Buaya Kuning Muncul Ditengah Lautan






SELAMA beberapa bulan Alang Darwes tidak berhasrat lagi untuk turun memancing terutama di sungai sama ada di lubuk mahu pun tebing sungai. Semua ini gara-gara sudah tiga kali beliau karam ketika memancing udang galah dan berdepan dengan sang bedal yang bermata merah tetapi tidak mengusiknya.

Ketakutan itu masih dirasai dan terus menghantui. Perasaan itu lebih jauh mencengkam dalam dirinya apabila melihat air sungai serta ketenangan lubuk yang banyak dihuni oleh udang galah bersepit biru.

Walau pun Darwes adalah anak sulung kepada arwah Tok Itam yang juga pawang buaya namun ilmu itu tidak diwarisi oleh beliau atau sesiapa pun. Ini kerana Alang Darwes beranggapan beliau tidak mahu adanya permusuhan dan dendam antara sang bedal dengan manusia.

Pun begitu, antara reptilia ganas di sungai dengan manusia yang bernama Darwes terdapat batas sempadan yang tidak disedari oleh anak muda berkelulusan Diploma Asas Tani itu. Namun pengalaman tiga kali karam di sungai dan lebih-lebih lagi ketika bertentang mata dengan buaya masih meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Beliau tidak lagi berminat untuk turun memancing udang galah walau di mana-mana sungai mahu pun lubuk yang terdapat banyak udang.

Darwes masih bujang. Sesekali ketika pulang ke kampung, beliau dikerumuni oleh rakan. Ada yang mempelawa turun memancing udang. Tetapi Darwes menolak dengan pelbagai alasan. Pun begitu, satu trip memancing di laut dalam yang diatur oleh akan karibnya, Sulung Pandak - keturunan masyarakat Orang Asli. Sulung berpengalaman di laut kerana beliau berkawan rapat dengan anak nelayan sebelum bertemu dengan Darwes di kolej.

Trip memancing laut sudah diatur rapi oleh Sulung bersama lima orang rakan pancing lain yang sudah biasa di lokasi pilihannya kali ini.

Semua peralatan memancing laut termasuk joran pancing disediakan oleh Sulung untuk rakan kolejnya yang sudah lama tidak turun memancing di laut. Apa pun, dia tahu bahawa Darwes seorang pemancing yang penganyir.

Berbekal pengalaman dan ketabahan semangat, Darwes dan Sulung diajak berlumba mendapatkan ikan terbanyak dari spesies kerapu bara di lokasi karang semula jadi di perairan Pulau Nyireh dekat Dungun, Terengganu.

Hari pertama ekspedisi Darwes berjaya mendaratkan tiga ekor kerapu bara sederhana besar tetapi Sulung masih kosong. Menjelang tengah malam di lokasi yang sama, suasana menjadi gempar bila seekor buaya kuning besar timbul berlegar dalam kawasan tempat memancing dan beberapa minit kemudian buaya itu menghilang.

Tekong berpindah meninggalkan kawasan itu lalu mencari lubuk lain. Perjalanan satu jam ke lokasi kedua. Namun yang menghairankan bahawa bot masih berada dalam lokasi pertama. Darwes mengingati peristiwa tenggelam di sungai dan berdepan dengan buaya. Ketakutan menerpa semula dalam dirinya. Begitu juga dengan tekong, Sulung dan semua rakan pancing lain. Buaya kuning timbul semula di tepi bot. Saiz badannya hampir sama dengan bot.

Mereka masih belum dapat keluar dari kawasan itu walaupun sudah tiga jam bot bergerak tetapi berlegar dalam kawasan yang sama.

Menyedari bahawa mereka masih berada dalam kepungan misteri yang tentunya sukar untuk keluar maka Darwes terpaksa melakukan sesuatu. Selain memohon pertolongan Allah, anak muda berdarah Pawang Itam itu meludah tiga kali ke laut sebagai ikhtiar yang dia sendiri tidak tahu maknanya. Tetapi tidak lama selepas itu buaya kuning berkenaan melambung tinggi di permukaan air lalu tenggelam semula dan menghilang.

Sejurus selepas itu, keadaan laut kembali tenang. Mereka berada semula dalam kawasan labuhan pertama. Semua berpandangan. Tekong dan Sulung menepuk bahu Darwes sambil bersuara: “Mujur awak ada sama! Buaya itu tak pernah ada di laut sebelah sini,” kata tekong yang bertambah hairan sambil memandang jauh di daratan Pulau Nyireh.

Itulah misteri paling ditakuti oleh Darwes hingga di laut pun ada buaya mengejarnya. Tetapi benarkah buaya yang dilihat? Atau itu cuma satu misteri yang hingga hari ini menjadi tanda tanya Darwes. Selepas peristiwa itu, Darwes tidak lagi turun memancing hingga beliau meninggal dunia.



sumber
10Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool