Aiman Sayang Mama…



Sering kali hatiku bertanya.. mengapa Liya?! Mengapa?! Kebahagiaan yang sudahpun berada di genggaman semudah itu aku lepaskan.. bagai angin berlalu aku pergi meninggalkan segala keindahan yang menjadi idaman setiap insan sepertiku. Kekosongan yang kucari, kesepian yang ku nanti.. benarkah itu semua bisa menenangkan hatiku yang sering bergelora.. Bodohkah aku? Zalimkah aku?

Masyarakat sekeliling memandang serong padaku. Ada sahaja yang tidak kena pada pandangan mereka.. ah! Berdosakah aku? Perempuan murahan! Tidak bermaruah! Datang ke kampung ini untuk menutup malunya di kota sana.. Semudah itu mereka menghukum aku tanpa menyiasat kedudukanku yang sebenar.

Ah! Lantaklah!! Perawan yang sebatang kara ini akan terus mengharungi hari-hari mendatang walaupun ribut berpanjangan. Tuhan akan membantu hambanya yang benar. Itulah nekadku.. itulah peganganku..

Ini semua kerana engkau Sha.. Persahabatan yang terjalin antara kau dan aku telah mengundang segala musibah yang terpaksa ku tanggung ini. Semuanya berpunca dari kau! Perbuatan yang terkutuk kau lakukan, aku pula yang terpaksa menerima bebannya. Mengapa beban ini kau tinggalkan padaku Sha?!
Siapa yang zalim sebenarnya?! Kau atau pun aku?!

Terkadang aku menyesal, punya sahabat seperti mu. Sahabat yang tidak pernah menghargai pengorbananku. Hatiku benar-benar tersinggung Sha! Aku marah padamu! Aku jijik melihat muka mu! Setelah beban ini kau tinggalkan padaku, kau hilang entah ke mana. Kerana kau, aku terpaksa melucutkan cincin tunang
yang indah di jari manisku. Kerana kau, aku tinggalkan segala persiapan perkahwinanku. Kerana kau juga aku korbankan kebahagiaanku.

Anak kecil itu! Anak kecil itulah beban yang kau tinggalkan untukku. Walaubagaimanapun aku tidak pernah menyalahkannya. Dia tidak berdosa! Dia tidak mengerti! Kini.. dia umpama permata hatiku, sumber inspirasiku. Dialah kekuatanku.. dia juga ketabahanku. Kerana dia aku mampu pejamkan mata,
kerana dia aku bisa pekakkan telinga. Biarlah apa mereka nak kata.. mulut manusia, bukan senang untuk dikawal.. bila penat berhentilah mereka. Tiga tahun berlalu tanpa ku sedari. Sesekali aku tersenyum sendirian.. anak kecil itu sudah petah berbicara. Gelagatnya sering mencuit naluri keibuanku. Kepulanganku sering disambut dengan hiruk pikuk suaranya. Ah! Alangkah
bahagianya! Terima kasih sayang.. kau bisa membuat hati mama tersenyum lagi.. hilanglah kegusaran walaupun hanya untuk seketika.

Walaupun raut wajahnya tidak sedikitpun seiras denganku, itu bukanlah alasan untuk aku tidak mengaku dia anakku. Walaupun dia wujud bukan dari benih yang halal, dia tetap manusia! Dia adalah anugerah dari yang Esa. Tuhan menghantarnya bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, dia punya rezekinya
yang sendiri. Aku amat menyayanginya.

Akan ku didiknya dengan penuh kasih sayang, agar dia menjadi manusia yang berguna. Tidak seperti ibu yang melahirkannya. Aku berjanji pada diriku, apapun yang terjadi, biar siapa ayahnya aku tetap ibunya. Dia tetap anakku! Aku yang memeliharanya sedari tapak kakinya sebesar dua jari.

Ah.. aku mengeluh lagi. Ramadan menjelma, aku masih di sini. Masuk tahun ini genablah tiga tahun aku berpuasa dan berhari raya di tempat orang. Tanpa abah dan mak.. tanpa adik-adik. Juga tanpa Azlan tunangku. Alangkah siksa rasanya menjadi anak terbuang ini.. apalagi yang hendak dikesalkan.. sudah
ini jalan yang menjadi pilihanku. Terima sahajalah!

Terlintas juga di fikiran untuk pulang berhari raya. Kerinduan ini tidak mampu lagi aku sembunyikan. Tapi anak kecil itu telah mematikan langkahku. Sudah redakah amarah mak dan abah? Pasti mereka terpaksa menanggung malu kerana majlis yang bakal diadakan terpaksa dibatalkan. Bagaimana pula dengan Azlan? Pasti dia kecewa dengan tindakanku ini. Adakah dia masih menanti
kepulanganku? Atau dia sudah miliki pengganti diriku.. airmataku menitis lagi..

“mama.. Aiman nak air!” suara anak kecil itu sering mengganggu lamunanku. Terpaksalah aku melayan kerenahnya. Jika tidak, merajuknya akan berpanjangan. Sesekali bermain di benakku, bagaimana jika dia bertanyakan ’siapa ayahnya?’ ‘di mana ayahnya?’ apa yang harus aku jawab? Perlukah aku
terus berdusta? Tapi sampai bila?

***
“Aku mintak maaf Liya. Aku sudah insaf ! Aku tahu aku telah banyak menyusahkanmu.”
“Bagaimana kau dapat mencari aku di sini Sha? Apa tujuanmu datang ke sini?”
“Itu tidak penting Liya. Aku ke mari untuk memohon ribuan keampunan darimu, juga ingin mengambil kembali anakku.”
“Apa?!! Ambil Aiman?!! Tidak semudah itu Sha!”
“Dia anakku Liya! Aku yang melahirkannya! Aku ibunya!! Darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah darah dagingku! Aku berhak terhadpnya”
“Kika begitu mengapa tidak dari dulu kau pelihara anak dari darah daging kau ini? Kenapa kau serahkan dia padaku tanpa memberi aku apa-apa pilihan?”
“Aku terpaksa Liya! Aku terpaksa! Aku tiada jalan lain lagi..” Shahira menangis tersedu.
“Bagaimana dengan aku? Setelah pertunanganku terpaksa di putuskan! Setelah perkahwinanku dibatalkan. Kau datang untuk merampas kebahagiaanku lagi?
Tidak cukupkah selama ini kau menyiksaku?”
“Tolong kembalikan anakku Liya.. tolonglah.. aku amat merinduinya..”
“Huh! Terlalu mudah kau buat permintaan! Setelah segala kemarahan mak dan abahku meledak! Setelah kepercayaan Azlan musnah! Setelah makian dan hinaan masyarakat setempat aku telan, kau nak ambil kembali anak itu?”
“Aku tinggalkan keluargaku, aku putuskan pertunanganku, ini balasan yang kau beri padaku? Segala kebahagiaanku kau rampas Sha.. kini kebahagiaan yang secalit ini pun nak kau rampas? Manusia jenis apa kau ni?! Aku tidak akan serahkan Aiman pada kau! Tidak sekali-kali!” sambungku lagi.
“Aku dah minta dengan cara yang baik.. tidak berhasil, nampaknya aku terpaksa mengemukakan hal ini pada yang berkuasa. DNA dia dan aku pastinya sama kerana aku ibunya. Aku boleh menuduh kau menculik anakku!”
“Berambus kau dari sini Sha!! Keluar dari rumahku! Keluar!!!”

Aku menghempas tubuhku di katil.. tersedu-sedu mengenang nasib diriku yang malang. Kemunculan Shahira ibu kepada Aiman itu telah membuat hatiku tidak mampu lagi untuk tenang. Adakah aku akan kehilangan anak kesayanganku itu?!
Walaupun bukan aku yang melahirkannya, walaupun bukan darah dagingku yang mengalir dalam tubuhnya tapi kasih sayangku menyaluti setiap inci tubuhnya!

Mengapa Sha terlalu kejam?! Di mana harusku pergi lagi? Bagaimana dengan kehidupanku yang akan datang jika sumber kekuatan dan ketabahanku telah hilang?

“Mama.. nape mama nangis? Sape buat?” Aku bangkit dari pembaringan. Mendapatkan tubuh kecil itu lantas mendakap seerat-eratnya. Sehingga tiada lagi ruang yang mampu memisahkan aku dengannya. Perlahan Aiman menyeka
airmataku yang semakin deras.. tapi dia masih tidak faham..

“Aiman sayang mama tak?”
“Sayang!”
“Kenapa Aiman sayang mama?”
“Sebab mama sayang Aiman! Sebab mama.. kan mama Aiman!” aku tersenyum tawar.. kudakap kembali tubuh kecil itu.
“Aiman.. Aiman nak duduk tak dengan ibu baru?”
“Ibu?! Tak maulah!! Aiman nak duduk dengan mama..”
“Tapi kalau ibu baru ambil Aiman jugak macamana?”
“Aiman pegang kaki mama kuat-kuat!!” aku ketawa..
“Mama.. bila mama nak bawa Aiman mandi laut? Dulu mama janji nak bawa?!”
“Mandi laut? Okey.. kita pergi esok ye… “
“Yee yee yee” dia melonjak kegembiraan, kemudian pipiku di cium
berkali-kali. Ah.. Aiman anakku sayang.

***

“Aiman jangan main jauh-jauh tau! Mama duduk kat sini ye..”
“Okey… Aiman main kat sini je..”
“Jangan mandi laut dulu tau! Nanti kita mandi sama-sama ye..”
“Iyeee!!!!”

Dari jauh ku lihat Aiman berlari riang. Bersama layang-layangnya yang cantik bewarna warni. Ku alihkan pandangan jauh ke tengah lautan sana. Ah.. aku mengeluh lagi! Sesungguhnya aku tidak mahu kehilangan Aiman. Andainya benar Sha lakukan apa yang diingininya, apa lagi yang mampu aku lakukan? Memang
dia ibu Aiman. Memang dia yang lebih berhak terhadap Aiman. Nampaknya sekali lagi aku perlu berkorban.. berkorban pada yang tidak pernah menghargai.

Aku tersentak!! Lamunan ku terhenti tatkala bahuku disentuh oleh seseorang.
“Assalamualikum… ” Benarkah suara yang aku dengar ini?
“Waalaikumusalam..” Aku menoleh.. Ya Allah!!! Itulah kalimah pertama yang
keluar dari bibirku setelah melihat susuk tubuh yang berdiri di hadapanku. Benarkah apa yang aku lihat ini atau khayalan semata? “Liya sihat?” sah!! Benar! Azlan bekas tunangku benar-benar berada di hadapanku.
“Ha?! Er.. sihat! Emm.. macam mana abang tahu Liya ada kat sini?”

“Shahira yang beritahu.” Perlahan Azlan melabuhkan pungungnya di sebelahku.
“Maafkan Liya bang..”
“Sudahlah.. lupakanlah . Abang dah tahu segalanya. Mak dan abah Liya pun dah tahu. Cuma abang kesal mengapa Liya bertindak terburu-buru tanpa berbincang dengan abang terlebih dahulu..”
“Liya takut bang! Liya takut abang tidak dapat menerima Aiman. Liya kasihankan dia. Waktu itu dia masih bayi bang! Pusatnya pun masih belum kering.”
“Tak mengapalah Liya.. kita masih boleh mulakan hidup yang baru.”
“Abang masih percayakan Liya?”
“Mengapa tidak? Kerana kepercayaan yang kuat terhadap Liyalah abang masih mampu tunggu Liya hingga hari ini. Abang yakin Liya tidak akan bertindak bodoh jika tiada sebab yang tertentu. Abang juga yakin terhadap cinta Liya..” perlahan Azlan merangkul bahuku. Ku genggam jemarinya..
“Terima kasih bang..”

Tanpa ku sedari Aiman berlari mendapatkanku. Mungkin dia tidak suka melihat ada orang lain berani menyentuh tubuhku. Biasalah kanak-kanak seusia itu sudah pandai berasa cemburu! Hehehe..

“Mama!! Sapa pakcik ni?” aku pandang Azlan.. tidak tahu apa jawapan yang harus ku beri pada Aiman. Azlan seolah faham kehendak naluriku. Perlahan dia berkata..
“Ini papa Aimanlah..!”
“Papa??!” Aiman binggung lantas memandang tepat ke arahku.. aku tersenyum dan mengangguk.
“Ini papa Aiman?” sekali lagi dia minta kepastian dariku.
“Iye sayang, inilah papa Aiman..” Aiman memandang Azlan. Pap! Sekali ditamparnya peha Azlan. Azlan terkejut!
“Kenapa papa tak balik rumah?! Penat mama tunggu papa! Aiman pun tunggu papa!”
“Sorrylah sayang.. papa banyak sangat kerja.. ni sekarang papa dah balik, lepas ni papa tak pergi mana-mana lagi. Papa akan teman Aiman dan mama kat sini okey!”
“Promise!!”
“Promise!!” jawab Azlan yakin. Aiman memeluk Azlan. Tanpa kusedari aku juga berada di dalam dakapan kasih Azlan. Kami tidak ubah seperti sebuah keluarga yang sempurna. Buat julung-julung kalinya airmata kegembiraan mengalir dari kelopak mataku.

“Papa! Mama ni asyik nangis aje!” kata Aiman setelah menyeka airmataku seperti selalu.
“Kenapa mama asyik nangis? Aiman buat mama nangis yee..” kata Azlan. Aku tersenyum melihat dua beranak itu. Sungguh cepat mereka mesra. Aiman seolah tidak kekok dengan kehadiran Azlan.
“Mana ada!! ” kami ketawa bersama. Kring… kring.. bunyi loceng aiskrim “Mama.. papa.. Aiman nak Aiskrim..”
“Nah duit.. belikan untuk mama dengan papa sekali ya..” kataku sambil menghulurkan sekeping wang kertas RM10.00 padanya. Aiman berlari keriangan. Aku dan Azlan memerhatikannya dari jauh.
“Liya pandai mendidik dia.. lihat! dia seolah sudah pandai berfikir
sendiri.. hormat pula pada orang tua. Macam inilah tokoh ibu yang abang mahu… ” kata Azlan.
“Ish! Ada-ada sajalah abang nih! Terima kasih sekali lagi bang!”
“Sudahlah tu… dah penat abang dengar terima kasih Liya tu.. kalau di cium pipi abang ni terubat jugaklah rindu sikit!”
“Ish! Orang tua ni lebih lebih pula!” aku mencubit peha Azlan. Nah amik ni!
“Adoi!! Abang suruh cium lah bukannya cubit!!”
“Sapa suruh mengada-ngada sangat? eh! bang… Liya ada masalah la. Liya takut!
“Takut dengan siapa?”
“Sha.. Shahira! Dia ugut Liya tempohari. Katanya jika Liya tidak kembalikan Aiman padanya, dia akan buat tindakan undang-undang. Dia nak buat tuduhan yang Liya culik Aiman darinya. Tapi bang.. Liya sayangkan Aiman tu.. macamana pulak dengan Aiman? Mahu ke dia tinggal dengan Sha nanti? Liya tak sanggup kehilangan dia bang.. ” tiba-tiba air mataku menitis lagi.. ah! Aku
ni memang kuat menangis! Sikit-sikit nak nangis!!

“Begitu sekali Sha cakap?! Tak kenang jasa betullah dia ni! Tak apalah Liya.. abang akan usahakan agar kita mendapat hak penjagaan terhadap Aiman.”"Tapi bagaimana?” aku bingung! Azlan begitu yakin.
“Sayang.. apa gunanya abang belajar tinggi-tinggi kalau tak boleh uruskan kes sekecil itu? Tak bermaknalah ijazah undang-undang yang abang miliki itu!”

Aku tersenyum lagi. Iya tak ya jugak.. tunangku ini adalah seorang peguam. Aiman kembali bersama bungkusan Aiskrim. Kami makan bersama-sama. Alangkah indahnya kehidupan ini. Sinar bahagia menyinar kembali, setelah ribut dan taufan reda. Entah dari mana datangnya Sha kini sudah berada di hadapan kami. Dia melutut sambil menundukkan kepalanya.

“Liya.. Azlan maafkan aku!” eh kenapa pula dengan Sha ni? Aku bingung.
“Sha.. usah begini..” kataku memujuk, ah! Terlalu mudah aku bersimpati dengan orang.
“Liya.. ampunkan segala dosaku. Aku telah musnahkan kebahagiaanmu. Tadi, sewaktu aku melihat kemesraan kau dan Azlan terhadap dia, aku begitu terharu! Aku malu pada kau Liya! Aku malu pada kau juga Azlan, aku juga malu pada diriku sendiri. Jika dia berada di dalam jagaanku, belum tentu dia akan
peroleh kasih seperti yang kau berikan padanya.”
“Usah berkata begitu Sha..”
“Tak mengapalah Liya.. mungkin inilah hukuman untukku. Punya anak tapi tidak mampu untuk beri kasih sayang. Liya.. Azlan.. aku serahkan dia pada kamu berdua. Aku yakin kasih kamu tidakkan berbelah bagi terhadapnya. Kau peliharalah amanah ini agar mendapat didikan yang sempurna. Aku bersyukur punya sahabat seperti kalian berdua. Aku berharap permintaan ini tidak akan
membebankan kamu berdua..”
“Benarkah Sha? Terima kasih Sha.. aku berjanji akan menjaganya seperti anakku sendiri.”
“Liya aku ada satu lagi permintaan..”
“katakanlah Sha..”
“Izinkan aku menemuinya.. di masa akan datang dan beritahulah padanya hal yang sebenar apabila dia sudah mengerti kelak. Hanya dialah satu-satunya anakku yang boleh mendoakan kesejahteraan ku di alam lain nanti..”
“Baiklah Sha.. mengapa tidak? Bukankah kau ibu kandungnya..”
“Terima kasih Liya.. terima kasih Azlan.. aku pergi dulu..”

Shahira bangkit, mengucup Aiman beberapa kali kemudian perlahan meninggalkan kami.

***
7 Syawal, hari bersejarah buat aku dan Azlan berlangsung dengan meriah. Aiman begitu gembira sekali melihat mama dan papanya bersanding di pelamin yang indah. Aku bersyukur padamu ya Tuhan.. bukan sedikit kebahagiaan yang kau anugerahkan padaku. Kasihnya Mak dan abah, cintanya suami, sayangnya
anakku Aiman!! Aku bahagia kini.

Di hari itu Shahira juga datang untuk meraikan aku sebagai raja sehari, sempat juga dia bermesra dengan Aiman. Sebelum dia meninggalkan majlis kami dia telah menyerahkan sebuah sampul surat yang agak besar pada ku. Katanya hanya itulah hadiah perkahwinan yang mampu diberi. Dia minta aku berjanji
akan buka sampul itu setelah menerima surat darinya. Permintaan peliknya itu aku tunaikan jua..

Seminggu berlalu… aku terima sepucuk surat dari Shahira. Perlahan aku buka sampul dan mambaca satu persatu patah perkataannya.

Liya,

Sudah terlalu banyak aku menyusahkan hidupmu. Sudah terlalu banyak beban ku yang kau tanggung. Maafkanlah aku Liya.. maafkanlah aku.. di dalam sampul yang ku beri padamu tempohari adalah beberapa geran rumah, tanah dan kereta milikku. Itu adalah harta peninggalan keluargaku. Aku serahkan segalanya
padamu, terserahlah padamu bagaimana hendak menguruskannya.

Tahniah Liya, majlis mu berlangsung dengan meriah sekali. Aku akan doakan kebahagiaan akan terus mengiringi perjalanan hidup kalian sekeluarga. Maafkan aku kerana tidak boleh lama di situ. Tapi dalam masa yang singkat itu aku sudah cukup bahagia dan gembira bersama anakku.

Terima kasih Liya.. kerana kesudian kau dan Azlan menjaga anakku. Aku letakkan sepenuh kpercayaan ku pada kau. terima kasih sekali lagi Liya. kau berjaya mendidiknya, ku lihat dia bijak berkata-kata juga pandai menghomati orang tua walaupun usianya masih kecil.

Liya.. suatu malam aku pernah bermimpi, bertemu dengan arwah kedua ibu dan bapaku. Mereka menggamit-gamit aku untuk datang bersamanya. Entahlah Liya, aku dapat rasakan kedamaian yang abadi ada di sana.

Liya.. Andainya aku pergi.. kau peliharalah dia seperti anakmu walaupun waktu itu kau sudah punya anak sendiri… hanya itu sahaja permintaanku yang terakhir.. selamat tinggal Liya sahabatku.. selamat tinggal Aiman, ibu sayang pada mu…

Shahira

Tut..tut.. telefon berbunyi. Pantas aku menjawab panggilan itu.Hah!! Bagai gugur jantung ku setelah mendengar khabar itu. Aku terduduk membisu! Bersama linagan air mata aku mengucapkan kalimah… inalillahiwainnailaihirojiuunn..
Shahira sudah pergi selamanya akibat kemalangan jalan raya. Sebelum terlambat aku bingkas bangun mendapatkan suamiku dan juga Aiman.
“Abang!!!!!”

TAMAT

0Komen:
1. Jangan Menggunakan Simbol '@' Ini Untuk Nama Anda..
2. Jangan Lupa Follow Brozai Di Twitter..Klik Di Sini !
3. Terima Kasih Dengan Komen Anda

Catat Ulasan

 

Copyright © 2009 by Brother Zai - Template by Blog Templste 4 U | Blogspot Tutorial | Sport Page Ranking Tool