Takagi Sayang (Part 5)



SEGALA yang ditentukan oleh Ilahi tak mampu kita mengubahnya. Segalanya sudah tertulis dalam takdir. Macam tu la juga yang tertulis dalam takdir aku. Keputusan abah muktamad, tak ada warna lain melainkan hitam dan putih sahaja. Aku akan dijodohkan dengan Aznil bukan pada akhir tahun depan seperti yang ditetapkan dahulu, tapi hujung bulan ni! Ini bermakna cuma ada dua minggu lagi aku akan bergelar anak dara. Matilah aku macam ni, agaknya kalau jadi cicak dah lama bunuh diri. Barulah aku mengerti kenapa gadis selalu lari dari rumah bila dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak dicintai. Agaknya macam kes aku sekarang ni la kot?

Persiapan kenduri dahpun dibuat, mak dah sibuk menempah itu ini untuk kenduri. Lembu kabarnya dua ekor nak ditumbangkan. Aneh..kawin paksa ni dipermudahkan pulak jalannya. Dan dan tu jugaklah lembu senang dapat..ramai pulak sukarela menolong mendirikan kemah.. menyiapkan bangsal memasak.. tolong itu tolong ini.. pelamin.. hantaran.. baju nak kawin pun siap ada orang nak sponsor lagi..Orang kampung dan sanak saudara dah dijemput untuk meraikan hari yang bakal menghitamkan hidup aku. Uwaa sampai hati Abah!!

“Eiiii bestnya dapat abang ipar..bagus abah kawinkan along cepat-cepat, kalau tak mesti melepas punya..tak ada sapa lagi boleh rampas abang Takagi kita..” aku rasa nak siat-siat aje mulut si Fina ni. Menatang apa yang best sangat ada pada malaun tu?

“Eh, kau suka dia kan? Kau pergi cakap kat aah kau yang nak kawin dengan dia,”

“Apa la along ni! Orang nak kawin happy, dia susah hati pulak!” sampuk Ina sambil membetulkan kelopak bunga telur yang disusun ke dalam pahar.

“Abang tu baik apa..dia sayang kat along..kalau tak tak kan dia nak kawin dengan along yang degil macam apa ni..” ujar Rina sambil membetulkan labuci yang dijahit pada baju untuk akad nikah nanti. Bab andam mengandam ni dia memang teror.

“Baik? Macam tu pun baik ke? Macam mambang tanah je..”

“Amboi..sedapnya mengata orang mambang..” mak tiba-tiba muncul di balik langsir. Aku pandang Ina, Fina dan Rina yang dah tersengih-sengih memerli. Sejak kes hari tu mak dan abah serta adik beradik aku bukan main backing lagi menantu pilihan mereka. Sorang pun tak mahu menyebelahi aku. Ikutkan hati mahu saja aku ambil tindakan lari dari rumah, tapi aku malaslah nak memecahkan tradisi keluarga yang terkenal dengan adab mulia ini. Nanti mana dia orang nak letak muka. Dan tak mahu jugalah aku tersenarai dalam list anak derhaka nanti..

“Tu, Aznil dah tunggu kat luar tu..pergi cepat,” gesa mak..Oooo dah 5 hari buat salah baru hari ni datang jumpa aku??

“Pegi la along..” Rina memujuk bila aku sikit pun tak bergerak. Ah..tak kuasa aku!

“Tah! Nanti abah bising baru tahu,” Abah? Alamak..ni yang buat aku berbelah bagi ni. Abah tu bukan aku tak tahu. Bila dia dah bukak ceramah..faham-faham aje la..silap haribulan..ada pulak yang kena kawin hari ni. Mahu tak mahu aku terpaksa keluar jugak bila mata mak dah naik juling menjeling. Kelihatan Aznil sedang menanti di hujung tanggasambil memerhatikan anak ayam yang baru menetas memagut beras yang mak tabur. Amboi, bergaya sakan nampak.. bawak Virago lagi.. Sekali pandang memang macam hero siri Tokyo Cinderella Story. Sebab itulah adik-adik aku menggelarnya `Takagi’.

“Dinda..dimanakah kau berada ..rindu aku ingin jumpa..” usiknya macam biasa, seolah-olah langsung tak perasan yang muka aku dah macam jeruk mangga masamnya.

“Ngapa datang sini?” soalku kasar tanpa memandang wajahnya.

“Rindulah kat awak..” cis! Rasa nak ludah je atas hidung dia, rindu konon!

“Dah jangan cakap banyak, saya ada kerja lain nak buat ni..apa yang rasa nak cakap sekarang, cakap!” tegasku.

“Marah sangat ke kat saya sampai tak sudi nak pandang muka saya?”

“Hai, boleh tanya lagi? Awak ingat saya tengah suka hati la sekarang ni?” luahku geram. Aznil menggeleng kepala melihat aku marah membabi buta.

“Saya ada buat salah ke?” kalaulah dalam majalah Ujang sekarang ni dah lama karektor aku mengeluarkan apa atas kepala. Or course la bodoh!

“kalau saya salah saya minta maaf, lain kali saya tak buat lagi, okey?”

“Macam tu je? Ingat senang ke saya nak terima maaf awak tu? Awak ingat saya ni apa? Patung? Tunggul kayu? Tayar motor awak?” memang aku marah benar kali ini. Dia ingat selama ini perasaan aku boleh dilebihkurangkan

sesuka hati dia? Mentang-mentanglah dia lelaki dia boleh lakukan apa saja untuk buktikan kuasa dia?

“Okey la..okey la..kalau awak marah saya pasal Tiara hari tu, saya mengaku memang saya terjumpa dia masa nak ambil awak kat bank hari tu. Tapi antara saya dengan dia tak ada apa-apa. Tiara dah kawin masa saya kat UK dulu, hari tu jumpa dia pun dengan husband dia, husband dia pergi parking kereta kami minum la dulu,” Aznil dah berdiri di depanku.

“Tapi apasal awak tipu saya?”

“Saya memang nak cerita, tapi saya tak mahu awak tersalah sangka..sebab Tiara antara yang serius dengan saya dulu,”

“Dan pasal kat sungai hari tu,” aku rasa darahku dah menyirap ke muka.

“saya tak nak dengar apa-apa pasal tu,” aku memusingkan badan mahu masuk ke dalam, dan sepantas itu juga Aznil memegang lenganku.

“Yan, jangan la buat macam ni..kita dah nak kawin ni,”

“Siapa nak kawin dengan awak?” bentakku geram. Sakit hati tak terkira rasanya bila dia berani sentuh aku.

“Kalau saya bersalah saya minta maaf okey?” pintanya lagi.

“Sampai mati pun saya tak akan maafkan, tu pun kalau betul awak mati baru saya pertimbangkan,”

“Awak nak saya mati ke?”

“Kalau iye kenapa?”

“Betul awak suka saya mati?”

“Ha..get lost!” Tanpa tunggu lama aku terus naik meninggalkan Aznil yang termangu-mangu macam orang bodoh. Tak lam lepas tu aku dengar Viragonya memecut laju, lain daripada biasa. Marah sama kut, ah..biarkan!

“Siapa ajar kau cakap macam tu dengan bakal suami?” Ops! Mak dah berdiri di depanku. Sah dia dah dengar semuanya

“Mak tak pernah didik kau jadi kurang ajar..mak nak kau telefon dia sekarang jugak mintak maaf. Kalau taak jangan panggil mak ni mak kau lagi..” aku terlopong memandang mak yang dah pun melangkah ke dapur. Kerana si aznil tu mak sanggup tak tegur aku?

“Apa la along ni,” Ina keluar dari bilik dengan muka masam tanda marah kat aku.

“kau orang tahu apa?”

“Along tu yang teruk! Along sebenarnya ego, besar kepala. Kata abang Aznil tak baik, jahat, habis along tu baik sangatlah? Kalau along macam ni la..memang tak kawin sampai ke tua, tau? Ina pun hilang sabar dengan perangai along ni..” beraninya Ina! Tak tunggu lama aku melangkah deras meninggalkan halaman rumah. Jalan-jalan lagi baik. Tak pening kepala. Tak ada orang nak membebel..nak cakap macam nak runtuh langit. Kaki kuatur ke arah sungai. Duduk melepak di atas pokok ara yang condong ke perut sungai sambil makan tebu lagi baik daripada berada di rumah.

Sejak peristiwa itu aku benar-benar tersinggung dengan Aznil. Pelik, sebelum ini aku tidak pernah bersikap begini. Bukan tak pernah dia berbual mesra dengan perempuan lain, mengorat pun dia selalu buat depan mata. Tetapi, kenapa kali ini aku tiba-tiba berubah menjadi pendendam? Dan, aku sendiri tak menyangka aku menangis kerana kecewa yang teramat sangat.. Ah..kadang-kadang timbul rasa kesal di hati. Antara kami berdua, cinta sangat misteri. Malah belum pernah dia lafazkan kata-kata cinta kepadaku. Aku lagilah tak pernah! Takkan perigi yang nak cari timba! Kalau tanpa cinta, bagaimana perkahwinan ini nanti? Adakah perkahwinan ini semata-mata kerana hajat keluarga yang inginkan kesinambungan dalam keakraban mereka? Ah..bingung..bingung..kahwin? bersediakah aku untuk hidup bersama Aznil ? Ini soal hidup, soal masa depan. Bagaimana kalau aku ditakdirkan tidak bahagia nanti? Salah emak dan abahkah? Aku mengeluh lemah. Di ruang mata terbayang wajah Aznil. Dan dari matanya yang redup itu aku tahu dia memang baik, tapi baik tak semestinya jujur!

“Along!” terdengar suara Ina memanggilku dari jauh. Apa hal pulak ni? Ina berlari laju dan serta merta memelukku sambil menangis tersedu-sedu.

Pokok ara bergoyang hebat lantaran tindakan Ina itu.

“Eh..kenapa ni? Jatuh pulak dalam sungai ni nanti..” soalku lantas memapahnya ke tebing sungai.

“Kenapa ni?” soalku bila tengok Ina menangis macam kena sawan babi.

“A..a..abang Aznil!”

“Ha, kenapa dengan dia? Dah mampus ke? Dah mati?” Saja aku buat macam tu. Susah sangat nak cakap..aku pun bosan jugak tunggu lama-lama. Dah tu, air mata dia campur air hingus dah habis meleleh atas bahu aku..eeii..

“Ha!” Ina meratap lagi.

“Ha? Apa yang ha?” soalku.

“Abang Aznil dah tak ada!” Ha?

“Tak ada kemana?”

“Abang dah..dah..huuuu” Ina menyembam muka ke bahuku.

“Iye ke..baguslah!” spontan saja perkataan itu keluar dari mulutku. Aku pun tak sedar tapi betul ke cerita Ina ni?

“Along! Kenapa along cakap macam tu..Abang Aznil dah tak ada lagi tau tak..? Along tahu tak??” Ina tengking aku macam dia tengking anak ayam yang selalu berak atas tangga rumah.

“Biarlah..”

“Abang Aznil pergi sebab nak beli bunga mawar yang selalu dia bagi kat along tau tak? Dia accident masa balik dari bandar tadi. ” Aku pandang wajah Ina macam tak percaya.

“Iye ke? Baguslah!” Balasku. Tapi..aku terasa mataku pedih..betulkah Aznil dah tiada? Sudah pergi dari alam maya ini? Putik mawar merah untukku puncanya? Langkah yang kuatur kian ringan. Suara Ina cuma sayup-sayup kedengaran. Dan akhirnya aku cuma melihat kegelapan.

………..bersambung…….

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool