Takagi Sayang (Part 19)



img322
Originally uploaded by Yoshihiro.

RESEPI udang harimau bersos masam kubuka. Hmm.. tengah hari ni aku masak udang ni.. kemudian gulai asam pedas ikan duri.. kalau nak lagi sedap buat acar timun mentah. Ada daging rusa pemberian abah tempoh hari boleh buat masak kicap! Hmm….. complete hidangan tengah hari!

“Nah!” Mak Long muncul tiba-tiba bersama sebiji nangka muda. Beberapa helai daun kunyit dan kesom juga diletakkan ke atas meja.

“Masak gulai nangka campur tulang ikan masin, Yan.. teringin kita nak makan.. Pucuk betik ni celur.. buat sambal belacan.. daging tu daging apa?”soalnya melihat ke sinkiku.

“Daging rusa mak long..”

“Hmm.. eloklah tu.. bakar, buat air asam pencecah.. sedap!”Dia tersenyum.

Ah.. sudah! Biar betul orang tua ni..

“Mak long nak tengok-tengok keliling rumah kamu.. ” terkedek-kedek wanita itu meninggalkan aku seorang diri di dapur.

Hmm.. macammana ni? Aku mana pernah masak gulai nangka. Nak kupas nangka muda tu pun selalunya mak yang buat. Tak pun sudah siap beli di pasar.

Aku segera naik ke ruang tamu. Telefon kucapai dan nombor telefon rumah emak kudail.

“Assalamualaikum..”alhamdulillah.. terdengar suara emak di talian.

“Waalaikummussalam.. mak! Habislah Yan kali ni..”kataku cemas.

“Kenapa ni? Anak sakit ke?”Mak sudah menggelabah.

“Bukan.. mak saudara Aznil ada datang nie mak.. nak makan gulai nangka muda.. macammana ni mak?..

“Masak ajelah.. susah apa..”selamba emak menjawab.

“Mana Yan tahu masak semua tu mak..”

“Kupas nangka tu.. lepas tu potong-potong.. celur dengan air panas. Lepas tu masak macam biasalah.. kalau campur tulang ikan masin rendam dulu tulang tu dengan air. Lepas tu bila masak jangan taruk garam dah.. biar pedas sikit.. baru sedap!”jelas emak. Hmm.. aku menarik nafas.

“Cuba sajalah.. janji boleh makan..”emak memberi semangat. Iyelah mak.. nak beri semangat pada mak long tu supaya mengutuk aku nanti!

“Okeylah mak! Yan nak masak ni.. assalamualaikum!”Aku meletakkan gagang. Jam di dinding sudah pukul 10.30 dan aku bergegas ke dapur untuk memasak..

……………………………………………………..

“RESEPI baru ye?”soal Aznil. Aku diam membatu. Tangan saja tak berhenti bergerak menyendukkan nasi ke pinggannya.

“yang ini abang tahu.. daging bakar kan?”soalnya. Aku masih diam. Nak makan tu makan ajelah! Banyaknya soalan..

“Ni apa ni?”dia mengacau kuah berwarna ungu itu di dalam mangkuk comel.

“Abang nak makan ke tak ni?”soalku. Meradang juga bila dia bertanya itu ini. Macam perli je.. dah la aku kena teruk tadi dengan mak long. Aku tak tahu nak letak muka kat mana tadi. Entah disampuk apa agaknya mak long tiba-tiba dia mengajak kak Esah Puspa Kencana tu datang makan tengah hari sama.

Sudahlah aku kelam kabut dengan anak-anak aku tadi. Anak dia si Azizan tu, sedikit pun tak mahu menolong. Bergayut di telefon macam bapak dia yang bayar! Bukan dia tak tahu aku sibuk di dapur. Baru saja aku selesai menanak nasi Habil dan Hazil terjaga. Seperti biasa bila si kembar itu dah terbangun tiada apa yang dapat kubuat. Tapi demi mak long, aku usaha juga menyediakan apa yang dihajati.

Malangnya.. sewaktu sedang leka melayan si Habil, tak sedar Hazil yang sedang kudukung dah curahkan kicap cair dalam mangkuk ke dalam periuk berisi gulai. Tuhan saja yang tahu betapa geramnya aku. Tangannya memang cepat mencapai itu ini.

“Hazil tau tak mama penat masak semua ni? Santan pun mama tak isi lagi Hazil dah isi kicap..”aku berleter sendi
ri dan si Hazil Cuma tersengih sambil bertepuk tangan. Apalah yang budak berusia setahun dua bulan itu tahu?

“Apa yang kau masak ni?”soal mak long.

“Amboi.. resepi apa ni Yan.. bolehlah kak Esah cuba..”sampuk kak Esah pula. Mak long mencapai senduk dan menceduk-ceduk gulai itu di dalam periuk.

“Apa ni yang kau masak? Gulai ke air longkang?”soalnya. Aku diam tak terkata.

“Hmm.. orang zaman sekarang ni macam-macam Esah.. kita dulu masa umur 12 tahun dah pandai serba serbi.. tak heranlah kita ni umur 14 tahun orang dah masuk meminang..”dah.. start dah burung kakak tua berleter!

“Iye ke Mak Long?”soal Kak Esah berminat.

“Ni, kita ni dulu, anak 5, badan kita ni lagi kecik dari badan awak Esah..”bertambah-tambah gah la dia nak memuji diri tu!

“Kita dulu pun beranak kembar juga.. tapi kita boleh uruskan rumahtangga..”dia menjelingku. Aku buat-buat tak nampak. Malas aku nak melayan dia bercakap.

“Heran kita.. kata mak bapak buka kedai makan.. tapi anak tak pandai memasak?”Mak long tergeleng-geleng.

“Marilah kita ke bandar Esah..”Dia menarik tangan kak Esah yang masih mengintai apa yang kumasak.

“Kita makan kat bandar ajelah.. kita tak selera tengok masakan macam ni.. kempunan kita nak makan gulai nangka..”

“Hai.. panjang menung..”Aznil memetik jari, sekaligus menyedarkan aku. Dia tersenyum. Tangannya memegang tanganku.

“Abang tau tak apa mak cik abang tu cakap kat Yan hari ni? Dia kata Yan masak air longkang..”Aku memandangnya.

“Sabarlah.. bukan selalu dia datang. Lagipun, dia tu ibu susu abang dulu.. maknanya, mak abang juga..”pujuknya lembut.

“Tak kiralah.. tapi janganlah cakap macam tu.. kalau Yan tak betul, ajarkanlah..”Aku tak jadi mengisi nasi ke pinggan sendiri. Aznil Cuma senyum. Dia mengisi gulai nangka berkicap itu ke dalam pinggan.

“Sedap je apa Yan masak ni..”pujinya. Nak ambil hati aku la tu! Aku menarik nafas.

“Sedap?”soalku. Aznil mengangguk.

“Okey.. abang habiskan gulai seperiuk tu..”kataku membuatkan dia terlopong. Hmm.. padan muka!

……………………………………………………..

HARI demi hari yang kulalui makin m
emeritkan bila Mak Long ada. Anak-anak semakin lasak kerana sudah pandai berjalan dan berlari. Sekarang sudah pandai hendak bermain bola. Aznil pula sibuk dengan projek tanaman herba di tanah yang baru dibeli. Jarang ada masa di rumah. Dua tiga hari lepas dia ke Kedah, mencari benih-benih tanaman yang sesuai bersama kawannya.

“Sabar aje la.. bukannya lama pun.. dua minggu je.. sekarang dah seminggu lebih.. dua tiga hari lagi dia baliklah..”Embun yang baru 4 hari melahirkan anak menasihatkan. Aku Cuma mendiamkan diri. Sepatutnya aku tak menghidangkan masalah baruku kepadanya, maklumlah dia masih lemah lagi. Tapi Embun ternyata sahabat yang baik. Masih mampu tersenyum dan sabar mendengar masalahku.

“Syukurlah kau sebab mak mertua kau tak secerewet tu..”Kata-kata Embun itu memang kuakui. Selama ini aku selalu bersungut dengan perangai emak. Aku rasa seolah-olah orang tua itu busybody. Semua urusan rumahtanggaku dia nak campur.

Tapi sekarang, ternyata Tuhan dah membalas. Aku diuji dengan seorang mak cik yang cerewetnya macam nak mampos! Kalau mak mertua aku datang makan berlaukkan sambal pun dia tak kisah. Cuma dia bersungut sebab aku jarang memasak untuk suami selepas mempunyai anak. Tapi, tak adalah sampai kata masakan aku macam air longkanglah.. rumah aku macam kandang kambinglah.. bilik dia bernyamuk agas macam rumah tinggallah..

“Rumah kita.. tak ada bersemut macam ni.. agaknya ada bangkai tikus kat mana-mana.. kita kalau menyapu, habis ceruk-ceruk kita korek. Tak berhabuk rumah kita!”sungutnya bila ada semut mayat merayap di biliknya.

“Habis badan Izan ni mak.. gatal-gatal!”Si anak gadis pula mengadu. Aku Cuma mendiamkan diri. Paling habis pun aku semburkan racun semut ke seluruh penjuru bilik.

“Hishh.. kita tak tahan bau busuk racun ni.. tak fikir ke kita ni dah tua.. semput pulak tu.. macammana kita nak tidur bau busuk macam ni?”Pulak dah!

“Mak long tidur bukak tingkap.. nanti bau bunga-bunga cempaka kat luar tu boleh cover bau busuk racun tu..”Malas aku nak layan kerenah cerewet mak long. Pulak
tu sekarang ni pantang dia tengok aku terlena. Pasti becok mulutnya berleter.

“Apa nak jadi ni.. jangan manjakan badan tu.. letih sikit tidur.. asal tak sihat sikit cari bantal.. tu, minum air ubat tu! Jangan asyik nak telan ais saja.. nanti kembang semua urat.. muda-muda dah tak boleh nak beranak lagi nanti..”sebab tak tahan mendengar leterannya kupaksakan diri menghabiskan jamu-jamu yang kak Esah jual tempoh hari. Kalau dengan emak mertua ku boleh bertolak ansur lagi, dengan mak long ni.. sorrylah! Hancur telinga dibuatnya.. nak mengadu kat Aznil? Balik-balik dia kata sifat mak long memang macam tu.. tapi hatinya baik! Mulut je bising macam itik nak mengawan!

“Semua orang ada kurang ada baiknya Yan.. lama-lama nanti kau nampaklah baik dia..”nasihat Embun lagi sambil menyusu bayinya. Aku mengangguk. Mudah-mudahan.

“Aku balik dululah Embun.. anak-anak aku kat rumah tu tak tahu apa cerita. Selepas menghantar Azizan yang ingin balik ke UTM ke stesen bas tadi aku terus melawat Embun. Bukan apa, malas aku nak berdepan dengan Mak Long tu. Entah apa mimpinya nak duduk lama-lama lagi di rumah aku. Dia menjeling saja bila aku menyerahkan anak-anak di bawah pengawasan Aznil.

Bersambung………………

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool