Takagi Sayang (Part 20)



mg322
Originally uploaded by Yoshihiro.

AKU masuk ke halaman rumah. Kelihatan rumah sunyi sahaja. Kembara juga tidak ada di bawah garaj. Kemana pula si Aznil ni pergi? Soalku sendiri sambil melangkah masuk. Mesti dia orang keluar. Alhamdulillah.. lega aku.

Tak adalah aku kena bebel lagi! Aku masuk ke kamar dan merebahkan badan. Setelah sekian lama jarang aku ada masa untuk diri sendiri.
Dari pagi hingga ke malam sibuk menguruskan anak-anak dan suami. Aku duduk mengadap cermin. Oh My God! Aku usap muka yang pucat. Kenapa dengan muka aku ni?

Macam orang tak cukup darah je.. aku belek pula tangan aku. Urat-urat biru timbul di permukaan kulit, cukup hodoh. Aku pegang pula rambut. Betul ke kata mak long? Betul ke aku sudah semakin tua sebelum waktunya? Terngiang-ngiang kata-kata bebelannya di telingaku.

“Makan pucuk betik ni.. awet muda.. awak tu belum masuk umur 25 dah macam orang umur 40.. ” ala.. kan ke pucuk betik tu pahit. Aku pernah makannya dulu, air rebusan daunnya tapi habis termuntah balik. Tu baru air daun, nak suruh aku makan pucuknye pulak? Ohh tidak..

“Asyik tidur saja.. bawa-bawa bersihkan laman tu.. rumput dah panjang.. semua nak harap suami buat.. keluarkan peluh sikit..”Aku rasa nak tutup mulut mak long dengan bantal waktu itu juga. Tak tahu ke dia anak aku meragam sepanjang malam dan ada waktu terluang pagi itu aku ingin mengqada balik tidurku?

“Ni.. makan bunga ros ni.. tanam saja tapi tak tahu nak guna buat apa? Ni untuk awet muda..”Heh.. aku tersengih saja mendengar kerenah mak long.

“Iye ke maklong? Tu Yan tengok kambing tu makan bunga ros tak awet muda pun..”jawabku membuatkan mak long Cuma menjeling geram.

Aku menarik nafas. Perlahan aku keluar dari kamar untuk ke dapur. Semasa melintasi bilik mak long, pintunya kelihatan renggang. Entah kenapa tergerak hatiku untuk masuk ke dalam. Hari tu dia komplen bilik tu ada bunyi katak, biar aku check. Bisikku sendiri sambil menolak daun pintu.

Saat pintu ternganga aku tergamam. Mak long terlentang di atas lantai bersama kain sembahyang yang masih belum terlucut.

“Mak Long!”Aku menerpa. Tubuh tua itu kugoncang-goncang. Ya Allah! Apa kena dengan orang tua ni? Tanpa lengah aku segera ke meja telefon.

“Hello.. abang! Balik cepat bang!”

“Kenapa ni?”suara Aznil kedengaran.

“Mak long ni pengsan!”Aku segera meletakkan gagang. Dalam hati aku terasa cemas. Sempat kupanjatkan doa agar Mak Long selamat. Beberapa minit kemudian Aznil tiba bersama ibu mertuaku. Dengan susah payah kami bertiga mengangkat mak long masuk ke dalam kereta. Aku pula mengikut mereka ke hospital bersama van abah.

Keadaan mak long agak kritikal. Kata doktor mak long kehabisan ubat dan diserang lelah tiba-tiba. Kalau terlambat beberapa saat mungkin boleh membawa maut. Mendengar itu hatiku terasa takut tiba-tiba.

“Malam ni terpaksa tahan di wad.. seseorang kena menjaganya..”doktor berbangsa india yang peramah itu berkata. Kami semua saling berpanda
ngan. Ibu mertuaku tak mungkin. Ayah tak sihat dua tiga hari ini, tak mungkin dia meninggalkan ayah.

“Apa kata Yan aja yang jaga mak long?”usul dari Aznil itu buat mataku terbeliak. Dia tersenyum buat tak mengerti.

“Elok juga..”sokong abah pula. Abah tu memang sentiasa sehati sebulat suara dengan menantu dia tu

“Tapi..”

“Pasal anak-anak jangan risau.. mak ada.. ” sampuk mak pula.

“Mak pun boleh tolong tengokkan anak-anak..”mak mertua pula menambah undi. Aku pandang Aznil. Langsung tak berpeluang bersuara. Sampai hati! Aznil Cuma senyum sahaja.

“Abang balik ambil barang-barang okey”Aku rasa nak cubit saja perutnya. Geram! Tak pasal-pasal aku pula kena!

MAK long Cuma diam sambil menghirup sup sayur yang kubawa. Aku turut kehilangan kata-kata. Selama tiga hari dia berada di wad akulah yang menemankannya siang dan malam. Habil dan Hazil kuserahkan pada emak untuk menjaganya.

“Kesian.. dia pernah jadi ibu susu abang.. temankanlah dia..”pujuknya.

“Abang tau tak mak long tu tak sukakan yan?”

“Tak apa.. masa ni la nak buat dia sukakan Yan..”jawab Aznil bersahaja. “Tawar sikit..”terlontar perkataan itu dari bibir mak long. Sejak tiga hari lalu wajahnya sudah tak berseri lagi.

“Mak long tak boleh makan masin-masin.. mak long ada darah tinggi..”jawabku lembut. Semalam doktor kata mak long ada penyakit lemah jantung. Mana tak kena sakit jantung, darah tinggi.. nak makan berlemak-lemak aja.. dulu kutuk sup daging aku tuh masakan orang malas.. sempat aku mengutuk dalam hati. Ishh jahatnya mulut aku!

“Mak long nak buah?”aku menawarkan buah limau manis yang kubeli tadi. Mak long memandangku.

“Anak-anak kita tak tahu ke kita dalam hospital ni?”soalnya. Aku menarik nafas. Pelik juga. Sejak mak long masuk wad tiga hari lalu seorang pun tak datang menjengah. Tapi aku malas nak ambil tahu sangat. Bukan ke dia kata anak-anak dia terdidik semuanya? Lagipun aku cuba menjalankan tanggungjawabku sebaik mungkin itu saja. Dia suka atau tidak terpaksa jugalah mengadap muka aku 24 jam.

Aku tak dapat menahan daripada menguap di hadapannya. Memang aku kurang tidur sejak dia masuk ke hospital. Bila hari siang Aznil datang dan aku balik ke rumah sekejap. Mandi, berkemas apa yang patut.. masak untuk suami kemudian baru menjenguk anak-anak di rumah mak. Sedih juga bila terkenangkan anak-anak yang berebut-rebut memelukku sebaik saja aku sampai ke rumah nenek mereka.

“Yan..”mak long memandangku.

“Mengantuk ke kamu?”soalnya.

“Tak adalah mak long.. Yan ni dah terbiasa tidur petang.. tu menguap tu..”aku memberi alasan. Doktor yang merawat mak long ada beritahu aku, jangan biarkan orang tua itu susah hati atau tersentuh. Bimbang kesihatannya makin melarat.

Mak long mengeluh berat. Dia merenungku lama.

“Mak long anggap kamu macam anak sendiri. Mana yang tak betul mak long tegur.. jangan kecik ati”pintanya. Dia memegang tanganku erat.

“Terima kasih kerana menjaga mak long..”pertama kali aku tersentuh dengan kata-kata itu. Bak seorang ibu membelai anaknya. Dari kelopak matanya aku lihat ada air mata gugur. Alamak..
kenapa dia menangis?

“Mak long.. Yan tak ambil hati.. tak kisah.. elok juga mak long nasihatkan Yan..”balasku. Mak long mengangguk-anggukkan kepala.

“Jangan lupa.. nanti amalkan mandi air sireh.. biar berseri sikit muka.. ” Aduii.. baru aku ingat dia dah insaf, rupa-rupanya masih lagi!

SEJAK pulang dari hospital tadi aku terasa kepalaku berat. Aku cuba juga berbaring dan tidur sekejap tapi peningnya masih belum hilang. Alamak..macammana ni? Nak demam ke badan aku? Soalku sendiri dan bangun perlahan menuju ke dapur. Dua ulas panadol kutelan lagi. Dah 4 biji makan belum jalan lagi.. Aku menarik nafas.

Jam sudah pukul 11.00 pagi. Aku sepatutnya sudah bertolak ke hospital kerana Aznil ada urusan dengan pembekal makanan udang kami. Aku membaringkan badan sekali lagi di kerusi hadapan. Sungguh, sendi-sendi terasa longgar dan aku tak mampu nak berdiri lama.

“Yan.. kenapa dengan kamu?”Kak Esah menyapa. Tak sedar bila dia memberi salam, tahu-tahu saja sudah terjengul di muka pintu.

“Pening kepala.. macam nak demam..”jawabku sambil mengerut dahi menahan pening. Kak Esah datang rapat. Dia memegang dahiku.

“Ehh.. kau ni demam ni.. ” kata kak Esah.

“Agaknyalah kak..”jawabku.

“Kau amalkan tak jamu yang kak Esah bagi tu?”soalnya. Aku angguk. Sejak mak long datang ke rumah ni memang berdisiplin aku makan jamu. Ulam yang aku tak pernah makan pun aku sumbat juga ke tekak. Tak larat dengar mak long berleter.

“Berat badan kau turun tak selepas makan jamu tu?”soalnya.

“Turun 3 kilo kak..”jawabku antara ingin dan tidak.

“Kau dah datang bulan ke belum?”soalnya. Aku menggeleng kepala.

“Agaknya kau mengandung lagi..”Apa? Aku rasa macam nak pengsan mendengar kenyataan kak Esah. Mengandung lagi? Anak yang dua tu pun baru masuk setahun dua bulan..

“Biar betul kak..”

“Kak Senah yang makan jamu akak tu pun kata dia mengandung dah 2 bulan.. “Apa? Ala..

“Yan kena stoplah makan.. ” kak Esah tersenyum-senyum. Aku rasa badanku semakin lembik. Takkan aku mengandung lagi? Kak Esah ni cakap tak betul langsung. Kata jamu ni untuk menguruskan badan.. ni bukan menguruskan badan lagi ni.. nak menambah anak pulak jadinya.

“Nak akak tolong apa-apa?”soalnya.

“Akak tolong telefon mak saya.. saya rasa saya tak larat..”pintaku sambil cuba memejamkan mata. Aku dah penat nak pikir semua ni!!

Bersambung………………

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool