Takagi Sayang (Part 22)



Urusan pendaftaran sudah pun selesai. Semua barang-barang keperluan sudah dihantar ke kolej kediaman. Aku segera mendapatkan Aznil bersama anak-anak kami yang menanti di tempat parking. Sebentar kemudian kembara hitam itu melucur laju meninggalkan kawasan Dewan Siswa Cahaya Permai dan menghala ke arah Pantai Merdeka. Kami beriringan sambil memimpin anak di kiri kanan. Habil dan Hazil cukup riang melihat beberapa burung-burung camar yang beterbangan di tengah laut. Abah, emak dan adik-adikku kembali ke hotel setelah urusan pendaftaranku selesai awal jam satu tadi. Bunyi ombak yang menghempas pantai membuatkan hatiku terasa damai. Habil dan Hazil riang berdiri di tepi tembok sambil menuding ke arah permukaan laut. Kelihatan ikan-ikan todak sedang bermain di gigi air membuatkan anak-anakku tertawa gembira. Mungkin terasa geram ingin mencekup ikan-ikan itu agaknya.

“Yan…”

Aku berpaling. Aznil tersenyum sambil tangannya menghulurkan sejambak mawar merah muda kepadaku.

“Dah lama abang tak bagi bunga pada Yan kan?” Aku tersenyum lantas menyambut hulurannya.
“Yan.. jangan lupakan abang tau.?” Aznil tiba-tiba berpesan.
“Kenapa pula Yan nak lupakan abang..” aku memeluk pinggangnya erat.
“Yan mesti janji akan balik dengan segulung ijazah tepat pada masanya.Abang akan sentiasa menyokong Yan..” Aznil tersenyum.
“Insyaallah. Yan cuma perlukan restu dan sokongan abang” pintaku . Aku menarik nafas panjang.
“Abang.. Yan harap kita akan berjaya membentuk keluarga kita.Yan nak Habil dan Hazil terdidik dengan sempurna. Apa yang terjadi selama ini membuatkan Yan sedar betapa pentingnya peranan Yan sebagai seorang ibu”.
“Maksud Yan?”
“Yan tak mahu nasib Yan seperti apa yang telah terjadi kepada Mak Long. Yan mahu anak-anak kita kenal apa erti kasih sayang sebenar, tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa dan yang paling penting, kita perlu didik mereka bukan berkaitan akademik sahaja, tapi nilai-nilai murni dan tanggungjawab sebagai seorang anak. Macam abang…” Aznil cuma tersenyum mendengar kata-kataku.
“Kesian Mak Long….” Itu sahaja yang terlontar dari mulutnya. Aku turut bersimpati atas apa yang telah terjadi. Mak Long telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas dua minggu berada di HKL. Urusan pengkebumiannya juga dibuat tanpa sempat menanti anak lelakinya pulang daripada bercuti di Eropah.

Aku menarik nafas panjang. Sedih mengenangkan Mak Long, ibu susu Aznil yang dipinggirkan anak-anak setelah kesemuanya berjaya dalam hidup.Kata Aznil, Mak Long yang bersusah payah membesarkan anak-anak dengan menjual nasi lemak. Selain itu dia juga menjadi tukang cuci di sebuah motel yang tedapat di bandar Ipoh. Suaminya seorang kaki judi, langsung mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Sehingga ke hari ini aku kesal dengan sikapku yang langsung tak terfikir untuk menjaga hati Mak Long dulu dengan ikhlas. Andainya aku tahu apa yang terjadi, sudah tentulah Mak Long kujaga seperti ibu sendiri. Aznil memegang bahuku.

“Yan.. Izan telefon abang semalam…”

“Dia dan suami nak mengerjakan umrah tak lama lagi. Dia ucapkan tahniah sebab Yan dapat ke USM…”

Aku senyum. Teringatkan gadis yang pernah merebut keharmonian rumahtanggaku dulu. Itu juga satu ujian yang perit untukku. Tetapi, ternyata demi cinta yang utuh, badai itu mampu kami lalui bersama. Biarpun aku pernah membencinya dulu, tapi kini semuanya telah kulenyapkan. Dia juga sedang berbahagia dengan suami dan permata hatinya. Tiada yang lebih bermakna jika kita meraih bahagia atas cinta yang tercipta atas landasan yang betul Izan!

Habil dan Hazil kurangkul erat. Kedua pipi gebu itu kukucup penuh kasih sayang. Demi kebahagiaan masa depan, demi Hazil dan Habil, mama terpaksa tinggalkan anak-anak mama ini. Mama berjanji akan menjadi contoh terbaik untuk anak-anak mama. Aznil menepuk bahuku.

“Sudahlah tu Yan… mari abang hantar Yan ke kolej….” Aku angguk. Haripun sudah beransur petang dan aku perlu hadir sebelum pukul lapan untuk sesi suaikenal.

Tanganku erat menggenggam tangan Aznil. Langkah kami atur bersama meninggalkan pantai lewat petang itu.
“Yan, abang cintakan Yan..” bisiknya kepadaku.
“Yan juga… “ balasku.

Hanya Tuhan saja yang mengerti saat untuk aku berpisah dengan Takagiku ini. Semoga rahmat sentiasa mengiringi rumahtangga kami. Berkatilah doaku ini Tuhan!

:::: TAMAT ::::

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool