi. Kalau saya puncanya saya minta maaf. Saya dah explain kat atuk awak masa kat surau Subuh tadi,” Apa? Aku memandang Zul lama.

“Saya tak tahu apa maksud sebenar Mastura. Pada saya dia kata awak yang nak tengok wayang dengan saya. Bila dah jadi macam nie. .. saya rasa bersalah pulak..” Aku mengesat pipi bila tangisan mula reda. “Dah la.. saya nak naik atas.. ” Aku melangkah bangun tapi tiba-tiba lenganku dipaut. “Piah.. saya nak cakap sikit dengan awak..” pintanya.

“Apa dia? Kalau iye pun tak payahlah pegang tangan saya..” “Saya nak berkawan dengan awak..” “Apa? Emm… lain kalilah.. ” aku terus mendaki anak tangga meninggalkannya sendirian di situ. Di kamar aku mula mengemas pakaian yang bergantungan di dalam almari. Minggu depan semester keempat akan dibuka. Tapi aku bercadang nak balik esok. Ada bebarapa perkara aku kena selesaikan sebelum hari registration. “Piah.. ” nenek yang baru lepas solat menjengah ke bilikku.

“Nek, Piah nak balik ke kolej esok, ada hal sikit..” ujarku.
“Kan cuti ada lagi?” soal nenek terkejut. Aku tidak menyahut dan terus memasukkan pakaian ke dalam beg.
“Piah.. janganlah ambil hati pasal hal semalam. Nenek tahu Piah tak salah..” nenek mengusap bahuku.
“Piah tak ambil hati nek.. lagipun Piah tahu kedudukan Piah ni.. Cuma Piah nak nenek berterus terang, betul ke Piah ni anak angkat?”
“Piah percaya cakap pak ngah tu?” soal nenek. Aku Cuma tersenyum.
“Entah, Cuma nenek dan atuk saja yang tahu,” jawapanku itu membuatkan nenek keresahan.

“PIAH!!” Aku menoleh ke belakang. Alamak.. macammana pulak aku boleh terserempak dengan mamat nie kat KL ni? Aku cepat-cepat berpaling dan berjalan laju. “Piah! Tunggu dulu..” Zul termengah-mengah mengejarku.

“Eh.. apa awak buat kat sini?” soalku.
“Ada urusan sikit.. awalnya awak balik?” soalnya melihat aku menggalas beg pakaian.
“Jom ikut saya, nanti saya hantar awak ke UPM,” dia menawarkan khidmat.
“Tak payah terima kasih banyak.. saya boleh naik bas,”

“Piah.. awak tak nak jumpa Intan ke?” apa? Aku memandang Zul lama. Zul senyum dan mengambil beg pakaian di tanganku. “Jom, ikut saya,” Aku mengangkat bahu dan mengekorinya ke kereta. Amboi.. Satria lagi! “Banyak duit awak sewa kereta?” Zul Cuma tersenyum dan memecut menuju ke arah Ampang. Tiba di sebuah kedai kereta dia berhenti di situ. Setelah bercakap-cakap dengan seorang lelaki dia kembali ke kereta. “Jom, kita tukar kereta,” “Eh.. awak ni biar betul.. jangan-jangan awak nie join sindiket kereta curi tak?” soalku was was. Zul Cuma tertawa. “Ehh.. tolong sikit.. curi-curi tak main la.. jom!” Kami menuju ke sebuah Proton GTi yang masih bau kedai.

“Zul.. awak jangan main-main.. awak ada duit ke tidak nak sewa kereta ni?” soalku. “Apa la awak ni Piah.. ingat saya ni cikai sangat ke? Awak selalu kata saya tak de keje kan? Ni la hasil saya melepak kat kampung selama ni..” Zul senyum lagi.

“Baik awak cakap betul-betul..” “Saya join business jual kereta nie.. tapi saya nie jadi sleeping patner aje la.. bagi modal..” Zul senyum lagi lalu membukakan pintu kereta. Aku masuk walaupun masih blur. “Lain kali jangan judge orang melalui pakaiannya aje.. awak tau tak kenapa saya tak kerja? Pasal saya sayangkan rambut saya ni.. kalau kerja kena kerat.. ishh.. tak nak saya..” ujarnya.
“Habis tu.. penat ajelah awak belajar dulu..” “Piah.. tak semestinya kita menggenggam sesuatu tu kita tak boleh buat job lain.. okey?” zul senyum dan membelok ke kiri. Tiba di sebuah restoran dia memberhentikan kereta.
“Jom, kita jumpa Intan,” tanpa banyak soal aku menurut. Kami memesan makanan sementara Zul mengeluarkan beberapa biji pil dari poket seluarnya. “Apa tu?” soalku. “Estacy..” Zul senyum dan menelan pil berwarna merah jambu itu.

“Awak jangan..”
“Awak nie selalu buruk sangka kat saya la..” Aku mengangkat kening. Perangai tak pernah serius.. bagaimana aku nak percaya? Pandangan kulontar keluar.Hari ini hari Khamis, dah cuaca tidak begitu terik. Aku mengelamun.

Sebenarnya aku ingin terus ke Ampang. Aku ingin bersemuka dengan Mastura, pak ngah dan juga mak ngah. Aku tahu sejak gagal membolot harta arwah ayah pak ngah memang tidak menyenangiku. Apatah lagi pak usu yang jutawan itu menjaga kebajikan aku sepenuhnya. Tapi sejak terpaculnya perkataan anak pungut tempohari aku nekad. Andai kebenaran itu Cuma pak ngah saja yang boleh menghuraikannya, aku rela biarpun dimaki hamun
terlebih dahulu. “Piah… jomlah kita blah.. Intan tak jadi datang..” Aku renung Zul lama.

“Sebenarnya bukan nak jumpa Intan kan? Awak tipu saya ye?” Zul senyum.
“Sebenarnya dah lama saya nak jumpa dan makan berdua macam ni dengan awak, tapi awak tak pernah kasi chance..” Zul mengaku akhirnya.
“Saya tak suka awak tipu saya tau.. sama macam awak tipu perempuan-perempuan yang pernah awak dampingi..”
Aku bangun dan meninggalkan meja makan itu. Zul Cuma mengekori dari belakang.

“Sorry okey? Sekarang awak nak ke mana?”
“Saya nak ke Ampang, rumah Mastura,”
“Emm.. saya hantarkan okey?” Zul memecut laju menuju ke ampang. Terbayang-bayang wajah Mastura yang bersih itu. Sampai hati kau kenakan aku!

“Piah??” Mas terkejut beruk bila aku menjelma di hadapan pintu. “Zul??” Sekali lagi Mas dalam kejutan bila melihat jejaka di sebelahku. Aku senyum sambil membuka kasut.
“Maghrib-maghrib tengok tv Mas.. tak sembahyang ke?” perliku.
“Siapa tu Mas?” suara garau kedengaran. Seketika kemudian pak ngah muncul dari dalam.
“Berani kau datang sini bawak jantan ye?” sergah pak ngah.
“Apa pak ngah cakap ni? Piah tak faham..”
“Ohh… jantan inilah yang kau jumpa malam tu ye? Kerana jantan ini la kau ajar anak aku keluar malam?” Zul memandangku lama, turut tertanya-tanya apa yang pak ngah maksudkan. “Pak Ngah.. Piah datang nie nak jelaskan hal yang sebenar..” “Sudah! Jangan kau nak memburukkan anak aku pulak, ” “Baiklah.. kalau macam tu anggapan pak ngah Piah terima walaupun Piah tak bersalah.. tapi Piah nak pak ngah jelaskan pada Piah.. kenapa pak ngah kata Piah anak pungut?” soalku menahan gelora di hati. “Errr.. Piah.. saya keluar dulu ye..” Zul tiba-tiba bersuara. “Eh kalau kau nak pergi, kau bawak budak ni sekali, aku tak akan izinkan dia menginap di rumah aku ni,” herdik pak ngah kuat. “Kau nak tahu sangat keturunan kau? Kau tu Cuma anak angkat, sebab tu harta peninggalan arwah abang aku tak layak kau dapat, faham? Sudah pergi dari sini!” Ya Tuhan.. aku tidak sedar bila aku keluar dari rumah itu. Yang aku tahu aku sudah menangis di bahu Zul di dalam kereta. Kenapa setelah 23 tahun baru rahsia ini kuketahui. “Piah.. sabarlah.. Piah percaya apa yang pak ngah cakap tu?” soalnya lembut. Aku mengangkat bahu. Kusut fikiran aku dengan apa yang terjadi. “Tapi kenapa dalam surat beranak tertulis nama mak, nama ayah.. tapi kalau benar Piah ni anak kandung mak, masakan pak ngah cakap macam tu..” Aku mengerut kening. Ehh.. sedapnye aku lepak lelama atas bahu dia! Aku segera mengalih kepala. “Sorry..” pintaku sambil mengesat pipi yang hampir kering. “Awak nak balik juga ke malam ni?” soalku. Zul angguk.

“Awak nak kemana ni? Biar saya hantarkan,” Aku berfikir sejenak. Kemana lagi aku nak pergi?
“Awak turunkanlah saya kat mana-mana lrt.. pandailah saya nak hidup,” ujarku.
“Piah.. apa kata kita balik ke kampung saja.. saya risau tengok awak ni.. balik pada nenek dan atuk awak, tanya mereka betul-betul..” aku merenung Zul. Untuk pertama kalinya aku melihat satu reaksi matang dalam matanya.

“Saya tahu dan faham perasaan awak Piah, tapi kita kena bertindak rasional.. jangan mudah patah semangat.. kita balik okey?” pujuknya membuatkan aku mengangguk lembut.

“Zul, saya nak tanya awak sikit.. “
“Tanyalah.. banyak pun boleh..”
“Kenapa awak putuskan hubungan dengan Intan?” Zul senyum.
“Piah.. sebenarnya saya Cuma menganggap Intan sebagai kawan saja.. saya tak pernah memutuskan persahabatan Cuma Intan yang menyepikan diri setelah..” Zul menelan air liur sambil menjeling kepadaku.

“Setelah apa?” soalku.
“Setelah dia tahu siapa yang berada di hati saya sebenarnya..” Aku senyum sinis. Kalau dah dasar
romeo.. “Awak tak nak tanya siapa orangnya Piah?” Aku menggeleng.
“Saya dah muak dengan sifat awak ni Zul.. bertukar perempuan macam pakai baju..”
“Sekali lagi pembetulan.. saya tak pernah mempermainkan perempuan.. jauh sekali mengejar mereka.. Cuma seorang saja yang saya kejar tak dapat-dapat..” Zul tenang memandu.

“I never get the chance to tell you something,” “Chance? Awak nak cakap apa?” “Saya dah lama admire kat awak,” Mak!!!! Aku toleh muka ke arah lain Tak sanggup nak bertentang mata dengannya buat masa ini. “Awak nampak tak gunung tu? Karang saya sumpah awak jadi kabel elektrik macam kat gunung tu baru awak tau..” “Piah.. pandanglah saya Piah..” pintanya. “Tak kuasalah!” “Piah… ini permintaan terakhir.. tolong pandang saya..” “Cakap macam esok dah tak boleh jumpa..” “Entahlah Piah.. dah bertahun-tahun saya simpan perasaan ni baru sekarang dapat peluang. Kalau saya layan kawan-kawan awak yang nak berkenalan dengan saya tu semata-mata kerana awak Piah..”

“Piah.. awak ambil ni,” Zul menghulurkan sesuatu. “Apa nie? Handset?” soalku sambil menyambut. “Piah.. kalau awak rasa hati awak terbuka untuk saya, awak call saya.. please.. saya dah setkan contact no. saya kat dalam phone tu.. ” ujarnya. Aku tersenyum. “Apasal awak ni? Awak memang dah plan ke semua ni?” soalku.

“Entahlah Piah.. saya macam dapat rasa apa yang saya plan hari ni menjadi.. memang saya wish sangat jumpa awak hari ni.. bawa awak makan.. kasi handphone ni kat awak..” Dia merenungku lama. “Zul.. awak nie kalau driving tu pandang la depan jangan pandang muka saya ni..” aku memberi amaran.

Tiba-tiba dari hadapan kelihatan sebuah traler sedang memotong. “Zul!!” Satria GTi yang sedang laju tidak dapat dikawal. Stering bergegar dan melanggar divider sebelum berpusing dan terseret ke hadapan. “Piah terjun Piah!” Jerit Zul. Aku panik. Tiba-tiba aku terasa terhenyak bila bumbung kereta tiba-tiba kemik. Aku rasa pandanganku kian kabur. Yang sempat aku capai cumalah jemari Zul yang kian kemas memegang tanganku….

Nama Piah bukan Sepiah seperti dalam surat beranak tu.Itu nama anak mak yang meninggal dunia selepas seminggu dilahirkan. Nama Piah yang sebenar ialah Serina bt Abdullah. Nama mak Piah Suhana Ishak. Bukan Mazidah Wahab nama mak. Mak tak tahu kenapa dia tinggalkan Piah di belakang kereta ayah sewaktu ayah menjemput mak di hospital. Nasib baik ayah sempat brek bila mengundur kereta.

Kalau tak pasti mak juga akan kehilangan Piah. Mulanya memang mak nak laporkan pada polis tapi mak sayangkan Piah. Lalu mak palsukan Piah. Mak bakar surat beranak Piah yang sebenar. Mak memang tak mahu Piah tahu rahsia ni. Tapi mak dan ayah Cuma sempat besarkan Piah selama lima tahun sahaja. Selepas itu mak dan ayah terlibat dalam kemalangan dan membawa bersama rahsia itu. Cuma pada nenek dan pak ngah mak sempat ceritakan hal sebenar sebab mak bimbang masa depan Piah.

Mak tahu Piah anak yang baik. Walaupun Piah bukan darah daging mak tapi mak gembira adanya mak dan bapa mertua yang ambil berat diri anak mak sorang ni. Mak lega kerana adik ipar mak sanggup membantu menjaga kebajikan Piah. Tapi.. Piah jangan lemah semangat dengan dugaan ini. Mak tak mahu Piah menyusuli mak dan ayah di sini. Piah masih muda, kalau boleh Piah carilah ibu kandung Piah.

Memang sukar setelah 23 tahun terpisah tapi mak amat yakin Piah akan bertemu dengan dia suatu hari nanti. Tapi Piah kena kuat.. Piah jangan cepat mengalah.. “Mak.. kenapa baru sekarang mak beritahu semua ni?” soalku dengan linangan air mata. “Piah..” wajah emak tadi kian lesap dan hilang entah kemana bila suara itu menjamah telingaku. “Piah…” aku buka mata perlahan-lahan. Seorang doktor sedang tersenyum kepadaku. Kemudian beralih pula pada nenek, atuk, pak su, mak su yang duduk di sisi katil. “Syukurlah Piah dah sedar…” nenek mengesat airmata yang menitis. Pipiku dicium bertalu-talu.
“Kenapa dengan Piah nek?” “Piah accident, dah seminggu Piah koma tau..” jelas pak usu tenang. Aku meraba kepala yang berbungkus. Baru terasa berdenyutnya. Sakit. Kemudian aku terasa ngilu di bahagian dada. Ada jahitan panjang yang masih belum sembuh dan berselirat benangnya. Terasa pedih bila aku menarik nafas. Doktor itu terusan memeriksaku.

Tiba-tiba aku terpandang sesuatu di sisiku. “Handphone?” soalku sambil menyentuh handset nokia 3250 yang masih elok itu. Cuma di bahagian hujungnya kelihatan tercalar sedikit. “Telefon tu dalam genggaman Piah masa kejadian tu..” “Nampaknya dia dah okey.. jantungnya juga berdenyut normal.. err.. saya rasa janganlah ganggu dia sebab dia masih belum betul-betul sembuh..” pesan doktor itu sebelum keluar dari bilik.

“Nek… janganlah menangis.. kan Piah selamat ni..”pujukku bila nenek tak henti-henti mengesat airmatanya. “Nenek takut Piah pergi dulu dari nenek..” ujar nenek menahan sebak. “Dah la tu mak.. Piah.. Pak usu balik dulu.. nenek ni dah berapa hari tak tidur risaukan Piah.. nanti esok kami datang lagi okey?” Pak usu mengucup dahiku sebelum memapah nenek keluar. Aku merenung siling. Aku koma? Masih terasa darah menyimbah dari kepalaku. Seraya itu juga Zul memelukku erat daripada ditusuk bumbung kereta yang remuk. Selebihnya.. Trit!! Tritt!
Handset itu tiba-tiba berbunyi. “Hello.. Piah?” “Zul.. awak di mana ni?” soalku lemah. Lagipun tak boleh cakap kuat-kuat.. rasa macam kena curah cuka luka-luka jahitan di dada.
“Awak okey Piah? Sorryla.. saya bersalah pada awak..”
“Awak macammana?” soalku.
“Saya selamat.. Piah.. maafkan saya ye?”
“Tidak selagi awak tak datang ke sini tunjukkan muka..”
“Piah..” suara Zul terputus di situ. Aku mengeluh lemah. Aku cuba sabaarkan hati menanti telefon itu berdering lagi. Public phone mana yang dia guna tu? Tak sampai seminit dah menelan duit. Macammana keadaan dia? Aku Cuma mengeluh dan kembali cuba melelapkan mata…

Denyut pedih luka terasa bila hari semakin lewat malam. Sengsaranya terlantar begini. Doktor berkata aku antara insan bertuah kerana terselamat dalam nahas yang paling ngeri. Doktor sendiri tak dapat membayangkan bagaimana aku masih boleh diselamatkan sedangkan Satria itu tersadai di bawah traler. hampir 8 jam pihak bomba berusaha mengeluarkan aku dan Zul sehingga kemalangan itu menjadi berita utama di dada akhbar.

Sengsaranya menanti hari hari untuk sembuh. Diam tak diam sudah hampir dua bulan aku di sini. Tapi Zul tidak juga muncul-muncul. Cuma seminggu sekali dia akan menelefon. Itu pun tak lama. Yang pasti setiap hari Jumaat selepas jam 12 malam dia akan menelefonku. Bila kutanya kenapa Cuma hari Jumaat, katanya dia akan bersolat hajat, tahajjud dan sunat untuk mendoakan kesejahteraanku. Nasib Zul lagi baik, dia Cuma seminggu sahaja di hospital. Selepas itu dia sudah berada di rumah.

“Betul awak tak luka parah?” “Ehh.. tengok oranglah.. saya kan hero.. tapi Piah.. saya tak tahu macammana keadaan awak. Saya tahu-tahu saja awak dah ditransfer ke Pantai, kalau tak saya boleh lawat awak hari-hari kat sini..” “Tak apa.. awak telefon saya pun dah cukup.. mujur juga awak sempat kasi handset kat saya hari tu kan?” “Simpanlah buat kenangan.. “

“Piah.. jantung awak okey?” “Alhamdulillah.. agaknya nasib anak yatim ni memang Allah permudahkan Zul.. nenek cerita ada besi tajam menikam saya, mujurlah ada penderma yang bermurah hati memberikan jantung dia untuk saya. Kalau tidak awak tak akan dapat dengar suara saya ni lagi..” “Jagalah diri baik-baik Piah.. bila awak nak keluar dari hospital?” “InsyaAllah dua tiga hari lagi dah boleh balik. Nanti awak datang jumpa saya okey?” “Piah saya tak boleh cakap lama ni.. bye!” Talian terputus di situ. Aku tersenyum sendiri. Selama berada di hospital ramai juga kawan-kawan sekampus datang melawat.

Cuma pak ngah sekeluarga saja yang tidak menunjukkan muka. Marah benar pak ngah pada aku agaknya. Tapi.. aku teringatkan suara emak yang muncul sewaktu aku sedang koma dahulu. Jika benarlah aku bukan Sepiah Abdullah, kenapa nenek perlu merahsiakannya?

“Betul… Piah bukan cucu nenek. Piah anak kecil yang ayah Piah jumpa di belakang kereta sewaktu di hospital. Nenek memikul wasiat arwah memelihara Piah sampai dewasa..” akhirnya nenek bersuara juga. Setelah aku mengugut tidak mahu kembali ke kampung jika apa yang pak ngah kata itu bohong.

“Tapi Piah janji tak akan tinggalkan nenek dan atuk?” soal nenek. Aku angguk. Siapa lagi yang aku ada di dunia ini selain dari mereka. “Sekurang-kurangnya Piah berterima kasih pada nenek dan atuk, serta pak usu kerana sudi memelihara Piah..”Tubuh tua itu kudakap erat.

MOTOR buruk atuk kupecut selaju mungkin. Aku tak boleh bersabar lagi. Sudah dua hari aku di rumah tapi bayang dia pun tak muncul. Malah bunyi motor dia yang brutal itupun tak kedengaran. Tepi simpang itu juga lengang, tiadalagi dia dan kawan-kawannya melepak seperti selalu. Sudah dilanggar garudakah kampung ini? Dia juga sudah tak pandai mendail nombor telefon, agaknya tahu aku dah balik sihat walafiat macam ni! Takkan aku nak telefon dia! Tak kuasalah… buat malu jer.. tapi.. Tapi dia melampau sangat.. takkan nak kasi tudung pun guna pos
laju.. alamat pulak alamat rumah si Mail..
“Eh Mail!” Aku segera menghampiri bus stop di tepi jalan raya. Pemuda yang sedang termenung menanti bas tiba itu menoleh. Aikk… dah potong rambut? Apa jadi pada rambut panjang kesayangan dia dulu? “Piah.. apa khabar?” soal Mail. “Baik.. err.. awak nak kemana ni? Apa dah jadi pada rambut?” soalku sambil tersengih. Boleh tahan juga Mail ni dah smart-smart macam ni. “Saya dapat masuk askar la Piah.. ” jawab Mail. “Ohh.. ehh awak yang hantar tudung guna pos laju ye?” Mail senyum.
“Zul yang suruh, saya menunaikan hajat dia aje..” “Kenapa dengan si Zul tu? Suka sangat buat benda pelik dua tiga menjak ni.. Saya cari Zul ni.. awak tau tak dia ke mana?” Mail Cuma tunduk. “Awak ni saya bertanya tau.. mana dia?” “Dia dah tak ada kat kampung ni..” jawab Mail perlahan. “Dia ke mana?” belum sempat aku menghabiskan ayat bas datang tiba-tiba.
“Okey la Piah.. saya pergi dulu,” Mail terus meninggalkanku dengan seribu pertanyaan. Sampai hati Zul tak bagi tahu ke mana dia pergi. Setidak-tidaknya janganlah tinggalkan aku dengan tanda tanya! “Piah..” Aku menoleh.
“Ehh.. mak cik..” aku segera bersalaman dengan wanita itu. “Mujur jumpa Piah di sini… mak cik nak jemput Piah ke rumah malam ni.. ada kenduri arwah sikit.. lagipun ada sesuatu yang arwah tinggalkan sebelum dia pergi..” Aku renung wajah bersih Mak Lijah. “Piah tak faham ni mak cik, siapa yang meninggal?” soalku hairan.

“Piah tak tahu ke Zul dah tak ada?” Apa??? Aku rasa seolah tidak berpijak di bumi. “Zul dah tak ada Piah.. dia meninggal sehari selepas masuk ke hospital..” Aku rasa pandanganku kabur. Air mata tiba-tiba terjun laju dari birai mata.

“Piah tak percaya mak cik, masa di hospital setiap minggu dia akan telefon Piah.. sumpah mak cik, Piah tak bohong..” Mak Lijah merentap lenganku dan melangkah laju ke arah kanan jalan. Kami meredah denai yang dirintis orang menuju ke sungai, satu-satunya jalan pintas menuju ke tanah perkuburan.

“Ini dia kubur arwah Piah.. ” Aku terpaku. Pusara yang masih merah itu kuhampiri. Tulisan pada batu nesan itu kuamati. “Zulkifli bin Razali.. dilahirkan pada 7 Januari 1974 kembali ke rahmatullah pada 7 Januari 2002..”
“Arwah ada berpesan pada mak cik, dia mahu Piah belajar bersungguh-sungguh kerana dalam kampung ni Cuma Piah dan dia saja yang berjaya ke universiti.. dia juga berpesan supaya Piah sentiasa ingat pada dia, jangan mudah kecewa dan kena tabah.. dia nak Piah tabah macam dia.. dia begitu kuat melawan kanser otak yang dia hidapi sejak 2 tahun yang lalu.. dia pernah berkata dia tak mahu kalah pada dugaan.. selagi jantung dalam dada Piah tu berdenyut, selagi itulah Piah harus jadi macam dia.. dia yang dermakan jantungnya sekiranya apa-apa terjadi pada Piah sewaktu kemalangan itu. ” Mak Lijah mengesat airmata yang membasahi pipi. “Tinggalkan Piah di sini mak cik..” pintaku perlahan
Kolam air mata terasa tumpah. Zul.. sampai hati awak tinggalkan saya macam ni.. saya sangat perlukan awak sekarang.. saya memang perlukan awak! Nesan itu kupeluk sayu. Patutlah awak beriya-iya benar menunaikan hajat awak yang terakhir. Rupa-rupanya awak nak tinggalkan saya! Saya tak tahu selama ini awak meminati saya… dan saya tak tahu motif awak melayan kawan-kawan saya semata-mata kerana ingin merapati saya.

Sungguh saya tak tahu.. saya takut dikecewakan kerana awak seorang yang amat menarik. Mungkin personaliti awak membuatkan awak diminati. Tapi hari ini.. awak tinggalkan saya selama-lamanya! Suasana hening menghurung kawasan perkuburan itu. Terima kasih kerana beri saya peluang untuk hidup. Patutlah saya rasa awak sentiasa dekat di hati, sepanjang masa saya rasa awak di mana-mana.. rupanya awak berada dalam diri saya.. awak adalah denyutan hati saya! Tudung yang awak beri tu saya akan pakai.. bukan kerana awak tapi kerana awak mengingatkan saya kewajipan sebagai seorang muslim.. Saya berjanji Zul.. saya akan jadi macam awak.

Saya silap kerana memandang rendah pada awak.. sebenarnya awak adalah semulia manusia… sebaik-baik lelaki yang pernah saya jumpa. Yang pasti.. saya telah memberi cinta saya untuk awak.. namun kita tak kesampaian membina mahligai bahagia bersama.. kehilangan awak ini adalah sesuatu yang pergi.. sesuatu yang saya dambakan dari dulu… semoga awak aman di sana.. Al- Fatihah!

~TAMAT~

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool