Kisah Krew Penerbangan




Kisah ini dialami oleh salah seorang Ketua Pramugari (yang bergelar WC) sewaktu bermalam di salah sebuah hotel di Pulau Langkawi selepas sehari suntuk dia bertugas.

Sesampai di biliknya pada tengah malam, WC terus bersalin pakaian untuk keluar makan bersama krew yang lain. Selalunya ini menjadi praktis kami kerana hotel tersebut tidak menyediakan perkhidmatan "Room Service". Disebabkan kedudukan blok-blok kami yang agak berjauhan dengan lobi, kami terpaksa memberanikan diri berjalan dalam keadaan yang malap lagi menyeramkan untuk sampai ke "Coffee House". Di sini sahajalah tempat yang dapat menyediakan makanan untuk menghilangkan kelaparan kami pada waktu malam.

Oleh kerana biliknya berada di blok yang hujung sekali, krew yang lain mengujarnya supaya singgah ke bilik mereka sebelum mereka boleh terus pergi ke "Coffee House".

Setelah bersiap, WC pun keluar dari biliknya. Keadaan di luar terlampau sunyi pada malam itu. Dia terpaksa berjalan merentasi suatu laman yang gelap untuk sampai ke blok rakan-rakannya yang lain. Laman inilah yang amat terkenal di kalangan krew kami. Pernah dikatakan bahawa seorang pengawal keselamatan telah terserampak dengan satu lembaga berupa manusia bertanduk yang sedang berlari-lari di sekeliling laman itu. Lembaga itu menjelirkan lidahnya sambil tertawa dengan sinis apabila terlihat pengawal itu. Pengawal tersebut didapati pengsan keesokan harinya oleh salah seorang pekebun hotel tersebut. Semenjak itu, bermacam-macam lagi kisah yang dapat didengari sesama pekerja-pekerja, tidak ketinggalan juga dengan krew kami.

WC teringat tentang kisah tersebut dan dalam keadaan yang cemas dia mempercepatkan langkahnya. Namun langkahnya terencat apabila kedengaran suatu bunyi tapak kaki yang mengekorinya dari belakang. Dijenguknya ke belakang, tiada apa yang dapat dilihatnya lalu terus melangkah dengan laju, akan tetapi bunyi tapak kaki tadi masih lagi mengekorinya. Tapi pada kali ini di tempat yang agak bercahaya sedikit, dengan mengetepikan perasaan takut WC cuba menjenguk sekali lagi ke belakangnya. Amat terperanjat sekali WC pada waktu itu bila mengetahui bunyi tapak kaki tadi datangnya dari satu lembaga yang menyerupai bayi berwarna hitam, bermata merah dan bertaring halus berdiri dibelakangnya sambil tersenyum.

Dengan tidak berfikir apa WC terus memecut ke koridor tapi langkah kecil tadi tidak kurang hebat, terus meluru mengekorinya. Sampai saja dia di hadapan pintu bilik rakannya cepat-cepat dia mengetuk pintu itu dengan harapan untuk tidak bersua muka dengan makhluk itu lagi. Pintu bilik terus dibuka oleh rakannya dari dalam, dengan perasaan yang lega bercampur takut WC terus masuk tanpa di pelawa oleh rakannya itu.

Pada malam itu tiada siapa yang berani keluar setelah mendengar peristiwa yang di alami oleh WC sebentar tadi.Dan pada malam yang sama WC mengambil keputusan untuk bermalam beramai-ramai di dalam satu bilik hingga keesokkan hari bagi mengelakkan peristiwa tadi berulang lagi.
0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool